KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur di Sabah bakal diperkasa menerusi pelancaran aplikasi digital khusus yang memudahkan pemasaran hasil pertanian dan ternakan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, aplikasi dikenali sebagai “Kebun Dapur App” itu dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh sebulan lagi bagi memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan di peringkat komuniti.
Menurutnya, pembangunan aplikasi berkenaan membolehkan pengguna mengetahui bekalan semasa hasil pertanian dan ternakan di seluruh negeri hanya melalui telefon pintar.
“Melalui aplikasi ini, kita boleh mengetahui jumlah bekalan sayur seperti kobis di Kundasang atau bekalan ikan tilapia di seluruh Sabah pada sesuatu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus ternakan ayam penelur di Kampung Karambunai Baru, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, hari ini.
Jamawi menjelaskan, aplikasi itu turut menghubungkan pengeluar dengan pembeli secara terus sekali gus membantu perancangan permintaan dan penawaran.
“Petani boleh memaklumkan lebih awal, contohnya pengeluaran 100 kilogram bendi pada tarikh tertentu dan pembeli boleh terus membuat tempahan melalui aplikasi,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah mengurangkan pembaziran hasil pertanian.
Dalam masa sama, beliau berkata aplikasi itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang sering menjejaskan pendapatan petani.
“Situasi orang tengah membeli hasil pada harga rendah di kampung tetapi menjual pada harga tinggi di bandar adalah tidak adil kepada petani,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi berkata penggunaan aplikasi berkenaan dijangka meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui akses pasaran yang lebih telus.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif Kebun Dapur yang digerakkan kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan secara sara diri di peringkat isi rumah.
Katanya, program itu menggalakkan masyarakat menternak ayam, itik serta menanam sayur-sayuran di sekitar rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.
“Jika ada sumber makanan sendiri, isu kenaikan harga ayam, ikan atau sayur dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Sabah ketika ini masih bergantung sehingga 95 peratus kepada import makanan ternakan, sekali gus menyebabkan kos meningkat ketika berlakunya krisis global.
“Apabila harga makanan ternakan meningkat, kos pengeluaran turut naik dan akhirnya pengguna menanggung harga lebih tinggi,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan negeri mempergiat latihan dan bimbingan kepada komuniti melalui program Kebun Dapur dengan bantuan mentor berpengalaman.
Menurutnya, kursus seperti ternakan ayam penelur serta penghasilan dedak menggunakan sumber tempatan dilaksanakan secara praktikal di lapangan.
“Kita tidak melaksanakan program di hotel, sebaliknya terus di lapangan supaya peserta dapat melihat dan memahami kaedah pelaksanaan,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan turut mengaktifkan pusat pengumpulan hasil pertanian dan ternakan di setiap kawasan Parlimen bagi memudahkan pemasaran lebihan hasil.
Dalam pada itu, Jamawi berharap lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian dan ternakan sebagai usahawan.
“Dengan sokongan teknologi seperti aplikasi Kebun Dapur, kita yakin sektor ini mampu berkembang dan menjana pendapatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.
]]>Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru rakyat Sabah untuk menggunakan aplikasi My Jalan dalam usaha meningkatkan keberkesanan aduan berkaitan masalah jalan raya.
“Walaupun aplikasi ini telah digunakan di banyak negeri di Malaysia, tetapi Sabah adalah salah satu negeri yang kurang aktif menggunakan aplikasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat perlaksanaan projek milik Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di Kem Lok Kawi dekat sini pada Isnin.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya aplikasi ini sebagai saluran untuk melaporkan masalah jalan.
Menurut Ahmad Maslan, aplikasi ini bukan sahaja memudahkan orang ramai membuat aduan tetapi juga memastikan jalan-jalan yang rosak atau berlubang dapat dibaiki dengan lebih cepat terutamanya Jalan Persekutuan.
“Apabila ada aduan mengenai jalan yang berlubang di Jalan Persekutuan, kami akan pastikan lubang tersebut ditampal dalam tempoh 24 jam,” ujarnya .
Ahmad Maslan juga turut menjelaskan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengamalkan konsep ‘No Wrong Door Policy’.
“Kita akan terima semua aduan, tanpa mengira jenis jalan atau kementerian, semua aduan akan diterima dan disalurkan kepada pihak yang berkenaan.
