9 Penumpang Komuter Cedera Ditikam

Read Time:47 Second

TOKYO: Sembilan penumpang komuter cedera termasuk seorang parah di Jepun semalam apabila seorang lelaki menikam mereka di dalam gerabak tren berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, suspek yang berusia 20-an kemudian menyerah diri kepada polis selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

Kes keganasan seumpamanya jarang berlaku di Jepun, apatah lagi ketika tahap kawalan keselamatan dipertingkatkan ketika penganjuran Sukan Olimpik 2020.

Tragedi petang semalam itu berlaku di Setagaya iaitu kawasan barat bandar yang terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi acara berkuda Olimpik.

Menurut laporan penyiaran awam NHK yang memetik maklumat pegawai kecemasan, mangsa cedera parah ialah seorang wanita berusia 20-an yang ditikam pada bahagian belakang.

Operasi tren itu kemudian dihentikan selepas pengendali landasan dimaklumkan mengenai kejadian itu manakala pisau dan telefon bimbit disyaki milik suspek ditemui dalam gerabak.

Suspek dilaporkan ditahan polis apabila lelaki itu menyerah diri di kedai serbaneka berhampiran selepas membuat pengakuan kepada pengurus kedai terbabit.

Jepun melaksanakan undang-undang ketat terhadap penggunaan senjata. – AFP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.