Armizan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 16 Sep 2026 02:06:37 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Armizan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 63/63 bukan sekadar angka, hayati makna pembentukan Malaysia – Armizan https://sabahmedia.com/2026/09/16/63-63-bukan-sekadar-angka-hayati-makna-pembentukan-malaysia-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/09/16/63-63-bukan-sekadar-angka-hayati-makna-pembentukan-malaysia-armizan/#respond Wed, 16 Sep 2026 02:05:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103509
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang memasuki tahun ke-63 perlu dilihat bukan sekadar sebagai keistimewaan angka 63/63, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat memahami dan menghayati sejarah serta makna sebenar pembentukan Persekutuan Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini genap 63 tahun, namun tarikh 16 September hanya diangkat sebagai detik penting nasional selepas lebih 40 tahun negara ini ditubuhkan.

Menurut beliau, sebelum itu tumpuan sambutan peringkat nasional setiap tahun lebih menjurus kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan.

“Bilamana kali pertama dalam sejarah tanah air sebuah pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pasca pilihan raya umum 2008 tidak mendapat majoriti dua pertiga, bermula angin perubahan kepada landskap politik nasional.

“Antaranya kesedaran untuk lebih menilai dan memaknai aspirasi rakan kongsi di Wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, meskipun terdapat suara dan cadangan awal daripada pihak tertentu yang diketepikan, akhirnya Kerajaan Persekutuan bersetuju menjadikan Hari Malaysia sebagai sambutan rasmi negara bermula 2010.

Beliau berkata, penghayatan terhadap sejarah pembentukan Malaysia tidak seharusnya terhad kepada kefahaman mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama serta kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Sebaliknya, katanya, ia turut menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas penting pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Bersempena 63/63 tahun ini, marilah kita bersama memahami nilai dan makna Hari Malaysia dengan menerima kewujudan salah satu terma perjanjian yang dimeterai para pendiri tanah air yang terpahat dalam Artikel VIII, MA63,” katanya.

Artikel VIII MA63 antara lain menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak akan mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor yang terkandung dalam Bab 3 serta Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang ditandatangani pada 27 Februari 1963, setakat mana ia tidak dilaksanakan melalui peruntukan nyata dalam Perlembagaan Malaysia.

Menurut Armizan, terma berkenaan merupakan penegasan terhadap komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebutkan sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak.

“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau turut berharap Malaysia terus menjadi sebuah negara yang lebih utuh dan maju, selain menjamin kehidupan yang makmur serta selamat untuk seluruh rakyat.

“Moga Malaysia lebih utuh dan maju, tanah air yang makmur dan selamat untuk sekalian rakyatnya,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/16/63-63-bukan-sekadar-angka-hayati-makna-pembentukan-malaysia-armizan/feed/ 0 103509
Kematangan politik kunci kestabilan negara – Armizan https://sabahmedia.com/2026/08/31/kematangan-politik-kunci-kestabilan-negara-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/08/31/kematangan-politik-kunci-kestabilan-negara-armizan/#respond Mon, 31 Aug 2026 07:06:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102569
Read Time:2 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Semangat kemerdekaan bukan sekadar berkisar mengenai kibaran Jalur Gemilang dan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi kesedaran bahawa setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab dalam memastikan Malaysia terus aman, stabil dan makmur.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sambutan Bulan Kebangsaan yang memuncak pada 31 Ogos dan diteruskan sehingga Hari Malaysia pada 16 September merupakan wadah untuk rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan.

Menurut beliau, semangat patriotisme yang disemarakkan di seluruh pelosok negara juga perlu disertai tekad untuk bersama-sama membina masa depan Malaysia.

“Siapa juga kita, sama ada pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga, penggerak masyarakat sivil mahupun rakyat, semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan.

