Pfizer Kemuka Data Untuk Kelulusan Dos Ketiga Di AS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

WASHINGTON: Pfizer dan BioNTech semalam mengemukakan data klinikal awal kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) bagi kebenaran suntikan ketiga dos penggalak vaksin COVID-19.

Permohonan suntikan ketiga bagi semua penduduk AS itu menyusuli keputusan AS minggu lalu meluluskan suntikan vaksin dos penggalak Pfizer-BioNTech dan Moderna bagi individu dengan sistem imun yang lemah.

Pfizer dan BioNTech mengemukakan keputusan ujian Fasa Pertama yang menilai keselamatan dan keberkesanan suntikan dos ketiga.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, dalam satu kenyataan, berkata data setakat ini menunjukkan dos ketiga merangsang antibodi pada tahap jauh melebihi kadar antibodi selepas dua dos suntikan.

Sementara itu, pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin, berkata dos vaksin penggalak boleh bantu kurangkan jangkitan dan kesan penyakit bagi mereka yang sudah menerima dua dos.

“Ia juga mampu membendung penularan COVID-19 varian baharu pada masa akan datang,” katanya.

Syarikat terbabit berhasrat mengemukakan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa di Eropah dalam beberapa minggu lagi.

Tindakan itu diteruskan walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa moratorium bagi suntikan dos penggalak untuk mengurangkan ketidakadilan pengagihan vaksin antara negara kaya dan miskin.

Sebuah jawatankuasa penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit iaitu agensi penjagaan kesihatan tertinggi di AS, dijadualkan bertemu pada akhir bulan ini.

Mereka akan membincangkan isu kelulusan dos vaksin penggalak bagi penerima dewasa berusia lebih 65, penghuni pusat jagaan dan kakitangan sektor penjagaan kesihatan. – AFP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *