Bajet 2023 sedia pelbagai manfaat untuk pekebun kecil, kata PM

Read Time:2 Minute, 7 Second

BERA — Peruntukan RM2.6 bilion untuk sektor komoditi dalam Bajet 2023 memberi pelbagai manfaat kepada pekebun kecil getah, kata Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob.

Selain RM315 juta untuk menggantikan pokok getah tua di bawah Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil, kerajaan turut menyediakan RM40 juta menerusi Program Pembangunan Semula Hasil Baharu untuk menggalakkan pekebun kecil meneroka tanaman makanan jangka pendek.

Program penanaman getah itu dijangka memanfaatkan 387,000 pekebun kecil, katanya pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Bera, Pahang.

“Sektor komoditi adalah salah satu sektor penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kerajaan sentiasa komited memastikan segala inisiatif dan bantuan dapat disalurkan demi kemakmuran dan kesejahteraan komuniti pekebun kecil.

“Besarlah harapan saya agar semua pekebun kecil, terutama di Pahang terus mengambil peluang yang disediakan melalui program dan bantuan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Risda.”

Beliau berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan getah satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya harga pasaran di bawah paras RM2.50 sekilogram.

Ismail berkata, bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) dengan peruntukan RM31.1 juta. Ia menyasarkan untuk mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg sehektar setiap tahun.

Selain itu, Program Tanam Semula Getah Risda dengan sasaran keluasan 20,000ha, kini sudah melebihi 10,000ha dengan penyertaan 7,180 pekebun kecil.

Katanya, Risda juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524ha daripada 12,381 pekebun kecil.

Selain insentif pengeluaran lateks untuk menambah baik rangkaian bekalan bahan mentah melalui koperasi, Ismail berkata, Skim Perlindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak.

Katanya, kerajaan bersetuju meluluskan RM191 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 232,319 pekebun kecil Risda.

Beliau berkata, mereka akan menikmati bantuan RM600 yang disalurkan secara berperingkat, iaitu RM300 pada bulan depan dan baki RM300 lagi pada Disember ini.

“Bagi BMT di Pahang, sukacita saya mengumumkan 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan dengan jumlah peruntukan RM14.54 juta.

“Insya Allah pada tahun depan, jika kerajaan saya dipilih semula pada PRU15, BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan RM256 juta selama empat bulan kepada 320,000 pekebun kecil Risda dan Felda,” katanya.

Beliau berkata, kerajaannya jika diberi mandat semula, juga akan meningkatkan peruntukan bagi masyarakat pekebun kecil daripada RM508 juta tahun ini kepada RM600 juta.

“Peruntukan ini membuktikan kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah diusahakan pekebun kecil,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.