“KKR mempunyai sistem pemetaan mengenai jalan-jalan di Malaysia, termasuk jalan-jalan yang diselenggara oleh kementerian lain.
“Walaupun terdapat pelbagai jenis jalan, kami tahu siapa yang bertanggungjawab ke atasnya. Kami akan pastikan setiap aduan diproses dan disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Ini adalah cara yang mudah dan pantas untuk memastikan keadaan jalan raya di negeri ini terus terjaga. Aplikasi My Jalan boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store,” jelasnya.
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Pengguna kenderaan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) kini boleh menggunakan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) dan Flexi Parking (FP) berkuatkuasa Isnin ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pengguna tidak perlu memuat turun lebih daripada satu aplikasi untuk tujuan yang sama sekaligus mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan keselesaan dalam pengurusan parkir harian.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 16 Oktober 2024, aplikasi SSP telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Sehingga kini, lebih 270,000 pengguna berdaftar telah memanfaatkan sistem ini dalam urusan harian mereka. Ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap pendigitalan sistem parkir serta keperluan untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Namun begitu, terdapat satu cabaran utama yang dihadapi oleh pengguna, iaitu keperluan untuk menggunakan dua aplikasi yang berasingan bagi membayar caj tempat letak kereta di Kota Kinabalu dan Penampang.
“Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pengguna, malah menimbulkan kekeliruan serta meningkatkan kebergantungan kepada pelbagai platform digital yang berbeza. Maka, langkah integrasi antara SSP dan FP yang digunapakai oleh MPPadalah satu solusi yang amat dinantikan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum dan Sidang Media Pelaksanaan Integrasi Aplikasi Tempat Letak Kereta Digital SSP dan FP di sini semalam.
Sabin berkata, pelaksanaan sistem itu juga memperkenalkan beberapa ciri tambahan yang akan memberikan lebih kemudahan kepada pengguna.
“Antaranya ialah kemudahan untuk membuat semakan serta pembayaran tunggakan kompaun yang dikeluarkan oleh DBKK dan MPP.
“Dengan adanya ciri ini, pengguna tidak perlu lagi berurusan secara fizikal di kaunter-kaunter perkhidmatan kerana semua maklumat boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi digital.
“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah dapat meningkatkan kecekapan sistem penguatkuasaan parkir di kedua-dua kawasan pentadbiran,” katanya.
Sementara itu, Sabin berkata, pelaksanaan integrasi itu juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperluaskan digitalisasi dalam perkhidmatan awam.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0, penggunaan teknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan responsi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK
]]>KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital UMS berjaya membangunkan sebuah aplikasi iaitu ‘OHIDAS Wellness Toolkit’ yang merupakan inovasi berasaskan konsultasi kesihatan bagi membantu warga Sabah mendapat nasihat kesihatan.
Naib Cancelor UMS Profesor Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, khidmat nasihat kesihatan melalui ‘telemedicine’ itu boleh dibuat terus daripada pakar perubatan dalam kalangan Pegawai Perubatan di Hospital UMS.
Katanya, aplikasi itu juga dihasilkan bertujuan untuk mendekatkan komuniti penduduk negeri khasnya luar bandar dengan perkhidmatan serta nasihat kesihatan.
“Usaha ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kesihatan kepada penduduk luar bandar di Sabah.
“Objektif utama penghasilan aplikasi ini adalah untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti serta membantu usaha saringan awal kesihatan kepada komuniti dalam mendepani masalah kesihatan khususnya berkaitan ‘non-communicable disease’ seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan lain-lain lagi.

“Penghasilannya juga bertunjangkan lima nilai teras utama yang diamalkan oleh Hospital UMS iaitu innovative, compassionate, collaborative, empowering dan sustainable,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit di Galeri Majlis Aras Tiga, Bangunan Canselori UMS disini semalam.
Hadir sama Pengarah Hospital UMS Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang.
Taufiq berkata, pendekatan utama yang diterapkan dalam aplikasi ini adalah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan secara berterusan dan konsisten serta penjagaan kesihatan dari rumah di peringkat komuniti.
