Belanjawan 2027 – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 11 Oct 2026 04:50:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Belanjawan 2027 – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Belanjawan 2027 perkukuh kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah – Julita https://sabahmedia.com/2026/10/11/belanjawan-2027-perkukuh-kesihatan-dan-kesejahteraan-rakyat-sabah-julita/ https://sabahmedia.com/2026/10/11/belanjawan-2027-perkukuh-kesihatan-dan-kesejahteraan-rakyat-sabah-julita/#respond Sun, 11 Oct 2026 04:50:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105185
Read Time:2 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 membuka peluang untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan, memperluas sokongan kepada wanita dan keluarga serta menambah baik bantuan kepada golongan rentan di Sabah.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, kemudahan perubatan dan tenaga kerja kesihatan.

Beliau berkata, keutamaan kini adalah memastikan peruntukan dan inisiatif yang disediakan dapat dimanfaatkan secara berkesan, mengambil kira keperluan tempatan serta memberikan impak nyata kepada rakyat.

“Kita perlu memberikan tumpuan kepada keperluan masyarakat dan memastikan setiap inisiatif membawa manfaat praktikal, khususnya di kawasan yang paling memerlukan penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Julita berkata, usaha memperkukuh tenaga kerja kesihatan, termasuk penyediaan lebih 9,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak pada 2027 serta peningkatan Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) bagi jururawat dan paramedik, berpotensi meningkatkan kestabilan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.

Katanya, tenaga kerja kesihatan yang mencukupi penting bagi memastikan kesinambungan rawatan dan mutu perkhidmatan, khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Tenaga kerja kesihatan yang kukuh amat penting bagi memastikan kesinambungan rawatan dan mutu perkhidmatan. Di Sabah, akses kepada petugas kesihatan perlu terus diberi keutamaan, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM200 juta bagi rawatan pesakit melalui perkhidmatan luar, RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan kesihatan awam serta penyediaan 400 ambulans baharu untuk KKM.

Menurutnya, inisiatif berkenaan berpotensi meningkatkan akses kepada rawatan dan memperkukuh perkhidmatan kecemasan, terutama di Sabah yang mempunyai cabaran geografi serta penempatan penduduk yang berjauhan dari hospital utama.

“Dengan mengambil kira keadaan geografi Sabah, usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan memerlukan perhatian terhadap kemudahan, peralatan perubatan, tindak balas kecemasan dan perkhidmatan pakar supaya penduduk yang tinggal jauh dari hospital utama dapat menerima rawatan tepat pada masanya,” katanya.

Dari aspek kemampuan mendapatkan rawatan, Julita turut menyambut baik peningkatan peruntukan Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini, selain sokongan menerusi inisiatif seperti PeKa B40 dan peluasan langkah pencegahan penyakit.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2027 turut menyediakan sokongan kepada golongan rentan, termasuk peruntukan bantuan RM1.5 bilion untuk orang kurang upaya (OKU) dan RM1.3 bilion bagi warga emas.

Katanya, bantuan berkenaan perlu disokong dengan akses kepada penjagaan bersesuaian, pemulihan dan sokongan komuniti, termasuk bantuan kepada penjaga yang memainkan peranan penting dalam menjaga OKU, warga emas serta individu yang memerlukan penjagaan jangka panjang.

“Bantuan perlu disertai akses kepada penjagaan yang bersesuaian, pemulihan dan sokongan komuniti. Sokongan kepada penjaga juga sama penting kerana keluarga sering memainkan peranan utama dalam menjaga OKU, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan jangka panjang,” katanya.

Julita berkata, inisiatif yang menyokong penyertaan ekonomi wanita, pembiayaan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pula berpotensi membantu wanita menjana pendapatan mampan, di samping mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga.

“Kita mahu wanita dan keluarga di Sabah turut mendapat manfaat daripada peluang ini, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Keutamaan saya adalah memastikan program yang bersesuaian sampai kepada kumpulan sasar dan membantu meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus meneliti keperluan masyarakat dan menyokong pelaksanaan program berkaitan secara berkesan, dengan memberikan perhatian khusus kepada komuniti luar bandar, wanita, keluarga, warga emas dan OKU.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/11/belanjawan-2027-perkukuh-kesihatan-dan-kesejahteraan-rakyat-sabah-julita/feed/ 0 105185
Belanjawan 2027 perlu peruntukan khas tangani banjir kilat di Inanam, Kolombong dan Menggatal https://sabahmedia.com/2026/10/05/belanjawan-2027-perlu-peruntukan-khas-tangani-banjir-kilat-di-inanam-kolombong-dan-menggatal/ https://sabahmedia.com/2026/10/05/belanjawan-2027-perlu-peruntukan-khas-tangani-banjir-kilat-di-inanam-kolombong-dan-menggatal/#respond Mon, 05 Oct 2026 13:35:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104800
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan peruntukan khas dan menyeluruh melalui Belanjawan Malaysia 2027 bagi menangani kejadian banjir kilat yang berulang di Inanam, Kolombong dan Menggatal.

Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sepanggar merangkap Penyelaras Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Dr. Roland Chia, berkata kawasan berkenaan memerlukan penyelesaian infrastruktur jangka panjang dan komprehensif, bukan sekadar bantuan pemulihan sementara atau penyelesaian secara berasingan.

Menurutnya, peningkatan kepadatan penduduk dan pembangunan pesat di kawasan Inanam, Kolombong dan Menggatal menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran air hujan berintensiti tinggi.

Beliau berkata, sungai utama dan muara termasuk Sungai Inanam, Sungai Kionsom, Sungai Menggatal, Sungai Likas serta anak-anak sungai berhampiran perlu dinaik taraf, termasuk kerja mendalamkan dan melebarkan sungai serta pembinaan struktur tebatan banjir bagi melancarkan aliran air ke laut.

Katanya, kawasan perindustrian Kolombong dan kawasan perumahan sekitarnya juga memerlukan perhatian khusus berikutan kekerapan banjir kilat yang menjejaskan perniagaan, premis komersial dan harta benda penduduk.

“Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2027 disaran merangkumi kerja pembersihan, pembesaran dan pembinaan semula sistem perparitan konkrit berskala besar bagi meningkatkan keupayaan saliran di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Roland turut mencadangkan inisiatif khas mitigasi bencana bagi memperkukuh jambatan, jalan raya dan infrastruktur asas di kawasan kampung seperti Kionsom dan Kironggu yang berisiko mengalami hakisan atau kerosakan jambatan akibat arus deras.

Pada masa sama, beliau menggesa supaya peruntukan penyelenggaraan berkala kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertingkatkan bagi memastikan sistem saliran dan infrastruktur berkaitan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, banjir kilat bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda dan trauma kepada penduduk, malah menjejaskan rantaian bekalan logistik serta aktiviti ekonomi di hab perindustrian Inanam-Kolombong.

“Rakyat di Inanam, Kolombong dan Menggatal tidak boleh terus berdepan risiko banjir kilat setiap kali hujan lebat berterusan.

“Kita memerlukan peruntukan khas yang berfokus dalam Belanjawan 2027 demi penyelesaian konkrit, menyeluruh dan mampan untuk kawasan berkenaan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/05/belanjawan-2027-perlu-peruntukan-khas-tangani-banjir-kilat-di-inanam-kolombong-dan-menggatal/feed/ 0 104800
KPDN harap peruntukan Jualan Rahmah ditambah dalam Belanjawan 2027 https://sabahmedia.com/2026/09/27/kpdn-harap-peruntukan-jualan-rahmah-ditambah-dalam-belanjawan-2027/ https://sabahmedia.com/2026/09/27/kpdn-harap-peruntukan-jualan-rahmah-ditambah-dalam-belanjawan-2027/#respond Sun, 27 Sep 2026 04:09:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104297
Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan penambahan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dalam Belanjawan 2027.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tambahan peruntukan diperlukan bagi membolehkan kekerapan penganjuran dan liputan program berkenaan diperluaskan susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat.

Beliau berkata, PJRM yang dirintis pada 2023 sebagai program jualan murah di bawah agenda Payung Rahmah kini menjadi inisiatif tetap kerajaan dengan peruntukan khusus bermula 2024.

“Kalau kita lihat sambutan rakyat, pada 2023 jumlah transaksi hanya 9.2 juta, meningkat kepada 12.8 juta pada 2024 dan 27.5 juta pada 2025.

“Bagi tahun ini sahaja, dari 1 Januari hingga 23 September, jumlah transaksi PJRM telah mencapai 31.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar yang dihadiri hampir 1,500 orang, hari ini.

Menurut Armizan, barangan yang ditawarkan menerusi PJRM dijual antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup.

Katanya, peruntukan di bawah agenda Payung Rahmah bermula dengan RM300 juta pada 2024 sebelum meningkat kepada RM600 juta pada tahun ini, termasuk komponen PJRM.

“Kita berterima kasih dengan peruntukan besar yang telah disediakan, namun sambutan rakyat amat luar biasa dan kita mengharapkan tambahan peruntukan supaya kekerapan penganjuran dapat ditingkatkan.

