KOTA KINABALU: Tuduhan tidak berasas Bung Moktar Radin terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, disifatkan sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat demi agenda peribadi, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Nizam, tindakan tersebut bukan sahaja tidak mencerminkan realiti, tetapi juga gagal mengambil kira pencapaian luar biasa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Hajiji, yang telah membawa Sabah mencatat kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.973 bilion pada tahun 2023.
Beliau juga menekankan pelaburan bernilai tinggi yang berjaya diraih oleh kerajaan negeri, termasuk pelaburan RM2.3 bilion oleh SK Nexilis yang menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan RM7.2 bilion oleh Kibing Group untuk industri solar yang membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu dan pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah (SAMUR) yang mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan.
“Pencapaian ini membuktikan pengurusan ekonomi negeri yang bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuduhan Bung Moktar hanyalah usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kejayaan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan besar yang telah mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, di samping inisiatif lain seperti memperkasakan belia dan pembangunan luar bandar.
“Kita mesti menilai kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan tohmahan yang bermotifkan kepentingan politik sempit,” tambah Nizam.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha kerajaan negeri yang fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat tanpa terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas.
]]>KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Kementerian Kerja Raya Sabah.
Antara RUU yang diluluskan adalah berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengurusan sisa pepejal dan pembekalan air di negeri ini.
RUU pertama iaitu RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2022 bagi meminda Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang membabitkan beberapa pindaan bagi menambah baik punca kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pindaan RUU itu perlu memandangkan kali terakhir ordinan sedia ada dipinda ialah pada 2000.
“Pindaan dalam enakmen berkenaan termasuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah menubuhkan Majlis Bandaraya mana-mana PBT yang memenuhi kriteria ditetapkan di Sabah.
“Walaupun pindaan dibuat, namun penubuhan Majlis Bandaraya masih tertakluk kepada pelbagai tatacara dan memenuhi kriteria ditetapkan sebelum disytiharkan sebagai Majlis Bandaraya,” katanya ketika membentangkan pindaan RUU berkenaan.
Pada sidang DUN berkenaan, Masidi turut membentangkan RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 bertujuan mengadakan peruntukan dan mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Sabah.
Katanya, enakmen yang diwujudkan menerusi RUU itu dilaksanakan berikutan keputusan jemaah menteri Sabah pada 23 Mac 2016 menolak pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673).
Menurutnya, Jemaah Menteri sebaliknya memutuskan agar suatu enakmen bagi negeri Sabah diwujudkan untuk melaksanakan tugas Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Sabah, selain memastikan kuasa eksekutif pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut membentangkan RUU Bekalan Air Sabah (Pindaan) 2022 untuk meminda Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 bagi memperkukuh dan memperkasa peruntukan perundangan termasuk kuasa penguatkuasaan serta menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air sedia ada di Sabah.
Katanya, pindaan enakmen itu dilakukan bersama-sama dengan penggubalan peraturan baharu yang dinamakan Peraturan-Peraturan Bekalan Air Sabah (Retikulasi Air & Pemasangan paip) 2022.
]]>KOTA KINABALU : Kerajaan Pusat diminta untuk memberi penekanan terhadap pembangunan di Sabah khususnya yang melibatkan kemudahan asas agar negeri itu dapat membangun seiring dengan negeri-negeri lain.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata peruntukan yang lebih besar berbanding sebelumnya perlu diberikan kepada Sabah dengan mengambil kira faktor geografi negeri tersebut.
“Isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini khususnya di luar bandar membabitkan insfrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik agak kritikal dimana pembangunan ini sangat penting selain memerlukan peruntukan yang agak besar untuk dilaksanakan.
“Kemudahan asas merupakan keperluan utama rakyat Sabah, ianya memerlukan peruntukan yang agak besar yang tidak mampu disediakan oleh kerajaan negeri sebagai contoh untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air bersih sahaja kita memerlukan sekitar 27 bilion untuk memulihkan kerosakan pada loji air di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Dato’ Ramlan Harun di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerajaan Sabah berharap bantuan dari kerajaan pusat dapat disalurkan dengan lebih banyak peruntukan ke negeri ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, peruntukan yang lebih besar perlu difokuskan juga kepada isu kemudahan air terawat, kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi isu yang agak kritikal ketika ini selain kemudahan sistem perhubungan jalanraya.
