biodiversiti – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 01 Jul 2026 10:57:11 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png biodiversiti – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pelan Bioteknologi Sabah perkukuh tadbir urus biodiversiti, pacu bioekonomi https://sabahmedia.com/2026/06/30/pelan-bioteknologi-sabah-perkukuh-tadbir-urus-biodiversiti-pacu-bioekonomi/ https://sabahmedia.com/2026/06/30/pelan-bioteknologi-sabah-perkukuh-tadbir-urus-biodiversiti-pacu-bioekonomi/#respond Tue, 30 Jun 2026 13:18:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99153
Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti serta memperkasa agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034 sebagai kerangka strategik pembangunan berasaskan sains dan kelestarian.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tindakan itu bertujuan memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

Menurutnya, pelaksanaan pelan itu turut menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, di samping memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari serta memberi manfaat yang adil kepada rakyat.

“Tadbir urus biodiversiti juga terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi bagi memastikan khazanah ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Sabah di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata tema sambutan tahun ini, “Tindakan Lokal, Impak Global”, mencerminkan komitmen Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan di peringkat negeri mampu memberi sumbangan besar kepada agenda pemuliharaan biodiversiti dunia.

Beliau berkata Sabah terus memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.

Katanya, langkah itu meningkatkan keluasan TPA Sabah kepada 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah negeri, sekali gus memenuhi Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dilindungi serta diurus secara berkesan menjelang 2030.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah kekal menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia, khususnya menerusi Hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak.

Menurutnya, peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 membuktikan pengiktirafan terhadap Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti utama di rantau ini.

“Pelbagai penemuan penting termasuk spesies baharu, inovasi, dokumentasi habitat kritikal dan pembangunan pendekatan pemuliharaan adalah hasil penyelidikan yang dijalankan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September 2025 sebagai satu lagi pencapaian penting dalam penyelidikan biodiversiti negeri.

Katanya, projek berkenaan menggunakan teknologi fitoekstraksi melalui tumbuhan hiperakumulator tempatan untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah, sekali gus menyokong kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara lebih efisien.

“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang serta integrasi ekopelancongan, selain menarik minat penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi bioekonomi Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri memperkenalkan Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah sebagai pengiktirafan kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa yang memberi sumbangan besar dalam memperkaya pengetahuan saintifik berkaitan biodiversiti negeri.

Beliau berharap anugerah itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nama Sabah di peringkat antarabangsa serta menyokong usaha berterusan dalam pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/30/pelan-bioteknologi-sabah-perkukuh-tadbir-urus-biodiversiti-pacu-bioekonomi/feed/ 0 99153
Sabah perkukuh pemuliharaan biodiversiti melalui strategi jangka panjang dan pendigitalan https://sabahmedia.com/2026/06/30/sabah-perkukuh-pemuliharaan-biodiversiti-melalui-strategi-jangka-panjang-dan-pendigitalan/ https://sabahmedia.com/2026/06/30/sabah-perkukuh-pemuliharaan-biodiversiti-melalui-strategi-jangka-panjang-dan-pendigitalan/#respond Tue, 30 Jun 2026 09:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99133
Read Time:3 Minute, 30 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha memulihara biodiversiti menerusi pelaksanaan strategi jangka panjang, pengiktirafan terhadap penyelidikan serta penggunaan teknologi digital bagi memastikan khazanah semula jadi negeri ini terus dipelihara secara lestari.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahamed Sade berkata, Sabah memiliki kekayaan flora, fauna dan ekosistem unik yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri ini, malah merupakan aset strategik bernilai tinggi dari aspek ekonomi, saintifik dan sosial.

Katanya, biodiversiti Sabah menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem penting seperti bekalan air bersih, sumber makanan, kawalan iklim, perlindungan daripada bencana alam serta sumber pendapatan kepada masyarakat dan komuniti tempatan.