“Walaupun mempunyai persamaan atau apa jua perbezaan, tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara dan pemilikan itu dimaknai dengan kedua-dua soal hak dan tanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Armizan berkata, persoalan hak dan tanggungjawab itu turut terpakai kepada barisan pimpinan negara yang mendapat mandat melalui sistem demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, sejak beberapa bulan lalu, khususnya ketika berinteraksi dengan masyarakat di Sabah, beliau sering diajukan persoalan mengenai situasi semasa Kerajaan Persekutuan, termasuk mengenai hala tuju Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Sejujurnya, acap kali juga saya memilih untuk memberikan jawapan mudah yang sebenarnya lebih kepada mengelak perbincangan panjang. Respons saya adalah, janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga.

“Hakikatnya, Malaysia ini juga adalah rumah besar yang wajib dipelihara dan dibina bersama. Sekalipun datang daripada parti dan rumah kecil, saya juga mempunyai hak dan tanggungjawab kepada tanah air tercinta,” katanya.

Armizan berkata, meskipun mempunyai pengalaman dalam sistem politik dan kerajaan sejak lebih 25 tahun lalu selepas menamatkan pengajian serta pernah berkhidmat di beberapa kementerian, beliau masih menganggap dirinya sebagai antara ‘orang baharu’ dalam barisan Jemaah Menteri.

Katanya, sebagai wakil sebuah parti tempatan, beliau lebih memilih untuk menimba pengalaman dengan memerhati perkembangan politik dari dekat, selain memberi tumpuan kepada tanggungjawab di kementeriannya serta isu-isu berkaitan Sabah.

“Sebagai pemerhati yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan MADANI, secara jujurnya saya kagum dan bersyukur dengan kematangan politik rakan-rakan dalam Jemaah Menteri.

“Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling berbalas pantun dan bertikam lidah sejak beberapa bulan lalu, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional,” katanya.

Menurut Armizan, pengalaman itu memberi peluang kepadanya untuk melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang serta bertanggungjawab.

Beliau berkata, kematangan berkenaan terbina atas kesedaran dan kebersamaan untuk membentuk konsensus perpaduan demi memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mampu memandu hala tuju pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kestabilan kerajaan juga penting bagi menyempurnakan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022.

“Inilah landskap politik baharu negara yang perlu diterima pasca berakhirnya dominasi satu parti.

“Inilah masa untuk memaknai bicara kita sendiri bahawa peristiwa 2018 hingga 2022, dengan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal, bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran yang mampan untuk Malaysia,” katanya.

Armizan berkata, kematangan politik dan kepimpinan dalam Jemaah Menteri perlu berteraskan kesedaran bahawa hak politik individu dan parti harus diseimbangkan dengan tanggungjawab untuk membina negara.

“Inilah nilai dan makna sebuah kematangan politik yang penting untuk memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia hari ini dan masa mendatang,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/31/kematangan-politik-kunci-kestabilan-negara-armizan/feed/ 0 102569
KDM bukan parti komponen GRS – Armizan https://sabahmedia.com/2026/08/15/kdm-bukan-parti-komponen-grs-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/08/15/kdm-bukan-parti-komponen-grs-armizan/#respond Sat, 15 Aug 2026 12:27:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101654
Read Time:41 Second

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tegas Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November lalu, KDM melalui ADUN tunggalnya memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata, susulan pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter mengenai menarik sokongan terhadap kerajaan GRS hari ini, beliau berkesempatan menghubungi ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, yang juga ADUN tunggal KDM.

Menurut Armizan, Rusdin memaklumkan komitmennya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/15/kdm-bukan-parti-komponen-grs-armizan/feed/ 0 101654
Tiada maklumat mengenai pertemuan tular – Armizan https://sabahmedia.com/2026/07/21/tiada-maklumat-mengenai-pertemuan-tular-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/07/21/tiada-maklumat-mengenai-pertemuan-tular-armizan/#respond Tue, 21 Jul 2026 12:33:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100324
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan tular mengenai kononnya akan berlangsung pertemuan membabitkan beberapa gabungan politik.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam kepimpinan GRS, termasuk berkaitan sebarang jemputan atau perancangan untuk mengadakan pertemuan sedemikian.

“Tidak ada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian.

“Tempoh Kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih kurang setahun setengah.