Dalam pertemuan itu, beliau turut mengemukakan beberapa cadangan dan permohonan kepada KPLB terutamanya untuk kemudahan bekalan air bersih dan jalanraya di Sabah.
“Dengan pertemuan ini kita berharap banyak masalah dapat di atasi berhubung pelaksanaan projek luar bandar di Sabah terutama pelaksanaan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar secara beperingkat-peringkat mengikut keutamaan,” katanya.
]]>KOTA KINABALU : Kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat terutamanya masalah bekalan air di kawasan Utara Kota Kinabalu khususnya di Kawasan Sepanggar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Syarikat Konsesi yang terbabit telah mengambil langkah-langkah usaha bagi menangani masalah kekurangan bekalan air yang amat mendesak di kawasan utara Kota Kinabalu.
Katanya, usaha segera telah diambil dimana JANS dan Syarikat Konsesi iaitu Jetama Sdn Bhd telah melaksanakan penghantaran bekalan air terawat secara percuma.
“Penghantaran bekalan air terawat dihantar melalui lori-lori tangki air ke kawasan- kawasan perumahan yang terjejas teruk semasa kerosakan pam di Loji Rawatan Air Telibong I siap dibaiki dan kembali beroperasi sepenuhnya pada 27 November lalu.
“Antara langkah usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh JANS bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kawasan Utara Kota Kinabalu adalah dengan Pembinaan Urgent Water Supply Scheme (UWSS) Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II yang berkapasiti 10 Juta Liter Sehari yang bermula pada 30 November lalu dan dijadualkan siap pada bulan Ogos 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini semalam.
Bung berkata, pembinaan LRA UWSS Telibong I berkapasiti 5 Juta Liter Sehari di bawah program Privatisation of Kota Kinabalu Water Supply Scheme.
Katanya, projek ini dijadualkan siap pembinaan pada bulan Oktober 2022.
“Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli Dari 80 Juta Liter Sehari ke 160 Juta Liter Sehari Termasuk Saluran Paip Utama dan Tangki Simpanan turut dilaksanakan dan projek ini adalah dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap menjelang Mac 2023.
“Selain itu, kerja pembaikan tangki simpanan R17A dan KA1 yang berkapasiti 10 Juta Liter bagi setiap tangki. Kerja-kerja pembaikan telahpun dimulakan pada bulan September 2021 dan dijangka siap pada bulan Mac 2022,” katanya.
Dalam pada itu, Bung berkata, langkah lain termasuklah melaksanakan program pembaikan semula “hardware” NRW (Non Water Revenue) Management System yang akan dilaksanakan bagi memantau dan mengenal pasti lokasi kehilangan air yang tinggi di lapangan.
Katanya, program pembaikan semula NRW ini dilaksanakan secara berperingkat selama tiga tahun dan harus tidak boleh dihentikan.
“Kita juga akan menjalankan operasi bersepadu mencegah kecurian air di kawasan setinggan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan/Agensi yang lain.
“Dengan terlaksananya dan siap projek ini, diharap akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang alami di Kawasan utara Kota Kinabalu khususnya penduduk di Kawasan Sepanggar,” katanya.
]]>1. Menurut laporan BERNAMA bertarikh 6 November 2021, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Menteri Sabah, mencadangkan agar Perdana Menteri mempertimbangkan penggunaan mekanisme Inisiatif Kewangan Swasta/ Private Finance Initiative (PFI) agar projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dapat di realisasikan dalam tempoh jangka masa yang lebih pendek.
2. Sepintas lalu, cadangan tersebut wajar di pertimbangkan agar rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur awam yang telah lama di uar-uarkan dan di nanti-nantikan ini. Tambahan lagi, Lebuh Raya Pan Borneo dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah, seperti manfaat Lebuh Raya PLUS di Semenanjung Malaysia.
3. Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) mula di perkenalkan di Malaysia pada tahun 2006, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Ianya di perkenalkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai model perolehan baru untuk pembangunan serta penyelenggaraan aset infrastruktur serta fasiliti awam. Secara am-nya, PFI di Malaysia di definisikan sebagai:
‘the transfer of the responsibility of financing and managing capital investment and services of public sector assets to the private sector including the construction, management, maintenance, refurbishment and replacement of public sector assets, in return for lease charges that commensurate with the level, quality and timeliness of service provision as well as an amount sufficient to ensure returns on investment where the asset and facilities will be transferred to the public sector at the expiry of the concession period.’
4. PFI mula di laksanakan di United Kingdom pada tahun 1992. Sejak itu, ianya telah dilaksanakan dengan berjaya di negara-negara seperti – Jepun, Australia, Perancis, Itali dan Jerman. Pelaksanaan berkenaan telah dapat menjimatkan kos dan masa pembinaan, serta meningkatkan kualiti pembinaan.
5. Model PFI diguna-pakai oleh Kerajaan Malaysia untuk beberapa faktor, termasuklah:
Dari 2006 – 2013, hampir 900 projek telah dilaksanakan menggunakan model PFI. Antara projek-projek tersebut adalah – balai polis, politeknik, hospital, jeti,lebuh-raya, jambatan.
6. Salah satu contoh projek PFI ialah Jambatan Kedua Pulau Pinang. Projek ini telah mula dibina pada 2008, and dibuka secara rasmi pada awal 2014. Kerajaan Malaysia telah melantik syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sebagai pemegang konsesi projek tersebut untuk 45 tahun. Manakala kontraktor utama yang dilantik adalah sebuah syarikat dari negara China iaitu – China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC).
Pembinaan jambatan ini telah melibatkan kos sebanyak RM 4.5 billion, dan dibiayai dengan dana dari negara China. Model PFI secara konsesi sebegini tidak menjadi beban kepada kewangan Kerajaan Malaysia kerana hasil kutipan tol jambatan tersebut digunakan untuk membiayai balik kos pembinaan.
7. Sebaliknya, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan Malaysia, tiada kutipan tol akan dikenakan kepada pengguna Lebuh Raya Pan Borneo. Ini bermakna tiada hasil pendapatan kepada Kerajaan Malaysia. Oleh yang demikian, sekiranya Lebuh Raya Pan Borneo dibina menggunakan model PFI, Kerajaan Malaysia terpaksa membiayai kos pembinaan tersebut dari dana dan aset kerajaan.
8. Justeru itu, cadangan Datuk Seri Bung Moktar Radin ini mesti di pertimbangkan dengan mengambil kira suasana ekonomi negara serta kedudukan kewangan Kerajaan Malaysia semasa. Baru-baru ini, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Bajet 2022 yang melibatkan defisit yang besar, iaitu perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan sebanyak RM 98 billion.
Sehingga Jun 2021, nisbah Hutang Negara ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/ Debt to GDP ratio sudah berada di tahap 63%, iaitu menghampiri had/ siling 65% yang dibenarkan di bawah undang-undang. Mesti di ingatkan bahawa Kerajaan Malaysia telah meningkatkan had/ siling tersebut sebanyak dua kali di dalam jangka masa kurang dari 18 bulan lepas. Kali terakhir had/siling tersebut di naikkan adalah pada tahun 2009 ketika krisis kewangan dunia.
9. Situasi meminjam tanpa mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta perancangan pembayaran balik yang teguh haruslah di elakkan. Ini terutamanya melibatkan dana pembiayaan dari luar negara. Banyak yang boleh di pelajari daripada peristiwa yang berlaku di benua Afrika ketika ini.
10. Benua Afrika telah menerima dana yang amat besar dari negara China, yang telah digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan infrastruktur, seperti pengangkutan dan sumber tenaga. Secara keseluruhannya, antara tahun 2000 – 2018, pinjaman oleh benua Afrika dari negara China adalah dianggarkan sebanyak USD$148 billion (~ RM600 billion).
Sejumlah 32 negara-negara benua Afrika menerima dana dari negara China termasuklah – Zambia, Kenya, Nigeria, Ghana, Angola, Sudan, Tanzania, Cameroon.
11. Sebagai contoh. Sejak 2013, Kenya telah menerima dana melebihi USD$5 billion dari negara China untuk projek pembinaan landasan keretapi, yang merupakan sebahagian daripada wawasan Belt & Road Initiative (BRI) negara China. BRI China adalah wawasan pembinaan infrastruktur global untuk menghubungkan negara China dengan negara-negara di dunia.
