bekalan elektrik sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 21 Sep 2026 06:29:55 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png bekalan elektrik sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Bekalan elektrik Sabah meningkat selepas ambil alih kawal selia tenaga https://sabahmedia.com/2026/09/21/bekalan-elektrik-sabah-meningkat-selepas-ambil-alih-kawal-selia-tenaga/ https://sabahmedia.com/2026/09/21/bekalan-elektrik-sabah-meningkat-selepas-ambil-alih-kawal-selia-tenaga/#respond Mon, 21 Sep 2026 06:29:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103859
Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengambilalihan kuasa berkenaan membolehkan Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek serta penambahbaikan sistem bekalan elektrik tanpa perlu menunggu kelulusan pihak berkuasa Persekutuan seperti sebelum ini.

“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sabah mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.

Setahun sebelumnya, Sabah turut mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.

Hajiji berkata jidar simpanan penjanaan Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini, meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu.

Pada masa sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut menunjukkan peningkatan apabila tempoh gangguan berkurang daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.

Menurutnya, perkembangan itu hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem Grid secara berterusan.

Beliau berkata pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta keanjalan sistem.

“Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTS ialah semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun, bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga.

Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur, Hajiji berkata cadangan pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi.

“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan LSS dan BESS turut memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di Pantai Timur.

“Setiap keputusan MTS hendaklah dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri, akan terus memantau pelaksanaan projek yang telah diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/21/bekalan-elektrik-sabah-meningkat-selepas-ambil-alih-kawal-selia-tenaga/feed/ 0 103859
DUN Sabah : Kenaikan beban pengguna faktor utama penyumbang masalah bekalan elektrik https://sabahmedia.com/2024/01/03/dun-sabah-kenaikan-beban-pengguna-faktor-utama-penyumbang-masalah-bekalan-elektrik/ https://sabahmedia.com/2024/01/03/dun-sabah-kenaikan-beban-pengguna-faktor-utama-penyumbang-masalah-bekalan-elektrik/#respond Wed, 03 Jan 2024 05:59:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=47423
Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Kenaikan beban pengguna daripada 900 Megawatt (MW) kepada 1,100 MW dalam tempoh setahun menjadi antara faktor utama kepada penyumbang permasalahan bekalan elektrik pada ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan beban pengguna itu adalah lanjutan dari pembangunan ekonomi yang rancak di negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, selari dengan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 yang telah dilancarkan pada 19 September 2023, maka fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track.

“Ini adalah bagi mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas di sini hari ini.

Hajiji berkata, antara PPP yang akan dilaksanakan termasuklah penyewaan set-set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100 MW secara berperingkat iaitu 40 MW pada bulan Disember 2023 dan 60 MW pada bulan Mac 2024.   

Selain itu katanya, pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70 MW turut akan dilaksanakan.

“Pelan pembangunan penjanaan turut dilaksanakan dengan menyiapkan projek Solar Berskala Besar sebanyak 62 MWpada tahun 2024 dan cadangan pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) sebanyak 100 MW yang dijadualkan untuk penyiapan pada tahun 2026 akan diawalkan untuk sasaran penyiapan pada tahun 2024.

“Pelan itu juga akan melaksanakan penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina dan pengoperasian sumber-sumber Tenaga Hijau melalui program Tarif Galakan dari sumber mini hidro berkapasiti 31.6 MW dan biogas berkapasiti 5.6 MW pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya lagi, penambahan projek Solar Berskala Besar sebanyak 100 MW pada tahun 2025 akan turut dilaksanakan menerusi pelan berkenaan,

“Disamping itu untuk memastikan kemampanan kapasiti penjanaan yang mencukupi, Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang akan juga dilaksanakan yang antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 MW, projek Solar Berskala Besar berjumlah 100 MW dan lain-lain projek penjanaan.


“Di samping itu terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link. Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna – pengguna industri di masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/03/dun-sabah-kenaikan-beban-pengguna-faktor-utama-penyumbang-masalah-bekalan-elektrik/feed/ 0 47423