Akwan sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 21 Jul 2025 01:29:15 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Akwan sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 AKWan perkasa peranan wanita dalam pembangunan negeri https://sabahmedia.com/2025/07/21/akwan-perkasa-peranan-wanita-dalam-pembangunan-negeri/ https://sabahmedia.com/2025/07/21/akwan-perkasa-peranan-wanita-dalam-pembangunan-negeri/#respond Mon, 21 Jul 2025 01:29:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77638
Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu: Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) Sabah memainkan peranan dalam memperkasa golongan wanita dalam pembangunan negeri dengan melahirkan pemimpin wanita berwibawa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib berkata, AKWan yang ditubuhkan sejak 2021 menjadi platform strategik bagi pembangunan wanita khususnya di negeri ini.

Katanya, ia bukan sahaja memberi pendedahan dalam aspek kepimpinan, malah menyuntik semangat keyakinan serta keterampilan bagi menyertai barisan pembuat keputusan di peringkat negeri dan nasional.

“Setakat 16 Julai 2025, sebanyak 33 peratus wanita Sabah telah menduduki jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, 30 peratus jawatan Setiausaha Tetap Kementerian dan 50 peratus jawatan Ketua Jabatan, manakala di GLC, sebanyak 26 peratus Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terdiri daripada wanita.

“Manakala data peserta AKWan 2024 menunjukkan majoriti peserta datang dari pemimpin akar umbi yang aktif dalam pelbagai organisasi, ini menunjukkan bahawa wanita semakin bersedia menggalas tanggungjawab memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) Kedua Tahun 2024 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong.

Seramai 171 peserta berjaya menamatkan kursus tahun ini, dan kebanyakannya terdiri daripada pemimpin akar umbi serta aktivis wanita daripada pelbagai organisasi tempatan.

James berkata, graduan hari ini adalah barisan pelapis pemimpin wanita Sabah yang berani, berilmu dan mempunyai potensi tinggi untuk mengemudi pembangunan masyarakat.

Beliau turut menyeru para graduan agar terus menyahut cabaran kepimpinan dalam bidang politik, perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, James turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli Jawatankuasa Induk dan Kecil Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) sesi 2021 hingga 2024 yang telah memainkan peranan penting dalam merangka serta melaksanakan program-program strategik pemerkasaan wanita termasuk AKWan.

“Komitmen mereka nyata terserlah dalam bidang pendidikan, keusahawanan, kepimpinan komuniti dan pembangunan sosial yang menyasarkan wanita sebagai peneraju perubahan,” katanya.

James turut memaklumkan beberapa program akan datang seperti Women Leaders Symposium, Engagement with Sabah’s Women Leaders dan Women’s Lab telah disusun melalui MPWS dan JHEWA bagi memperkukuh lagi ekosistem kepimpinan wanita di negeri ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Rosmawati Lasuki serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Haslina Ismail.-

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/21/akwan-perkasa-peranan-wanita-dalam-pembangunan-negeri/feed/ 0 77638
RM3.43 juta diperuntuk untuk AKWan, tingkat kepimpinan wanita https://sabahmedia.com/2024/02/17/rm3-43-juta-diperuntuk-untuk-akwan-tingkat-kepimpinan-wanita/ https://sabahmedia.com/2024/02/17/rm3-43-juta-diperuntuk-untuk-akwan-tingkat-kepimpinan-wanita/#respond Sat, 17 Feb 2024 06:30:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=49631
Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri telah memperuntukkan  sebanyak RM3.43 juta dibawah projek khas Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) iaitu Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) bagi tempoh 2022-2024 dalam usaha membudayakan kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya berharap AKWan akan terus memperkasakan golongan wanita melalui program-program kepimpinan dengan modul kursus yang terbaik.

Beliau turut yakin dengan kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) akan dapat mempertingkatkan lagi kepimpinan wanita berwibawa di negeri ini.

“Saya dimaklumkan program ini, memfokus kepada memberi latihan dan meningkatkan kualiti kepimpinan golongan wanita di Sabah. Justeru, program ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap kebolehan dan tahap keberkesanan kepimpinan wanita dalam pelbagai aspek dan peringkat.

“Malah, kerajaan juga berpegang teguh pada prinsip memperkasakan wanita dan terus menggalakkan mereka untuk mengambil minat yang lebih aktif sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahu pun politik negeri.

“Oleh itu, saya yakin graduan AKWan mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin pada masa akan datang. Saya dimaklumkan sasaran peserta AKWan ini terdiri daripada pemimpin politik, orang muda di peringkat akar umbi selain yang terlibat dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC,” katanya sempena Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai usaha JHEWA dan MPWS dalam memperkasa golongan wanita di negeri ini.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA telah diperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi pelaksanaan program Kemahiran Ibu Tunggal dan Wanita B40, Program Kepimpinan dan Kesaksamaan Gender serta Program-program Kesedaran, manakala MPWS sebanyak RM700,000,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, sejajar perubahan masa kini, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam memegang jawatan tinggi dan pembuat keputusan di negeri ini.

Ramai dalam kalangan wanita juga kini memegang jawatan tinggi dan setakat bulan Januari tahun ini, berdasarkan data daripada JHEWA, wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.

Jawatan Setiausaha Tetap Kementerian pula mencatat 30 peratus iaitu tiga orang wanita daripada 10 Setiausaha Tetap Kementerian manakala 47.61 peratus bagi Ketua Jabatan iaitu 20 orang wanita daripada 42 Ketua Jabatan.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja, kajian juga menunjukkan peningkatan wanita sebagai tenaga buruh amat ketara iaitu pada tahun 2020 sebanyak 55.3 peratus, tahun 2021 sebanyak 55.5 peratus dan tahun 2023 terus meningkat kepada 55.9 peratus.

“Kita memerlukan golongan wanita yang berdaya saing, mempunyai idea baharu dan semangat wawasan yang tinggi agar dapat memastikan negeri Sabah maju ke hadapan dan mempunyai barisan pentadbiran yang berdaya saing seiring dengan pembangunan negara,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPMKR

]]>
https://sabahmedia.com/2024/02/17/rm3-43-juta-diperuntuk-untuk-akwan-tingkat-kepimpinan-wanita/feed/ 0 49631