Terma pinjaman tersebut meletakkan Pelabuhan Mombasa sebagai kolateral/ cagaran. Ini bermakna sekiranya Kenya tidak dapat membayar balik pinjaman tersebut, negara China boleh mengambil-alih/ menguasai Pelabuhan Mombasa. Ketika ini, oleh kerana Pandemik Covid-19, Kenya menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran balik. Justeru itu, Kenya berdepan risiko kehilangan Pelabuhan Mombasa yang merupakan pelabuhan utama di timur benua Afrika.
12. Pada masa yang sama, negara-negara Afrika yang lain turut menghadapi situasi serupa. Jumlah hutang Djibouti kepada negara China dianggarkan melebihi 70% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/ GDP Djibouti. Pada tahun 2017, Djibouti telah membenarkan negara China membina pengkalan tentera laut China di negara itu. Ini merupakan pengkalan tentera China yang pertama dan satu-satu-nya di luar negara China.
Angola dilaporkan mempertimbangkan untuk memberi pegangan ekuiti ke atas telaga minyak yang di milikinya kepada negara China. Zambia pula di jangka kehilangan pegangan kawalan ke atas aset-aset negara seperti penyiaran dan komunikasi, tenaga elektrik dan lapangan terbang.
13. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia mesti berhati-hati di dalam membuat keputusan untuk meminjam dana, terutamanya dari negara luar. Kegagalan membuat bayaran balik boleh menyebabkan negara kita kehilangan aset negara, serta kedaulatan dan kebebasan.
Penulis Wan Azrain Adnan
]]>Oleh : ERDIE AB WAHID
[email protected]
KINABATANGAN : Sabah memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan berbanding RM5.2 bilion seperti yang diumumkan menerusi Bajet 2022.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini kerana dana yang besar setiap tahun amat diperlukan bagi melaksanakan pembangunan infrastuktur berkaitan air, jalan raya, jambatan dan elektrik.
Katanya, saiz negeri ini yang besar juga perlu diambil kira dengan akses bekalan air bersih, jalan raya, sekolah dan elektrik agak jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
“Selain pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah sebenarnya dari sudut keperluan pembangunan terutamanya dalam infrastruktur asas seperti jalanraya,bekalan air bersih, elektrik, sekolah, kesihatan dan perkhidmatan jalur lebar Sabah masih jauh ketinggalan berbanding dengan lain-lain negeri.

“Mungkin ramai menilai kenyataan media ketika saya memberikan ulasan berhubung dengan Bajet 2022 yang yang dibentangkan di dewan rakyat baru baru ini dari persepsi yang berbeza seolah-olah saya bercakap seperti pembangkang.
“Namun hakikatnya, Sabah memang memerlukan lebih banyak peruntukan dari yang diumumkan dalam bajet tersebut iaitu sebanyak RM5.2 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sempena pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kinabatangan – Sandakan- Beluran- Telupid disini hari ini.
Pelancaran projek itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup.
Bung berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika ini yang beteraskan konsep “Keluarga Malaysia” akan melihat keperluan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.
“Kerana itu kita mengharapkan bajet pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri Sabah bagi mengimbangi kemajuan yang dicapai oleh lain-lain negeri ,jika ini gagal diimbangi sudah tentu Sabah akan terus berada dalam kelompok negeri termiskin.
“Dalam pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo Sabah ini, Kerajaan Negeri khususnya kementerian saya, menyokong penuh pelaksanaanya kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah.
“Begitu juga di peringkat kerajaan kita mengharapkan kerjasama sepenuhnya dari rakyat,ini disebabkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo ini pada peringkat awalnya akan melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah bukan hanya tanah kerajaan tetapi juga tanah milik pihak syarikat dan perseorangan.
“Untuk memastikan pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini berjalan lancar, sokongan dan kerjasama daripada pemilik tanah yang terlibat amatlah diperlukan. Mereka harus memahami hasrat baik kerajaan dalam usaha membangunkan sosio ekonomi rakyat menerusi pembangunan infrastruktur jalan perhubungan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Bung berkata, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang dipimpin Perdana Menteri yang begitu prihatin kepada keperluan pembangunan rakyat di Sabah.
Katanya, ia khususnya dalam penyediaan infrastuktur asas seperti jalan raya dengan meluluskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi zon timur melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).
