PIBG di Sabah dipelawa mohon BAGUS

Read Time:2 Minute, 31 Second

SANDAKAN : Kerajaan negeri mempelawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sabah untuk membuat permohonan Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS).

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan berjumlah RM2,000 akan disalurkan kepada 1,500 buah sekolah yang terlibat untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun.

“BAGUS disalurkan untuk menampung kegiatan PIBG di seluruh Sabah dan setakat ini 1,500 PIBG terlibat merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah menengah, sekolah agama negeri, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama.

“Oleh itu, saya mempelawa semua Pengerusi atau Yang Dipertua (YDP) PIBG sekiranya belum mendapat bantuan ini harap memohon sama ada secara dalam talian atau hadir ke pejabat kita di Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan BAGUS di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, kerajaan juga turut memperkenalkan inisiatif baharu pada tahun ini iaitu BISBAH di 1,500 buah sekolah seluruh Sabah.

“BISBAH merupakan bantuan peralatan komputer dan bantuan pengajaran di sekolah menengah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah agama, sekolah anak negeri dan sekolah Cina,” katanya.

Arifin yang juga Exco Pendidikan turut memaklumkan, di bawah Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas terdapat lebih 10 jenis bantuan yang telah dilulus dan diilhamkan oleh Ketua Menteri Sabah dalam usaha memperkasa modal insan yang menjadi salah satu terus utama pelan pembangunan, Hala Tuju SMJ.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan RM8,000 BISBAH masing-masing kepada Pengetua SMK Merpati dan Guru Besar SK Nunuyan Laut, diikuti BAGUS RM2,000 kepada YDP PIBG SMK Perempuan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sibuga.

Bagi Dun Sungai Manila pula, bantuan jumlah RM26,000 diserah masing-masing RM8,000 kepada Pengetua SMK Libaran, Guru Besar SK Rancangan Lubuh dan Guru Besar SAN Pekan Muhibah untuk BISBAH serta RM2,000 BAGUS kepada YDP PIBG SK Sungai Manila.

Sementara itu, Dun Gum Gum dan Dun Tanjong Papat menerima jumlah bantuan yang sama iaitu RM34,000 dengan pecahan RM32,000 BISBAH dan RM2,000 BAGUS.

Jumlah itu melibatkan penerima BISBAH yang terdiri daripada Pengetua SMK Gum Gum, Guru Besar SK Batu 16 Gum Gum, Guru Besar SAN Desa Permai, Ulu Dusun Sandakan, Guru Besar SAN Karamunting, Pengetua SMK St Micheal (M), Guru Besar SK Tanjung Papat 1, Guru Besar SAN Tanjung Papat dan Guru Besar SAN KM 2 Jalan Bunga Botan (Elopura), manakala penerima BISBAH adalah YDP PIBG SK Seri Manis danYDP PIBG SK Sri Tanjong Papat 2.

Selain penyampaian BISBAH Khas RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Arifin juga menyaksikan penyampaian bantuan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua, Malai Ali Malai Ahmad berjumlah RM5,884,800 kepada Pengerusi Badan Dakwah Daerah, Farizal Setoh.

Malai turut menyampaikan sumbangan aktiviti keagamaan RM5,000 kepada Badan Dakwah Daerah, PPD dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Turut berlangsung, penyampaian sumbangan aktiviti dakwah dan keagamaan oleh Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As Salam Syah berjumlah RM2,000 masing-masing kepada Farizal, PPD Sandakan dan IPD Sandakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.