“Kita faham MOF juga berhadapan cabaran dari segi ruang fiskal, namun kita berharap inisiatif berkaitan kos sara hidup yang memberi impak secara langsung dan dilaksanakan secara bersasar dapat terus diberi perhatian,” katanya.

Armizan berkata, KPDN juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap PJRM termasuk menetapkan sasaran tahunan dan bulanan berdasarkan kawasan, memperluaskan penglibatan peniaga serta mempelbagaikan mekanisme penganjuran.

Katanya, program berkenaan kini turut dilaksanakan secara bergerak dan bertema termasuk musim gaji, musim perayaan serta musim persekolahan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/27/kpdn-harap-peruntukan-jualan-rahmah-ditambah-dalam-belanjawan-2027/feed/ 0 104297
Belanjawan 2027 : Pengukuhan industri komoditi, pekebun kecil diharap terus diberi perhatian https://sabahmedia.com/2026/09/24/belanjawan-2027-pengukuhan-industri-komoditi-pekebun-kecil-diharap-terus-diberi-perhatian/ https://sabahmedia.com/2026/09/24/belanjawan-2027-pengukuhan-industri-komoditi-pekebun-kecil-diharap-terus-diberi-perhatian/#respond Thu, 24 Sep 2026 03:14:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104027
Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap agar aspek pengukuhan industri komoditi serta usaha memperkasakan pekebun kecil di seluruh negara akan terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang Oktober ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perhatian berterusan terhadap sektor komoditi penting bagi memastikan industri berkenaan terus diperkukuh, termasuk memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan pekebun kecil.

“Sudah semestinya harapan kita agar penekanan terutamanya mengenai pengukuhan industri komoditi ini dapat diberi perhatian.

“Selain itu kita juga berharap agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di sini pada Khamis.

Noraini berkata, usaha memperkasakan pekebun kecil perlu dilihat sebagai antara langkah penting dalam memastikan golongan itu dapat meningkatkan pendapatan melalui aktiviti penanaman komoditi.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk insentif penanaman semula sawit dan khidmat nasihat.

Menurutnya, peningkatan pendapatan pekebun kecil bukan hanya bergantung kepada jumlah hasil yang dikeluarkan, tetapi turut berkait rapat dengan kualiti hasil serta keupayaan memenuhi keperluan pasaran.

“Matlamatnya adalah untuk menjadikan hasil produk kita berkualiti dan dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aspek kebolehkesanan produk sawit turut menjadi antara fokus penting bagi memastikan hasil keluaran pekebun kecil mampu memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa.

Katanya, penerapan amalan berkenaan menerusi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dapat membuka ruang kepada produk sawit tempatan untuk dipasarkan dengan lebih meluas.

Noraini berkata, kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan dan pekebun kecil amat penting bagi memastikan usaha meningkatkan produktiviti serta pendapatan golongan berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, kejayaan sebenar pekebun kecil juga perlu dilihat daripada keupayaan mereka meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan keluarga, bukan semata-mata berdasarkan pencapaian dari aspek pengeluaran dan eksport. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/24/belanjawan-2027-pengukuhan-industri-komoditi-pekebun-kecil-diharap-terus-diberi-perhatian/feed/ 0 104027
Belanjawan 2027: Peruntukan pembangunan Sabah, Sarawak wajar ditambah https://sabahmedia.com/2026/09/22/belanjawan-2027-peruntukan-pembangunan-sabah-sarawak-wajar-ditambah/ https://sabahmedia.com/2026/09/22/belanjawan-2027-peruntukan-pembangunan-sabah-sarawak-wajar-ditambah/#respond Tue, 22 Sep 2026 00:44:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103889
Read Time:56 Second

BERNAMA

BAU: Peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak wajar ditambah atau sekurang-kurangnya dikekalkan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan pembangunan kedua-dua wilayah itu terus diberi perhatian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata peruntukan yang adil dan saksama diperlukan memandangkan masih banyak infrastruktur asas serta kemudahan awam di kedua-dua negeri berkenaan perlu dinaik taraf.

“Kalau kita lihat tahun lepas, kedua-dua negeri ini mendapat dana pembangunan yang tertinggi. Jadi kita harap, mewakili suara rakyat Borneo ini, kami memohon supaya dana pembangunan ini kekal atau dinaikkan.

“Ini kerana masih banyak sekolah daif dan kemudahan awam yang memerlukan penambahbaikan. Tadi pun saya melawat beberapa pejabat dan pondok polis di Sematan, malah masih ada pondok polis diperbuat daripada kayu yang sudah berusia 69 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin, di sini, semalam.

Dalam Belanjawan 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan RM6.9 bilion, manakala Sarawak RM6 bilion, menjadikan kedua-duanya antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi.

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/22/belanjawan-2027-peruntukan-pembangunan-sabah-sarawak-wajar-ditambah/feed/ 0 103889
Belanjawan 2027: Sabah mahu kos sara hidup diringankan, PMKS diperkasa https://sabahmedia.com/2026/09/04/belanjawan-2027-sabah-mahu-kos-sara-hidup-diringankan-pmks-diperkasa/ https://sabahmedia.com/2026/09/04/belanjawan-2027-sabah-mahu-kos-sara-hidup-diringankan-pmks-diperkasa/#respond Fri, 04 Sep 2026 10:17:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102806
Read Time:2 Minute, 21 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU: Meringankan tekanan kos sara hidup serta memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara harapan pemain perniagaan dan penduduk Sabah menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt ini.

Bagi mereka, Belanjawan 2027 perlu menawarkan bantuan yang lebih bersasar untuk menangani kos kehidupan dan operasi perniagaan, selain memperluas akses pembiayaan, pendigitalan, latihan serta peluang menembusi pasaran lebih luas.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Sabah (DPIS) Awil Kamsari berkata kerajaan wajar mewujudkan pusat sehenti bagi membantu PMKS menangani keperluan pensijilan halal, pembungkusan, penjenamaan dan peningkatan kapasiti pengeluaran.

Beliau berkata kos sewaan premis yang tinggi turut menjadi antara kekangan kepada pengusaha kecil di Sabah untuk mengembangkan perniagaan.

“Saya berharap Belanjawan 2027 dapat menyediakan inisiatif khusus untuk PMKS, termasuk mewujudkan pusat sehenti bagi membantu usahawan menangani isu pensijilan halal, pembungkusan dan kapasiti pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Awil berkata Sabah Agriculture Industrial Park (SAIP) di Kimanis boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk membantu PMKS meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pembungkusan menerusi model pengeluaran peralatan asal (OEM).

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga boleh diperluas dengan menjadikan syarikat berkenaan sebagai pengilang atau pengedar bagi produk PMKS tempatan.

Beliau turut mencadangkan insentif percukaian yang lebih baik, termasuk pengurangan atau pengecualian duti import bagi bahan tertentu yang diperlukan dalam proses pengeluaran PMKS.

Sementara itu, peniaga kecil Dayang Hedzriyanie Mohamad Adnan, 39, berharap kos sara hidup terus diberi keutamaan, mengambil kira cabaran geografi Sabah yang melibatkan jarak jauh dan rantaian pengedaran yang panjang.

Katanya, keadaan itu memberi kesan khususnya kepada harga barangan yang perlu dihantar ke kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Saya harap kerajaan dapat lebih fokus untuk meringankan kos sara hidup kerana harga barang dan keperluan sekarang sangat tinggi,” katanya.

Pemilik pusat tuisyen Muhd Nasri Maarof, 35, pula berharap kerajaan memperluas kemudahan pembiayaan dan latihan perniagaan, selain mempermudah proses pelesenan bagi perusahaan kecil.

Menurutnya, kursus yang bersesuaian serta proses permohonan lesen yang lebih mudah dapat membantu peniaga mengurus dan mengembangkan perniagaan secara lebih teratur.

“Harapan saya kerajaan memberikan kemudahan pinjaman kepada peniaga kecil dan sederhana, menyediakan kursus yang bersesuaian serta mempermudah urusan permohonan lesen, terutama dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Usahawan percetakan sublimasi Rozali Roslih, 45, pula berharap skim pinjaman dan geran dengan syarat lebih mudah diperkenalkan khusus untuk perusahaan mikro dan kecil.

Beliau berkata bantuan mengurangkan kos operasi seperti sewa premis, bil elektrik dan pembelian peralatan juga penting, terutama bagi usahawan yang masih mengembangkan perniagaan.

“Harapan saya bantuan modal perniagaan yang lebih mudah, iaitu pinjaman dan geran dengan syarat yang tidak terlalu membebankan, terutama untuk perusahaan mikro dan kecil. Selain itu, bantuan untuk mengurangkan kos operasi seperti sewa premis, bil elektrik, peralatan serta kos pendigitalan,” katanya.

Rozali turut mencadangkan insentif pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) diperluas, termasuk bantuan untuk pembangunan laman sesawang dan Sistem Titik Jualan (Sistem POS), bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos penggunaan teknologi. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/04/belanjawan-2027-sabah-mahu-kos-sara-hidup-diringankan-pmks-diperkasa/feed/ 0 102806