“Saya yakin dalam jangka masa yang singkat, penduduk luar bandar akan menerima pelbagai manfaat melalui penggunaan aktif dan konsistensi aplikasi ini.
“Saya percaya interaksi yang wujud dalam kalangan warga Hospital UMS dengan komuniti setempat melalui Program KPT Prihatin (KRISS) akan menjadi wadah dan penghubung di antara masyarakat dengan UMS,” katanya.
Sementara itu, Taufiq berharap usaha murni menerusi aplikasi itu akan membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada seluruh komuniti luar bandar serta secara tidak langsung mampu menaikkan nama Hospital UMS ke seluruh negara.
“Saya berdoa semoga warga Hospital UMS dilapangkan fikiran dan dipermudahkan segala urusan agar dapat menghasilkan lebih banyak inovasi yang mampu membantu komuniti khususnya di Sabah,” katanya.
OHIDAS Wellness Toolkit tersedia untuk peranti Android dan iOS. Perkataan ‘ohidas’ merupakan bahasa Kadazan, yang memberi maksud “kesihatan”.
Nama tersebut turut mewakili fungsi aplikasi yang membolehkan pengguna merekod kesihatan, ubatan dan alergi.
OHIDAS juga menyediakan diari untuk menjejak data kesihatan peribadi, selain boleh merekod pelan penjagaan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Sekiranya berlaku kecemasan, OHIDAS dapat digunakan untuk mencari alamat hospital terdekat melalui perkhidmatan GPS. Idea pelaksanaan aplikasi ini adalah untuk memudahkan pengguna untuk berhubung dengan doktor atau keluarga mereka dalam memantau kesihatan mereka.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kerajaan telah memutuskan mewajibkan penggunaan aplikasi Mysejahtera di kawasan capaian internet yang luas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peraturan ini berkuatkuasa serta merta dan akan dikuatkuasakan oleh semua agensi penguatkuasa.
“Kegagalan pematuhan peraturan ini boleh menyebabkan pemilik premis dikompaun”, tegasnya.
Katanya, namun pengecualian diberikan bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.
Dalam pada itu, pemegang lesen dan pemilik premis diwajibkan menyediakan kemudahan QR code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
Masidi juga turut menegaskan bahawa suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius serta tidak memakai pelitup muka adalah tidak dibenarkan memasuki premis.
“Pemilik premis hendaklah memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal satu meter serta menyediakan hand sanitizer atau tempat mencuci tangan.
“Manakala had bilangan pengunjung adalah 50% kapasiti ruang bagi Pusat Membeli Belah (Mall), Hypermarket, Supermarket, Mini Market, kedai runcit dan sebagainya”,jelasnya.
]]>KOTA KINABALU: Seiring dengan perkembangan teknologi digital pada masa kini, U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjayakan Program STEM4ALL: Cabaran Learning Science Through Minecraft.
Program berbentuk pertandingan pembinaan projek melalui aplikasi Minecraft itu disertai seramai 88 peserta dari 18 buah sekolah di seluruh Sabah yang telah menghantar video-video kreatif berkenaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi pertandingan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam satu acara secara dalam talian baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan bagi penyertaan pelajar-pelajar sekolah ke arah pembudayaan STEM sebagai pendukung bagi tenaga kerja generasi akan datang.
“Harapan saya agar program sebegini dapat memupuk minat pelajar dalam bidang Sains Komputer melalui pembinaan projek di dalam aplikasi Minecraft.
“Dalam masa yang sama usaha ini turut mendidik komuniti, khususnya kanak-kanak dan remaja berkaitan teknologi baharu yang menjurus ke arah teknologi digital,” katanya.
Taufiq turut berharap agar pertandingan sebegini mampu memberi pendedahan kepada generasi celik teknologi maklumat dan mengoptimumkan daya saing mereka dalam membangunkan bidang ekonomi digital pada masa akan datang.
Terdahulu, Pengarah JPNS, Datuk Dr. Mistirine Radin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.
“Pertandingan ini merupakan satu galakan terbaik kepada semua pelajar untuk turut terlibat dalam bidang sains dan teknologi bagi melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan berdaya maju terutamanya dalam bidang STEM,” katanya.
