Air di kawasan terlibat AGE didapati jernih, tiada pelanggaran parameter kekeruhan

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Keadaan air di kawasan taman perumahan di mukim Sri Tanjong, Tawau yang terlibat dengan kes Acute Gastroenteritis (AGE) baru-baru ini adalah jernih berdasarkan pemantauan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, persampelan air (Test in-situ) di beberapa buah rumah turut mendapati tiada pelanggaran parameter kekeruhan, klorin, pH dan suhu yang dilaksanakan hari ini.

“Baru-baru ini tular di media sosial mendakwa terdapat sebanyak 80 kes cirit-birit sehari selama seminggu di mukim Sri Tanjong Tawau.  PKK Tawau mula menerima notifikasi kes AGE pada 26 September dari dua buah Klinik Swasta yang melibatkan seramai 22 kes.

“Majoriti kes menunjukkan gejala muntah, cirit-birit dan sakit perut. Siasatan awal PKK Tawau menunjukkan bahawa kes-kes tinggal di taman perumahan yang berbeza. Kesemua kes hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Rose Nani berkata, siasatan lengkap terhadap kes dan persekitaran termasuk kilang ais telah dilaksanakan selain turut menjalankan ujian makmal sampel najis, air dan ais untuk mengenal pasti punca jangkitan.

Katanya, sebanyak 19 sampel najis kes bergejala telah diuji mempunyai keputusan negatif kehadiran mikroorganisma manakala siasatan di lapangan terhadap kilang ais mendapati tahap kebersihan adalah memuaskan.

“Bermula daripada 26 September sehingga 1 Oktober lalu, kumulatif kes dilaporkan adalah sebanyak 85.

“Situasi kejadian kes adalah terkawal dan tiada kes baru dilaporkan dari kawasan ini sejak 2 Oktober lalu sehingga kini. Walaubagaimanapun, JKNS masih menunggu keputusan ujian kimia bagi sampel air yang diambil,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, JKNS menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah bagi memastikan kes-kes AGE termasuk cirit-birit dapat dielakkan.

Katanya, ini termasuklah sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain memasak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.

“Selain itu,  orang ramai juga perlu menyimpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih serta menggunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan konsep Lihat, Hidu dan Rasa sebelum makan atau minum.

“JKNS akan sentiasa memantau kejadian AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.