“Adalah wajar segala fokus ditumpukan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan ikhtiar meningkatkan kesejahteraan rakyat, apatah lagi negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global,” katanya dalan satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai kononnya pemimpin GRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu pertemuan serta sidang media pada jam 2 petang hari ini

Bagaimanapun, sidang media yang didakwa itu tidak berlangsung.

Sementara itu, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Ketua Whip GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, turut menafikan dakwaan berkenaan.

Beliau dipetik berkata GPS tidak pernah dihubungi atau menerima sebarang jemputan daripada mana-mana pihak berkaitan pertemuan yang didakwa itu.

“Ya, tiada,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan sama, menurut laporan Berita Harian, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menafikan dakwaan berlakunya pertemuan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menegaskan BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/21/tiada-maklumat-mengenai-pertemuan-tular-armizan/feed/ 0 100324
AKPS: Sabah mahu jaminan bertulis kuasa imigresen tidak terhakis – Armizan https://sabahmedia.com/2026/05/15/akps-sabah-mahu-jaminan-bertulis-kuasa-imigresen-tidak-terhakis-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/05/15/akps-sabah-mahu-jaminan-bertulis-kuasa-imigresen-tidak-terhakis-armizan/#respond Thu, 14 May 2026 16:51:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96668
Read Time:1 Minute, 41 Second

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan sementara pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disifatkan sebagai langkah bagi memastikan kuasa autonomi imigresen negeri itu terus dipelihara seperti termaktub sejak pembentukan Malaysia.

Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan dibuat menerusi Jemaah Menteri Sabah bukan bertujuan menolak penubuhan AKPS, sebaliknya bagi memastikan jaminan diberikan Kerajaan Persekutuan diterjemahkan secara jelas dalam bentuk perundangan.

Menurut beliau, kerajaan negeri mahu jaminan berkaitan kuasa imigresen Sabah bukan sekadar diberikan secara lisan tetapi diperincikan secara bertulis supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan pada masa depan.

“Saya melihat pendekatan ataupun keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Jemaah Menteri adalah untuk memastikan bahawa jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam konteks autonomi ataupun kuasa-kuasa imigresen itu dapat dizahirkan secara bertulis.

“Kerajaan negeri menginginkan jaminan itu bukan hanya dalam bentuk verbal tetapi tersurat dengan jelas dalam peruntukan undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Lepaking Six7 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menangguhkan sementara pelaksanaan AKPS di negeri itu susulan kebimbangan berhubung kemungkinan penghakisan kuasa imigresen Sabah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, penangguhan sementara itu memberi ruang kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan merungkai isu-isu berbangkit agar pelaksanaan AKPS dapat dilakukan tanpa membelakangkan kuasa imigresen yang dimiliki Sabah sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

“Bukanlah Kerajaan Negeri menolak pendekatan penubuhan AKPS dengan tujuan untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan, tetapi memastikan ia dapat digerakkan tanpa membelakangkan kuasa-kuasa imigresen yang ada pada negeri,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Sabah dilaporkan menangguhkan pelaksanaan AKPS selepas mendapati terdapat beberapa perkara berkaitan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang perlu diperhalusi termasuk bidang kuasa operasi serta kedudukan autonomi imigresen negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu berkenaan mencetuskan perdebatan apabila kerajaan negeri menegaskan hak autonomi imigresen Sabah adalah perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia sebahagian daripada hak yang dipersetujui semasa pembentukan Persekutuan Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/15/akps-sabah-mahu-jaminan-bertulis-kuasa-imigresen-tidak-terhakis-armizan/feed/ 0 96668
Laporan polis dibuat kes scam guna nama Ahli Parlimen Papar https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/#respond Fri, 08 May 2026 04:00:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96326
Read Time:58 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Perhubungan kepada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Abd Rahim Aliudin membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Papar malam tadi susulan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menyamar sebagai pegawai atau wakil kepada Ahli Parlimen berkenaan bagi tujuan penipuan.

