BUDI diesel – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 21 Jul 2026 11:44:00 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png BUDI diesel – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 DUN Sabah : Sabah tidak setuju kuota diesel 200 liter https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-sabah-tidak-setuju-kuota-diesel-200-liter/ https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-sabah-tidak-setuju-kuota-diesel-200-liter/#respond Tue, 21 Jul 2026 11:41:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100319
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengakui tidak berpuas hati dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan menghadkan kuota sebanyak 200 liter yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, susulan pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Sabah berpandangan mekanisme yang dilaksanakan ketika ini memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia lebih sesuai dengan keperluan rakyat serta industri di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendirian itu menjadi faktor utama kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas (task force) bagi mengkaji isu berkenaan serta menyediakan cadangan penambahbaikan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kerana itulah kita tubuh ‘task force’ ataupun jawatankuasa ini kerana kita tidak bersetuju. Saya fikir banyak perlu penambahbaikan sistem subsidi ini.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri juga telah bertindak secara proaktif dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Ahad lalu bagi memulakan perbincangan mengenai bagaimana masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tham Yun Fook (Warisan-Likas) yang ingin mengetahui pendirian rasmi kerajaan Sabah sama ada bersetuju atau tidak dengan dasar subsidi diesel kuota 200 liter yang dilaksanakan ketika ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri telah menyatakan bahawa sebaik sahaja jawatankuasa khas itu memperkemaskan cadangan serta syor penambahbaikan, ia akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.

“Apabila jawatankuasa ini memperkemas dan menyediakan semua cadangan balas serta penambahbaikan, kita akan serahkan secara rasmi kepada Kerajaan Pusat.

“Ringkasnya, sebab kita membentuk jawatankuasa khas ini ialah kerana kita kurang berpuas hati dengan skim yang ada sekarang. Itulah pendirian kita,” katanya.

Terdahulu, Tham Yun Fook mencadangkan supaya kerajaan menetapkan tempoh masa yang jelas bagi usaha memperjuangkan penambahbaikan subsidi diesel kerana rakyat mahu mengetahui bila perubahan itu akan dilaksanakan.

Menjawab perkara itu, Masidi berkata kerajaan mengambil maklum cadangan tersebut.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-sabah-tidak-setuju-kuota-diesel-200-liter/feed/ 0 100319
DUN Sabah: Masiung cadang kuota subsidi BUDI Diesel di Sabah, Sarawak dinaikkan 500 liter sebulan https://sabahmedia.com/2026/07/20/masiung-cadang-kuota-subsidi-budi-diesel-di-sabah-sarawak-dinaikkan-kepada-500-liter-sebulan/ https://sabahmedia.com/2026/07/20/masiung-cadang-kuota-subsidi-budi-diesel-di-sabah-sarawak-dinaikkan-kepada-500-liter-sebulan/#respond Mon, 20 Jul 2026 09:57:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100201
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak dengan menaikkan kuota pembelian kepada 500 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian, berbanding 200 liter ketika ini.

Pengerusi Kelab Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata kuota sedia ada tidak praktikal mengambil kira faktor geografi, keluasan negeri serta jarak perjalanan yang jauh antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu tidak seharusnya disamakan dengan Semenanjung Malaysia kerana keadaan rangkaian jalan raya dan corak perjalanan di Borneo jauh berbeza.

“Saya mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota BUDI Diesel kepada 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak.

“Kuota 200 liter sebulan tidak praktikal bagi perjalanan di bumi Borneo kerana rakyat, terutama di kawasan pedalaman, perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk berurusan atau menjual hasil pertanian di bandar,” katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Masiung berkata, sebagai contoh, penduduk di kawasan Kuamut terpaksa menempuh perjalanan antara lima hingga enam jam untuk ke Kota Kinabalu, dengan penggunaan diesel melebihi 100 liter bagi perjalanan sehala.

Katanya, perjalanan pergi dan balik boleh menggunakan sehingga 200 liter diesel hanya dalam tempoh sehari atau dua hari.

Beliau berkata, keluasan kawasan Kuamut sendiri adalah lebih besar daripada negeri Kedah, sekali gus menggambarkan cabaran sebenar yang dihadapi penduduk di pedalaman Sabah.

“Kalau di Semenanjung, memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri. Tetapi di Sabah, memandu selama tiga jam hanya melintasi satu atau dua daerah sahaja,” katanya.

Masiung turut mengingatkan bahawa masih ramai penduduk di pedalaman Sabah yang belum menikmati kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik, sekali gus bergantung kepada pengangkutan bot serta generator diesel untuk menjana elektrik.

Menurutnya, golongan itu antara yang paling terkesan kerana syarat kelayakan BUDI Diesel yang disifatkan terlalu ketat menyebabkan mereka terpaksa membeli diesel pada harga pasaran RM3.97 seliter.

Beliau berkata, ramai petani, nelayan dan pemilik bas sekolah di kawasan luar bandar juga tidak layak menerima subsidi kerana kenderaan yang digunakan didaftarkan atas nama pihak lain melalui pinjaman permit atau kaedah sambung bayar.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan meneliti semula dasar subsidi bersasar BUDI Diesel dengan mengambil kira keadaan geografi dan keperluan sebenar rakyat di Sabah dan Sarawak agar pelaksanaannya lebih adil serta tidak membebankan penduduk luar bandar.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/20/masiung-cadang-kuota-subsidi-budi-diesel-di-sabah-sarawak-dinaikkan-kepada-500-liter-sebulan/feed/ 0 100201
BUDI Diesel Sabah dijangka ditambah baik tempoh 2-3 minggu – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/#respond Tue, 14 Jul 2026 23:24:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99880
Read Time:3 Minute, 5 Second

RANAU: Kerajaan Negeri menjangkakan penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu susulan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di peringkat Persekutuan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya membentangkan hasil libat urus bersama kedua-dua kementerian berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah.

Beliau berkata, laporan itu merangkumi pelbagai isu yang dihadapi golongan petani, nelayan, pengusaha industri makanan serta pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda yang digunakan bagi tujuan pekerjaan dan perniagaan.

“Saya telah melaporkan secara menyeluruh bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang terkesan, termasuk penggunaan kenderaan pikap dan pacuan empat roda oleh golongan belia untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan.

“Ketua Menteri mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan mengarahkan Kabinet Negeri menjemput Kementerian Kewangan serta KPDN mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama penjawat awam serta wakil rakyat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, pada Selasa.

Menurut Jamawi, sesi pertama libat urus akan diadakan bersama ketua-ketua jabatan negeri di Menara Kinabalu pada Jumaat ini, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan dijadual berlangsung pada Ahad.

Katanya, sesi itu penting bagi memberi gambaran sebenar kepada Kerajaan Persekutuan mengenai cabaran yang dihadapi rakyat Sabah sejak pelaksanaan BUDI Diesel.

Beliau menegaskan Sabah mempunyai keperluan berbeza berbanding Semenanjung Malaysia berikutan faktor geografi serta jarak perjalanan yang lebih jauh, sekali gus memerlukan pendekatan pelaksanaan subsidi bahan api yang lebih bersesuaian.

“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah.

“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, namun jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya.

Dalam majlis sama, kementeriannya turut menyerahkan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau yang merangkumi peralatan seperti tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berkualiti.

Jamawi berkata, Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha memulihkan padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh industri penternakan ruminan dan unggas di Sabah.

“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sektor berkaitan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Kebun Dapur amat menggalakkan apabila lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terbabit berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal.

“Kita menjangkakan pertambahan kira-kira 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, namun melihat semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga sedang membangunkan platform digital kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah.

Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan memenuhi piawaian sebelum dipasarkan.

“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai di lapangan,” katanya.

Turut hadir, ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid, serta pegawai kanan kementerian.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/feed/ 0 99880
Pelaksanaan BUDI Diesel perlu ambil kira realiti Sabah – Nizam https://sabahmedia.com/2026/07/14/pelaksanaan-budi-diesel-perlu-ambil-kira-realiti-sabah-nizam/ https://sabahmedia.com/2026/07/14/pelaksanaan-budi-diesel-perlu-ambil-kira-realiti-sabah-nizam/#respond Tue, 14 Jul 2026 04:49:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99830
Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk serta struktur ekonomi Sabah yang berbeza berbanding negeri lain.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan langkah tepat bagi memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.

Beliau berkata, usaha Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi untuk pemilik kenderaan yang layak di Sabah wajar dihargai, termasuk beberapa penambahbaikan seperti peluasan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan jip tertentu, pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga serta pengecualian fi pertukaran hak milik.

Bagaimanapun, katanya, keluasan negeri dan jarak perjalanan yang jauh menjadikan penggunaan diesel di Sabah bukan sekadar untuk kegunaan harian, malah penting bagi kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat.

“Sabah merupakan negeri yang luas dengan jarak perjalanan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman yang jauh. Bagi sebahagian besar rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, mengurus urusan kerajaan, menjual hasil pertanian atau mendapatkan bekalan keperluan asas boleh mengambil masa berjam-jam.

“Dalam keadaan ini, penggunaan diesel bukan sekadar untuk perjalanan harian, malah menjadi nadi kepada kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Nizam berkata, sektor pertanian, perikanan, pengangkutan, pembinaan, perusahaan kecil serta pelbagai aktiviti ekonomi luar bandar di Sabah masih bergantung kepada penggunaan kenderaan dan peralatan berasaskan diesel.

Sehubungan itu, beliau berharap kuota pembelian diesel bersubsidi dan syarat kelayakan sedia ada dapat dinilai secara berkala berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat di Sabah.

Menurutnya, pendekatan yang lebih fleksibel juga perlu dipertimbangkan khususnya bagi penduduk pedalaman, petani, nelayan dan pengusaha kecil, termasuk mereka yang menggunakan diesel untuk bot, generator serta keperluan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kos pengangkutan akibat pelaksanaan subsidi bersasar berpotensi memberi kesan langsung kepada golongan belia yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.

Katanya, ramai belia di Sabah bergantung kepada kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak antara daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti, menjalankan perniagaan, menghantar hasil jualan, mengikuti latihan kemahiran serta menyertai aktiviti sukan dan ekonomi kreatif.

“Jika kos operasi meningkat, ia secara tidak langsung akan mengecilkan peluang mereka untuk berkembang dan menjana pendapatan,” katanya.

Beliau yakin sebarang isu yang timbul dapat ditangani melalui rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemimpin setempat, persatuan industri serta komuniti luar bandar.

“Kita menyokong usaha kerajaan memastikan subsidi lebih bersasar. Namun, pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan mengambil kira keunikan Sabah agar tidak menambah beban kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Keperluan Sabah tidak boleh dinilai berdasarkan angka penggunaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan yang jauh, kekurangan pengangkutan awam serta kebergantungan ekonomi tempatan terhadap diesel,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel dan bersedia membuat penyesuaian dari semasa ke semasa supaya matlamat membendung ketirisan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan serta kelangsungan ekonomi rakyat Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/14/pelaksanaan-budi-diesel-perlu-ambil-kira-realiti-sabah-nizam/feed/ 0 99830
Jamawi bawa cadangan tambah baik BUDI Diesel Sabah ke Kabinet Negeri https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/#respond Thu, 09 Jul 2026 09:23:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99587
Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar akan membawa hasil sesi libat urus mengenai pelaksanaan program BUDI Diesel di Sabah ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.

Beliau berkata, sesi libat urus itu diadakan di pejabatnya semalam membabitkan semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah serta ketua jabatan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang beroperasi di Sabah.

Perbincangan itu turut disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam, serta pegawai kementerian berkaitan.

Jamawi berkata, pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel dibangkitkan secara langsung kepada Kementerian Kewangan.

“Semalam kami mengadakan dialog secara terbuka bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pegawai Kementerian Kewangan. Kami memberikan gambaran sebenar keadaan di lapangan, khususnya di luar bandar, kampung, dalam kalangan penggiat industri makanan dan pengusaha pengangkutan yang terkesan dengan pelaksanaan BUDI Diesel.

“Kami menyampaikan suara rakyat Sabah dan menjelaskan cabaran yang dihadapi masyarakat, termasuk isu membabitkan bas sekolah di kawasan luar bandar yang memainkan peranan penting membawa murid ke sekolah tetapi berdepan kekangan berkaitan kelayakan subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan di Sabah berbeza dengan Semenanjung kerana banyak kawasan luar bandar tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah konvensional yang mencukupi, sekali gus menyebabkan pengusaha pengangkutan tempatan memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan dan mobiliti masyarakat.

Jamawi berkata, beliau telah mendapat kebenaran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengadakan sesi libat urus berkenaan dan hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri pada mesyuarat akan datang.

“Saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan Kabinet supaya Kerajaan Negeri turut menyokong isu, maklumat dan cadangan yang telah dikumpulkan oleh MAFFI.

“Kita berharap akan ada penambahbaikan dari segi tatakelola dan tatacara pelaksanaan BUDI Diesel yang lebih sesuai dengan keadaan serta keperluan rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata antara cadangan utama yang dikemukakan ialah menyelaraskan pelaksanaan BUDI Diesel dengan tatacara BUDI RON95.

Beliau turut mencadangkan supaya proses kelulusan dan permohonan dipermudahkan bagi pemilik kenderaan yang masih menggunakan kaedah pembiayaan sambung bayar.

Selain itu, beliau mengesyorkan kuota diesel ditambah kepada petani, penternak, penoreh getah dan pengusaha industri makanan di kawasan bandar serta luar bandar yang banyak menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan mengambil kira jarak perjalanan bulanan.

Cadangan lain termasuk pemberian bantuan tunai bulanan menerusi inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada pengusaha pertanian, penternakan, penoreh getah dan penggiat industri makanan berskala kecil.

Jamawi berkata, beliau menghargai kesediaan Johan bersama pegawai Kementerian Kewangan mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukakan.

“Diharapkan segala pandangan, cadangan dan idea penambahbaikan yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian serius demi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/feed/ 0 99587
Kaji semula syarat BUDI Diesel bantu pengusaha muda sektor pertanian – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/07/07/kaji-semula-syarat-budi-diesel-bantu-pengusaha-muda-sektor-pertanian-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/07/07/kaji-semula-syarat-budi-diesel-bantu-pengusaha-muda-sektor-pertanian-jamawi/#respond Tue, 07 Jul 2026 11:05:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99522
Read Time:3 Minute, 14 Second

KIULU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menggesa syarat kelayakan Program BUDI Diesel dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah ramai pengusaha muda tidak layak memohon bantuan itu kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila sebahagian pengusaha, khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan menerusi kaedah sambung bayar atau pembiayaan syarikat, bukannya institusi perbankan.

“Kita sedia maklum hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut BUDI Diesel.

“Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, hari ini.

Jamawi berkata, terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun hak milik kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar.

“Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terbabit dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.

“Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan, selain menyampaikan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.

“Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog serta menyampaikan isu ini kepada kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian terus dibantu dan diperkasakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan memperkenalkan konsep Kebun Dapur di sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan dalam kalangan murid.

Beliau berkata, perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah diadakan susulan cadangan mewujudkan Kebun Sekolah berasaskan pendekatan Kebun Dapur.

“Kita mahu anak-anak memahami kepentingan makanan dan keterjaminan makanan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Melalui inisiatif ini, mereka bukan sahaja dapat menghargai tanaman di sekeliling mereka, malah hasil yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu menerima maklum balas positif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang disediakan.

Mengulas Program Kebun Dapur, Jamawi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 3,000 pengusaha kecil mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah itu hampir mencapai sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta.

“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial.

“Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, anugerah itu dijangka diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung di Tenom pada September ini.

Pada masa sama, Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat.

Katanya, program itu bukan sahaja menggalakkan budaya berkebun di kawasan rumah, malah memastikan maklumat mengenai pelbagai bantuan kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.

“Banyak program bantuan disediakan oleh kementerian dan jabatan di bawahnya, tetapi kadangkala maklumat itu tidak sampai kepada rakyat. Sebab itu jelajah ini penting supaya setiap petani, penternak dan nelayan mengetahui peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Awg. Dzulkernain Awg. Hassan; Pengurus Besar KO-NELAYAN, Datuk Yusof Ag Besar; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa; pegawai jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin setempat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/07/kaji-semula-syarat-budi-diesel-bantu-pengusaha-muda-sektor-pertanian-jamawi/feed/ 0 99522
Kerajaan tidak bercadang salur subsidi kepada sektor pelancongan https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/ https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/#respond Sun, 05 Jul 2026 06:03:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99366
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan tidak bercadang untuk menyalurkan subsidi kepada sektor pelancongan kerana dasar subsidi negara kekal berteraskan kepentingan rakyat Malaysia dan bukannya pelancong asing.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun sektor pelancongan merupakan antara industri penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, pemberian subsidi kepada sektor itu tidak menepati matlamat pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.

Beliau berkata, manfaat subsidi yang disalurkan kepada sektor pelancongan akhirnya akan dinikmati oleh pelancong, termasuk warga asing, sedangkan subsidi yang dibiayai melalui hasil negara sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Pelancongan adalah satu sektor yang penting untuk negara. Malaysia juga bergantung kepada pelancongan sebagai satu sektor industri yang penting.

“Namun, kalau sektor pelancongan menerima subsidi, manfaat itu akan sampai kepada pelancong. Jadi mereka adalah kumpulan yang kita rasa sebenarnya tidak layak untuk mendapat subsidi daripada hasil yang kita kumpul dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan turun padang BUDI Diesel @ Shell di Stesen Shell Jalan Sulaman, Wisma Innoprise di sini pada Ahad.

Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai permintaan sektor pelancongan di Sabah yang mendakwa tidak menerima manfaat subsidi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan sejak awal menetapkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan bantuan menggunakan dana awam disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, iaitu rakyat Malaysia.

Katanya, prinsip itu turut menjadi asas kepada pelaksanaan Program BUDI 95 dan BUDI Diesel yang diperkenalkan bagi memastikan subsidi tidak dinikmati oleh pihak yang tidak menjadi sasaran.

“Masa kita buat BUDI 95 dan BUDI Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita, bukan kepada rakyat asing.

“Jadi pelancong perlu membayar harga yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak bercadang memperluaskan subsidi kepada sektor pelancongan, ia tidak bermaksud pembangunan industri berkenaan tidak diberi perhatian.

Sebaliknya, katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing sektor pelancongan melalui pembangunan infrastruktur, peningkatan kemudahan awam dan penambahbaikan akses ke destinasi pelancongan.

“Untuk sektor pelancongan, apa yang lebih penting bagi kita ialah melihat bagaimana membangunkan sektor ini dan menyediakan infrastruktur yang memudahkan pelancong datang ke Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga akan memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kecekapan lapangan terbang, memperluaskan hubungan udara dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa supaya lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi mereka.

Di samping itu, Amir Hamzah berkata pembangunan produk serta tarikan pelancongan akan terus diperkasakan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelawat dan menggalakkan mereka tinggal lebih lama di negara ini. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/feed/ 0 99366
Pengguna BUDI Diesel tidak berdepan Isu menggunakan Mykad https://sabahmedia.com/2026/07/04/pengguna-budi-diesel-tidak-berdepan-isu-menggunakan-mykad/ https://sabahmedia.com/2026/07/04/pengguna-budi-diesel-tidak-berdepan-isu-menggunakan-mykad/#respond Sat, 04 Jul 2026 11:02:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99313
Read Time:2 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan pengesahan MyKad bagi pembelian diesel bersubsidi di bawah inisiatif BUDI Diesel di Sabah berjalan lancar tanpa menimbulkan masalah besar kepada pengguna.

Tinjauan mendapati kebanyakan pengguna mengakui proses pengesahan MyKad di stesen minyak mudah digunakan, dengan tempoh pengesahan hanya mengambil masa antara beberapa saat hingga beberapa minit bergantung kepada keadaan sistem dan jumlah pelanggan di stesen minyak.

Seorang pengguna, Mohd Saiful Jundulloh, berkata proses pengesahan MyKad berjalan seperti biasa dan tidak menimbulkan sebarang kesulitan ketika mengisi diesel.

“Proses pengesahan sehingga pam diaktifkan hanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga minit dan tidak banyak berbeza dengan sistem yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Azizan Amjah yang menyifatkan penggunaan MyKad di pam minyak adalah mudah selagi sistem pengimbas berfungsi dengan baik.

Saiful (kiri) dan Azizan

Menurutnya, pengalaman menggunakan sistem berkenaan tidak menimbulkan masalah, malah proses pengesahan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang 10 saat.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Atay Alex, berpandangan penggunaan aplikasi digital juga merupakan pilihan yang lebih pantas kerana pengguna tidak perlu mengeluarkan MyKad untuk mengaktifkan pam.

Bagaimanapun, walaupun pelaksanaan sistem tidak menjadi isu utama, kebanyakan pengguna melahirkan kebimbangan bahawa kuota subsidi sebanyak 200 liter sebulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penggunaan sebenar di Sabah.

Mereka berkata keadaan geografi negeri ini yang memerlukan perjalanan jauh antara daerah menyebabkan penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Mohd Saiful berkata kuota sedia ada tidak mencukupi kerana kenderaan dieselnya digunakan setiap hari bagi urusan kerja, menghantar anak ke sekolah, menghantar barangan pelanggan serta mengambil stok perniagaan.

Jumain Waris pula berkata perjalanan ulang-alik dari Kota Kinabalu ke Kalabakan sahaja boleh menggunakan kira-kira 50 liter diesel, menyebabkan kuota bulanan habis dalam tempoh singkat jika perjalanan dilakukan beberapa kali.

Menurutnya, walaupun kerajaan menyediakan pilihan peningkatan kuota kepada 300 liter bagi kategori tertentu, jumlah itu masih belum memadai bagi pengguna yang kerap melakukan perjalanan jauh.

Jumain (Kiri) dan Atay

Atay turut berpendapat kuota 200 liter mungkin mencukupi untuk kegunaan harian biasa, namun tidak memadai bagi mereka yang perlu pulang ke kampung atau melakukan perjalanan jauh secara berkala seperti laluan Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu.

Azizan pula berkata kuota sedia ada masih mencukupi untuk kegunaan hariannya, namun beliau tetap bercadang memohon kuota tambahan kerana bimbang jumlah itu tidak mencukupi apabila perlu melakukan perjalanan jauh.

Selain meminta kerajaan menilai semula jumlah kuota subsidi, pengguna turut berharap proses permohonan kuota tambahan dapat dipermudah serta mekanisme yang lebih fleksibel diperkenalkan.

Ini termasuk mengambil kira penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga yang bukan pemilik berdaftar.

Bagi menangani keperluan tersebut, Kementerian Kewangan turut memperkenalkan mekanisme Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel yang membolehkan penerima yang layak memindahkan fungsi pembelian diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat yang turut layak menerima BUDI95.

Dengan mekanisme ini, ahli keluarga berkenaan boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad sendiri. Permohonan boleh dibuat menerusi portal rasmi BUDI MADANI.

Kementerian Kewangan memaklumkan hampir 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di bawah program BUDI Diesel.

Kelayakan terbuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki MyKad, lesen memandu yang sah serta kenderaan diesel persendirian berdaftar atas nama sendiri dengan cukai jalan yang masih aktif.

Pemilik pikap dan jip diesel yang memenuhi syarat turut boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangandi Sabah, Sarawak dan Labuan turut layak mendapatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi(SKDS).

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/04/pengguna-budi-diesel-tidak-berdepan-isu-menggunakan-mykad/feed/ 0 99313
4,146 stesen minyak sedia laksana BUDI Diesel, subsidi diperluas kepada lebih ramai peniaga https://sabahmedia.com/2026/06/27/4146-stesen-minyak-sedia-laksana-budi-diesel-subsidi-diperluas-kepada-lebih-ramai-peniaga/ https://sabahmedia.com/2026/06/27/4146-stesen-minyak-sedia-laksana-budi-diesel-subsidi-diperluas-kepada-lebih-ramai-peniaga/#respond Sat, 27 Jun 2026 08:45:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98991
Read Time:1 Minute, 39 Second

PUTRAJAYA: Sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara bersedia melaksanakan sepenuhnya mekanisme BUDI Diesel bermula 1 Julai ini, dengan kerajaan turut mengumumkan dua penambahbaikan bagi memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada peniaga kecil serta menyemak kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesiapsiagaan itu disahkan hasil kerjasama 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB.

Beliau berkata, tinjauan di Stesen Shell Presint 18, Putrajaya hari ini mendapati sistem transaksi, pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital, latihan petugas serta perkhidmatan pelanggan berada pada tahap memuaskan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Menurutnya, pelaksanaan secara rintis bermula hari ini dengan penerima yang layak menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga subsidi BUDI Diesel RM2.10 seliter akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.

“Melalui mekanisme itu, penerima yang layak boleh mendapatkan diesel bersubsidi menggunakan MyKad atau aplikasi digital syarikat minyak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Armizan turut memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Jun memutuskan beberapa penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api lebih bersasar, mengambil kira kos sara hidup rakyat, pengurusan ketirisan dan kedudukan fiskal negara.

“Antara penambahbaikan utama ialah peluasan subsidi diesel kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama syarikat atau perniagaan di bawah kategori kegunaan persendirian perniagaan.

“Sebelum ini, kelayakan subsidi hanya melibatkan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama individu di bawah BUDI Diesel serta kenderaan syarikat pengangkutan barangan yang layak di bawah SKDS,” jelasnya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut menyemak kadar kuota tetap bagi beberapa kategori kenderaan pengangkutan darat di bawah SKDS dengan mengambil kira faktor Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, penggunaan bahan api dan corak operasi kenderaan.

Armizan berkata, KPDN bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri, termasuk mengintegrasikan sistem sedia ada bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/27/4146-stesen-minyak-sedia-laksana-budi-diesel-subsidi-diperluas-kepada-lebih-ramai-peniaga/feed/ 0 98991