ADUN Bugaya – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 22 Jul 2026 08:28:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png ADUN Bugaya – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 DUN Sabah: ADUN Bugaya kemuka lima jaminan bagi perkukuh RUU pewarisan orang Islam https://sabahmedia.com/2026/07/22/adun-bugaya-kemuka-lima-jaminan-bagi-perkukuh-ruu-pewarisan-orang-islam/ https://sabahmedia.com/2026/07/22/adun-bugaya-kemuka-lima-jaminan-bagi-perkukuh-ruu-pewarisan-orang-islam/#respond Wed, 22 Jul 2026 08:26:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100374
Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Jamil Hamzah menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026, namun menggesa kerajaan memberi lima jaminan bagi memastikan undang-undang itu kukuh dari segi perlembagaan, jelas pelaksanaannya dan tidak menimbulkan pertikaian di mahkamah.

Ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini, beliau berkata harta pusaka yang tertangguh bukan sekadar melibatkan tanah atau wang, sebaliknya menjejaskan masa depan sesebuah keluarga.

“Saya menyokong matlamat RUU ini. Namun sokongan saya bergantung kepada jaminan bahawa ia sah apabila dicabar, jelas apabila ditafsirkan dan berkesan apabila dilaksanakan.

“Sebab itu saya mengemukakan lima jaminan waris Sabah. Ini bukan syarat politik, tetapi perlindungan supaya RUU ini tidak gagal di mahkamah, tersangkut di kaunter atau menzalimi waris,” katanya.

Jamil berkata, jaminan pertama ialah memastikan RUU itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan sempadan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci peranan Mahkamah Syariah dalam menentukan hak waris mengikut hukum syarak, manakala urusan pentadbiran seperti probet dan surat kuasa mentadbir kekal tertakluk kepada undang-undang Persekutuan.

Katanya, penjelasan itu penting bagi mengelakkan keputusan Mahkamah Syariah berdepan cabaran apabila melibatkan urusan di bank, pejabat tanah atau institusi kewangan.

Bagi jaminan kedua, beliau meminta kerajaan memperjelaskan skop pemakaian enakmen itu, khususnya definisi “berasal dari Sabah” dan pelaksanaannya terhadap harta yang berada di luar negeri.

Menurutnya, beberapa peruntukan yang menggunakan istilah “mana-mana orang” juga perlu diperhalusi supaya tidak melibatkan individu bukan Islam yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam jaminan ketiga, Jamil mencadangkan diwujudkan satu sistem pentadbiran bersepadu bagi memudahkan waris menguruskan pembahagian pusaka selepas memperoleh perintah Mahkamah Syariah.

Beliau mencadangkan satu pintu masuk, satu nombor rujukan dan satu daftar pusaka Islam Sabah yang diselaraskan antara Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi, Pejabat Tanah, Majlis Ugama Islam Sabah, institusi kewangan dan agensi berkaitan.

Katanya, kerajaan juga perlu menetapkan sasaran penyelesaian dalam tempoh 180 hari bagi kes pusaka yang lengkap dan tidak dipertikaikan.

Menyentuh jaminan keempat, beliau menegaskan perlunya perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan waris yang mudah terdedah kepada tekanan, termasuk balu, anak perempuan, kanak-kanak dan individu kurang berupaya.

Beliau berkata setiap persetujuan melepaskan hak hendaklah dibuat secara sukarela, direkodkan di hadapan hakim serta disertakan pendedahan penuh mengenai nilai aset bagi mengelakkan sebarang unsur paksaan.

Selain itu, beliau mencadangkan mekanisme pembekuan, pengesanan, restitusi dan pampasan diberi keutamaan sekiranya berlaku pelupusan harta secara tidak sah.

Bagi jaminan kelima, Jamil menggesa kerajaan menyediakan perancangan pelaksanaan yang jelas termasuk aspek kewangan, sumber manusia dan kemudahan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan jumlah jawatan baharu, kos pelaksanaan serta membentangkan data kes tertunggak sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan enakmen itu.

“Di kawasan seperti Bugaya dan Semporna, masih ramai waris tinggal di kampung air atau pulau yang berdepan kekangan internet dan kos perjalanan.

“Kerajaan perlu menyediakan kaunter bersepadu, mahkamah bergerak, prosiding secara dalam talian serta pengecualian fi kepada keluarga miskin supaya undang-undang ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan laporan tahunan mengenai pelaksanaan enakmen dibentangkan kepada DUN, termasuk jumlah permohonan, tempoh penyelesaian dan nilai harta yang berjaya diagihkan, selain semakan semula undang-undang itu selepas dua tahun pelaksanaannya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/22/adun-bugaya-kemuka-lima-jaminan-bagi-perkukuh-ruu-pewarisan-orang-islam/feed/ 0 100374
Guna meter gauge merekod jumlah pengeluaran hasil minyak dan gas – ADUN Bugaya https://sabahmedia.com/2022/11/30/guna-meter-gauge-merekod-jumlah-pengeluaran-hasil-minyak-dan-gas-adun-bugaya/ https://sabahmedia.com/2022/11/30/guna-meter-gauge-merekod-jumlah-pengeluaran-hasil-minyak-dan-gas-adun-bugaya/#respond Tue, 29 Nov 2022 22:39:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=25545
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah mempersoalkan sama ada Sabah telah memasang alat pengukur meter untuk merekodkan jumlah pengeluaran hasil minyak dan gas dari negeri itu.

Perkara ini beliau bertanya apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani ketirisan hasil dalam Belanjawan Negeri 2023 untuk meningkatkan dan memampankan hasil negeri dengan memperkasa aspek penguatkuasaan.

Jamil berkata, cadangan memasang meter gauge dibuat pada 2010 oleh pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah sebagai cara mengelak ketirisan hasil negeri yang diperoleh daripada sumber minyak dan gas.

“Pada 2010, pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah telah mencadangkan untuk memasang meter gauge supaya negeri dapat merekodkan jumlah hasil daripada minyak dan gas oleh firma minyak di Sabah.

“Walaupun pengeluaran minyak dan gas dinyatakan dalam laporan tahunan Petronas, namun ia tidak menyatakan secara khusus keluaran dari wilayah dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri dapat memperincikan mengenai meter gauge sama ada ia sudah dipasang untuk menentukan jumlah pengeluaran minyak dan gas.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat memperincikan sama ada meter gauge ini telah dipasang, atau formula apa yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk menentukan jumlah pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas atau oleh mana-mana firma minyak lain,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/11/30/guna-meter-gauge-merekod-jumlah-pengeluaran-hasil-minyak-dan-gas-adun-bugaya/feed/ 0 25545