40% – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 08 Apr 2026 11:06:17 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png 40% – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Rundingan hasil 40% Sabah kekal berjalan – Masidi https://sabahmedia.com/2026/04/08/rundingan-hasil-40-sabah-kekal-berjalan-masidi/ https://sabahmedia.com/2026/04/08/rundingan-hasil-40-sabah-kekal-berjalan-masidi/#respond Wed, 08 Apr 2026 11:03:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94529
Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Rundingan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan hasil 40 peratus negeri itu masih diteruskan dan tidak terjejas oleh keputusan terkini Mahkamah Rayuan, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau menjelaskan bahawa kes mahkamah dan rundingan semasa melibatkan dua perkara yang berasingan.

“Kes yang dibawa oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) hanya berkaitan ‘lost years’, iaitu tunggakan. Keputusan Mahkamah Rayuan hanya menyentuh perkara itu dan tidak melibatkan tuntutan semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kinara Energy Sdn Bhd dan Dayang Enterprise Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Masidi turut menegaskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan masih diteruskan bagi tuntutan semasa yang merangkumi tahun-tahun lebih terkini.

“Saya tidak fikir rayuan itu akan menjejaskan rundingan yang sedang berjalan kerana ini dua isu berbeza. Untuk rekod, kerajaan negeri membantah rayuan tersebut, namun Mahkamah Rayuan mendapati ada merit untuk mendengar kes berkenaan. Kita menghormati keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses undang-undang,” katanya.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri lebih cenderung agar Kerajaan Persekutuan tidak meneruskan rayuan, Sabah tetap komited untuk meneruskan rundingan berkaitan tuntutan semasa 40 peratus.

Mengulas sama ada prosiding mahkamah akan melambatkan rundingan, beliau berkata garis masa perbincangan kekal tidak berubah.

“Apa yang terjejas hanya isu ‘lost years’. Rundingan bagi tuntutan semasa masih berjalan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tuntutan “semasa” tidak melibatkan tunggakan, sebaliknya memberi fokus kepada hasil bagi tahun-tahun terkini termasuk tahun ini, tahun lalu atau tahun sebelumnya bergantung kepada skop yang dipersetujui.

Masidi turut mendedahkan bahawa Sabah telah mengemukakan tuntutan tersebut kira-kira dua tahun lalu dan sejak itu menekankan keperluan menetapkan garis masa yang jelas untuk penyelesaian.

“Kita tidak boleh berunding tanpa had masa yang jelas,” tegasnya.

Mengenai perkembangan rundingan, beliau berkata isu utama ketika ini ialah kaedah pengiraan kadar 40 peratus, khususnya dalam menentukan sumber hasil yang perlu dimasukkan.

“Ia memerlukan data menyeluruh mengenai hasil yang dikutip dari Sabah. Ada data yang tidak tersedia, dan kita faham perkara itu. Namun, kita mencadangkan supaya dimulakan dengan angka yang tidak dipertikaikan seperti data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam yang diterbitkan setiap tahun,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai pendekatan praktikal dengan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih mudah diselesaikan terlebih dahulu, sementara perbincangan mengenai komponen lebih kompleks diteruskan.

“Kita masih menunggu maklum balas mengenai cadangan ini,” katanya.

Masidi turut menjelaskan bahawa tempoh 180 hari yang sering dirujuk hanya terpakai kepada kes mahkamah berkaitan ‘lost years’ dan tidak melibatkan rundingan semasa.

Ditanya sama ada sebarang angka telah dipersetujui, beliau berkata setakat ini tiada persetujuan dicapai.

“Kalau sudah ada angka dipersetujui, saya sudah umumkan,” katanya.

Mengenai jangka masa penyelesaian, beliau berkata ia sukar ditentukan, namun menegaskan proses itu tidak boleh berlarutan tanpa had.

“Perlu ada garis masa yang jelas, jika tidak rundingan boleh berlarutan tanpa penghujung,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar isu itu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang, namun menegaskan komitmen dan keikhlasan kedua-dua pihak adalah penting.

“Rundingan memerlukan kedua-dua pihak terlibat secara konstruktif ibarat ‘it takes two to tango’. Menetapkan tempoh secara sebelah pihak tidak akan membantu,” katanya.

Masidi berkata, sekiranya tiada persetujuan dicapai, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan penilai bebas bagi menentukan kelayakan Sabah.

