buli – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 14 Jul 2026 01:51:42 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png buli – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Empat suspek ditahan bantu siasatan kes buli, ugutan jenayah di Membakut https://sabahmedia.com/2026/07/14/empat-suspek-ditahan-bantu-siasatan-kes-buli-ugutan-jenayah-di-membakut/ https://sabahmedia.com/2026/07/14/empat-suspek-ditahan-bantu-siasatan-kes-buli-ugutan-jenayah-di-membakut/#respond Tue, 14 Jul 2026 01:51:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99819
Read Time:1 Minute, 32 Second

BEAUFORT: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes buli dan ugutan jenayah yang dipercayai membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu yang dipercayai melibatkan perbuatan meminta wang secara berulang serta ugutan jenayah oleh beberapa individu.

Menurutnya, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan atau buli melalui perkataan, komunikasi atau perlakuan yang boleh menyebabkan seseorang mengalami ketakutan, tekanan atau kegusaran, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Hasil tindakan pantas dan risikan yang dijalankan sejurus laporan diterima, polis berjaya menahan empat suspek bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek telah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk buli, ugutan jenayah, pemerasan atau perlakuan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru murid, pelajar, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli, ugutan atau gangguan.

Katanya, mangsa, saksi atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian seumpama itu disaran segera tampil menyalurkan maklumat atau membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/14/empat-suspek-ditahan-bantu-siasatan-kes-buli-ugutan-jenayah-di-membakut/feed/ 0 99819
UMS tegas tolak budaya buli, pastikan kampus kekal selamat https://sabahmedia.com/2025/09/30/ums-tegas-tolak-budaya-buli-pastikan-kampus-kekal-selamat/ https://sabahmedia.com/2025/09/30/ums-tegas-tolak-budaya-buli-pastikan-kampus-kekal-selamat/#respond Mon, 29 Sep 2025 23:16:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82235
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warga kampus, sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pihak universiti sentiasa memandang serius isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian pelajar di kampus.

“Setiap mahasiswa perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati di universiti datang bersama tanggungjawab untuk menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

“UMS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika berlaku, laporkan segera kerana universiti ini adalah tempat selamat untuk pelajar belajar dan berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pembukaan Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di Dewan Canselor UMS di sini pada Isnin.

Menurutnya, budaya buli tidak sepatutnya wujud dalam kalangan mahasiswa yang seharusnya menumpukan kepada pencapaian akademik, pembangunan diri serta pembentukan sahsiah sebagai insan berilmu dan berakhlak mulia.

“Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, tetapi untuk sama-sama bangkit menuju kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihak UMS sentiasa peka terhadap kebajikan dan kebimbangan utama pelajar termasuk isu kemudahan asas, khususnya bekalan air di kolej kediaman.

“Sebarang isu berkaitan prasarana akan ditangani dengan segera bagi memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terganggu oleh perkara asas.

“UMS ketika ini turut mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 94.7 peratus pada tahun 2024, dengan 93.9 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Pencapaian ini membuktikan UMS komited dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing, selain berupaya memberi sumbangan kepada masyarakat, industri dan negara,” katanya.

Pada sesi akademik kali ini, seramai 5,123 pelajar baharu telah ditawarkan tempat di UMS, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar universiti yang kini telah melahirkan lebih 91,000 graduan sejak penubuhannya pada tahun 1994.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/30/ums-tegas-tolak-budaya-buli-pastikan-kampus-kekal-selamat/feed/ 0 82235
Ibu Zara tidak pernah buat aduan tentang dakwaan buli – Saksi https://sabahmedia.com/2025/09/18/ibu-zara-tidak-pernah-buat-aduan-tentang-dakwaan-buli-saksi/ https://sabahmedia.com/2025/09/18/ibu-zara-tidak-pernah-buat-aduan-tentang-dakwaan-buli-saksi/#respond Thu, 18 Sep 2025 08:40:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81546
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Ketua warden, Azhari Abd Sagap, memberitahu Koroner bahawa ibu Zara Qairina Mahathir tidak pernah membuat aduan berhubung dakwaan buli terhadap anaknya.