Menurut Abd Rahim, individu terbabit dipercayai menggunakan nama dan kedudukan wakil kepada Datuk Armizan untuk memperdaya orang ramai, termasuk melibatkan urusan transaksi wang, bantuan, sumbangan dan urusan peribadi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan telefon atau permintaan mencurigakan yang diterima daripada individu tidak dikenali.

“Segala urusan rasmi berkaitan Datuk Armizan hanya dibuat secara bertulis melalui Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej atau panggilan yang meragukan.

“Mohon kerjasama semua pihak untuk turut menyebarkan peringatan ini agar lebih ramai tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/feed/ 0 96326
Jangan ‘potong corner’ isu 40 peratus – Armizan https://sabahmedia.com/2026/05/04/jangan-potong-corner-isu-40-peratus-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/05/04/jangan-potong-corner-isu-40-peratus-armizan/#respond Mon, 04 May 2026 04:42:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96077
Read Time:2 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegur dengan sindiran pihak tertentu khususnya Parti Warisan agar tidak “potong corner” dalam isu tuntutan hasil 40 peratus Sabah demi kepentingan politik sempit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming semasa sidang DUN baru-baru ini mendakwa kerajaan hari ini tidak tegas memperjuangkan hak 40 peratus Sabah.

Menurut Armizan, tindakan membawa usul persendirian berhubung perkara itu disifatkan sebagai bermotifkan politik, selain berpotensi mengelirukan rakyat terhadap pendirian sebenar kerajaan negeri.

“Jangan potong corner dalam isu besar seperti ini. Perjuangan 40 peratus bukan pentas untuk mencari populariti atau muncul sebagai ‘hero’,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Status Semasa Projek-projek Pembangunan Daerah Papar di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, menegaskan, dakwaan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak usul berkaitan 40 peratus adalah tidak tepat kerana keputusan tersebut dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurutnya, persepsi bahawa kerajaan negeri dan ADUN lain menolak perjuangan itu juga adalah tersasar jauh daripada fakta sebenar.

“Kerajaan negeri konsisten memperjuangkan hak ini, bukan sahaja di dalam DUN tetapi juga melalui saluran perundangan di mahkamah,” katanya.

Beliau menjelaskan, melalui Pejabat Peguam Besar Sabah, kerajaan negeri telah mengemukakan hujahan dan afidavit balasan yang menegaskan tuntutan 40 peratus sebagai hak perlembagaan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun turut membentangkan kemajuan rundingan di DUN termasuk sasaran meningkatkan bayaran interim daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion.

“Ini bukti jelas ada komitmen dan usaha berterusan, bukan rundingan senyap tanpa hasil seperti didakwa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa langkah membawa usul persendirian itu juga bertujuan menutup kesilapan lalu kerajaan Warisan ketika mentadbir Sabah dari 2018 hingga 2022.

Antara yang dibangkitkan termasuk pendirian Ketua Menteri ketika itu pada Ogos 2019 yang menyatakan tidak wajar membawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke mahkamah.

Selain itu, katanya, kerajaan Warisan turut bersetuju menerima cadangan bayaran hanya RM53.4 juta pada Oktober 2019 melalui Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Itu fakta yang direkodkan. Jadi jangan sekarang cuba gambarkan diri sebagai pejuang paling hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan mencadangkan agar satu usul rasmi dibawa oleh ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan (BBC) yang diketuai oleh Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamat) pada sidang DUN akan datang sekiranya rundingan masih belum dimuktamadkan.

Katanya, usul itu penting untuk merekodkan pendirian tegas kerajaan negeri serta menjelaskan kronologi sebenar perjuangan tuntutan 40 peratus kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan terus komited memperjuangkan hak Sabah.

“Kerajaan hari ini bukan berjuang untuk RM53.4 juta, tetapi berbilion ringgit selaras dengan hak perlembagaan negeri,” tegasnya.

Armizan turut mengiktiraf komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka mengiktiraf hak 40 peratus Sabah di Parlimen.

Menurutnya, pengiktirafan itu merupakan perkembangan penting berbanding pentadbiran terdahulu, dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih adil.

