KOTA BELUD: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana menerusi penyerahan bekalan kesiapsiagaan kepada penduduk Kampung Melangkap Kapa sebagai usaha memperkukuh keupayaan tindak balas awal terhadap kebakaran.

Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Makmal Hidup Bencana Alam (MaHBAM) UMS, dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kota Belud.
Ia melibatkan penyerahan alat pemadam api kepada Task Force Bencana Kampung Melangkap Kapa bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Program itu dilaksanakan susulan insiden kebakaran pada 21 Februari lalu yang memusnahkan 12 buah rumah dan menyebabkan tiga lagi mengalami kerosakan, selain mendedahkan kekurangan peralatan pemadaman kebakaran di peringkat komuniti serta cabaran akses jentera bomba ke kawasan kampung.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, penyediaan bekalan kesiapsiagaan bencana bertujuan memperkukuh keupayaan komuniti untuk bertindak sebagai responden awal (first responder) ketika berdepan situasi kecemasan.
“Tindakan awal yang pantas oleh komuniti mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Bagi memastikan peralatan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum, JBPM Kota Belud turut mengendalikan latihan praktikal penggunaan alat pemadam api, sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk dalam mengendalikan situasi kecemasan secara selamat dan berkesan.
“Pendekatan yang menggabungkan penyediaan peralatan serta latihan praktikal ini dijangka dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti, di samping meningkatkan keyakinan penduduk untuk bertindak segera dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Carolyn menyampaikan bekalan kesiapsiagaan tersebut kepada Ketua Kampung Melangkap Kapa, James Palit, yang mewakili Task Force Bencana kampung berkenaan baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Bomba Kanan II JBPM Kota Belud, Patrick Marius Liansun; Pegawai Bomba JBPM Kota Belud, Khairi Saifuddin dan Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.
]]>Oleh Normimie Diun
PAPAR: Semua pihak digesa mengetepikan perbezaan politik sebaliknya berganding bahu membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam, tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau menegaskan ketika ini kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan memberi tumpuan penuh dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bencana, termasuk keluarga yang kehilangan ahli keluarga serta rumah kediaman.
“Bubar belum lagi kita fikir. Kita bantu dulu mangsa yang terlibat ini. Ini masa untuk kita tunjukkan bukan batas perbezaan politik. Dalam kita menghadapi musibah, semua rakyat dan agensi kerajaan mesti bekerjasama membantu. Jangan dulu kita fikir politik-politik ini, jangan dijadikan isu,” katanya ketika ditanya mengenai desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17.

Hajiji berkata demikian selepas mengadakan lawatan kepada mangsa bencana alam yang ditempatkan di Dewan Raya Tandugal, Kampung Mook, Kinarut di sini hari ini, seterusnya berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Emily Johny, 38 dan mendiang Xarell Myre Jude, 11, mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah baru-baru ini.
Menurut Hajiji, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM10,000 telah diberikan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia, selain sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah. Bagi rumah yang musnah, sebanyak RM30,000 disalurkan untuk setiap rumah dan setakat ini tiga rumah dilaporkan runtuh dalam kejadian itu di Kg Mook.
“Dari pihak kerajaan negeri dan Persekutuan, kita akan membantu dari segi pengurusan rumah, tanah dan sebagainya. Diharap ia dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa,” jelasnya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terlibat.
Hajiji turut menyantuni mangsa bencana alam di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini termasuk PPS Dewan Marahang, Papar, Dewan Masyarakat Bongawan dan PPK Salagon , Beaufort.
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah merekodkan sebanyak 122 insiden bencana alam di seluruh negeri sepanjang tempoh seminggu bermula 8 hingga 15 September 2025.
JKR Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah yang direkodkan sehingga jam 2 petang tadi menunjukkan daerah Penampang mencatat angka tertinggi iaitu 36 kejadian.
Insiden yang direkodkan di daerah itu melibatkan pelbagai kategori termasuk banjir kilat, banjir bermusim, jalan runtuh, cerun runtuh, jambatan rosak serta banjir lumpur.

Daripada jumlah keseluruhan, cerun runtuh kekal sebagai bencana paling banyak berlaku dengan 45 kes, diikuti 33 kes banjir kilat, 31 kes banjir bermusim, 10 kes jalan runtuh, dua jambatan runtuh dan satu kes banjir lumpur.
Selain Penampang, beberapa daerah lain yang turut mencatat angka tinggi ialah Kota Kinabalu (27 kes) dan Beaufort (25 kes).