Tambahnya, beliau hanya mengetahui mengenai “dakwaan buli” itu melalui hantaran TikTok oleh ibu Zara.

Malah pada 16 Julai, Azhari berkata, semasa berada di unit kecemasan, ibu Zara hanya bercerita mengenai karakter Zara yang sentiasa ceria dan rajin menulis.

Azhari mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan daripada Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili empat remaja – B, C, D, dan E.

Q: Ibu Zara tidak pernah bercerita kepada kamu berkenaan kejadian buli semasa berjumpa pada 16 Julai?

A: Ibu Zara tidak ada bercerita pasal buli. Kami hanya tahu selepas ibu Zara buat posting di TikTok, tetapi kami tidak tahu sama ada itu kes buli atau tidak.

Q: Berdasarkan jawapan kamu, adakah kamu bermaksud kes buli ini hanya diketahui selepas ibu Zara membuat posting di TikTok?

A: Ya. Dalam hantaran itu, ibu Zara ada menyebut, “Saya tahu nama-nama anak saya disebut.”

Fikry turut bertanya mengenai kenyataan ibu Zara melalui peguamnya yang ada menyebut mengenai perbuatan “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni”, sekiranya beliau tahu.

Azhari berkata beliau tidak maklum mengenai perkara itu, namun selepas audio tersebut tular di media sosial, pihaknya melakukan siasatan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar bulan Mei.

“Untuk makluman cerita kak M berlaku sekitar bulan 5… Kenapa ibu Zara tidak laporkan kepada sekolah. Itu yang jadi persoalan saya.

“Saya rasa terkesan dengan kehilangan Zara, jadi saya ambil tahu semuanya.

Kenapa tiada aduan, kalau tiada aduan daripada Zara, patut ada aduan dari ibu Zara, tapi tidak ada.

“Saya sudah minta dari group laman rasmi guru-guru kalau ada, tapi tidak ada, langsung tidak ada,” katanya.

Mahkamah Koroner turut mendengar audio panggilan telefon antara Zara dan ibunya yang antara lain mendedahkan insiden melibatkan kak M.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/18/ibu-zara-tidak-pernah-buat-aduan-tentang-dakwaan-buli-saksi/feed/ 0 81546
Tindakan gantung sekolah kes buli disiasat polis bercanggah garis panduan KPM – Peguam https://sabahmedia.com/2025/09/15/tindakan-gantung-sekolah-kes-buli-disiasat-polis-bercanggah-garis-panduan-kpm-peguam/ https://sabahmedia.com/2025/09/15/tindakan-gantung-sekolah-kes-buli-disiasat-polis-bercanggah-garis-panduan-kpm-peguam/#respond Mon, 15 Sep 2025 07:16:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81294
Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Tindakan menggantung pelajar terbabit kes buli di sebuah asrama sekolah yang telah dilaporkan kepada polis didakwa bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Peguam, Nurshalilah Fauzan Mailin, yang mewakili keluarga mangsa, berkata hukuman itu tidak selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang berkuat kuasa sejak 3 November 2023.

Menurut beliau, garis panduan itu memperuntukkan bahawa tiada tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap pelajar yang disiasat polis sehingga siasatan selesai.

“Saya merujuk kepada kenyataan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bertarikh 14 September 2025 yang memaklumkan bahawa pelajar yang terlibat dengan tindakan buli di atas telah dihukum gantung sekolah oleh pihak sekolah.

“Saya menyatakan tindakan hukuman tersebut adalah bercanggah dengan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang dilaksanakan oleh KPM bermula 3 November 2023.

“Menurut tatacara pengendalian kes salah laku buli yang dinyatakan dalam garis panduan tersebut yang mana kes telah dilaporkan kepada polis, tiada tindakan disiplin boleh dikenakan kepada pelajar berkenaan semasa proses siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nurshalilah berkata, mangsa yang merupakan seorang pelajar tingkatan dua mendakwa telah ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung pada 7 September 2025 di sebuah asrama sekolah.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis pertama pada 9 September 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan laporan polis kedua pada 13 September 2025 di IPD Kota Kinabalu.

“Secara asasnya, tindakan pelajar berkenaan perlu disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Nurshalilah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat laporan polis berkenaan di bawah peruntukan tersebut serta berharap JPNS mematuhi garis panduan KPM dalam menguruskan kes buli.

“Saya menggesa PDRM menyiasat dua laporan polis tersebut di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dan saya berharap agar JPNS mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan terhadapnya berkaitan buli,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, dalam satu kenyataan media mendedahkan pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.

Hukuman gantung sekolah telah dikenakan kepada murid yang terlibat dan turut dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/09/14/murid-terlibat-kes-buli-digantung-sekolah-serta-merta/

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/15/tindakan-gantung-sekolah-kes-buli-disiasat-polis-bercanggah-garis-panduan-kpm-peguam/feed/ 0 81294
Murid terlibat kes buli digantung sekolah serta merta https://sabahmedia.com/2025/09/14/murid-terlibat-kes-buli-digantung-sekolah-serta-merta/ https://sabahmedia.com/2025/09/14/murid-terlibat-kes-buli-digantung-sekolah-serta-merta/#respond Sun, 14 Sep 2025 05:55:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81218
Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Murid yang terlibat dalam kes buli baru-baru ini di sebuah sekolah di Sabah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada  peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa. 

Selain hukuman gantung, Raisin dalam satu kenyataan hari ini berkata, murid terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.

“JPNS mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah baru-baru ini.

“JPNS tidak berkompromi dengan salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru dan  seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Limauan, Kinarut, menjadi mangsa buli oleh pelajar senior dipercayai kerana lambat masuk ke bilik asrama dalam kejadian pada malam 7 September lalu.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September.

Ibu mangsa dikatakan membuat laporan selepas dimaklumkan oleh seorang guru sekolah berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata satu lagi laporan polis dibuat di IPD Kota Kinabalu kelmarin (Sabru) apabila anak guamnya merasakan terdapat usaha untuk menyelesaikan kes itu secara baik antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan anak guamnya.

Terdahulu, Nurshalilah menjelaskan kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku pada jam 11 malam, 7 September lalu, di dalam kawasan sekolah berkenaan.

Katanya, mangsa, seorang pelajar lelaki, mendakwa ditendang di perut, ditampar di pipi dan ditumbuk di hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.

Peguam itu turut mendedahkan mangsa juga diarahkan untuk menggosok baju oleh seorang pelajar tingkatan tiga sekolah sama. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/14/murid-terlibat-kes-buli-digantung-sekolah-serta-merta/feed/ 0 81218
Tiada laporan Zara dibuli, tiada nampak pelajar dipukul – Saksi https://sabahmedia.com/2025/09/13/tiada-laporan-zara-dibuli-tiada-nampak-pelajar-dipukul-saksi/ https://sabahmedia.com/2025/09/13/tiada-laporan-zara-dibuli-tiada-nampak-pelajar-dipukul-saksi/#respond Fri, 12 Sep 2025 18:48:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81088
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan yang bertugas pada malam 15 Julai hingga keesokan paginya, tidak menerima sebarang laporan mengenai Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dibuli atau dipukul.

Linah Mansoding, saksi keenam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika disoal peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat daripada lima remaja dikaitkan dengan kes Zara, selepas prosiding bersambung pada sesi petang.

Azhier: Awak beritahu mahkamah bahawa sepanjang malam hingga keesokan harinya awak membuat rondaan di asrama Zara?
Linah: Ya.

Azhier: Adakah awak melihat mana-mana pelajar dipukul atau dibuli?
Linah: Tidak. Ketika saya pergi mengisi semula botol air, saya tidak melihat mana-maa pelajar. Saya turut menyuluh lampu suluh di sekeliling, tetapi tiada pelajar kelihatan.

Menjawab soalan lain daripada Azhier, sama ada ketua dorm B, C, D, dan E bertemu dengan Zara pada malam kejadian untuk bertanyakan tentang barang-barang yang hilang dan isu buli, Linah berkata: “Saya tidak tahu.”

Linah juga memaklumkan beliau tidak melihat Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Ketika disoal oleh peguam Joan Goh, yang mewakili seorang lagi remaja terbabit, Linah berkata beliau tidak mendengar apa-apa bunyi bising semasa kejadian.

“Saya tidak dengar budak-budak bergaduh sebab bilik mereka semua sudah gelap. Saya tidak pernah dengar kes pukul dalam kalangan pelajar asrama itu. Mereka cuma main-main sahaja. Tiada kes pukul, macam cakap-cakap sahaja… macam kau bodohlah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili ayah Zara, berhubung kes buli di sekolah, Linah berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kejadian buli di sekolah berkenaan.

Nurul: Sejak awak berada di sekolah ini dari tahun 2012, adakah pernah dengar tentang kes buli di sekolah ini?
Linah: Saya tidak pernah dengar… yang main-main ada, tetapi tiada serangan fizikal.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai berhampiran longkang di aras bawah asrama dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Linah, yang telah berkhidmat di sekolah itu sejak 2012, berkata beliau sempat mengambil gambar Zara di lokasi kejadian.

Disebabkan pencahayaan yang kurang baik, katanya, gambar tersebut tidak begitu jelas.

Menurut Linah, Zara memakai baju biru putih serta seluar bercetak logo sekolah, tanpa tudung, kasut atau selipar ketika ditemui.

Linah menambah, beliau sempat menyentuh pipi Zara untuk mengejutkannya dan menarik turun baju mangsa bagi menutup tubuhnya sebelum menghubungi ketua warden, Ustaz Azhari.

Linah turut mengesahkan bahawa beliau mengambil gambar ambulans meninggalkan kawasan sekolah pada jam 4.14 pagi, 16 Julai.

Prosiding inkues Zara akan bersambung minggu depan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/13/tiada-laporan-zara-dibuli-tiada-nampak-pelajar-dipukul-saksi/feed/ 0 81088
Buli Perlu Dilihat Sebagai Isu Kesihatan Mental https://sabahmedia.com/2025/08/30/buli-perlu-dilihat-sebagai-isu-kesihatan-mental/ https://sabahmedia.com/2025/08/30/buli-perlu-dilihat-sebagai-isu-kesihatan-mental/#respond Sat, 30 Aug 2025 01:22:20 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80322
Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR– Isu buli kini menjadi perhatian seluruh negara, dibincangkan dari kedai kopi hingga ke Dewan Rakyat, melibatkan pelbagai aspek termasuk perundangan, pencegahan dan pemulihan .

Minggu lalu, Sekretariat Gerakan Anti Buli (GAB) menggesa kerajaan menggubal Akta Anti-Buli khusus bagi menangani kes buli tanpa bergantung kepada peruntukan undang-undang lain. Menurut GAB, undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk membendung budaya buli yang semakin berakar umbi. GAB merupakan gabungan peguam dan NGO .

Beberapa hari kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengakui tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan kesalahan buli dalam undang-undang sedia ada. Beliau memaklumkan kerajaan sedang meneliti keperluan penggubalan Akta Anti-Buli termasuk penubuhan tribunal untuk mendengar kes melibatkan pelajar dan kanak-kanak .

Statistik Buli di Sekolah dan IPT

Kemarahan masyarakat meningkat apabila banyak kes buli dilaporkan di sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), termasuk yang membawa kepada kecederaan dan kematian. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia mendedahkan, setakat Oktober 2024, terdapat 6,208 kes buli direkodkan di sekolah berbanding 6,528 kes (2023), 3,883 (2022) dan 326 (2021). Puratanya, 21 kes dilaporkan setiap hari sepanjang Januari–Oktober 2024 .

Bagi IPT pula, Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan sebanyak 31 kes buli dilaporkan dalam tempoh 2014–2025 di lapan universiti awam, melibatkan kes buli fizikal dan siber .

Namun, pemerhati berpendapat angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa tidak melaporkan kes akibat rasa takut atau malu.

