HomeUtamaTiga hingga lima episod hujan lebat dijangka landa negara hingga Januari 2027

Tiga hingga lima episod hujan lebat dijangka landa negara hingga Januari 2027

Read Time:1 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara antara November 2026 hingga Januari 2027, sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu berwaspada terhadap risiko laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, fasa MTL yang bermula pada 27 Oktober 2026 dijangka berterusan sehingga Mac 2027, justeru persediaan awal dan kepekaan terhadap perubahan cuaca amat penting bagi mengurangkan risiko keselamatan.

“Orang ramai diharap sentiasa bersiap sedia, mengutamakan keselamatan dan kekal peka terhadap sebarang perubahan cuaca yang berlaku sepanjang MTL 2026/2027 ini,” katanya.

Arthur berkata, menjelang fasa akhir monsun dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, khususnya di negeri-negeri di utara Semenanjung  dan Sabah.

Beliau berkata, keadaan itu dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering, malah berpotensi mencetuskan gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño yang sangat kuat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi jabatan itu atau talian hotline 1-300-22-1638. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Konsert amal bantu kebajikan penggiat seni Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular