Cabaran ekonomi, persiapan banjir tumpuan hari pertama Dewan Rakyat

Read Time:2 Minute, 8 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Langkah kerajaan menangani cabaran ekonomi dan kesiapsiagaan agensi kerajaan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan mengenai cabaran ekonomi itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Perdana Menteri yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani cabaran tersebut demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia semasa sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula meminta Perdana Menteri menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40 dan T20 menurut pecahan tahun bermula 2019 sehingga 2022.

Turut tersenarai, soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

Selain itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan persiapan kementerian itu bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka melanda Kuala Lumpur pada akhir tahun ini. 

Persidangan kali ini bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama. 

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, selain usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mesyuarat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang berkaitan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022. 

Penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lewat daripada Khamis (6 Okt) sekiranya usul Menteri Kesihatan bagi melanjutkan tarikh pembentangan penyata itu dipersetujui. 

Pada 2 Ogos lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ditetapkan perlu membentangkan penyata itu tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Fokus utama persidangan kali ini adalah kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023, yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, Jumaat ini. 

Rang undang-undang itu dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari dan akan dijawab oleh menteri selama empat hari sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari. 

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 Nov.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.