KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menyeru pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan tegas kepada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab suka menimbulkan ketegangan serta menggugat perpaduan Sabah.
“Saya menyeru khasnya kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk pandang isu ini sebagai isu yang sangat serius.
“Tindakan tegas dan keras harus diambil dan dikenakan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menimbulkan kekacauan serta menganggu perpaduan sejagat di Sabah keseluruhannya.
“Mereka yang tergolong dalam golongan ini memang tidak patut diberi muka dan mereka sebenarnya adalah duri dalam daging yang jika dibiarkan, mereka akan merebak, menjadi ‘virus’ yang kelak apabila sudah menular ke seluruh komuniti, ia akan menjadi semakin parah dan sukar untuk dibendung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media disini pada Sabtu.
Menurut Fairuz yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat itu lagi, Sabah adalah sebuah negeri yang harmoni dengan komposisi penduduk pelbagai kaum dan berbilang agama sejak dulu dan telah hidup harmoni serta saling menghormati.
“Sekarang, sudah ada yang berani memain-mainkan sentiment agama, kaum, bangsa, bahkan lebih teruk lagi, menjadi batu api serta menghasut pihak lain untuk mengikuti pandangan mereka.
“Ini tindakan yang sangat tidak wajar, sangat keji dan memalukan kerana kita hidup aman damai sejak sekian lama, kini apabila wujud segelintir daripada mereka yang mungkin kurang perhatian ini ya boleh saya katakan, terus mereka mahu merosakkan kaharmonian kita.
“Orang tanpa segan silu boleh saling menghina dan sinis terhadap satu sama lain, hasil daripada apa, hasil daripada mereka ini lah yang mewujudkan sentiment kebencian, lebih-lebih lagi yang berkaitan 3R,” katanya lagi.
Jelas Fairuz lagi, fokus kerajaan dan masyarakat semasa adalah untuk saling menjaga dan memastikan semua usaha pembangunan serta masalah-masalah rakyat dapat diatasi, namun pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan sentiment negatif 3R pula mahu memecahbelahkan keharmonian dan kesejahteraan perpaduan.
“Kita masih ada banyak hal untuk diurus dan diselesaikan kerana kita sekarang berdepan masalah cuaca panas, jerebu, kebakaran dan bekalan air.
“Kita mahu fokus untuk usaha menyelesaikan masalah-masalah ini, apatah lagi dalam masa beberapa hari sahaja lagi, ummat Islam bakal menyambut Aidilfitri.
“Andai kata masalah penghasut dan penyebar fitnah yang masih berleluasa tanpa penyelesaian ini, terus menerus merebak dalam kalangan komuniti kita, pastinya ia akan merencatkan penyatuan dan kerjasama kerana pasti akan ada pihak yang terpengaruh.
“Lebih parah lagi jika ada yang membuat perhimpunan haram, berdemonstrasi, berkumpul dan bergaduh di khalayak umum, pastinya isu ini akan menjejaskan imej negeri Sabah, bahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara harmoni yang berpegang kepada prinsip perlembagaan,” ujar beliau lagi.
Fairuz turut menasihati rakyat khasnya komuniti pengguna sosial media untuk menggunakan platform sosial media secara bijak dan tidak sewenang-wenangnya membuat hantaran yang berunsur negatif serta menyentuh isu 3R.
“Jadi pengguna media sosial yang bijak dan peka terhadap isu semasa.
“Tidak salah untuk menggunakan sosial media sebagai ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi, namun jika tujuan penggunaan sosial media itu adalah negatif dan ingin menjadi pahlawan papan kekunci yang lancang berkata-kata disebalik layar gajet semata-mata, pastinya yang rugi itu diri sendiri.
‘Percayalah, anda selamat jika anda tidak tertangkap, namun jika anda tertangkap, hukuman kepada kesalahan seumpama ini agak besar dan saya yakin anda pasti malu seumur hidup kerana tindakan anda menjadi pencetus kepada fitnah dan kekacauan dalam kaharmonian masyarakat itu, pasti akan diingati selamanya oleh semua komuniti kita,” jelasnya lagi.
]]>KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas kesalahan mengambil dan menggunakan diesel melebihi had kuantiti.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Mazlan Emarula dan memutuskan agar hasil jualan minyak diesel
sebanyak RM13,437.50 dirampas dan dilucuthak dijadikan hasil kerajaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh telah menjelaskan denda.
Menurut fakta pertuduhan, kesalahan dilakukan pada 19 Mei 2023 kira-kira jam 4.00 pagi di Stesen Minyak Petron Minitod, Penampang.
Tertuduh telah ditahan bersama barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 6,250 liter yang berada di dalam tangki tiga buah lori.
Pihak polis telah menahan suspek dan barang kes (ekshibit) sebelum menyerahkan kes kepada KPDN Sabah.
Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas menerusi kenyataan media hari ini berkata, tertuduh telah didakwa di mahkamah kerana telah menimbulkan syak munasabah bahawa ianya telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu dalam perjalanan perniagaan telah menggunakan dan mengambil Barang Kawalan Berjadual minyak diesel melebihi had kuantiti 20 liter yang dinyatakan dalam Ruang 2 Jadual Bahagian IV Peraturan yang sama.
“Sehubungan itu telah dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.
“Kejayaan ini adalah mencerminkan kerjasama erat pihak KPDN Sabah dengan agensi-agensi penguatkuasa lain, yang setakat ini telah menghasilkan 67 serahan kes dari Januari hingga 28 Mac 2024 dengan nilai rampasan RM2,014.091.75 daripada pelbagai Agensi Penguatkuasaan termasuklah
PDRM, PPM, PGA, ATM dan JKDM.
“Kes-kes tersebut masih dalam proses siasatan,” katanya.
Menurut Georgie, bagi tempoh yang sama, KPDN Sabah telah mendaftar sebanyak 14 kes di Mahkamah dan enam kes telah selesai pendakwaan dengan jumlah denda sebanyak RM37,500.00. Sementara lapan kes masih dalam prosiding mahkamah.
Sehubungan dengan itu, beliau turut mengalu-alukan orang ramai agar menyalurkan maklumat sebarang salah laku atau penyelewengan barang kawalan.
Katanya, penyaluran maklumat boleh dibuat kepada mana-mana pejabat cawangan KPDN berdekatan atau melalui platform aduan seperti berikut:
i) Aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000;
ii) Portal Aduan: [email protected];
iii) Call centre 1 800 886 800;
iv) Emel ke [email protected]; dan
v) Aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.