akps – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 22 Jul 2026 03:12:17 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png akps – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 DUN Sabah: Kerajaan Sabah pertahan hak autonomi imigresen, tegas pelaksanaan AKPS tidak boleh hakis kuasa negeri https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-pertahan-hak-autonomi-imigresen-tegas-pelaksanaan-akps-tidak-boleh-hakis-kuasa-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-pertahan-hak-autonomi-imigresen-tegas-pelaksanaan-akps-tidak-boleh-hakis-kuasa-negeri/#respond Wed, 22 Jul 2026 03:10:20 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100342
Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan hak autonomi negeri, khususnya kuasa imigresen yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), susulan penangguhan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) 2024 di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelaksanaan undang-undang Persekutuan yang boleh menghakis hak dan kuasa autonomi Sabah, terutama dalam aspek kawalan imigresen.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tamparuli) mengenai sebab sebenar Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Menurut Joniston, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) merupakan undang-undang di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah mengemukakan pendirian supaya pelaksanaan AKPS di Sabah tidak menghakis hak autonomi Kerajaan Negeri di bawah akta imigresen.

“Kerajaan Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen yang diperuntukkan kepada Sabah di bawah Artikel V Perjanjian Malaysia 1963 adalah hak yang tidak boleh dirunding (non-negotiable),” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan pembentukan Malaysia menerusi MA63 adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak yang telah dipersetujui sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi menyatakan pendirian agar Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus dikekalkan sebagai agensi yang mengawal semua pintu masuk ke Sabah.

Selain itu, katanya, kuasa mengeluarkan Not-To-Land (NTL) juga perlu kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa jaminan perlindungan kedudukan Sabah dari segi perlembagaan hendaklah sentiasa dipelihara bagi memastikan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Madius sama ada Kerajaan Negeri telah memberikan persetujuan sebelum Rang Undang-Undang AKPS 2024 dibentangkan di Parlimen, Joniston menjelaskan bahawa pendirian Sabah kekal jelas dalam mempertahankan hak-hak negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan kuasa autonomi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam MA63 dan memastikan pelaksanaan mana-mana dasar atau undang-undang Persekutuan tidak menjejaskan hak negeri.

Madius dalam soalan tambahannya turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS sehingga semua isu berkaitan hak autonomi negeri diselesaikan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-pertahan-hak-autonomi-imigresen-tegas-pelaksanaan-akps-tidak-boleh-hakis-kuasa-negeri/feed/ 0 100342
AKPS tidak jejas kuasa Sabah, hak MA63 kekal terpelihara https://sabahmedia.com/2026/06/23/akps-tidak-jejas-kuasa-sabah-hak-ma63-kekal-terpelihara/ https://sabahmedia.com/2026/06/23/akps-tidak-jejas-kuasa-sabah-hak-ma63-kekal-terpelihara/#respond Tue, 23 Jun 2026 06:20:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98719
Read Time:3 Minute, 5 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan menghakis kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, termasuk hak-hak istimewa yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jaminan itu telah diberikan kepada kedua-dua kerajaan negeri sebelum Rang Undang-Undang AKPS dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, AKPS yang mula beroperasi pada 1 Januari 2025 hanya melibatkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan bidang kuasa, perjawatan atau sumber manusia di bawah kerajaan negeri.

“Pelaksanaan AKPS tidak menghakis sebarang kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, termasuk hak-hak istimewa seperti yang termaktub dalam MA63.

“Ia juga tidak menyentuh aspek perjawatan serta sumber manusia kerajaan negeri dan tidak mengambil hasil yang menjadi hak kerajaan negeri di pintu-pintu masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) mengenai status terkini operasi AKPS di Sabah dan Sarawak pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan turut memberi jaminan bahawa kuasa imigresen Sabah kekal seperti sedia ada termasuk arahan sekatan kemasukan atau ‘not to land’ yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sabah.

Katanya, walaupun AKPS diwujudkan, kuasa tersebut masih dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada melibatkan Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kuasa penguatkuasaan agensi negeri juga kekal. Sekiranya berlaku pelanggaran di pintu masuk yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri, agensi terbabit masih boleh menjalankan siasatan dan pendakwaan seperti yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pintu masuk utama di Sabah kini berada di bawah seliaan AKPS termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Tawau dan Sandakan.

Turut berada di bawah AKPS ialah Dermaga Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Lahad Datu dan Kuala Sipitang.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri Sabah telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk permintaan supaya beberapa pintu masuk tertentu terus dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri bagi memperhalusi perkara tersebut.

“Tiada perbezaan dasar mengenai keperluan mewujudkan AKPS. Apa yang dibangkitkan adalah soal pelaksanaan dan operasi yang mungkin memerlukan sedikit penambahbaikan atau ‘fine-tuning’.

“Malah, jika perlu, kerajaan bersedia meneliti cadangan pindaan terhadap beberapa peruntukan akta bagi memberikan kejelasan yang lebih baik,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shafie berhubung kebimbangan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan MA63, Saifuddin menegaskan hak Sabah dan Sarawak akan terus dihormati.

Beliau berkata, AKPS diwujudkan bagi memperkemaskan kawalan sempadan, memudahkan pergerakan orang dan barangan, meningkatkan integriti, memperkukuh kutipan hasil serta mempertingkat aspek keselamatan negara.

