Atasi – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 04 Jan 2022 01:38:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Atasi – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Perancangan Yang Betul Penting Untuk Atasi Banjir Kerana Keadaan Cuaca Tidak Menentu – Maximus https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/ https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/#respond Tue, 04 Jan 2022 01:38:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10684
Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA MARUDU: Perancangan yang betul adalah penting untuk mengatasi banjir oleh kerana keadaan cuaca tidak menentu pada ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keadaan cuaca sangat tidak menentu sekarang menyukarkan sebarang perancangan tebatan banjir malah tidak boleh hanya bergantung kepada data lepas kerana jumlahnya mungkin telah berubah selain statistik juga turut berbeza setiap masa seperti jumlah mangsa banjir dan bantuan yang diperlukan serta kerugian yang dihadapi.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu menjelaskan bahawa adalah baik membuat perancangan yang betul seperti anggaran perbelanjaan yang berkemungkinan disebabkan kerosakan infrastruktur asas, serta tindakan susulan untuk membersihkan jalan, saliran dan bekalan air serta elektrik.

Bagaimanapun katanya, ia adalah usaha bersepadu semua, daripada pejabat daerah sehinggalah kepada semua agensi berkaitan.

“Kita mesti berkongsi tarikh dan maklumat, terutama yang memberi kesan kepada rakyat, supaya perancangan bandar yang baik dan bantuan sewajarnya dapat dihulurkan kepada golongan terjejas dengan segera.

“Kita tidak boleh berlengah-lengah dalam menangani kehidupan seseorang. Kita mesti pastikan mereka yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan mempunyai keperluan asas,” katanya.

Setakat hari ini, Kota Marudu merupakan antara daerah dengan jumlah mangsa banjir tertinggi, dengan 2,682 orang daripada 1,015 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita memerlukan lebih banyak khemah bantuan bencana, lebih daripada sebelum ini. Bayangkan, salah satu pusat pemindahan di sini menempatkan 42 keluarga,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Ranau, di sini, semalam.

Justeru, beliau menambah, kerajaan negeri Sabah mampu menghadapi ancaman seperti banjir yang melanda negeri ini, hasil hubungan antara agensi yang erat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi-agensi keselamatan lain.

“Selain perancangan dalam tebatan banjir, bahawa sumber kewangan yang mencukupi juga penting, terutamanya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati juga terpakai dalam kawalan tebatan banjir,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk membelanjakan kos pembinaan infrastruktur sekarang daripada menangguhkannya kerana kos perbelanjaan akan lebih mahal sekiranya berlaku bencana akibat perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/feed/ 0 10684
Sinergi Inovasi UMS-Industri Hasil Dana MOSTI Atasi Isu Air Bersih Penduduk Kiulu https://sabahmedia.com/2021/10/25/sinergi-inovasi-ums-industri-hasil-dana-mosti-atasi-isu-air-bersih-penduduk-kiulu/ https://sabahmedia.com/2021/10/25/sinergi-inovasi-ums-industri-hasil-dana-mosti-atasi-isu-air-bersih-penduduk-kiulu/#respond Mon, 25 Oct 2021 09:53:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7901
Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Graviti Bersih dan Terawat Mudah Alih di Kampung Rungus Nahaba, Kiulu, Tuaran hasil sinergi inovasi penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan rakan industri dari Syarikat Pembinaan Kiawayan Sdn. Bhd. (PKSB) membantu penduduk di kampung itu menikmati bekalan air bersih yang boleh terus diminum.

Projek hasil dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui geran Malaysia Social Innovation (MySI) itu dilaksanakan selama tujuh bulan dengan penglibatan gotong-royong bersama penduduk kampung, dan telah mula beroperasi sejak Julai lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, projek di kawasan tersebut yang melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan inovasi sosial membolehkan bekalan air disalurkan ke 30 buah rumah di kampung tersebut.

“Dari aspek kejuruteraan, teknologi membran dan graviti diaplikasikan agar bekalan air dikumpulkan dan ditapis sehingga boleh diminum terus dari paip air, dan kualiti inovasi sebeginilah yang UMS giat usahakan untuk dibawa kepada masyarakat di negeri ini.

“Selain aspek teknikal, inovasi kedua yang penyelidik UMS ketengahkan adalah dengan mewujudkan satu sistem untuk penduduk tempatan melalui pengwujudan jawatankuasa pengurusan dalam kalangan penduduk kampung.

“Ini bagi memperkasakan mereka dari segi kemahiran untuk mengendalikan peralatan yang mesra pengguna agar teknologi yang dihasilkan lebih lestari dan komuniti terlibat boleh menerima teknologi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Projek Bekalan Air Graviti Bersih Kg. Rungus Nahaba baru-baru ini.

Ramzah turut memaklumkan UMS sememangnya sedang giat melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat seperti projek di Kampung Rungus Nahaba, dan perkara tersebut turut menjadi keutamaan dalam agenda penyelidikan di UMS dalam tempoh dua tahun ini.

“Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan pemacu sosioekonomi dan penyelesaian terhadap pelbagai masalah komuniti di negeri Sabah, selain turut merupakan game changer dalam pelbagai aspek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Justeru, projek inovasi sebegini yang UMS banyak berkolaborasi dengan pelbagai pihak demi manfaat masyarakat, dan UMS juga melaksanakan projek seumpama di daerah Pitas tetapi dengan teknologi yang berbeza,” kata Ramzah.

Dalam pada itu, Ketua Projek, Profesor Madya Ts. Dr. Gaim James Lunkapis memberitahu, terdapat tiga inovasi utama yang diperkenalkan dalam projek tersebut, iaitu inovasi pengambilan sumber bekalan air, inovasi aliran graviti, dan rumah tapisan teknologi hijau.

“Inovasi ini tidak langsung menggunakan kuasa elektrik, sebaliknya hanya bergantung kepada kuasa aliran graviti secara semula jadi.

“Teknologi ini boleh digunakan di mana-mana kawasan luar bandar yang tidak memiliki bekalan tenaga elektrik, dan tenaga solar juga boleh digunakan untuk mengambil air di bawah tanah,” katanya.

Ujar Gaim, projek itu merupakan sumbangan UMS untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih khususnya di luar bandar yang tidak menerima bekalan air atas faktor kekangan sumber kewangan dan lokasi kawasan agak jauh yang secara konvensional akan menelan kos tinggi bagi melaksanakan sistem perpaipan biasa.

Perasmian projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersilan UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/25/sinergi-inovasi-ums-industri-hasil-dana-mosti-atasi-isu-air-bersih-penduduk-kiulu/feed/ 0 7901