asean – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 28 Oct 2025 13:17:45 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png asean – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Malaysia akhiri kepengerusian ASEAN 2025, berjaya laksana peranan – Anwar https://sabahmedia.com/2025/10/28/malaysia-akhiri-kepengerusian-asean-2025-berjaya-laksana-peranan-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/10/28/malaysia-akhiri-kepengerusian-asean-2025-berjaya-laksana-peranan-anwar/#respond Tue, 28 Oct 2025 13:17:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84380
Read Time:2 Minute, 18 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengakhiri Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 hari ini. 

Berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Anwar berkata kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan.

“Kami juga gembira melihat berlakunya perbincangan dalam kalangan rakan kongsi dan kuasa di luar. Kami menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa jentera ASEAN, apabila dipandu dengan kesabaran dan matlamat, tetap berhasil,” katanya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ASEAN, disusuli persembahan video selama lima minit yang menampilkan pencapaian dan inisiatif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. 

Anwar turut mengakui bahawa tidak semua krisis dapat diselesaikan dalam satu tempoh kepengerusian malah satu generasi, kemajuan katanya datang dengan kegigihan.

“Sesetengah krisis akan berterusan; sesetengah kehidupan terus dibayangi keperluan untuk keselamatan dan kesejahteraan (fear and want). Namun sejarah (menunjukkan bahawa kejayaan) tidak datang bergolek…ia akan tiba dengan adanya kemahuan, kerja keras dan ketegaran mereka yang enggan berputus asa. Apa yang penting ialah setiap tindakan keberanian, setiap langkah kecil, membantu membawa rantau kita lebih dekat kepada harapan dan keadilan,” katanya.

Perdana Menteri yakin terhadap kemampuan Filipina selaku Pengerusi ASEAN yang baharu dan akan menyaksikan badan serantau itu bertindak dengan telus, berwibawa dan keramahan yang sinonim dengan rakyat Filipina.

Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi tahun 2025.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada semua negara anggota, rakan dialog serta Sekretariat ASEAN atas kerjasama sepanjang tempoh Malaysia menerajui badan serantau berkenaan. 

“Tanpa sokongan berterusan mereka, matlamat kita mungkin kedengaran gah tetapi pencapaian tidak seberapa,” kata beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat atas kesabaran dan keramahan mereka sepanjang tahun ini, sambil menambah rakyat telah menyambut setiap tetamu dengan mesra, cuba menyesuaikan keadaan, memberikan gambaran bahawa keramahan bukan sekadar budaya sebaliknya sudah sebati dengan keperibadian rakyat negara ini.

“Di tangan anda, khidmat adalah tanggungjawab dan simbol kasih sayang kepada negara. Di mata dunia, anda telah memperlihatkan yang terbaik tentang Malaysia. Dengan itu, saya mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan ditutup,” kata Anwar.

Sejak mengambil alih daripada Laos, Malaysia telah menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, keterangkuman dan kemampanan. 

Dua pencapaian penting yang menandakan kejayaan sepanjang kepengerusian ini, iaitu kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand.

Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.-  BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/28/malaysia-akhiri-kepengerusian-asean-2025-berjaya-laksana-peranan-anwar/feed/ 0 84380
B.Grimm Sedia Bawa Kepakaran, Bantu Bangunkan Tenaga Sabah https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/#respond Wed, 27 Aug 2025 03:54:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80134
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU –  Sabah berpotensi besar dalam Pembangunan tenaga. Keyakinan ini dinyatakan oleh Pengerusi B.Grimm, Dato’ Sri Dr. h.c. Harald Link. Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya bersedia untuk membawa kepakaran dalam penyediaan bekalan elektrik berterusan bagi menyokong pertumbuhan industri negeri ini.

Berdasarkan pengalaman beliau, membangun dan menjana tenaga elektrik yang stabil adalah asas penting dalam menarik lebih banyak pelaburan industri. Faktor ini pastinya jika ditambah dengan keindahan alam yang luar biasa serta kekayaan sumber makanan laut yang terdapat di Sabah, menjadikan negeri ini mempunyai keunikan tersendiri.