Buli dan Kaitannya Dengan Kesihatan Mental

Perbahasan umum ketika ini banyak menjurus kepada aspek perundangan dan hukuman, namun aspek pencegahan juga perlu diberi perhatian selaras dengan prinsip “mencegah lebih baik daripada merawat”. Isu buli wajar ditangani sebagai masalah kesihatan mental kerana punca utama sering berkait dengan persekitaran rumah, pengaruh rakan sebaya, role model serta penggunaan media sosial .

Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 mendedahkan hampir sejuta kanak-kanak berusia 5–15 tahun menghadapi masalah kesihatan mental, meningkat dua kali ganda daripada 424,000 (2019) kepada 922,318 (2023). Bagi populasi berusia 16 tahun ke atas, satu juta orang (4.6%) dilaporkan mengalami kemurungan, manakala kes bunuh diri meningkat daripada 981 (2022) kepada 1,087 (2023) .

Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) 2022 oleh KKM turut merekodkan peningkatan pelajar yang mempunyai idea membunuh diri daripada 10% (2017) kepada 13.1% (2022), melibatkan 33,523 pelajar di 239 sekolah menengah.

Selain itu, kajian UNICEF pada 2022 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur dan Selangor mendapati 12.3% kanak-kanak serta remaja mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan, manakala 13.4% pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri .

Usaha Kerajaan Menangani Isu Mental

Menyedari masalah ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) pada Oktober 2022, manakala penubuhan Institut Kesihatan Mental diumumkan Perdana Menteri pada September 2023 bagi memperkasa usaha kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil .

Namun, cabaran besar dihadapi negara adalah kekurangan pakar. Pada November 2024, jumlah pakar psikiatri berdaftar hanya 623 orang, dengan KKM menyasarkan peningkatan kepada 720 menjelang 2025 bagi mencapai nisbah 1 pakar untuk setiap 50,000 penduduk .

Selain itu, nisbah kaunselor kini 1:1,000 penduduk, dianggap tidak mencukupi. Talian Kasih kendalian KPWKM menerima lebih 500 panggilan sehari berkaitan tekanan, penderaan dan isu kewangan. Setakat Ogos 2024, terdapat 11,790 kaunselor berdaftar di Lembaga Kaunselor Malaysia, dengan sasaran nisbah lebih kecil menjelang 2040 .

Kesimpulan

Statistik menunjukkan isu kesihatan mental berpotensi menjadi penyakit kedua tertinggi selepas sakit jantung menjelang 2030. Justeru, menangani kes buli memerlukan pendekatan menyeluruh yang menekankan pencegahan dan pemulihan di samping aspek perundangan, agar masalah ini tidak terus menular dalam kalangan generasi muda .

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/30/buli-perlu-dilihat-sebagai-isu-kesihatan-mental/feed/ 0 80322
Budaya buli mesti dibendung – Hajiji https://sabahmedia.com/2025/08/26/budaya-buli-mesti-dibendung-hajiji/ https://sabahmedia.com/2025/08/26/budaya-buli-mesti-dibendung-hajiji/#respond Tue, 26 Aug 2025 08:21:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80079
Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Konvensyen hal ehwal agama Islam disifatkan sebagai wadah terbaik untuk menilai kelemahan dan memperbaiki kekurangan, termasuk usaha membendung budaya buli di sekolah serta institusi pendidikan lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, budaya buli yang kian menular, malah turut berlaku di sekolah agama, amat mengecewakan dan perlu dipandang serius.

“Saya secara peribadi amat sedih dengan apa yang berlaku. Apa yang lebih mengecewakan ialah budaya buli berlaku di sekolah agama, sebuah institusi yang berlambangkan kesucian Islam. Mengapa ini boleh terjadi, dan di manakah salah serta silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau percaya konvensyen itu adalah wadah terbaik untuk bermuhasabah dan menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi sama ada milik kerajaan atau persendirian.

Hajiji berkata, sebagai warganegara dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan isu-isu berkaitan agama mereka, khususnya di media sosial.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita palsu dan fitnah, iaitu taktik jahat kumpulan anti-kerajaan yang bertujuan menjatuhkan maruah atau membinasakan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri.

“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, antaranya berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar serta isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut diperlekeh.