Beaufort dilaporkan paling terkesan dengan banjir bermusim apabila 25 kejadian direkodkan dalam tempoh tersebut.
Daerah Putatan (8 kes) dan Papar (9 kes) pula banyak dilanda banjir kilat serta runtuhan cerun, manakala beberapa daerah lain termasuk Sipitang, Tambunan, Tawau dan Tuaran hanya merekodkan satu hingga dua insiden.
JKR Sabah melalui Cawangan Penyelenggaraan Jalan menegaskan, pihaknya terus melakukan pemantauan rapi dan kerja-kerja pemulihan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin, terutama di kawasan berisiko tinggi akibat hujan lebat berterusan. – SABAH MEDIA
]]>Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersedia meneliti dan mempertimbangkan sebarang cadangan yang berupaya memberi manfaat kepada rakyat, termasuklah aspek pengurusan bencana di peringkat daerah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam berkata demikian ketika menjawab cadangan Datuk Jonnybone Kurum (PBS-Telupid) yang menyarankan Kerajaan negeri membekalkan peralatan logistik seperti bot dan enjin sangkut kepada pejabat daerah yang berfungsi sebagai Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), selain kemudahan asas memasak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Apa juga perkara yang membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyat, kerajaan pasti akan memberi pertimbangan sewajarnya.
“Sekiranya ada keperluan seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Telupid, perkara ini boleh disalurkan secara rasmi melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk pertimbangan kerajaan negeri,” jelas Nizam semasa sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Sebelum itu, Jonnybone memaklumkan bahawa Telupid pada masa ini tidak mempunyai peralatan penting seperti bot dan enjin sangkut, dan menggesa agar keperluan ini diambil kira untuk kelancaran operasi bencana di peringkat daerah.
“Adakah terdapat sebarang cadangan daripada kementerian untuk membekalkan bot dan enjin sangkut kepada pejabat daerah yang mengendalikan operasi bencana?
“Di Telupid, kami bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tetapi mereka juga kekurangan peralatan. Selalunya bantuan perlu datang dari Kinabatangan, Beluran atau Sandakan,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilengkapi kemudahan dapur atau peralatan memasak asas, bagi membolehkan mangsa menyediakan makanan sementara menunggu bantuan daripada agensi kebajikan.
Terdahulu, Nizam menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di seluruh Malaysia adalah tertakluk dan perlu mematuhi Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No.1.
Di bawah arahan tersebut, mangsa bencana mangsa bencana adalah layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dengan syarat mangsa berpindah atau didaftarkan ke PPS oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) di daerah masing-masing.
Pendaftaran tersebut perlu disahkan oleh Pengerusi JPBD sebelum permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Nizam memberikan penjelasan tersebut sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-ADUN Dilantik), yang mencadangkan agar kerajaan negeri menilai semula mekanisme NADMA memandangkan ada mangsa bencana yang mendaftar tetapi tidak berpindah ke PPS, sekaligus tidak layak menerima bantuan sedia ada.
]]>PUTRAJAYA — Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengeluarkan enam Peraturan Tetap Operasi (PTO) baharu untuk memantapkan pengurusan bencana negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata PTO itu melibatkan komunikasi bencana, pusat kawalan operasi bencana, pusat kawalan tempat kejadian, bencana nuklear dan radiologi, bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa serta bencana tanah runtuh.
“Drafnya telah ada dan akan dimurnikan dalam beberapa sesi dengan pemegang taruh,” katanya pada sesi libat urus bersama media di sini hari ini.




Armizan berkata Nadma telah mengeluarkan tujuh PTO sebelum ini iaitu banjir dan siklon tropika, industri, jerebu, petrokimia, gempa bumi, tsunami serta kemarau.
Beliau berkata dalam menggubal PTO, Nadma diminta bukan hanya mendapatkan pandangan agensi kerajaan tetapi juga ahli akademik, badan bukan kerajaan dan pakar dalam pelbagai bidang termasuk teknologi.
Kataya PTO merupakan garis panduan yang mengkhusus kepada jenis bencana contohnya pengurusan komunikasi seperti ketika insiden tanah runtuh di Batang Kali di mana pengamal media mengadu tidak mendapat maklumat awal atau lambat dimaklumkan mengenai perkembangan terkini.
]]>TUARAN : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah mengambil langkah-langkah proaktif di semua peringkat khususnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran cuaca yang tidak menentu sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah
Pengarah JPNS Datuk Dr Mistirine Radin berkata, semua Pegawai Pendidikan Daerah telah diarah untuk mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing.
Katanya, bilik gerakan SPM JPNS turut dibuka di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Tingkat 7 Rumah Persekutuan Kota Kinabalu.
“Semua Pegawai Pendidikan Daerah telah mewujudkan Bilik Gerakan Peperiksaan masing-masing iaitu di antara lainnya bertujuan menyediakan laporan harian peperiksaan khususnya melapor kehadiran calon pada setiap sesi peperiksaan.
“Ini termasuk jika ada Calon Hospital, Calon Tahanan dan sebagainya. Bilik Gerakan Negeri juga akan menghantar laporan kehadiran calon ke Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan KPM selewat-lewatnya jam 4 petang setiap hari peperiksaan menggunakan e-Kehadiran.
“Saya berdoa agar Peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, di sini, hari ini.
Dr Mistirine berkata, ibu bapa atau penjaga kepada calon SPM yang terlibat dinasihatkan agar dapat memastikan calon dapat hadir awal ke pusat-pusat peperiksaan.
“Sentiasalah menyemak Jadual Waktu Peperiksaan SPM serta membawa kelengkapan peperiksaan yang secukupnya serta elakkan melakukan salah laku peperiksaan dalam bentuk apa sekalipun,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah memanggil semua agar jawatankuasa pengurusan bencana di negeri ini diaktifkan bagi menjangkakan cuaca buruk di pantai timur dan bahagian utara negeri seperti yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Saya telah bercakap dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untung untuk memberi arahan semua pihak berkuasa tempatan dan pegawai daerah untuk segera mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana mereka dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan, terutamanya angin ribut, banjir dan tanah runtuh.
“Saya mahu pihak berkuasa tempatan terus membersihkan semua laluan air dan longkang bagi memastikan tiada tersumbat sekiranya hujan berterusan,” kata Hajiji.
Beliau menggesa orang ramai supaya mengambil perhatian terhadap amaran cuaca MetMalaysia dan menjaga keselamatan pada setiap masa.
]]>KOTA KINABALU : Sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022 yang sepatutnya bermula pada 2 dan 3 Januari depan ditangguhkan satu minggu susulan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri ketika ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu diambil kira susulan bencana banjir yang berlaku ketika ini telah memberi kesan kepada murid, ibu bapa, guru-guru termasuk sekolah.
Susulan itu, Radzi berkata, tarikh baharu sesi persekolahan akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan pada 10 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan B.
Negeri yang berada di Kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B ialah Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Radzi berkata, sehingga 24 Disember lalu, terdapat 475 buah institusi pendidikan di seluruh negara dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ditenggelami air.
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, murid dan ibu bapa yang terkesan akibat banjir.
“Ketetapan penangguhan ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM dan semua sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan.
“Manakala, pengoperasian bagi sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat adalah mengikut kalendar persekolahan masing-masing. Bagi tadika yang berdaftar bawah KPM, pengoperasian dibenarkan mulai 2 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan B,” katanya dalam kenyataan disini semalam.
Institusi pendidikan bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.
KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
]]>KUALA LUMPUR: Prihatin dengan situasi bencana banjir yang melanda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.
“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.
Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Buat masa ini tambah beliau, MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda kali ini.
Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.
“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.
“Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” kata Mahdzir.
Mereka yang berkenaan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif bencana banjir ini, boleh layari laman sesawang https://www.mara.gov.my.
]]>Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
KUALA LUMPUR : Seluruh jentera kerajaan khususnya agensi keselamatan dan kesihatan diarah supaya berada dalam kesiapsiagaan peringkat tertinggi bagi menghadapi bencana banjir.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, berikutan itu Arahan MKN No.20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara) wajib diaktifkan segera.
“Arahan itu wajib diaktifkan segera melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Ia adalah bagi menyusun strategi terbaik dan mengkoordinasi pelaksanaan pengurusan bencana banjir di lapangan yang berlaku dengan berkesan,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Rodzi berkata, MKN menyeru seluruh agensi Kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk sama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing supaya persediaan menghadapi bencana banjir akan lebih tersusun demi keselamatan rakyat dan keselamatan negara.
Katanya, hal ini selaras dengan pendekatan “whole of government, whole of society approach”.
“Seluruh keluarga Malaysia diminta supaya sentiasa mematuhi arahan dan makluman berkaitan bencana dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
“Marilah kita mendoakan agar negara kita terhindar dari segala bencana dan semua keluarga Malaysia sentiasa kekal sejahtera dan selamat,”katanya.
]]>