“Ketika kami memulakan usaha sama di Thailand 30 tahun lalu, penyediaan tenaga berterusan menjadi pemangkin utama syarikat luar membina kilang di sana. Tanpa bekalan elektrik yang konsisten, mustahil untuk menghasilkan dengan cekap,” katanya.

Gabungan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Gas

Ditanya mengenai penggunaan tenaga dan gas, Dr Harald Link menegaskan bahawa tenaga boleh diperbaharui seperti solar penting untuk alam sekitar, namun ia perlu digabungkan dengan teknologi bateri dan gas. Katanya, kos dan kapasiti bateri litium-besi masih menjadi cabaran, justeru sumber gas kekal relevan sebagai pelengkap kepada tenaga hijau.

“Loji janakuasa gas kami di Thailand mencatat pelepasan 30 peratus lebih rendah berbanding grid nasional. Ia bukan sahaja lebih cekap tetapi turut menyumbang kepada usaha menjadikan dunia lebih hijau,” jelasnya.

Bercakap tentang keistimewaan syarikat B.Grimm, Dr Harald Link berkata keistimewaan syarikat yang diterajuinya serta nilai yang dibawanya berlainan berbanding pelabur lain. Kata beliau “B.Grimm menekankan semangat perkongsian serta profesionalisme dalam setiap usaha”.

“Kami tidak melihat diri sebagai sekadar pembekal tetapi rakan kongsi. Pekerja kami juga dianggap rakan kongsi dalam kejayaan bersama,” katanya.

Beliau turut menekankan semangat perintis sebagai teras syarikat, termasuk pembangunan digital twin yang membolehkan keseluruhan operasi loji dianalisis dan disimulasikan melalui komputer bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan gangguan operasi.

“Kami telah memulakannya, dan ia membantu mengurangkan gangguan operasi dan kami  menjadi sangat cekap, sangat produktif”

Saya tidak kata kami jauh berbeza dengan yang lain, tetapi keunikan yang kami miliki inilah yang kami cuba lakukan.

Persekitaran Sabah boleh menepati impian kami, dan saya harap kami juga dapat menepati keperluan Sabah katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/feed/ 0 80134
Sabah jadi pentas perpaduan belia serantau melalui AYVP 2025 https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-jadi-pentas-perpaduan-belia-serantau-melalui-ayvp-2025/ https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-jadi-pentas-perpaduan-belia-serantau-melalui-ayvp-2025/#respond Sun, 20 Jul 2025 02:18:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77604
Read Time:1 Minute, 28 Second
Kota Kinabalu: Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) 2025 diharap menjadi permulaan kepada legasi kepimpinan belia serantau yang berteraskan nilai kemanusiaan dan perpaduan sejagat.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, pendekatan program yang menempatkan peserta di inap desa Kampung Kobuni memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat.

“Program ini membuka ruang kepada peserta untuk mengenali Sabah dari sudut yang berbeza, bukan sahaja keindahan semula jadinya seperti Gunung Kinabalu, Sipadan dan Tip of Borneo, tetapi juga nilai komuniti yang kaya dengan semangat saling menyokong,” katanya.  

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun pada Malam Kebudayaan sempena AYVP 2025 di Dewan Kampung Kobuni, di sini pada Jumaat.

Ellron berkata pelaksanaan aktiviti seperti malam kebudayaan, memasak bersama penduduk serta persembahan kesenian memberi peluang kepada peserta menyelami tradisi masyarakat Sabah secara langsung, sekali gus mengangkat nilai perpaduan dan rasa saling menghormati dalam kalangan generasi muda serantau. 

Beliau turut menyuarakan harapan agar AYVP dijadikan program warisan ASEAN dan dilaksanakan secara berterusan oleh negara anggota secara bergilir, bermula dengan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026.

“Bayangkan, dari Sabah ke Samar, dari Kobuni ke Quezon, belia ASEAN berganding bahu dalam khidmat, tahun demi tahun, negara demi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peserta AYVP 2025, Sos Solihen berkata setiap aktiviti yang dijalankan, walaupun ringkas, membawa makna yang besar dan mendalam kepada para peserta.

