Alam sekitar – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 25 May 2026 06:29:15 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Alam sekitar – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hajiji tegas seimbang ekonomi dan alam sekitar https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/ https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/#respond Mon, 25 May 2026 05:56:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97283
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri akan terus menjadi penjaga alam sekitar yang bertanggungjawab, sambil memastikan masa depan ekonomi rakyat terus dipertahankan.

Menurut beliau, Sabah perlu mencapai keseimbangan antara agenda kemampanan dan pembangunan ekonomi demi kepentingan jangka panjang negeri.

“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada Isnin.

Hajiji berkata Sabah menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun mengakui negeri itu masih berada dalam fasa pembangunan.

Katanya, Sabah kini giat memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan tenaga bagi menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata isu tenaga bukan sekadar melibatkan alam sekitar, tetapi turut berkait rapat dengan ekonomi dan keselamatan masa depan Sabah, justeru campuran tenaga yang seimbang dan praktikal amat diperlukan.

“Tenaga boleh diperbaharui jelas merupakan sebahagian daripada masa depan kita. Tenaga solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain mesti terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah,” katanya.

Menurut beliau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut menekankan pembangunan sistem tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan Sabah wajar menerima nilai ekonomi yang adil memandangkan negeri itu memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar negara.

Katanya, pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi turut melibatkan kos ekonomi yang besar termasuk kehilangan peluang hasil apabila kawasan hutan dan tanah dipelihara.

“Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang diwujudkan bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia dan dunia.

“Oleh itu, perbincangan mengenai kemampanan juga mesti menjadi perbincangan mengenai keadilan dari segi nilai, pengiktirafan, pelaburan dan penyertaan,” katanya.

Beliau berkata Sabah tidak boleh terus dilihat sekadar penyumbang modal semula jadi, sebaliknya negeri itu juga perlu menerima manfaat sewajarnya daripada kekayaan alam yang dimiliki.

Hajiji turut menegaskan Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/feed/ 0 97283
Dasar alam sekitar bukti kerajaan prihatin mengurus alam sekitar secara mapan https://sabahmedia.com/2024/10/30/dasar-alam-sekitar-bukti-kerajaan-prihatin-mengurus-alam-sekitar-secara-mapan/ https://sabahmedia.com/2024/10/30/dasar-alam-sekitar-bukti-kerajaan-prihatin-mengurus-alam-sekitar-secara-mapan/#respond Wed, 30 Oct 2024 07:26:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=63048
Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu: Dasar Alam Sekitar 2017 bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan serta pengurusan alam sekitar yang mampan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Sabah negeri pertama yang memperkenalkan dasar tersebut dengan menggariskan beberapa piawaian yang perlu dipatuhi bagi pembangunan lestari.

“Kerajaan Sabah mengiktiraf alam sekitar sebagai salah satu aspek penting untuk diambil kira dalam perancangan pembangunan dengan penerapan dasar-dasar yang bersesuaian digabungkan dengan faktor dan piawaian alam sekitar bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta sosial.

“Usaha untuk mencipta keseimbangan antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar adalah amat penting pada masa sekarang berbanding sebelum ini dan ianya merupakan tanggungjawab semua pihak. 

“Oleh itu, Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar memperkenalkan beberapa mekanisme yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju antaranya Environmental Self-Regulation (ESR) dan beberapa Standard Operations Procedure (SOP) bagi meminimumkan kesan projek kepada alam sekitar,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Sabah di sini, kelmarin.

Christina turut berbangga atas keberhasilan program-program alam sekitar yang memberi impak besar terhadap kelestarian alam. 

“Pencapaian dalam program-program alam sekitar, seperti Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) dapat memberikan impak besar dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar bagi negeri ini ke peringkat nasional seterusnya antarabangsa. 

“Selain SERASI, Projek Pemantauan Kualiti Udara di Sekolah (AQUAMS), adalah contoh utama bagaimana inovasi boleh melindungi sumber semula jadi dengan melibatkan pelbagai pihak antaranya sekolah dan komuniti setempat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Christina turut menyampaikan  penghargaan khas kepada Sekolah Mentor bagi Projek SERASI kepada SM St Michael, Penampang, SM St Patrick, SJKC Sin Hwa, Tawau, SJKC Chi Hwa, Sandakan serta SK Lambidan, Kuala Penyu.

Manakala, SM St Michael, Penampang, SK Buang Sayang, Papar, SJKC Chung Hwa, Tamparuli, Sekolah Indonesia dan SMKA Tun Ahmad Shah Kota Kinabalu menerima penghargaan khas Sekolah Rakan AQUAMS.

Sementara itu, Pengetua SM St. Michael, Jennifer Asing menerima Anugerah Langkawi untuk Kelestarian Alam Sekitar diikuti dengan SM St. Patrick Tawau yang menerima Anugerah Sekolah Lestari.

Turut disampaikan, penghargaan khas sempena HASN 2024 Peringkat Negeri Sabah kepada Komuniti Kg Darau Kota Kinabalu, Kg Suasa Beaufort Kg Piasau dan Kg Podos Kota Belud.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/30/dasar-alam-sekitar-bukti-kerajaan-prihatin-mengurus-alam-sekitar-secara-mapan/feed/ 0 63048
Sabah terus laksana pelbagai usaha mantapkan pengurusan alam sekitar https://sabahmedia.com/2024/06/06/sabah-terus-laksana-pelbagai-usaha-mantapkan-pengurusan-alam-sekitar/ https://sabahmedia.com/2024/06/06/sabah-terus-laksana-pelbagai-usaha-mantapkan-pengurusan-alam-sekitar/#respond Thu, 06 Jun 2024 03:56:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=55566
Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memantapkan lagi pengurusan alam sekitar melalui pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ia adalah bagi memastikan perancangan pembangunan di negeri Sabah dapat dilaksanakan secara mampan.

Katanya, ia turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian, jabatan dan organisisi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Selain itu, penghasilan dan penggunaan Pelan Pengurusan Pesisir Pantai telah dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan agensi berkaitan untuk memastikan pembangunan di kawasan pesisir pantai turut dilaksanakan secara mampan.

“Selain itu, kementerian turut memperkenalkan ‘Environmental Self- Rgulation’ (ESR) bagi meningkatkan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan terlibat, serta pelaksanaan program-program kesedaran alam sekitar kepada pelbagai kumpulan sasaran seperti Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) iaitu salah satu ‘flagship programme’ kesedaran alam sekitar kita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Murad Abdul Rashid.

Christina berkata, pihaknya turut mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk bersama-sama mencapai aspirasi pembangunan mampan di Sabah melalui kolaborasi yang mantap dan berterusan.

Dalam pada itu, Christina berkata, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dengan KKIP Sdn. Bhd. telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman pada 15 Disember 2022 untuk bersama- sama mengurus alam sekitar di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park selain melaksanakan program kesedaran alam sekitar serta pelbagai latihan.

Katanya, inisiatif melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dengan KKIP Sdn. Bhd. menunjukkan komitmen padu dan kolaborasi yang semakin mantap terhadap usaha mempertingkatkan pengurusan alam sekitar dalam sektor perindustrian di Negeri Sabah.

“Antara perkara yang terlibat dalam MOU ini adalah pelaksanaan pematuhan kendiri ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara, program kesedaran alam sekitar di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park dan kawasan-kawasan sekitarnya serta latihan pengurusan dan perlindungan alam sekitar kepada para pegawai,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/06/06/sabah-terus-laksana-pelbagai-usaha-mantapkan-pengurusan-alam-sekitar/feed/ 0 55566
Sabah Di Landasan Tepat Dalam Pengurusan Alam Sekitar https://sabahmedia.com/2021/11/11/sabah-di-landasan-tepat-dalam-pengurusan-alam-sekitar/ https://sabahmedia.com/2021/11/11/sabah-di-landasan-tepat-dalam-pengurusan-alam-sekitar/#respond Thu, 11 Nov 2021 06:04:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8367
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sabah berada pada landasan tepat dan sekata dalam menguruskan alam sekitar secara lestari.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, pengamalan tadbir urus yang baik dan instrumen perundangan yang ampuh menyumbang kepada prestasi berkenaan.

Katanya, penguatkuasaan menyeluruh, pendidikan serta kesedaran secara berterusan turut menjadi faktor sama kepada pengurusan alam sekitar yang baik.

“Tidak dinafikan bahawa terdapat peningkatan signifikan kepada status kualiti alam sekitar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan rakyat Malaysia menikmati persekitaran yang lebih sihat termasuk udara yang bersih.

“Ini menunjukkan bahawa manusialah yang menjejaskan keseimbangan dan keharmonian alam, tetapi alam itu sendiri mempunyai kuasa kendiri untuk sembuh.

“Cabaran bagi kita kini adalah untuk memulihkan kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan kualiti alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Joniston yang pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, dalam mendepani cabaran dan merungkai masalah pencemaran alam sekitar, sinergi antara agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri harus terus digembleng melalui aktiviti penguatkuasaan yang menyeluruh dan mengekalkan momentum yang sedia ada.

Katanya, KePKAS menjalinkan kerjasama bersama agensi-agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pertandingan pengumpulan ‘household e-waste’ di kalangan 11 PBT yang terpilih di negeri Sabah.

“PBT yang terlibat adalah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Beaufort, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Sipitang, Beluran, Keningau, dan Papar.

“Rentetan daripada program ini, kita lihat semakin banyak pusat-pusat pengumpulan ‘household e-waste’ yang diwujudkan.

“Ini sekaligus memudahkan orang awam untuk melupuskan sisa buangan elektrik dan elektronik daripada isi rumah mereka, seterusnya membantu melestarikan alam sekitar di peringkat komuniti di bandar dan luar bandar,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Amirul Aripin; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah Vitalis J. Moduying; dan Ketua Petronas Sabah and Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/11/sabah-di-landasan-tepat-dalam-pengurusan-alam-sekitar/feed/ 0 8367
Pendidikan Alam Sekitar ‘Virtual EE Race’ untuk guru sekolah rendah dan menengah Daerah Kota Kinabalu dan Penampang https://sabahmedia.com/2021/08/05/pendidikan-alam-sekitar-virtual-ee-race-untuk-guru-sekolah-rendah-dan-menengah-daerah-kota-kinabalu-dan-penampang/ https://sabahmedia.com/2021/08/05/pendidikan-alam-sekitar-virtual-ee-race-untuk-guru-sekolah-rendah-dan-menengah-daerah-kota-kinabalu-dan-penampang/#respond Thu, 05 Aug 2021 12:42:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4108
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Borneo Sun Bear Conservation Society, Reef Check Malaysia dan PACOS Trust telah melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar “Virtual Environmental Education (EE) Race” untuk guru-guru sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Kinabalu dan Penampang selama dua hari melalui aplikasi Zoom.

Menurut satu kenyataan media hari ini, objektif program Virtual EE Race pada tahun ini selain mempertingkatkan pengetahuan guru sekolah mengenai pelbagai isu alam sekitar, program ini juga mendorong guru-guru untuk memberi penekanan kepada program pendidikan alam sekitar di sekolah, mahupun di luar sekolah serta mewujudkan jaringan antara guru-guru dan organisasi.

Para peserta didedahkan dengan beberapa tema pengurusan alam sekitar seperti pengurusan hidupan liar, inisiatif pengurusan ekosistem marin dan usaha mendokumentasikan pengetahuan tradisional dan diberi tugasan untuk menyediakan Pelan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
berdasarkan tema yang telah dipelajari melalui program EE Race.

Penganjuran program EE Race pada kali ini telah disertai oleh seramai 50 orang yang terdiri daripada guru-guru dan fasilitator dari pelbagai organsisasi.

Program EE Race terdahulunya banyak melibatkan aktiviti hands-on dan lawatan ke pelbagai lokasi berkaitan pengurusan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, pada kali ini, program dilaksanakan secara dalam talian disebabkan penularan pandemik COVID-19.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/05/pendidikan-alam-sekitar-virtual-ee-race-untuk-guru-sekolah-rendah-dan-menengah-daerah-kota-kinabalu-dan-penampang/feed/ 0 4108