Pertandingan tersebut menyaksikan kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Swasta Tshung Tsin yang dianggotai oleh Rachel Wong Siau Ying, Andrea Caitlin Yu Xin Jie dan Wesley Kong Yu Sen muncul johan bagi kategori sekolah menengah.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan pelajar daripada SMK Tinggi Kota Kinabalu dianggotai oleh Jordan Voo Yee Fung, Hansen Lee Ming Haw, Chong Jia Ying Dylan, dan Ivan Liew Chun Fui, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Viana Onnin Osthen dari SMK Taman Ria.
Bagi kategori sekolah rendah, Nur Vanida Onnin Osthen @ Mohd Raffie dari SK Rugading dinobat sebagai pemenang utama, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga dimenangi pelajar dari SK Inanam Laut iaitu Izz Muzaffar Ros Izhrin dan Amirul Aziz Hardi.
]]>KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) mengadakan pertandingan mewarna menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) yang pertama di Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Dekan FPP UMS, Prof. Madya Dr. Sabariah Sharif berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan kanak-kanak meneroka teknik mewarna baharu sambil menerapkan semangat cintakan negara.


“Pertandingan ini juga bagi memupuk budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan kanak-kanak sejak di peringkat awal usia.
“Dengan membawa tema “Cintai Alam Kita: Dunia Cendawan”, pertandingan yang bersifat 3 dimensi (3D) ini amat sesuai sebagai suatu pendedahan bagi menyemarakkan minat terhadap program STEM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Sabariah, pertandingan itu diadakan sejak 9 Ogos dan akan tamat pada 25 Ogos 2021, terbuka kepada semua kanak-kanak prasekolah di seluruh Malaysia.
“Para peserta dikehendaki memuat turun gambar cendawan di pautan https://cendawancerah.com/site/ar-colouring contest.
“Selepas gambar itu diwarna menggunakan warna pensel, kanak-kanak boleh mengimbas gambar cendawan tersebut menggunakan aplikasi AR.
“Gambar yang dihasilkan daripada aplikasi ini sangatlah menarik dan objek cendawan dalam bentuk 3D dapat dilihat seperti realiti berdasarkan warna pilihan masing-masing.
“Kita juga menyediakan panduan video di Youtube sebagai panduan bagi mereka yang mempunyai kekeliruan dengan melayari pautan https://youtu.be/Es4Q1GP4pUY,” jelasnya.
Ujar Sabariah, penganjuran pertandingan itu juga sempena menyemarakkan sambutan Bulan STEM Kebangsaan 2021.
“Ia dianjurkan dengan kerjasama Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP, Pusat E-Pembelajaran UMS, Industri Cendawan Cerah Sdn. Bhd. dan Sabah Institute of Art (SIA).
“Johan akan menerima hadiah RM300, naib johan RM200 dan tempat ketiga RM100. Sebanyak 20 pemenang saguhati akan menerima wang tunai RM50. Kesemua penerima hadiah juga akan diberikan sijil digital (e-Certificate),” tambahnya yang juga Penyelaras MySTEM Ambassador UMS.
Sementara itu, Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPP UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, Dunia Cendawan merentas Pendidikan STEM amat sesuai untuk kanak-kanak.
“Banyak aktiviti STEM untuk pendidikan awal kanak-kanak yang telah dihasilkan menggunakan konsep cendawan.
“Antaranya ialah penghasilan bongkah cendawan (STEM Engineering), aktiviti penerokaan tumbesaran cendawan (STEM Explore, Discover, Innovate), aktiviti ekonomi yang berasaskan cendawan (STEM Global) dan aktiviti pendekatan projek bersama ibu-bapa (STEM Society).
“Selain itu, ia juga merangkumi keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak (STEM Entrepreneurship), kemampanan alam sekitar (STEM Sustainability), dan memberi kesedaran kanak-kanak lagi menghargai khazanah alam di negara ini (STEM Heritage),” katanya.
Keputusan pemenang pertandingan akan diumumkan pada 31 Ogos 2021 melalui laman Facebook Pendidikan Awal Kanak-kanak UMS dan https://cendawancerah.com/site/ar-colouring-contest.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Dr. Connie Cassy Ompok ([email protected]), Prof. Madya Ts. Dr. Edmund Ng ([email protected]) dan Dr. Nur Suhaidah Sukor ([email protected])
]]>