“Ia mencerminkan keupayaan golongan belia apabila dipandu dengan nilai belas ihsan, semangat kerjasama dan matlamat yang sama.

“Pengalaman ini memperkukuh rasa hormat kami terhadap warisan budaya Sabah serta keramahan rakyatnya yang amat menyentuh hati,” ujarnya.  

AYVP 2025 menghimpunkan penyertaan belia dari 11 negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Myanmar, Timor-Leste, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Laos.-  

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-jadi-pentas-perpaduan-belia-serantau-melalui-ayvp-2025/feed/ 0 77604
Anwar: ASEAN Perlu Kekal Bersatu dan Tentukan Arah Sendiri https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/ https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/#respond Wed, 09 Jul 2025 02:54:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76961
Read Time:1 Minute, 38 Second

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru ASEAN agar terus bersatu, memperkukuh kerjasama, dan menolak sebarang cubaan kuasa luar menentukan hala tuju rantau ini.

Berucap semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, Anwar menekankan pentingnya “ASEAN Centrality” dalam menghadapi cabaran global seperti konflik di Gaza, Ukraine dan Myanmar, serta ketegangan di Timur Tengah.

“Kita tidak boleh membenarkan keputusan mengenai rantau ini dibuat tanpa kita. ASEAN mesti berdiri mempertahankan prinsip dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend global di mana perdagangan dan pelaburan kini digunakan sebagai alat tekanan geopolitik, dan menyeru agar dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN diselaraskan secara lebih rapat.

Anwar juga menekankan keperluan memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara anggota serta menumpukan kerjasama dalam bidang pendidikan, kesihatan, makanan, digital dan perubahan iklim katanya ketika berucap pada pembukaan mesyuarat itu.

Mesyuarat dihadiri Menteri-menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Keutamaan kepada Keberhasilan Nyata

Di dalam ucapannya itu lagi, Perdana Menteri turut menekankan bahawa ASEAN mesti terus menumpukan kepada kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat seperti kesalinghubungan, keselamatan makanan, pendidikan, kesihatan awam, transformasi digital dan ketahanan iklim.

Beliau menggambarkan aspirasi ASEAN melalui kisah rakyat biasa di Batambang, Luzon dan Chiang Rai – menekankan bahawa kejayaan ASEAN terletak pada impak kepada kehidupan rakyat, bukan sekadar dalam kenyataan bersama.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau ini boleh menjadi lebih aman dan makmur — jika kita berani melihat ASEAN sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.”

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyatakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus kekal sebagai rantau yang padu, berdaya tahan dan dihormati.

“Marilah kita perbaharui iltizam bahawa ASEAN akan terus menjadi suara yang konsisten, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya sebelum merasmikan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat kali ini juga mencatat sejarah penting dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN yang bakal disahkan secara rasmi pada Oktober ini – satu langkah yang sentiasa disokong oleh Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/feed/ 0 76961
Malaysia Tutup Tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan Kejayaan Bermakna – Anwar Ibrahim https://sabahmedia.com/2025/05/27/malaysia-tutup-tirai-sidang-kemuncak-asean-ke-46-dengan-kejayaan-bermakna-anwar-ibrahim/ https://sabahmedia.com/2025/05/27/malaysia-tutup-tirai-sidang-kemuncak-asean-ke-46-dengan-kejayaan-bermakna-anwar-ibrahim/#respond Tue, 27 May 2025 14:14:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74656
Read Time:1 Minute, 46 Second

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang disifatkannya sebagai antara persidangan paling substantif dalam sejarah rantau itu.

Menerusi satu muat naik di Facebook rasminya malam ini, Anwar berkata kejayaan sidang tersebut adalah hasil usaha gigih dan kerjasama erat antara pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pasukan keselamatan negara.

“Alhamdulillah, Malaysia menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan penuh bermakna,” katanya sambil menyifatkan semangat setiakawan luar biasa antara pemimpin ASEAN sebagai tunjang utama kejayaan sidang kali ini.

