HomeUtamaKerajaan negeri tingkatkan biasiswa pengajian ke RM100 juta setahun

Kerajaan negeri tingkatkan biasiswa pengajian ke RM100 juta setahun

Read Time:2 Minute, 17 Second

TUARAN: Kerajaan negeri meningkatkan pemberian biasiswa pengajian daripada RM50 juta kepada RM100 juta setiap tahun, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ini bagi memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian mereka di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, ini penting kerana aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan negeri Sabah.

“Modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi”, katanya ketika merasmikan penutupan Kem Matematik Perdana di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali. Seramai 300 pelajar dari 10 buah sekolah menengah di daerah Tuaran menyertai Kem Matematik Perdana anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hajiji berkata, kerajaan negeri maklum berhubung pencapaian matapelajaran
Matematik dan Matematik Tambahan khususnya di negeri Sabah yang meresahkan.

Menurutnya, ini termasuklah pencapaian beberapa mata pelajaran berteraskan Sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi yang rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, atas kegusaran itu, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri Sabah.

Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pihak UMS segera membentuk sebuah Jawatankuasa Bersepadu bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menangani isu kelemahan dan kelompongan minat pelajar terhadap matapelajaran Matematik dan Matematik Tambahan di Sabah.

“Sekiranya perlu, adakan suatu Sidang Pleno bagi membincangkan isu ini dan bangunkanlah program, agenda dan kerangka khusus yang merangkumi
pemberdayaan dan pengupayaan Matematik dan Sains untuk generasi anak-anak kita di Sabah.

“Kerajaan negeri bersedia menyediakan dana khas bagi merungkai permasalahan dan
kelemahan yang ketara ini. Kita mahu melihat untuk 10 ke 20 tahun akan datang, isu dan permasalahan Matematik bukan lagi menjadi batu penghalang besar kepada anak-anak Sabah untuk menceburi kerjaya profesional yang melibatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan,” tegasnya.

Hajiji berkata, berdasarkan data daripada Laporan Perangkaan Pendidikan Malaysia tahun 2020 hingga tahun 2022, bilangan pelajar di Sabah dalam aliran Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal sekitar 15 peratus.

Katanya, dapatan itu sedikit berbeza dengan hasrat Kerajaan Negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) agar kumpulan profesional dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan dapat diramaikan menjelang tahun 2030.

Justeru beliau berharap agar seluruh agensi kerajaan yang terlibat, mengambil tindakan menyelesaikan isu-isu itu dengan kadar segera.

“Impak kekurangan tenaga kerja dalam sektor profesional yang melibatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan akan menjejaskan keperluan pasaran tenaga kerja untuk negeri Sabah pada masa akan datang, yang sekaligus akan turut
menjejaskan usaha pembangunan sosio-ekonomi dan teknologi di negeri ini,”
tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis Sahkan Tahan 2 individu Cuba Ceroboh Istana Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular