SHAH ALAM : Kontinjen Sabah mengintai dua lagi pingat emas pada Khamis dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi acara memanah dan olahraga.
Dalam acara memanah, dua wakil Sabah iaitu Evan Rich Chong Qi Wei dan Quik Chern Xin menjadi sandaran untuk memburu emas menerusi acara Elimination Round Recurve.
Kedua-duanya dijadual beraksi pada sesi akhir antara 5.30 petang hingga 6 petang, dengan peluang untuk meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya sekiranya berjaya melepasi peringkat berkenaan.
Memanah ketika ini disenaraikan sebagai satu daripada dua prospek emas Sabah, dengan rekod kontinjen menunjukkan acara berkenaan sebelum ini turut menyumbang koleksi pingat buat negeri itu.
Sementara itu, sasaran emas kedua hadir menerusi olahraga apabila Syed Ali bin Syed Ahmad dijadual beraksi dalam acara lempar cakera pada jam 3 petang.
Syed Ali menjadi harapan Sabah untuk menutup kempen olahraga dengan kejayaan, sekali gus menyumbang emas terakhir kepada kontinjen negeri itu.
Berdasarkan rekod pingat yang direkodkan, Sabah kini mengumpul 12 pingat emas; 10 perak dan 10 gangsa.
Sabah sebelum ini telah melalui kempen yang menyaksikan beberapa acara berjaya menyumbang pingat, termasuk emas, bagi membantu kontinjen negeri itu kekal kompetitif dalam kutipan pingat keseluruhan.
Hari ini, sebanyak 53 pingat emas, 53 perak dan 54 gangsa dipertandingkan dalam pelbagai acara di temasya SUKMA Selangor. – SABAH MEDIA