“Undang-undang bersifat dinamik. Jika terdapat perkara yang perlu ditambah baik selepas menerima maklum balas daripada pihak berkepentingan, kerajaan terbuka untuk menelitinya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kerajaan turut memperkukuh aspek keselamatan AKPS susulan insiden ancaman terhadap pegawai agensi itu di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan persenjataan dan kelengkapan yang bersesuaian.

Katanya, langkah itu penting memandangkan AKPS menghimpunkan anggota daripada pelbagai agensi yang sebelum ini tidak mempunyai latihan penggunaan senjata api.

Mengulas isu integriti, beliau berkata penubuhan AKPS mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan ruang berlakunya rasuah apabila fungsi lebih 20 agensi di pintu masuk negara diselaraskan di bawah satu struktur operasi.

Saifuddin berkata, sepanjang tahun pertama operasinya, AKPS telah mencatat beberapa kejayaan termasuk menumpaskan cubaan penyeludupan dadah bernilai puluhan juta ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta mengekang kemasukan e-waste dan pelbagai barangan terlarang melalui pelabuhan utama negara.

“Jika ditanya sama ada AKPS bergerak ke arah yang betul, jawapannya ya. Jika terdapat keperluan untuk pindaan bagi menangani kebimbangan pihak berkepentingan, kita juga bersedia melakukannya.

“Apa yang penting ialah matlamat asal penubuhan AKPS dapat dicapai tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/23/akps-tidak-jejas-kuasa-sabah-hak-ma63-kekal-terpelihara/feed/ 0 98719
AKPS tumpas sindiket seludup terbesar ayam beku bernilai RM5.8 juta https://sabahmedia.com/2026/05/26/akps-tumpas-sindiket-seludup-terbesar-ayam-beku-bernilai-rm5-8-juta/ https://sabahmedia.com/2026/05/26/akps-tumpas-sindiket-seludup-terbesar-ayam-beku-bernilai-rm5-8-juta/#respond Tue, 26 May 2026 04:26:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97310
Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan terbesar ayam sejuk beku di negara ini selepas mengesan 26 kontena mengandungi produk haiwan itu bernilai lebih RM5.8 juta di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, 14 kontena berjaya diperiksa dan disahkan mengandungi 404,232 kilogram ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.4 juta yang dipercayai berasal dari China dan Hong Kong.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan hasil kerjasama AKPS bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah susulan maklumat risikan diterima pada 19 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, saya menghantar sepasukan pegawai AKPS dari Putrajaya ke Sabah untuk menjalankan pengesahan serta koordinasi bersama pihak Kastam dan Veterinar Sabah.

“Hasil pemeriksaan bermula 21 Mei lalu di kawasan Custom Examination Area (CEA), Pelabuhan Sepanggar, kita mendapati kesemua 14 kontena terbabit mengandungi ayam sejuk beku yang dibawa masuk menggunakan pengikraran palsu,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kontena berkenaan diikrarkan sebagai membawa masuk ubi kentang dan kacang pis, namun pemeriksaan menemukan produk ayam sejuk beku.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut mengenal pasti 12 lagi kontena dianggarkan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan berjumlah RM3,422,000.00 dan dipercayai juga berasal dari China serta Hong Kong.

“Kontena dipercayai menggunakan modus operandi sama, namun pemeriksaan masih belum dapat dijalankan berikutan beberapa kekangan teknikal.

“12 kontena itu kini dipantau pihak kastam untuk tindakan lanjut dan jika disahkan mengandungi produk sama, ia akan menjadikan rampasan terbabit antara kejayaan terbesar membabitkan pengimportan makanan secara tidak sah di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati produk berkenaan sudah siap dipaketkan dalam kotak berlabel dari Thailand dan Malaysia, termasuk menggunakan nama lokasi di Melaka dan Ipoh.

“Ada juga label tertera ‘only for Sabah’ pada kotak berkenaan. Kita percaya proses pembungkusan telah dilakukan lebih awal di negara pengeksport sebelum dihantar masuk ke Sabah,” katanya.

Menurutnya, kemasukan produk ayam sejuk beku dari China dan Hong Kong adalah tidak dibenarkan di Sabah berdasarkan peraturan veterinar negeri.

Beliau berkata, selain isu pematuhan undang-undang, aspek keselamatan makanan turut menjadi kebimbangan kerana status kesihatan produk berkenaan tidak dapat dipastikan.

“Kita tidak tahu sama ada ayam ini bebas penyakit atau boleh memudaratkan pengguna. Sebab itu tindakan penguatkuasaan ini penting demi melindungi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas kemungkinan penglibatan sindiket, Mohd Shuhaily berkata, kuantiti besar dan kaedah pembungkusan digunakan menunjukkan kegiatan itu dipercayai didalangi kumpulan jenayah terancang.

Katanya, pihak berkuasa juga akan menyemak kesahihan logo halal yang tertera pada kotak produk terbabit bersama pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Melihat kepada kuantiti yang begitu besar, saya percaya kegiatan ini dilakukan secara terancang dan melibatkan rangkaian tertentu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dilakukan setakat ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik dan rangkaian terlibat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/26/akps-tumpas-sindiket-seludup-terbesar-ayam-beku-bernilai-rm5-8-juta/feed/ 0 97310