“Kita harap rundingan ini dapat dimuktamadkan segera kerana Sabah memerlukan tambahan peruntukan bagi menyelesaikan isu rakyat termasuk bekalan air dan infrastruktur,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/04/jangan-potong-corner-isu-40-peratus-armizan/feed/ 0 96077
Dakwaan masyarakat Cina tolak rakan parti kerajaan tidak tepat – Armizan https://sabahmedia.com/2025/12/20/dakwaan-masyarakat-cina-tolak-grs-dan-rakan-parti-tidak-tepat-armizan/ https://sabahmedia.com/2025/12/20/dakwaan-masyarakat-cina-tolak-grs-dan-rakan-parti-tidak-tepat-armizan/#respond Sat, 20 Dec 2025 04:42:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88621
Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Jika ada pihak yang mendakwa masyarakat Cina menolak rakan parti dalam kerajaan, dakwaan tersebut adalah kurang tepat dan tidak selari dengan fakta sebenar keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 yang berakhir pada 29 November lalu, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, naratif mengenai kononnya berlakunya “swing vote” masyarakat Cina yang tidak menyokong parti kerajaan bukan sahaja dibincangkan di peringkat negeri, malah turut menjadi topik perbincangan di peringkat nasional, namun perlu diteliti secara objektif berdasarkan data dan realiti kawasan yang ditandingi.

“Pertama sekali, saya ingin maklumkan bahawa GRS tidak bertanding di semua kawasan majoriti masyarakat Cina. Di kebanyakan kawasan tersebut, calon yang bertanding adalah daripada rakan kita dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengambil contoh di kawasan Parlimen Papar, khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, Armizan berkata terdapat satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu PDM Bandar yang majoritinya terdiri daripada pengundi masyarakat Cina.

“Alhamdulillah, calon GRS berjaya memenangi PDM bandar DUN Pantai Manis pada PRU 17 lalu yang mempunyai komposisi pengundi majoriti masyarakat Cina,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa masyarakat Cina keseluruhan rakan-rakan parti dalam kerajaan, walaupun mengakui terdapat kawasan tertentu yang menyaksikan kekalahan calon kerajaan, khususnya melibatkan parti rakan seperti DAP.

Menurut Armizan, keputusan tersebut seharusnya dilihat sebagai isyarat daripada pengundi agar kerajaan mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan.

“Kita perlu menerima dan menghormati keputusan ini serta melihat apa yang perlu ditambah baik bagi mewujudkan keyakinan rakyat, termasuk masyarakat Cina,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa selepas pilihan raya berakhir dan kerajaan dibentuk, GRS kini memikul tanggungjawab sebagai kerajaan kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

“Kita adalah kerajaan untuk setiap rakyat Sabah, bukan hanya kepada mereka yang mengundi kita. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak sebelum ini, itu adalah hak demokrasi mereka,” katanya.

Armizan berkata proses post-mortem pilihan raya sedang dan akan terus dilaksanakan bagi mengenal pasti isu-isu utama, selain memastikan manifesto yang dibentangkan diterjemahkan ke dalam pelan hala tuju pembangunan kerajaan negeri.

Menurutnya, rakyat Sabah kini menantikan pelan hala tuju kerajaan negeri yang diterajui GRS bagi tempoh lima tahun akan datang, termasuk pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030.

“Pilihan raya sudah berakhir dan tidak ada tempoh ‘bulan madu’ yang panjang. Tidak lama lagi kita akan memasuki tahun baharu.

“Justeru, saya menyeru Jemaah Menteri serta seluruh jentera kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan pelan hala tuju SMJ 2.0 kerana ia penting bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada perkhidmatan awam, pelabur dan sektor swasta,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan Sabah perlu kekal terbuka, bersedia mendengar pandangan rakyat, menghormati keputusan pilihan raya serta menyelidik secara mendalam faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi dalam PRU DU Sabah17 lalu.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/20/dakwaan-masyarakat-cina-tolak-grs-dan-rakan-parti-tidak-tepat-armizan/feed/ 0 88621
Armizan optimis tiga calon GRS mampu pacu kemajuan Papar https://sabahmedia.com/2025/11/28/armizan-optimis-tiga-calon-grs-mampu-pacu-kemajuan-papar/ https://sabahmedia.com/2025/11/28/armizan-optimis-tiga-calon-grs-mampu-pacu-kemajuan-papar/#respond Fri, 28 Nov 2025 12:51:20 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87336
Read Time:1 Minute, 15 Second

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yakin tiga calon GRS di Papar mampu memperkukuh agenda pembangunan daerah itu sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya esok (29 Nov).