“Turut tidak terkecuali ialah insiden tragis yang melibatkan pendidikan dan isu budaya buli dalam kalangan murid sekolah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, yang disensasikan oleh segelintir netizen tidak bertanggungjawab sehingga ada yang sanggup berbohong, menyebarkan berita palsu dan memfitnah individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata, letusan pesat teknologi maklumat pada abad ini telah membuka dunia tanpa sempadan, mengecilkan dunia menjadi sebuah Perkampungan Sejagat, di mana segala-galanya berada di hujung jari.

Cabaran, katanya, menjadi lebih besar dengan wujudnya aplikasi canggih dikenali sebagai kecerdasan buatan (AI), yang direka untuk membantu memudahkan tugasan dan kerja dalam era moden.

“Namun, di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia juga boleh mendatangkan ancaman dan cabaran serius kepada kita, khususnya umat Islam, jika disalah guna atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan niat menggugat kestabilan umat Islam di seluruh dunia.

“Penyalahgunaan aplikasi ini adalah cabaran utama yang kita hadapi pada abad ini. Harus diingat bahawa dunia digital, termasuk teknologi internet, sentiasa berkembang dengan pesat. Setiap hari, ciptaan baharu dihasilkan oleh para saintis dan pengatur cara, sehingga pengguna seperti kita yang sudah mencapai status veteran ini sering sukar untuk mengikuti perkembangannya. Kebimbangan sebenar adalah terhadap generasi muda dan pewaris masa depan tanah air yang kita cintai,” katanya.

Hajiji berkata, hakikatnya teknologi canggih akan terus menguasai kehidupan manusia apabila negara-negara maju berlumba-lumba mencipta gajet dan pelbagai lagi bukan sahaja untuk menguasai pasaran global tetapi juga mempengaruhi serta menguasai minda dan pemikiran manusia.

Sehubungan itu, katanya, di sinilah peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat sebagai pembimbing serta benteng generasi kita.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/26/budaya-buli-mesti-dibendung-hajiji/feed/ 0 80079
Beberapa Suspek Kes Buli Zara Qairina Akan Dituduh – Peguam Negara https://sabahmedia.com/2025/08/18/beberapa-suspek-kes-buli-zara-qairina-akan-dituduh-peguam-negara/ https://sabahmedia.com/2025/08/18/beberapa-suspek-kes-buli-zara-qairina-akan-dituduh-peguam-negara/#respond Mon, 18 Aug 2025 07:13:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79544
Read Time:46 Second

PUTRAJAYA : Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengumumkan keputusan untuk menuduh beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes buli membabitkan pelajar, Zara Qairina.

Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapati terdapat asas untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini.

“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang sedang berjalan,” kata kenyataan itu.

AGC turut menegaskan bahawa keputusan menuduh suspek-suspek berhubung kesalahan buli tersebut tidak akan menjejaskan siasatan menyeluruh yang masih dijalankan oleh PDRM berkaitan kematian Zara Qairina.

“Ini termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” tambah kenyataan itu.

Zara Qairina sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu akibat kecederaan otak yang teruk, dan kes tersebut mendapat perhatian meluas masyarakat serta dibahaskan di Dewan Rakyat minggu ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/18/beberapa-suspek-kes-buli-zara-qairina-akan-dituduh-peguam-negara/feed/ 0 79544
Jabatan Peguam Negara Teliti Laporan Penuh Siasatan Kes Kematian Zara Qairina https://sabahmedia.com/2025/08/04/jabatan-peguam-negara-teliti-laporan-penuh-siasatan-kes-kematian-zara-qairina/ https://sabahmedia.com/2025/08/04/jabatan-peguam-negara-teliti-laporan-penuh-siasatan-kes-kematian-zara-qairina/#respond Mon, 04 Aug 2025 11:08:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78570
Read Time:35 Second

PUTRAJAYA — Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina, yang diterima masing-masing pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, proses penelitian tersebut merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan, bagi memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.

“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/04/jabatan-peguam-negara-teliti-laporan-penuh-siasatan-kes-kematian-zara-qairina/feed/ 0 78570