KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga negara China cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dekat sini pada Sabtu.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, pihak Balai Bomba Penampang menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi, hari ini 31 Julai 2021.
Katanya, 11 anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Benny Lim bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi kejadian, didapati mangsa seorang lelaki warga China telah terjatuh dari tingkat lima namun tersangkut di tingkat empat bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dan telah diturunkan oleh pekerja bangunan sebelum ketibaan jentera.
Mangsa hanya dikenali sebagai Yao Shujun mengalami kecederaan parah di bahagian tulang rusuk, kaki dan kepala.
Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan kepada mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi tamat pada jam 9.10 pagi.
]]>TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah bot penumpang membawa lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu, dekat sini sekitar jam 11.45 malam, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, kesemua lima orang tahanan didapati tiga daripada PATI tersebut positif COVID-19 hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) dan mereka telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Siva, tangkapan ini berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PATI secara haram melalui perairan Tawau.
“Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot penumpang berpendaftaran tempatan itu bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju ke perairan Tawau dalam situasi mencurigakan.
“Berikutan itu bot ronda Maritim menuju ke arah bot tersebut untuk melakukan pintasan dan juragan bot telah bertindak agresif dengan memecut laju hingga hilang kawalan dan terbalik.
“bagaimanapun juragan serta lima penumpang di dalam bot tersebut berjaya diselamatkan dan diberkas anggota Maritim Malaysia,” katanya.
Siasatan awal mendapati juragan bot, lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala lima penumpang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita merupakan warga Indonesia berumur diantara 15 hingga 58 tahun.
Namun, kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut.
Juragan serta kesemua penumpang telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini,” tambah Siva.
Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.
Siva juga menyeru kepada orang ramai supaya salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.
]]>KOTA KINABALU: Dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan esok 17 Jun 2021 iaitu Mukim Pekan, Kunak dan Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata dalam kenyataan medianya hari ini, Penamatan dua kawasan PKPD tersebut adalah berdasarkan penurunan kes jangkitan Covid-19 di kawasan itu.
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi Covid-19 Sabah berkata, kerajaan akan melaksanakan lima lagi PKPD termasuklah Kampung Bukit Gemuk, Tawau, Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu, Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau, manakala dua lokaliti di Kudat iaitu Kampung Landung Ayang dan Taman Lavender.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan ke semua kawasan tersebut terdapat peningkatan kes positif Covid-19, kini KKM sedang giat menjalankan siasatan dan pemantauan supaya kes jangkitan tidak menular,” katanya.
Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan tersebut berkuatkuasa 18 Jun 2021 sehingga 1 Julai 2021.
Dalam hal yang berkaitan terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kionsom Kecil, Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang berkemungkinan berpunca daripada sambutan Hari Kaamatan pada 31 Mei 2021.
Kata Masidi, kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala di JMC Kota Kinabalu pada 09 Jun 2021.
Kes indeks merupakan pekerja lelaki, 31, di Jijiko Engineering Sdn Bhd Inanam dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut dan isolasi, selepas disahkan positif RT-PCR.
]]>10 Jun 2021
Normimie Diun
KOTA KINABALU: Ahli politik Phillip Among mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan terhadap dua wanita di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.(10 Jun)
Philip, yang diwakili peguam Marcel Jude, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Menurut kertas pertuduhan, Philip pada 17 April, jam 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City,menggunakan kekerasan jenayah hendak mencabul kehormatan seorang wanita.
Dia juga dituduh melakukan kesalahan yang sama pada orang kedua pada jam 3.30 petang, 2 petang, 9.45 malam dan 10 malam pada 19 Mei, di lokasi yang berbeza.
Mahkamah menetapkan 14, 21, 22 Julai, untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan.
Dia juga diberikan ikat jamin sejumlah RM8, 000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah memerintahkan agar pasport tertuduh dirampas oleh pihak pendakwaan, agar tertuduh melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan membatasi untuk berbicara dengan mangsa atau saksi-saksi sehingga kes selesai.
Phillip membayar ikat jamin pada hari yang sama.
]]>