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar dalam kenyataannya hari ini berkata, pemilihan wakil rakyat bukan semata-mata soal politik, sebaliknya menentukan hala tuju dan masa depan Sabah secara keseluruhan.

Beliau berkata setiap undi membawa harapan, suara dan amanah rakyat untuk memastikan negeri ini terus berada di landasan pembangunan yang tepat.

Menurutnya, GRS pada penggal lalu berusaha menyelesaikan pelbagai isu legasi yang membelenggu Sabah puluhan tahun, selain menggerakkan projek-projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Kami tidak sempurna, tetapi kami tidak pernah berhenti bekerja. We walk the talk. Work in progress. Apa juga yang dilakukan bukan untuk kemenangan politik semata-mata, tetapi kerana Sabah ini rumah kita, dan rumah kita kita jaga bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan mengajak seluruh pengundi khususnya warga PAPARian supaya keluar menunaikan tanggungjawab bagi memastikan kesinambungan pembangunan daerah.

“Pilihan anda akan menentukan masa depan Papar. Saya memerlukan rakan sepasukan yang boleh mempercepatkan agenda kemajuan di sini. Saya optimis dan menaruh sepenuh keyakinan kepada ketiga-tiga calon GRS di Kawang, Pantai Manis dan Limbahau untuk membawa suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jika diberikan mandat, pasukan GRS akan terus bekerja untuk memenuhi amanah dan kepercayaan rakyat melalui ikhtiar terbaik demi kemajuan Papar.

Tiga calon GRS di Papar ialah Datuk Gulamhaidar Bahadar Khan (Kawang), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/28/armizan-optimis-tiga-calon-grs-mampu-pacu-kemajuan-papar/feed/ 0 87336
Armizan tegas tidak akan bertanding di PRU DU Sabah ke-17 https://sabahmedia.com/2025/11/08/armizan-tegas-tidak-akan-bertanding-di-pru-du-sabah-ke-17/ https://sabahmedia.com/2025/11/08/armizan-tegas-tidak-akan-bertanding-di-pru-du-sabah-ke-17/#respond Sat, 08 Nov 2025 10:50:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85287
Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh Normimie Diun

PENAMPANG: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17 akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian sebagai menjawab khabar angin yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya beliau akan bertanding di kerusi DUN Pantai Manis, malah disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri pada masa akan datang.

“Saya fikir isu mengenai bertanding di Pantai Manis ini sudah pun saya jawab sebelum ini. Lama sudah saya tidak berhajat untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN, termasuklah Pantai Manis.

“Kalau saya ada 48 jam sehari mungkin saya boleh pertimbangkan, tetapi sama seperti semua orang, saya hanya ada 24 jam sehari,” kata Armizan yang juga menggalas tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program “My Gaya Sabah” 2025 di ITCC Penampang, hari ini.

Menurut Armizan, tanggungjawab yang digalasnya kini sebagai Ahli Parlimen sudah cukup besar dan mencabar.

“Saya fikir tanggungjawab sedia ada ini sudah cukup mencabar dan besar. Seperti yang saya sebut sebelum ini, saya mengharapkan ada seorang ADUN Pantai Manis, pastinya daripada GRS, yang boleh saya bekerjasama rapat.

“Sekarang kita ada dua ADUN Kawang dan Limbahau, jika ditambah lagi seorang ADUN Pantai Manis, insya-Allah kita akan menjadi pasukan terbaik untuk membawa perubahan yang lebih bermakna dan bernilai untuk Parlimen Papar,” jelasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/08/armizan-tegas-tidak-akan-bertanding-di-pru-du-sabah-ke-17/feed/ 0 85287