Aktiviti sihat secara maya, pengisian sepanjang PKPD di Kampung Kukut, Beaufort

Read Time:1 Minute, 29 Second

BEAUFORT : Beberapa orang penduduk di Kampung Kukut di sini yang dikenakan PKPD 14 hari bermula 25 Jun hingga 8 Julai 2021 yang lalu mengambil inisiatif mengadakan bacaan yasin secara maya melalui aplikasi Google Meet setiap hari.

Ketua Biro Ekonomi dan Keusahawanan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kukut, Norainah Salleh berkata, selain daripada aktiviti bacaan yasin, pengisian aktiviti lain selama PKPD dilaksanakan di kampung itu, antaranya cerama-ceramah motivasi salah satunya program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran SCI Training & Consultancy yang bertajuk ‘Perkongsian Khas: Minda Positif Kita Lebih Sukses,’ disampaikan oleh penceramah jemputan Rosli Anjam.

Katanya, kira-kira 20 orang peserta menyertai program motivasi secara maya tersebut pada 3 Julai lalu, ia adalah bertujuan untuk memastikan penduduk sentiasa positif menghadapi situasi pandemik COVID-19 dan sebarang masalah yang timbul.

“Aktiviti secara norma baharu ini ada kesukaran mengenai kekangan capaian internet yang kurang memuaskan di kampung ini dan menyebabkan penyertaan amat sedikit.

“Kampung Kukut mempunyai 102 buah rumah dan melibatkan kira-kira 500 orang penduduk di sini.

“Inilah aktiviti kami sepanjang pelaksanaan PKPD di kampung kami, kami juga ada mengadakan kuiz online dan memberi hadiah berupa wang tunai kepada pemenang,” kata Norainah ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.

“Justeru itu, aktiviti seumpama ini patut dicontohi kepada lokaliti yang dikenakan PKPD sebagai pengisian yang amat berguna dan tidak melibatkan aktiviti sosial bersemuka dan dapat mengurangkan tekanan kepada penduduk yang berhadapan dengan PKPD,”katanya.

Namun, ada juga beberapa individu yang prihatin tampil memberikan bantuan berupa bakul makanan kepada penduduk di kawasan Kampung Kukut ketika PKPD dilaksanakan.

“Kami juga tidak lupa berkongsi rezeki dengan petugas barisan hadapan yang menjaga kampung kami sepanjang PKPD dijalankan, kami menghulurkan makanan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam kepada mereka yang bertugas sebagai tanda terima kasih,”tambah Norainah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *