HomeIsu tempatanNDRC UMS, JBPM dan APM lawat tapak persediaan latihan kecemasan bencana alam

NDRC UMS, JBPM dan APM lawat tapak persediaan latihan kecemasan bencana alam

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan tapak bagi persediaan latihan kecemasan bencana alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, lawatan tapak itu merupakan persediaan awal bagi Program Pendidikan Awam Bencana Alam yang akan diadakan pada 19 Ogos 2023. 

“Antara pengisian program pendidikan awam ini nanti adalah latihan kecemasan bencana alam seperti banjir, kebakaran dan gempa bumi. 

“Latihan kecemasan banjir akan diberikan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Belud; latihan kecemasan kebakaran akan diberikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud, manakala latihan kecemasan gempa bumi akan diberikan oleh pihak NDRC sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Carolyn,  lawatan tapak itu juga bagi menentukan lokasi yang akan digunakan untuk latihan, termasuk melihat infrastruktur, dan ciri geografi yang relevan dengan bencana yang akan disimulasikan.

“Antara lain latihan ini diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan sistem keselamatan dan pengendalian kecemasan bencana alam di kawasan Kampung Melangkap serta melatih komuniti untuk menghadapi  kecemasan bencana seperti gempa bumi, banjir dan kebakaran.

“Ia juga bagi mempersiapkan mereka agar lebih bersiap siaga menghadapi sebarang kejadian bencana alam di sekitar mereka pada masa hadapan,” katanya.

Lawatan tersebut turut diisi dengan sesi perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi – Pengerusi JPKK Melangkap Baru, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Kapa dan Melangkap Nariou.

Antara isu dan cadangan yang dibincangkan adalah pemasangan siren amaran banjir, mengadakan satu garis panduan keselamatan bagi pusat-pusat pelancongan, penubuhan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta cadangan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk Kampung-kampung di Melangkap. 

Dalam pada itu, Carolyn turut berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh JBPM  dan APM Kota Belud kerana turut serta dalam lawatan tapak dan perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JPKK Melangkap. 

“NDRC sentiasa menyokong dan bersedia untuk memberikan khidmat latihan, nasihat serta menjadi penyelaras sekiranya cadangan-cadangan yang diutarakan dalam perbincangan tersebut diteruskan oleh komuniti Melangkap,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular