Barang Kawalan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 14 Mar 2026 05:09:42 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Barang Kawalan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pemerkasaan penguatkuasaan antara agensi banteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan https://sabahmedia.com/2026/03/14/pemerkasaan-penguatkuasaan-antara-agensi-banteras-ketirisan-dan-penyeludupan-barang-kawalan/ https://sabahmedia.com/2026/03/14/pemerkasaan-penguatkuasaan-antara-agensi-banteras-ketirisan-dan-penyeludupan-barang-kawalan/#respond Sat, 14 Mar 2026 05:09:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93251
Read Time:3 Minute, 57 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan memperkasa kerjasama penguatkuasaan antara agensi bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api diesel dan petrol, susulan peningkatan risiko akibat konflik Asia Barat yang mendorong lonjakan harga minyak global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026 telah mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).

Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, manakala KPDN bertindak sebagai urus setia.

“Pengaktifan jawatankuasa ini dibuat susulan peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan akibat lonjakan harga minyak global berikutan konflik Asia Barat.

“Situasi ini mewujudkan jurang harga yang ketara antara harga runcit bahan api di Malaysia dengan harga pasaran semasa, sekali gus meningkatkan potensi aktiviti penyelewengan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Dan Advokasi Kepenggunaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru di sini, hari ini.

Armizan berkata, meskipun pelarasan harga telah dibuat bagi tempoh 12 hingga 18 Mac 2026, harga runcit diesel dan petrol di pam masih lebih rendah berbanding harga pasaran global.

Katanya, peningkatan harga minyak Brent dunia kepada antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong minggu lalu berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik bermula turut menambah tekanan terhadap kos subsidi kerajaan.

Menurut beliau, risiko ketirisan juga lebih besar di Sabah dan Sarawak berikutan pelaksanaan subsidi pukal diesel yang masih diteruskan di kedua-dua negeri itu.

“Di Sabah dan Sarawak, harga pam diesel adalah RM2.15 seliter berbanding RM3.92 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga pasaran mengikut mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) mencecah RM4.30 seliter.

“Ini bermaksud pengguna di Sabah dan Sarawak membeli diesel pada harga kurang separuh daripada kos sebenar yang ditanggung kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, implikasi kewangan subsidi kerajaan akan meningkat sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibendung secara tegas.

Sebagai contoh, katanya, jumlah subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak pada tahun 2025 mencecah RM2 bilion, melibatkan RM924 juta untuk Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.

“Berdasarkan kadar penggunaan yang sama serta harga pasaran semasa, jumlah tanggungan subsidi itu dianggarkan meningkat kepada RM4.6 bilion pada tahun 2026,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah intervensi segera yang diputuskan Jemaah Menteri ialah memperkukuh penguatkuasaan secara menyeluruh merentasi semua agensi berkaitan.

Menurut beliau, selain kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, operasi penguatkuasaan turut memberi fokus khusus kepada Sabah dan Sarawak memandangkan jurang besar antara harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang berpotensi membuka ruang ketirisan serta penyeludupan.

Operasi berkenaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Di bawah Akta 122, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Sementara itu, di bawah Akta 613, pesalah boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Ditanya mengenai rungutan sebahagian rakyat di Semenanjung yang menganggap pemberian subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sebagai tidak adil, Armizan menjelaskan bahawa keputusan kerajaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor khususnya keadaan geografi dan kos sara hidup di kedua-dua negeri.

Menurutnya, penggunaan diesel dalam kalangan pengguna domestik di Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih tinggi kerana sebahagian isi rumah masih bergantung kepada bahan api itu untuk urusan harian.

“Sebagaimana yang pernah saya sebutkan termasuk di Dewan Rakyat, kerajaan mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum memutuskan subsidi diesel dikekalkan di Sabah dan Sarawak.

“Antaranya ialah penggunaan yang tinggi dalam kalangan pengguna domestik termasuk isi rumah yang masih bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian disebabkan faktor geografi di kedua-dua negeri,” katanya.

Armizan berkata, faktor yang lebih penting ialah jurang harga barangan yang ketara antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, masyarakat di Sabah dan Sarawak telah lama berdepan kos barangan yang lebih tinggi berikutan faktor logistik, pengangkutan dan sumber bekalan yang jauh.

“Isu jurang harga ini bukan perkara baharu, malah sudah berlaku sejak berpuluh tahun. Sebab itu kerajaan turut melaksanakan dasar penstabilan harga bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar pendapatan rakyat di Sabah dan Sarawak digunakan untuk membeli keperluan asas termasuk makanan yang harganya lebih tinggi berbanding di Semenanjung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan berpandangan subsidi diesel perlu dikekalkan di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/14/pemerkasaan-penguatkuasaan-antara-agensi-banteras-ketirisan-dan-penyeludupan-barang-kawalan/feed/ 0 93251
Senarai 30 barang kawalan sempena Aidilfitri diumum 13 April ini https://sabahmedia.com/2023/04/05/senarai-30-barang-kawalan-sempena-aidilfitri-diumum-13-april-ini/ https://sabahmedia.com/2023/04/05/senarai-30-barang-kawalan-sempena-aidilfitri-diumum-13-april-ini/#respond Wed, 05 Apr 2023 00:54:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32179
Read Time:1 Minute, 1 Second

BERNAMA

KUALA SELANGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan 30 barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Aidilfitri pada 13 April ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata senarai barangan itu turut termasuk bahan utama dalam pembuatan kuih raya.

“Harga kawalan ini (pelaksanaan) akan bermula pada minggu depan (13 April), selama dua minggu iaitu tujuh hari sebelum raya dan tujuh hari selepas raya.

“Ini langkah kerajaan untuk memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan kita masih dapat mengawal harga yang kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Rahmah Negeri Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur Park, Puncak Alam, di sini semalam.

Beliau berkata walaupun harga barangan berkenaan masih belum diumumkan, pihaknya mendapati terdapat beberapa pasar raya besar telah menjual barangan keperluan asas dengan harga rahmah.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memberi jaminan bahawa bekalan telur mencukupi sepanjang musim perayaan selain pihaknya akan terus melakukan pemantauan.

“Kita (KPDN) juga akan pantau dari hari ke hari. Bukan KPDN dengar begitu sahaja dan kita selesa sebaliknya pemantauan berterusan dilakukan. Selain itu, ayam juga tetap dijual mengikut harga siling, kita tidak akan naikkan,” katanya.– BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/05/senarai-30-barang-kawalan-sempena-aidilfitri-diumum-13-april-ini/feed/ 0 32179
Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup Barang Kawalan https://sabahmedia.com/2021/11/23/polis-marin-gagalkan-cubaan-seludup-barang-kawalan/ https://sabahmedia.com/2021/11/23/polis-marin-gagalkan-cubaan-seludup-barang-kawalan/#respond Tue, 23 Nov 2021 08:00:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8765
Read Time:46 Second

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan di kawasan perairan Kg Air, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata, pada jam lebih kurang 12.30 tengahari semalam (Isnin), pasukan Polis Marin membuat rondaan di kawasan Perairan Laut Kg. Air, Semporna telah ternampak sebuah bot ditambat di tiang jeti kawasan Kg. Air, Semporna dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menjumpai beberapa jerikin saiz 30 liter berisi minyak petrol dan beberapa kotak minyak masak yang disyaki akan diseludup ke negara jiran iaitu Filipina,” kata Mohamad dalam kenyataannya menerusi laman Rasmi Facebook Pasukan Polis Marin W4 Sabah.

Bot dan barang kawalan ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk di serahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,627.50.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/23/polis-marin-gagalkan-cubaan-seludup-barang-kawalan/feed/ 0 8765