“Kita memahami kekangan kewangan Kerajaan Persekutuan, namun pendekatan munasabah ialah bermula dengan angka hasil yang tidak dipertikaikan. Kita bersikap praktikal dan munasabah, dan berharap sekurang-kurangnya satu penyelesaian awal dapat dicapai supaya kemajuan dapat dibuat,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/08/rundingan-hasil-40-sabah-kekal-berjalan-masidi/feed/ 0 94529
Hak 40 peratus Sabah bukan untuk ditangguh, rundingan perlu diteruskan – Azizah https://sabahmedia.com/2026/04/06/hak-40-peratus-sabah-bukan-untuk-ditangguh-rundingan-perlu-diteruskan-azizah/ https://sabahmedia.com/2026/04/06/hak-40-peratus-sabah-bukan-untuk-ditangguh-rundingan-perlu-diteruskan-azizah/#respond Mon, 06 Apr 2026 05:36:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94353
Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Hak 40 peratus Sabah bukan alasan untuk terus melengah-lengahkan tindakan, kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Beliau menegaskan, keputusan ‘stay of execution’ oleh mahkamah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan rundingan, sebaliknya proses tersebut perlu diteruskan jika wujud kesungguhan dalam pelaksanaan di peringkat Persekutuan.

“Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. ‘Stay’ bukan bermaksud rundingan juga perlu dihentikan. Jika benar ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan menangguhkan rundingan hanya mencerminkan kegagalan untuk menghormati hak Sabah yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak berkenaan yang sepatutnya dinikmati sejak dahulu lagi, namun terus dinafikan atas pelbagai alasan.

“Ini bukan tuntutan baharu, tetapi hak yang telah lama tertangguh. Berapa lama lagi rakyat Sabah harus menunggu? Sampai bila hak ini mahu dipinggirkan?” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan hak Sabah merupakan satu bentuk pengabaian terhadap rakyat negeri ini yang juga sebahagian daripada Malaysia.

“Rakyat Sabah bukan rakyat kelas kedua. Kita berhak mendapat pembelaan yang adil. Jangan biarkan rakyat terus terkesan hanya kerana kelemahan membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengulas isu subsidi diesel, beliau menolak dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata, sebaliknya menegaskan ia berkait rapat dengan sumbangan hasil negeri.

“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan berniat memesongkan fakta. Hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak, jadi jangan pertikaikan hak kami untuk menerima manfaat daripada sumber sendiri,” katanya.

Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan keistimewaan Sabah tanpa memahami realiti kos sara hidup yang lebih tinggi di negeri ini.

“Walaupun ada subsidi, rakyat Sabah tetap menanggung kos hidup yang tinggi akibat dasar seperti kabotaj dan kos logistik. Jangan gambarkan Sabah seolah-olah terlalu ‘dimanjakan’,” ujar beliau lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/06/hak-40-peratus-sabah-bukan-untuk-ditangguh-rundingan-perlu-diteruskan-azizah/feed/ 0 94353
PM: Komitmen 40% Sabah tidak dipertikai, kerajaan kekal hormati MA63 https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-komitmen-40-sabah-tidak-dipertikai-kerajaan-kekal-hormati-ma63/ https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-komitmen-40-sabah-tidak-dipertikai-kerajaan-kekal-hormati-ma63/#respond Sun, 15 Mar 2026 13:31:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93360
Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak pernah dipertikai.

Menurut beliau, pendirian itu telah diputuskan di peringkat Jemaah Menteri dan kerajaan kekal berpegang kepada komitmen berkenaan.

“Saya telah berikan ketetapan kerajaan bahawa komitmen kita berdasarkan MA63 itu tidak dipertikai. Soalnya sekarang bukan lagi isu sama ada ia dilaksanakan atau tidak, tetapi bagaimana pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad.

Anwar berkata, kerajaan juga telah memeterai perjanjian pembayaran interim antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sejak 2022 sebagai langkah sementara sementara kaedah pelaksanaan penuh dimuktamadkan.

Menurutnya, dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan hak Sabah di bawah MA63 hanyalah retorik politik yang tidak berasas.

“Untuk menghukum seolah-olah ada kelompok dalam negara ini yang sengaja mengabaikan atau menidakkan MA63 adalah sekadar omongan politik. Komitmen itu jelas dan kita tetap berpegang kepadanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan turut menyalurkan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak, termasuk dalam sektor asas seperti bekalan air dan elektrik, selain projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Peruntukan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak sangat besar, malah ada pihak di Semenanjung yang mengkritik keputusan itu. Namun kerajaan tetap membuat keputusan yang tepat berdasarkan keperluan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, antara bantuan yang diberikan termasuk subsidi diesel yang diteruskan khusus untuk Sabah dan Sarawak kerana keadaan geografi serta penggunaan bahan api yang lebih tinggi di kedua-dua negeri.

Menurutnya, jumlah subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak pada tahun lalu mencecah RM2 bilion dan dijangka meningkat kepada kira-kira RM4.6 bilion tahun ini berikutan kenaikan harga minyak global.

“Saya bukan mahu mengeluh, tetapi sekadar memberikan fakta supaya perbincangan mengenai isu ini dibuat berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keputusan kerajaan untuk merayu sebahagian keputusan mahkamah bukan bertujuan mempertikaikan hak 40 peratus berkenaan.

Sebaliknya, rayuan itu dibuat bagi memperjelaskan beberapa kenyataan dalam penghakiman yang dilihat menyentuh dan mempertikaikan peranan pemimpin terdahulu di peringkat Persekutuan dan negeri.

Antara pemimpin yang disebut termasuk Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman; Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein; Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama, Tun Mustapha Harun; Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Fuad Stephens; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh; serta bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Rayuan itu bukan mengenai tuntutan 40 peratus kerana perkara itu sudah selesai. Kerajaan telah memberi jaminan jelas bahawa kita komited menghormati hak tersebut kepada rakyat Sabah,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan mahu memastikan rekod sejarah dan kedudukan pemimpin terdahulu diperjelaskan secara adil melalui proses mahkamah.

“Sebab itu kita bawa perkara ini ke mahkamah supaya ia diperjelaskan. Ia bukan soal mempertikai hak Sabah, tetapi untuk membetulkan beberapa kenyataan dalam penghakiman,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-komitmen-40-sabah-tidak-dipertikai-kerajaan-kekal-hormati-ma63/feed/ 0 93360
UPKO mahu Kerajaan Persekutuan gugurkan rayuan berkaitan keputusan hak 40% Sabah https://sabahmedia.com/2026/01/18/upko-mahu-kerajaan-persekutuan-gugurkan-rayuan-berkaitan-keputusan-hak-40-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/01/18/upko-mahu-kerajaan-persekutuan-gugurkan-rayuan-berkaitan-keputusan-hak-40-sabah/#respond Sun, 18 Jan 2026 13:57:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89953
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung ‘grounds of judgment’ keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung semakan kehakiman mengenai hak 40 peratus Sabah.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, pendirian itu selari dengan perjuangan berprinsip parti yang mahu penyelesaian hak 40 peratus berasaskan kepada penghormatan dan keikhlasan sebenar melaksanakan hak Sabah tersebut.

“Inilah inti Malaysia yang mesti terus diperjuangkan oleh UPKO. Inilah ‘soul searching’ pencarian jiwa politik kita selama ini yang harus berani menoleh kebelakang samada Persekutuan yang ditubuhkan ini telah memberikan keadilan kepada perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1963 tersebut.

“Kita memerlukan pelaksanaan semula hak 40 peratus ini bagi menyelesai keperluan pembangunan, pembasmian kemiskinan, program-program ekonomi, perindustrian dan keusahawanan, kesejahteraan rakyat, biasiswa dan pembangunan modal insan serta pelbagai pembangunan lain untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sepatutnya dibuat pada bulan Disember tetapi ditangguhkan.

“Pendirian Sabah yang sepatutnya dibawa oleh delegasi pegawai kanan Sabah adalah bagi Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan. Tetapi mesyuarat tersebut ditangguhkan.

“Saya tidak boleh menjawab bagi Kerajaan Persekutuan mengapa mesyuarat tersebut ditangguhkan, boleh bertanya kepada mereka,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan akan mengamb bahagian dalam perbahasan di Parlimen dan akan mengulangi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut.

“Kita tidak mahu menafikan wajah kemajuan Sabah hari ini lebih baik daripada sebelum tahun 1963.

“Kita menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 setakat ini. Kita menghargai hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah memungkinkan penyelesaian 13 perkara tersebut dicapai.

“Tetapi perkongsian hasil dengan pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri yang terhenti pelaksanaannya sejak tahun 1974 masih merupakan tuntutan utama rakyat Sabah yang masih belum diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu Ewon berkata, UPKO menyertai rakyat Sabah, samada melalui gerakan Kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivistme mahupun media sosial akan terus menuntut penyelesaian hak 40 peratus ini.