“Sabah turut memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai antara 17 negara megabiodiversiti dunia, selain menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa hasil usaha berterusan dalam pemuliharaan dan pengurusan sumber semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah bertemakan Acting Locally for Global Impact (Tindakan Lokal, Impak Global), di sini, pada Selasa.

Menurutnya, antara pengiktirafan antarabangsa yang diterima Sabah ialah ‘Triple Crown’ UNESCO meliputi Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Geopark Global UNESCO Kinabalu.

Selain itu, negeri ini turut memiliki Tapak Ramsar Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu, Rizab Biosfera Kinabatangan, Sugud Islands Marine Conservation Area (SIMCA) dan Hutan Simpan Pin Supu yang tersenarai dalam IUCN Green List, selain Kompleks Hutan DaMaI yang menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia.

Dr. Ahamed berkata, komitmen kerajaan negeri turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034 yang menjadi hala tuju pemuliharaan biodiversiti negeri bagi tempoh sedekad.

Beliau berkata, strategi itu berasaskan pendekatan saintifik, kolaboratif dan melibatkan seluruh masyarakat bagi menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0, di samping memenuhi komitmen global di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Convention on Biological Diversity serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Ini merupakan manifestasi sebenar tema sambutan tahun ini iaitu Acting Locally for Global Impact, di mana tindakan yang dilaksanakan di Sabah mampu memberi impak besar di peringkat global,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelancaran dua sistem digital baharu iaitu Sabah Biodiversity Access and Export Licence Application System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS).

Menurutnya, SaBAES dibangunkan bagi memudahkan permohonan lesen akses dan eksport sumber biologi secara dalam talian, manakala SaTKIS diwujudkan bagi melindungi, mendokumentasi dan mengurus pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi milik anak negeri serta komuniti tempatan supaya manfaat penggunaannya dapat dikongsi secara adil dan saksama.

Beliau berkata, sejak 2010, Pusat Biodiversiti Sabah telah melaksanakan sistem pelesenan akses dan eksport sumber biologi di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000, dengan jumlah permohonan lesen yang terus meningkat sekali gus membuktikan Sabah semakin menjadi tumpuan penyelidik tempatan dan antarabangsa dalam bidang biodiversiti.

Pada majlis sama, Dr. Ahamed turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2025 yang merangkumi kategori Penyelidik Muda Berpotensi, Penyelidik Antarabangsa, Penyelidik Tempatan serta Anugerah Khas Juri.

Katanya, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam mengangkat penyelidikan sebagai pemacu utama usaha pemuliharaan biodiversiti, selain menghargai sumbangan penyelidik dalam memperkukuh asas saintifik bagi penggubalan dasar, perlindungan spesies dan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.

Sementara itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah, Ken Kartina Khamis dalam ucapan alu-aluannya berkata, forum biodiversiti yang diadakan sempena sambutan berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu mengenai penyelidikan, pemuliharaan spesies serta peranan komuniti dalam pengurusan sumber semula jadi.

Forum itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Juanita Joseph dari Institut Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga penerima Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Negeri Sabah 2024; Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok, Jabatan Perhutanan Sabah, Alviana Damit, yang terlibat dalam penemuan spesies baharu periuk kera endemik Sabah, Nepenthes pongoides; serta Dr. Ily Azzedine Alaia M.H. Subari dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, UMS yang aktif dalam penyelidikan serta pemuliharaan fungi di Sabah.

Menurut Ken Kartina, forum berkenaan turut mengetengahkan kepentingan penglibatan masyarakat dan komuniti tempatan sebagai rakan strategik dalam usaha melindungi habitat serta memulihara spesies.

Beliau berkata, penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi membuktikan tindakan yang dilaksanakan di peringkat lokal mampu memberi impak besar terhadap pencapaian komitmen biodiversiti global.

“Forum ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, menggalakkan kolaborasi dan memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus memainkan peranan dalam memelihara khazanah biodiversiti Sabah demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/30/sabah-perkukuh-pemuliharaan-biodiversiti-melalui-strategi-jangka-panjang-dan-pendigitalan/feed/ 0 99133