Adun PH nyatakan sokongan dan kerjasama hingga penggal berakhir kepada hajiji

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah menyatakan sokongan dan kerjasama kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga penggal berakhir pada tahun 2025.

Kunjungan yang diketuai Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan turut dihadiri Adun Luyang Phoong Jin Zhe, Adun Kepayan Jannie Lasimbang, Adun Inanam Pito Galim dan Adun Likas Tan Lee Fatt itu berlangsung di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ketika ditanya media, Ewon menyatakan beberapa perkara telah dibincangkan termasuklah penyertaan dan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan juga penyertaan Adun-Adun PH Sabah dalam Kerajaan Negeri.

“Adun-Adun PH Sabah mengalu-alukan sokongan GRS dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan sepertimana diumumkan Perdana Menteri hari ini. Adun-Adun PH Sabah juga menyatakan sokongan kepada Datuk Hajiji dan seterusnya kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak-hak Sabah dapat dijayakan bersama,” katanya.

Ewon turut menyatakan terima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan Adun-Adun PH dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah bermula pada tahun hadapan.

“Pada saya dan Adun-Adun PH Sabah, kita tidak mahu terlalu banyak politik sehingga menjejaskan kestabilan Kerajaan. Di peringkat Persekutuan, kita membentuk Kerajaan Perpaduan dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Terdahulu Hajiji membentangkan Belanjawan Negeri Sabah bagi tahun 2023 dalam sidang DUN yang bermula hari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.