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga saya memutuskan meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian-pendirian parti yang telah saya perjuangkan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/18/upko-mahu-kerajaan-persekutuan-gugurkan-rayuan-berkaitan-keputusan-hak-40-sabah/feed/ 0 89953
Keputusan semakan kehakiman berhubung 40% hasil Sabah pada 3 Oktober https://sabahmedia.com/2025/08/12/keputusan-semakan-kehakiman-berhubung-40-hasil-sabah-pada-3-oktober/ https://sabahmedia.com/2025/08/12/keputusan-semakan-kehakiman-berhubung-40-hasil-sabah-pada-3-oktober/#respond Tue, 12 Aug 2025 11:23:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79109
Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Oktober untuk keputusan permohonan semakan kehakiman berhubung permohonan semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil negeri Sabah.

Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin berkata, tarikh tersebut ditetapkan dalam prosiding menerusi Zoom hari ini.

“Semakan kehakiman ini merupakan tindakan undang-undang yang bersejarah dan signifikan berkaitan hak perlembagaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini telah menarik minat awam yang besar kerana ia menyentuh isu lama mengenai hak hasil dan autonomi fiskal bagi Negeri Sabah.

“Prosiding akan dijalankan secara terbuka, mencerminkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti awam dalam pentadbiran keadilan,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos untuk semakan elektronik (e-review) bagi memberikan arahan lanjut dalam semakan kehakiman berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

LINK BERITA TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/07/07/isu-hak-40-peratus-hasil-sabah-mahkamah-tetapkan-7-ogos-e-review/

Kemudiannya, pihak media dimaklumkan bahawa kes tersebut akan didengar melalui Zoom hari ini.

Pada Jun 2022, SLS memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Kerajaan Persekutuan. Permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2022.

Kerajaan Persekutuan merayu ke Mahkamah Rayuan, namun pada Jun 2024, rayuan tersebut ditolak. Percubaan seterusnya untuk mendapat kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada Oktober 2024, sekali gus mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

SLS diwakili oleh peguam Jeyan Marimuttu; Kerajaan Persekutuan oleh Peguam Persekutuan Kanan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi; dan Kerajaan Negeri Sabah oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/12/keputusan-semakan-kehakiman-berhubung-40-hasil-sabah-pada-3-oktober/feed/ 0 79109
Mahkamah jadi tumpuan berhubung semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah https://sabahmedia.com/2025/07/07/mahkamah-jadi-tumpuan-berhubung-semakan-kehakiman-40-peratus-hasil-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/07/07/mahkamah-jadi-tumpuan-berhubung-semakan-kehakiman-40-peratus-hasil-sabah/#respond Mon, 07 Jul 2025 03:26:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76828
Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meluangkan masa hadir di Mahkamah Tinggi hari ini , sempena pendengaran semakan kehakiman tuntutan 40 peratus, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) juga bersidang.

Antara yang dilihat hadir ialah bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Yong Teck Lee, serta Adun Tungku Assaffal P. Alian dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.

Turut kelihatan ialah bekas Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dan bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Jimmy Wong Sze Phin.

Mereka dilihat muncul seawal jam 9 pagi.

Tinjauan Sabah Media mendapati suasana perkarangan mahkamah tenang, tanpa kesesakan mahupun perhimpunan besar-besaran. Bagaimanapun, kawalan keselamatan diperketatkan.

Pihak yang terlibat dalam pendengaran ini juga dilihat tiba di Mahkamah seawal jam 7.30 pagi.

Meskipun pendengaran dijalankan secara terbuka, kemasukan orang awam dihadkan mengikut kapasiti bilik mahkamah.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran penuh. Prosiding pendengaran bermula pada jam 9.40 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Celestina Stuel Galid.

Sabah Law Society (SLS) SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 selepas pengumuman oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 14 April 2022 mengenai pemberian khas tahunan selama lima tahun berjumlah RM125.6 juta kepada Sabah bermula tahun 2022.

Dalam tuntutannya, SLS antara lain mendakwa bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan setiap lima tahun bermula dari tahun 1974 merupakan satu pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan; dan bahawa Kerajaan Persekutuan berkewajipan untuk membayar kepada Sabah sebanyak 40 peratus daripada hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu bagi setiap tahun antara 1974 hingga kini.

Pada 11 November 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memberikan kebenaran kepada SLS untuk meneruskan semakan kehakimannya berkenaan hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil persekutuan.

Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan berjaya mendapatkan perintah penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi.

