Tiga daerah di Sabah perlu reka bentuk bangunan yang bertahan gegaran gempa bumi

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU : Tiga daerah di Sabah dikenali pasti memerlukan reka bentuk bangunan yang mampu bertahan terhadap gegaran khususnya di kawasan zon merah gempa bumi.

Antara daerah terlibat ialah Ranau, Lahad Datu dan Kunak.

Felo Penyelidik Utama Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith berkata, implimentasi reka bentuk bangunan untuk gempa bumi perlu dilaksanakan dikawasan berkenaan.

“Pendedahan mengenai rekabentuk bangunan yang sesuai dalam kawasan panas (hot-spot) gempa bumi ini bagi mengelak kemalangan jiwa, selain menerapkan latihan kesiapsiagaan terhadap bencana tersebut kepada orang awam.

“Gempa bumi itu sendiri tidak berbahaya, namun runtuhan struktur bangunan yang akan memberi impak dan mengancam keselamatan dan nyawa manusia,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Kumpulan Gempa Bumi NDRC berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Program Pemantapan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah (JPBN) 2022, di sini, baru-baru ini.

Ceramah bertajuk ‘Sains Gempa Bumi di Malaysia: Status dan Cabaran’ merupakan anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah.

Ia dihadiri 40 Pegawai APM yang merupakan Sekretariat JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di negeri ini.

Noor Sheena yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UMS turut berkongsi Peta Bahaya Seismik untuk Malaysia, iaitu sebuah peta berdasarkan nilai Peak Ground Acceleration (PGA) dalam Malaysian Standard MS En 1998-1: 2015 National Annex 2017 oleh Jabatan Standard Malaysia.

“Peta Bahaya Seismik ini merupakan hasil daripada kajian bersama pakar-pakar dari beberapa buah jabatan, agensi swasta, badan bukan kerajaan dan juga universiti-universiti di Malaysia yang salah satunya adalah pakar-pakar penyelidik dalam bidang gempa bumi dari NDRC, UMS sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus memaklumkan, penyelidikan berkaitan dengan tingkah laku dan mitigasi gempa ini merupakan salah satu fokus penyelidikan di NDRC selain bidang bencana alam lain seperti tsunami, tanah runtuh, banjir, perubahan iklim, kemarau, hakisan pantai dan sungai.

“Ditubuhkan sejak tahun 2006, pusat ini bertindak sebagai tempat pertemuan (focal point) untuk semua penyelidikan di UMS berkaitan dengan bencana alam.

“Penglibatan NDRC dalam ceramah seumpama ini diharap dapat memberikan input berguna dalam kesiapsiagaan awal kepada Sekretariat JPBN dan JPBD, APM Sabah serta memberikan peluang kepada pakar-pakar penyelidik untuk berkongsi hasil penyelidikan mereka kepada pemegang taruh dalam pengurusan bencana alam di Malaysia.

“Ia selaras dengan objektif penubuhan NDRC ini sendiri iaitu untuk menjana ilmu baru berkaitan dengan tingkah laku, mekanisme, impak dan mitigasi bencana alam ke arah pengurusan bencana alam yang lebih berkesan dan holistik di negara ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.