Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Detik bersejarah bermula hari ini 3 Januari 2024 dengan rasminya, kuasa pengawalseliaan pembekalan elektrik di seluruh negeri Sabah beralih tangan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Ketua Pegawai Eksekutif ST, Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib Dawood berkata, kuasa kawal selia ini meliputi kawal selia ekonomi, teknikal dan keselamatan elektrik.
“Kuasa pengawalseliaan pembekalan elektrik Sabah diserah kepada ECoS secara rasminya hari ini berikutan lulusnya tiga Rang Undang Undang yang telah dibentangkan di Sidang Khas Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari ini juga.
“Saya pasti pihak ECoS sudah bersedia dengan pengambilalihan kuasa ini, justeru, dalam usaha memastikan ketersediaan pihak ECoS untuk mengambil alih fungsi dan tugas ST, perancangan dan persediaan telah bermula lebih dua tahun yang lepas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pembekalan Elektrik Sabah kepada ECoS di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Razib berkata, beberapa sesi perkongsian pengetahuan seperti program shadow training, attachment dan perkongsian maklumat serta sesi bengkel pemindahan pengetahuan ST-ECoS juga telah dijalankan.
Selain itu, katanya, serahan teknologi maklumat, perisian dan dokumen turut dilaksanakan, disamping penyerapan beberapa pegawai ST ke ECoS.
“Persediaan rapi ini adalah penting bagi memastikan tiada gangguan bekalan ataupun operasi dialami oleh para pengguna, pemegang lesen serta pihak industri di Sabah setelah penyerahan kuasa ini dilaksanakan.
“Dengan itu, pihak ST yakin bahawa pihak ECoS telah bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih pengawalseliaan pembekalan elektrik di Sabah dan akan tetap memberikan sokongan apabila perlu,” katanya.
Menurut Razib, susulan keputusan Kerajaan Persekutuan bahawa pembekalan elektrik bagi Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dikekalkan di bawah Kerajaan Persekutuan, pihak ST telah membuka sebuah pejabat di WP Labuan bagi memastikan kawal selia pembekalan elektrik di WP Labuan berjalan dengan lancar.
“ST mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Kawasan ST Pantai Barat Negeri Sabah (Kota Kinabalu) dan Pantai Timur Negeri Sabah (Sandakan) di atas segala perkhidmatan yang diberikan selama ini.
“Pihak ST juga memanjangkan ucapan selamat maju jaya kepada ECoS selaku badan kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah yang baharu,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia ini hanya melibatkan negeri Sabah dan tidak termasuk Labuan yang masih di bawah kawal selia ST, namun masih mengekalkan kerjasama dengan ST.
“Ini adalah kerana di negeri Sabah ia ada keunikan di mana ada penyambungan dan bekalan menerusi kabel dasar laut ke Labuan, maksudnya kita akan mengawal selia utiliti yang sama iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Kita akan meneruskan usaha-usaha dan berkongsi idea-idea, pendapat dan sebagainya untuk menyelesaikan isu-isu bekalan elektrik secara menyeluruh di Sabah dan Labuan,” katanya.
Menurut Nasser, pihak ECoS juga telah melancarkan satu Pelan Induk dikenali sebagai Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).
“Pelan ini kita telah merangka 16 strategi inisiatif ke arah untuk kita memastikan kemampan, kedayaharapan bekalan tenaga iaitu gas dan elektrik dan ada juga dari segi mampu milik serta mengambil kira impak alam sekitar,” katanya.
Mengulas mengenai tenaga kerja ECoS, beliau berkata, setakat ini lebih 70 orang kakitangan ECoS yang merupakan tenaga kerja mahir dalam bidang industri yang sama membabitkan anak-anak tempatan Sabah.
“Sepanjang tahun lalu ECoS telah merekrut anak-anak tempatan Sabah yang berpengalaman dan berkemahiran dalam industri yang sama seperti dari SESB, Sabah Gas, ST, Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA Malaysia) dan Sabah Energy Corporation (SEC).
“Maksudnya ECoS telah mengambil pekerja yang ‘ready-made’ dan mahir, mereka yang berpengalaman ini akan melatih lagi yang di bawah, di sini kita kena seimbang di mana kita juga beri peluang kepada pekerja baharu bertujuan untuk menambah kemahiran kepada anak-anak tempatan kita dalam bidang ini.
“Ini juga sebagai salah satu teras ECoS iaitu menambah kemahiran anak-anak Sabah dalam menyertai ECoS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nasser turut memaklumkan kepada orang awam bahawa info mengenai pengambilalihan kuasa kawal selia ini ada diwar-warkan di laman sesawang Energy Commission of Sabah (ECoS).
“Orang awam boleh layari laman sesawang Energy Commision of Sabah dan mana-mana pihak yang memerlukan penjelasan lebih lanjut bolehlah menghubungi pihak ECoS melalui emel [email protected] atau telefon/WhatsApp di +6088-205 774 bagi apa-apa perkara yang berhubungan dengan pengawalseliaan pembekalan elektrik di Sabah,” jelasnya.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) dalam sidang khas hari ini yang memberi ruang kepada Sabah untuk secara rasmi mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membentangkan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 berkata, pindaan itu bertujuan memasukkan fungsi dan kuasa mengenai bekalan elektrik serta tenaga boleh baharu kepada ECOS.
Tiga RUU diluluskan membabitkan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik 2024; Tenaga Boleh Baharu 2024 dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024. Selepas pewartaan enakmen itu, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta-merta.
ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu.
]]>KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mencadangkan agar kerajaan negeri melihat kemungkinan mengambil alih pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memandangkan keadaan semasanya.
Beliau berkata cadangan pengambilalihan pengurusan oleh syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan serta kemudahan mesra pengguna di KKIA adalah mendesak, dan perubahan ini hanya boleh dilakukan melalui pembekal perkhidmatan pengurusan lapangan terbang yang bereputasi.
Cadangan Christina ini berikutan Sabah telah menunggu terlalu lama untuk penambahbaikan dibuat kepada KKIA tetapi tidak berjaya.
“KKIA adalah lapangan terbang kedua terbesar di negara ini. Mempunyai lapangan terbang antarabangsa dengan kemudahan yang teruk adalah tidak boleh diterima. Amat memalukan apabila beribu-ribu pelancong tiba di negeri kita hanya disambut dengan perkhidmatan atau kemudahan yang tidak mencukupi dan di bawah par.
“Sabah adalah salah satu destinasi kegemaran pelancong domestik dan antarabangsa di rantau ini. Kami tidak sabar lagi kerana lapangan terbang itu tidak lama lagi akan mencapai kapasiti maksimumnya pada kadar semasa pertumbuhan pelancongan di negeri ini. KKIA mencapai kapasiti maksimum sembilan juta penumpang pada 2019 (tahap pra-pandemik).
“Oleh itu, kemudahan sedia ada bukan sahaja tidak mencukupi malah tidak memuaskan, justeru memerlukan pengubahsuaian segera. Permintaan berulang daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang masih belum dimaklumkan dikendalikan dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.
Masalah yang berkaitan dengan pencahayaan lapangan terbang, penghawa dingin, tandas, troli bagasi, karusel dan sistem pengumuman awam (PA) belum ditangani dengan berkesan. Tambahan pula, ruang yang disediakan untuk kedai makanan di lapangan terbang masih belum digunakan sepenuhnya.
Justeru, Christina berkata beliau telah mengemukakan isu penting ini dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan beliau bersetuju dengan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan di KKIA.
Beliau berharap kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan akan membuat susulan terhadap cadangan untuk menaik taraf terminal KKIA sekarang, memandangkan peningkatan jumlah ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa ke Sabah.
“Dengan perhubungan udara yang lebih baik dan kekerapan penerbangan yang meningkat setiap minggu, ditambah pula dengan penerbangan carter, ini berkemungkinan melebihi sasaran 2.2 juta yang ditetapkan untuk 2023. Sabah menyasarkan untuk mempunyai 2.8 juta ketibaan pelawat pada tahun 2024,” katanya.
Mengenai cadangan penempatan semula KKIA ke Tuaran, Menteri berkata berdasarkan dan ulasan pelancong, Tuaran adalah lokasi yang ideal berdasarkan beberapa faktor.
“Pertama, Tuaran terletak kira-kira 40km dari ibu negeri manakala Kimanis (untuk cadangan lapangan terbang baharu) kira-kira 80km dari Kota Kinabalu. Daerah ini juga mempunyai hamparan pantai semula jadi dan hotel peranginan antarabangsa lima bintang dengan pemandangan pantai yang cantik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata beberapa projek pembangunan berkaitan pelancongan dijangka dimulakan pada 2024. Ini adalah chalet baharu di Pulau Manukan, penambahbaikan kepada Taman Hidupan Liar Lok Kawi, menaik taraf Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Kolam Air Panas Poring, cadangan Kampung Budaya di Kinarut, Bangunan Wisma Budaya baharu dan cadangan Koridor Makanan Gajah di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
“Pada masa sama, KePKAS bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), akan meneliti pembangunan produk pelancongan baharu di negeri ini (berkaitan dengan pelancongan sukan dan perubatan), lawatan hidupan liar safari dan tempat merasa durian, antara lain,” tambah Christina.
]]>