Pada 18 June 2024, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/07/mahkamah-jadi-tumpuan-berhubung-semakan-kehakiman-40-peratus-hasil-sabah/feed/ 0 76828
Kerajaan negeri tetap komited tuntut hak Sabah, termasuk isu 40% https://sabahmedia.com/2024/06/02/kerajaan-negeri-tetap-komited-tuntut-hak-sabah-termasuk-isu-40/ https://sabahmedia.com/2024/06/02/kerajaan-negeri-tetap-komited-tuntut-hak-sabah-termasuk-isu-40/#respond Sun, 02 Jun 2024 07:45:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=55409
Read Time:2 Minute, 58 Second

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi pendirian kerajaan negeri yang tidak pernah berganjak dalam usaha menuntut hak Sabah, termasuk pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.

Beliau menegaskan dakwaan pembangkang yang menuduhkan kerajaan pimpinannya tidak bersuara atau berdiam diri dalam isu itu adalah tidak betul, selain bertujuan memperkecilkan kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuang dan ditegaskan oleh Kerajaan Negeri, sama ada dalam Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kalau kita dengar cerita di luar, macam-macam cerita untuk memperkecilkan peranan kerajaan menuntut hak kita. Sebenarnya mereka tidak tahu dalam Mesyuarat MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, saya pun duduk di sana.

“Saya nyatakan dengan tegas apa yang kita tuntut, termasuk 40 peratus hasil cukai yang mesti dikembalikan kepada Sabah. Itu jelas, jadi jangan cakap mungkin kerajaan negeri tidak bersuara.

“Kita bersuara dalam mesyuarat dan ia direkod serta diminitkan, bukan saja semasa Perdana Menteri Ke-10 (PMX), malah juga sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

“Inilah yang saya bawa (tuntutan hak Sabah), boleh semak dalam minit Mesyuarat MA63,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8 Pintasan di Padang Belia Kampung Pantai Emas pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menyerahkan replika kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan Rumah Mesra SMJ bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8 Pintasan di Padang Belia Kampung Pantai Emas, Kota Belud pada Ahad.

Hajiji berkata, usaha menuntut hak Sabah memerlukan kata sepakat daripada semua pihak bagi memudahkan usaha itu dicapai, berbanding ketika ini ada pihak tidak menyokong usaha diambil kerajaan.

“Dalam menuntut hak ini, kita kena bersatu dan saya berharap sangat kita bersatu supaya senang, bukan saja untuk menuntut hak kita, tapi memastikan suara kita dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita bergaduh kerana mahu berebut kuasa macam mana? Tentu usaha ini menjadi lambat untuk berjaya. Jadi, untuk berjaya dan maju saya harap sangat supaya dalam politik kita bersatu hati,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu tanah anak negeri, Hajiji berkata penyukatan tanah dan penyerahan geran tanah kepada penduduk di seluruh negeri melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) akan diteruskan.Katanya, program itu yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2011 berjaya menyelesaikan masalah kelewatan penyukatan tanah dan pemberian geran kepada ribuan penduduk negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ada pemimpin pembangkang di negeri ini mengaku usaha pemberian geran tanah kepada penduduk itu dimulakan ketika mereka memerintah sebelum ini.

“Program di bawah PANTAS ini telah diwujudkan pada 2011 lagi ketika di bawah Kerajaan BN, tapi ada setengah pemimpin menganggap program PANTAS ini adalah inisiatif mereka terutama Parti Warisan.

“Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) jika berucap di mana-mana waktu dia Ketua Menteri dulu, dia cakap itu adalah inisiatif kerajaannya. Mereka kata usaha menolong rakyat, menyukat tanah rakyat itu dimulakan Warisan.

“Itu tidak benar, PANTAS dilancarkan pada 2011 lagi dan sudah beribu geran diserah kepada rakyat, bukan Warisan yang mulakan. Saya cakap ini supaya kita tahu.

“Program PANTAS ini akan kita teruskan dan saya telah minta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur supaya ia diteruskan di seluruh Sabah. Mana-mana rakyat menunggu lama yang belum dapat geran tanah kita mesti sukat untuk pastikan rakyat mendapat hak mereka,” katanya.

Beliau memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan meneruskan usaha melalui PANTAS itu dan banyak lagi geran akan diserahkan kepada rakyat dalam masa terdekat.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/06/02/kerajaan-negeri-tetap-komited-tuntut-hak-sabah-termasuk-isu-40/feed/ 0 55409