HomeUtamaCubaan seludup barang kawalan gagal, lelaki berusia 45 tahun ditahan di perairan...

Cubaan seludup barang kawalan gagal, lelaki berusia 45 tahun ditahan di perairan Kudat

Read Time:1 Minute, 11 Second

KUDAT: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup barang kawalan gagal apabila dia ditahan dalam operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin Wilayah Empat di muara Sungai Kampung Kimihang di sini .

Suspek berusia 45 tahun itu ditahan ketika berada di atas sebuah pam bot berwarna biru tanpa nombor pendaftaran, dipercayai digunakan untuk membawa barangan tanpa kebenaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, pihaknya menerima kes berkenaan daripada Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa sejumlah barang kawalan tanpa dokumen sah, termasuk petrol, minyak masak dan gula,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Nazatul berkata, antara rampasan adalah tujuh tong drum berisi kira-kira 1,400 liter petrol, 24 kotak minyak masak paket seberat 408 kilogram serta tujuh bandel gula kasar dianggarkan 168 kilogram.

Turut dirampas katanya, tiga enjin pam bot yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewengan tersebut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM14,876.80,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara KPDN dan Pasukan Polis Marin dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini.

Menurutnya, KPDN akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak disalahgunakan dan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat.

Orang ramai juga diseru tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi bagi membantu membendung kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan pengguna.

RELATED ARTICLES
Utama

Kurangkan kos makanan ternakan, kunci stabil harga ayam, telur di Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular