PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai spesies hidupan liar tanpa dokumen yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Kampung Nambazan, di sini, pada Rabu.
Operasi itu dijalankan oleh Unit Risikan Marin Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Dalam serbuan berkenaan, pasukan penguat kuasa merampas beberapa spesies hidupan liar yang disyaki dimiliki tanpa permit atau dokumen sah, termasuk seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor burung Bornean Crested Fireback Pheasant, tiga ekor burung Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya serta seekor ular sawa batik.
Menurut JHL dalam satu kenyataan media hari ini, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki memiliki hidupan liar tanpa permit atau dokumen yang sah.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
JHL menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli hidupan liar atau hasilannya daripada sumber haram kerana perbuatan itu boleh menggalakkan aktiviti pemburuan serta perdagangan hidupan liar secara tidak sah.
Menurut jabatan itu, sesetengah spesies hidupan liar boleh diburu atau dimiliki secara sah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, orang ramai disaran memastikan penjual mempunyai permit dan dokumen yang sah sebelum melakukan sebarang urusan pembelian.
JHL turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemburuan, pemilikan atau perdagangan hidupan liar yang menyalahi undang-undang bagi memastikan kelestarian sumber hidupan liar di negeri ini terus terpelihara.