Menurut Anwar, sidang tersebut bukan sahaja menghasilkan kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna, tetapi juga menyaksikan kemajuan ketara dalam kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Perbincangan kali ini tidak lagi bersifat formaliti semata-mata, tetapi jauh lebih teliti, menyentuh isu-isu seperti tarif, projek bersama serta peranan bersama dalam mendukung keamanan dan kestabilan rantau,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ASEAN kekal berpegang pada prinsip kepusatan serantau dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi yang saksama.

“Kita akan terus menjalin kerjasama strategik dengan semua kuasa besar dunia — sama ada China, Amerika Syarikat mahupun negara-negara lain — demi kepentingan rantau,” jelasnya.

Dalam muat naik itu, Anwar turut memaklumkan bahawa ASEAN mencapai kata sepakat untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh menjelang Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan akhir dalam aspek ekonomi.

Antara pencapaian penting lain termasuk keputusan untuk memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan GCC, yang dijangka membuka ruang baharu dalam pengembangan pasaran dan integrasi ekonomi serantau.

“Banyak isu penting yang lazimnya dibincangkan kemudian telah diselesaikan lebih awal daripada kebiasaan — termasuk isu Myanmar, tarif dan perdagangan intra-ASEAN,” katanya.

Anwar turut menyatakan harapannya agar kesepakatan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit menjelang pertemuan akan datang pada bulan Oktober.

“Saya percaya semangat yang ditunjukkan oleh semua pemimpin ASEAN kali ini mencerminkan tekad baharu untuk menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat demi masa depan yang lebih mampan dan terangkum,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur menyaksikan kehadiran kesemua ketua negara dan kerajaan ASEAN, termasuk tetamu kehormat dari GCC dan China.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/27/malaysia-tutup-tirai-sidang-kemuncak-asean-ke-46-dengan-kejayaan-bermakna-anwar-ibrahim/feed/ 0 74656
ASEAN Sepakat Tangani Ketidaktentuan Ekonomi Global, Tolak Tindakan Unilateral https://sabahmedia.com/2025/05/27/asean-sepakat-tangani-ketidaktentuan-ekonomi-global-tolak-tindakan-unilateral/ https://sabahmedia.com/2025/05/27/asean-sepakat-tangani-ketidaktentuan-ekonomi-global-tolak-tindakan-unilateral/#respond Tue, 27 May 2025 13:54:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74653
Read Time:1 Minute, 39 Second

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemimpin-pemimpin ASEAN sebulat suara menyuarakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin meruncing, termasuk peningkatan tindakan unilateral dan proteksionis oleh beberapa negara kuasa besar dunia.

Dalam satu kenyataan bersama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara pada 26 Mei, pemimpin ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan tarif dan sekatan pelaburan yang dikenakan secara bersendirian, yang berpotensi memecahbelahkan sistem perdagangan antarabangsa dan menjejaskan kestabilan rantau.

“ASEAN menegaskan bahawa tindakan perdagangan unilateral dan tindakan balas hanya akan memburukkan lagi ketegangan ekonomi global dan memberi kesan tidak langsung kepada rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, ASEAN mengarahkan pegawai-pegawai berkaitan agar memantau risiko pengalihan perdagangan dan memperkukuh perbincangan dengan rakan luar menerusi platform sedia ada untuk mencari penyelesaian yang konstruktif dan damai berlandaskan undang-undang antarabangsa.

Perkukuh Ekonomi Serantau

Bagi meningkatkan ketahanan ekonomi rantau, ASEAN bersetuju untuk:

  • Mempercepat pelaksanaan perjanjian seperti ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) dan menaik taraf ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA);
  • Memoden dan mengembangkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP);
  • Mempergiat hubungan ekonomi dengan rakan baharu termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC);
  • Mengaktifkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN bagi menyelaras respons terhadap cabaran ekonomi global secara strategik.

ASEAN turut menekankan keperluan untuk melaksanakan langkah domestik yang bersasar bagi menyokong industri dan pekerja tempatan yang terkesan akibat gangguan perdagangan, selain bersedia menerima perubahan ekonomi masa hadapan yang bersifat transformasi dan inovatif.

Komitmen Multilateral

Dalam kenyataan itu, ASEAN sekali lagi menzahirkan sokongan penuh terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai tunjang utama.

“ASEAN bersedia bekerjasama secara konstruktif bersama ahli WTO bagi memastikan sistem perdagangan global kekal terbuka, telus, saksama dan inklusif,” jelas kenyataan tersebut.

Menjelang sambutan ulang tahun ke-60 ASEAN pada 2027, blok serantau itu menegaskan perpaduan dan prinsip ASEAN Centrality sebagai kunci kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.

Kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/27/asean-sepakat-tangani-ketidaktentuan-ekonomi-global-tolak-tindakan-unilateral/feed/ 0 74653
Pemimpin Asean Tandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Ikrar Bentuk Masa Depan Serantau Yang Lebih Mampan dan Inklusif https://sabahmedia.com/2025/05/26/pemimpin-asean-tandatangani-deklarasi-kuala-lumpur-2045-ikrar-bentuk-masa-depan-serantau-yang-lebih-mampan-dan-inklusif/ https://sabahmedia.com/2025/05/26/pemimpin-asean-tandatangani-deklarasi-kuala-lumpur-2045-ikrar-bentuk-masa-depan-serantau-yang-lebih-mampan-dan-inklusif/#respond Mon, 26 May 2025 10:15:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74562
Read Time:1 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR, — Negara-negara anggota ASEAN hari ini menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, menandakan komitmen baharu blok serantau itu untuk memperkukuh integrasi, menangani cabaran global dan membentuk masa depan yang lebih mampan, saksama dan berpaksikan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, dokumen ini bukan sekadar penghormatan terhadap masa lalu, tetapi ikrar hidup terhadap masa depan yang menuntut tindakan kolektif dan tadbir urus bersama.

“Adalah sering dikatakan bahawa cara terbaik untuk meramal masa depan ialah dengan menciptanya. Itulah yang ASEAN usahakan selama beberapa dekad melalui usaha konsisten, visi strategik dan kepercayaan serantau,” katanya dalam majlis menandatangani deklarasi yang turut dihadiri Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN

Menurut beliau, ASEAN kini berdepan cabaran ketidaktentuan persekitaran antarabangsa, ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi, perubahan iklim dan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan serta ekonomi digital.

“Teknologi boleh menjadi pemangkin kemakmuran, tetapi juga membawa risiko – termasuk meningkatkan ketidaksamarataan dan menggugat mata pencarian sekiranya tidak ditadbir dengan baik,” katanya.

Anwar menekankan bahawa integrasi serantau yang dirancang menerusi ASEAN 2045 perlu benar-benar berpaksikan rakyat, termasuk usaha menutup jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan memanfaatkan potensi insan seluruh warga ASEAN.

Deklarasi Kuala Lumpur 2045 turut memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau dan biru, inovasi digital serta kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk menjadi rantau yang lebih inklusif, berdaya tahan dan progresif menjelang dua dekad akan datang.

Majlis itu juga menyaksikan peringatan terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2025 yang dilancarkan di ibu kota sedekad lalu, sekali gus memperkukuh kesinambungan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pembinaan komuniti serantau yang teguh dan stabil.

“Dengan kejelasan visi, keteguhan tekad dan kesatuan hati, marilah kita bina ASEAN yang menjadi warisan paling berharga kepada generasi akan datang,” kata Anwar mengakhiri ucapannya

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/26/pemimpin-asean-tandatangani-deklarasi-kuala-lumpur-2045-ikrar-bentuk-masa-depan-serantau-yang-lebih-mampan-dan-inklusif/feed/ 0 74562
ASEAN Digesa Perluas Potensi Tenaga Hijau Menerusi Grid Kuasa Serantau – Fadillah https://sabahmedia.com/2025/05/26/asean-digesa-perluas-potensi-tenaga-hijau-menerusi-grid-kuasa-serantau-fadillah/ https://sabahmedia.com/2025/05/26/asean-digesa-perluas-potensi-tenaga-hijau-menerusi-grid-kuasa-serantau-fadillah/#respond Mon, 26 May 2025 03:51:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74532
Read Time:1 Minute, 50 Second

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memperkukuh integrasi fizikal dan institusi dalam sektor tenaga bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak sekata di rantau ini, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pelaksanaan rangkaian Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid, APG) mampu menjadi pemangkin kepada perdagangan tenaga rentas sempadan yang lebih menyeluruh dan mampan.

“Hydro banyak tertumpu di Mekong, manakala potensi solar dan angin berada di negara-negara maritim seperti Filipina, Indonesia dan Malaysia. Justeru, kita perlu menghubungkan potensi ini agar semua negara ASEAN dapat menikmatinya secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di ibu negara, hari ini.

Setakat ini, tujuh sambungan tenaga rentas sempadan sudah beroperasi, manakala lebih banyak dalam perancangan, termasuk melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang menjadi contoh terbaik pelaksanaan perdagangan tenaga elektrik pelbagai hala di rantau ini.

Fadillah berkata, Malaysia turut memperkukuh pertukaran tenaga dua hala bersama negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Malaysia mencatat sejarah apabila memulakan dagangan elektrik hijau rentas sempadan pertamanya dengan Singapura menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada 13 Disember lalu. Dalam tempoh hanya 148 hari, lebih 107 TWh tenaga hijau daripada sumber solar dan hidro telah dihantar merentasi Tambak Johor ke Singapura,” katanya.

Menurut beliau, ASEAN dijangka memerlukan kapasiti penghantaran antara wilayah sekurang-kurangnya 24.4 GW menjelang 2040, melibatkan pelaburan lebih AS$770 bilion.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi peluang untuk membina daya tahan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, dan merangsang industri hijau baharu,” jelasnya.

Fadillah turut menekankan kepentingan penyelarasan serantau dalam aspek pensijilan tenaga hijau melalui Sijil Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Certificate, REC) yang saling diiktiraf antara negara.

“Pengiktirafan bersama ini penting bagi mengelak masalah kiraan berganda serta memastikan keyakinan pelabur dan pembeli tenaga korporat.

“Malaysia menyokong penuh pembentukan rangka kerja ASEAN untuk atribut hijau yang selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Ini antara keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.

ASEAN kini merupakan pengguna tenaga keempat terbesar dunia, dengan permintaan meningkat sekitar tiga peratus setahun dalam dua dekad terakhir. Sekiranya trend ini berterusan, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan lonjakan lebih 60 peratus menjelang 2040.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/26/asean-digesa-perluas-potensi-tenaga-hijau-menerusi-grid-kuasa-serantau-fadillah/feed/ 0 74532
ASEAN Fokus Tingkatkan Daya Tahan Ekonomi Serantau di Tengah Ketidaktentuan Global https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-fokus-tingkatkan-daya-tahan-ekonomi-serantau-di-tengah-ketidaktentuan-global/ https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-fokus-tingkatkan-daya-tahan-ekonomi-serantau-di-tengah-ketidaktentuan-global/#respond Sun, 25 May 2025 07:24:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74474
Read Time:1 Minute, 25 Second

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25, menegaskan kepentingan kerjasama serantau dalam menghadapi perubahan drastik dasar ekonomi global, terutamanya yang berpunca daripada pendekatan baharu oleh Amerika Syarikat.

Dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat AEC hari ini, beliau mengalu-alukan para Menteri Ekonomi ASEAN dan delegasi, sambil mengiktiraf kesibukan blok itu dalam siri rundingan bersama rakan dialog seperti China, Jepun, Australia dan New Zealand minggu ini.

“Dasar ekonomi terkini Amerika Syarikat termasuk tarif timbal balik, ‘strategic decoupling’, dan ‘friend-shoring’ dalam rantaian bekalan, memerlukan kita bertindak secara berhemah dan strategik,” katanya. ASEAN, tambah beliau, memilih jalan diplomasi dan kerjasama berbanding tindakan balas, satu pendekatan yang menurutnya telah membantu mengekalkan kestabilan dan keterlibatan ekonomi serantau.

Tengku Zafrul turut menyampaikan penghargaan kepada rakan sejawat ASEAN atas sokongan dalam mesyuarat-mesyuarat AEM khas serta konsultasi bersama rakan dialog. Beliau menggesa agar momentum itu dikekalkan, termasuk meneroka langkah-langkah bagi meningkatkan dagangan intra-ASEAN dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang luar.

Mesyuarat separuh hari itu dijangka membincangkan 11 agenda, termasuk kemajuan pelbagai inisiatif AEC serta cadangan yang akan dibawa ke Majlis Penyelaras ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, bersama Sekretariat ASEAN dijangka mengetuai sesi pembentangan dan kemas kini status.

Mengakhiri ucapannya, Menteri MITI itu mengingatkan semua pihak untuk kekal berpegang pada nilai-nilai teras ASEAN: keamanan, kestabilan, saling menghormati dan masa depan yang lebih baik. “Persekitaran ekonomi semasa tidak menuntut kita berundur, tetapi menuntut tekad yang diperbaharui,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste dalam mesyuarat, selaras dengan garis panduan baru yang diterima pakai oleh Majlis Penyelaras ASEAN ke-35.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-fokus-tingkatkan-daya-tahan-ekonomi-serantau-di-tengah-ketidaktentuan-global/feed/ 0 74474
ASEAN – Malaysia Tekankan Perpaduan dan Inovasi dalam Ucapan Pembukaan ACC ke-36 https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-malaysia-tekankan-perpaduan-dan-inovasi-dalam-ucapan-pembukaan-acc-ke-36/ https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-malaysia-tekankan-perpaduan-dan-inovasi-dalam-ucapan-pembukaan-acc-ke-36/#respond Sun, 25 May 2025 06:54:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74462
Read Time:1 Minute, 24 Second

KUALA LUMPUR, Malaysia menggariskan visi jangka panjang ASEAN ke arah komuniti serantau yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing digital, ketika Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan, menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-36 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai peluang penting untuk menilai pencapaian ASEAN di bawah kerangka “ASEAN 2025: Forging Ahead Together”, sebelum memasuki fasa baharu melalui “ASEAN 2045: Our Shared Future”.

“Kemajuan pesat dalam teknologi digital – terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum – memberi impak besar terhadap hala tuju rantau ini. ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan digital ini,” tegas beliau.

Malaysia, selaku tuan rumah, turut menyatakan komitmen untuk memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi, serta transformasi digital demi meningkatkan daya saing rantau ini. Beliau mengingatkan bahawa pendekatan inklusif harus diutamakan bagi memastikan tiada pihak yang tercicir dalam arus pembangunan teknologi.

Antara agenda utama mesyuarat termasuk menilai pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu di Vientiane, perkembangan permohonan keahlian penuh Timor-Leste, serta laporan-laporan penting lain berkaitan masa depan ASEAN.

Menjelang Sidang Kemuncak penuh esok, ucapan Menteri Luar turut mengangkat tema perpaduan sebagai asas kekuatan ASEAN dalam menghadapi cabaran global.

“Sejarah telah membuktikan bahawa ASEAN yang bersatu dan berazam mampu membawa peluang luar biasa kepada rakyatnya. Kita mesti terus mara dalam kesepaduan, khususnya dalam dunia yang semakin kompleks dan terfragmentasi,” katanya.

Di Akhir ucapannya, Mohamad turut menyeru kepada semua negara anggota untuk terus berpegang pada semangat kerjasama, kepekaan terhadap cabaran masa depan dan komitmen kolektif terhadap visi ASEAN 2045.

Mesyuarat kemudiannya diteruskan dalam sesi tertutup selepas media diminta beredar dari dewan persidangan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/25/asean-malaysia-tekankan-perpaduan-dan-inovasi-dalam-ucapan-pembukaan-acc-ke-36/feed/ 0 74462