“Sesungguhnya rakyat Sabah amat berterima kasih kerana Perdana Menteri masih memberi keutamaan yang tinggi kepada projek Lebuhraya Pan Borneo walaupun negara sedang melaksanakan beberapa langkah khusus bagi menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan semasa.
“Ini jelas menunjukkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan peka dengan keperluan rakyat di negeri Sabah,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej pantai timur Sabah di Kinabatangan, Sabtu ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan ke Sandakan dan Kinabatangan dijadual tiba di Lapangan Terbang Sandakan, petang esok sebelum bertolak ke Kinabatangan pada pagi Sabtu dan pulang ke Kuala Lumpur pada petang hari yang sama.
Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos lalu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal dilancarkan Perdana Menteri di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, Sabtu ini membabitkan empat pakej kerja bagi laluan di antara Kinabatangan dan Telupid.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kontraktor bagi empat pakej kerja iaitu WP15, WP28, WP29 dan WP30 baru saja dilantik.
Katanya, keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak sejurus pelancarannya oleh Perdana Menteri dan dijangka siap pada 2024.
“Empat pakej ini adalah antara pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Satu lagi pakej baharu ialah laluan di antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Dengan pelaksanaan lima pakej baharu ini, menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam Fasa Satu Projek Pan Borneo Sabah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata 11 pakej yang sedang dilaksanakan ketika ini kebanyakannya membabitkan laluan di pantai barat Sabah yang bermula dari Sindumin di sempadan Sarawak hingga ke Kudat di utara.
Katanya, kerja pembinaan bagi 11 pakej berkenaan berjalan lancar dengan pencapaian setakat ini pada tahap 54 peratus dan dijadual siap pada 2023.
“Untuk baki 19 pakej lagi, kita berharap ia dapat dilaksanakan secara serentak supaya tempoh penyiapannya dapat dipercepatkan,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata pelaksanaan empat pakej Lebuhraya Pan Borneo laluan Kinabatangan – Telupid bakal menyelesaikan kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna selama ini.
“Projek ini akan menyelesaikan isu kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama sedia ada terutamanya dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan,” katanya.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Satu membabitkan jajaran Sindumin – Kota Kinabalu – Kudat di pantai barat dan Tawau – Batu 32 Sandakan di pantai timur serta Batu 32 Sandakan – Ranau di bahagian tengah Sabah dengan panjang keseluruhan 706 kilometer.
]]>Oleh : ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri bagi mengawasi perkhidmatan air dan pembentungan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penubuhan suruhanjaya itu merupakan salah satu perkara yang akan digariskan dalam halatuju Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Pengwujudan suruhanjaya ini merupakan penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah air di Sabah.
“Kita juga yakin penubuhan suruhanjaya air ini akan mengurangkan birokarasi dan meningkatkan kecekapan negeri bagi mengurus masalah air yang sekian lama berlaku di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju JANS di Shangri-La Tanjung Aru Resort disini semalam.
Hadir sama Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah Jabatan Air Sabah Ir Edward Linkapo.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, dengan pengwujudan suruhanjaya itu nanti akan dapat mengubah imej perkhidamatan air di negeri ini.
“Pindaan terhadap enakmen air Sabah mesti dibuat di Dewan Uandangan Negeri (DUN) terlebih dahulu sebelum dapat dilakukan,” katanya.
Sehubungan dengan itu menurut Bung, bengkel tersebut merupakan forum yang paling sesuai bagi membincangkan secara terperinci pilihan yang ada dengan mengambilkira kebaikan dan keburukan setiap pilihan yang ada.
Bung berkata bagi menangani isu-isu bekalan air di Sabah, JANS memerlukan sekitar 13 bilion bagi mengganti dan menaiktaraf sistem bekalan air seperti rangkaian paip lama dan menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) yang bermasalah,
“JANS adalah satu-satunya utiliti air di Malaysia yang masih berstatus jabatan dan menguruskan bekalan airnya sendiri tanpa bantuan secara langsung dari kerajaan Persekutuan.
“Kita berharap melalui suruhanjaya air yang bakal diwujudkan oleh kerajaan negeri nanti, bantuan secara langsung dapat diperolehi dari kerajaan pusat untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi untuk meningkatkan sistem bekalan air di Sabah,” katanya.
Katanya, melalui Bengkel Hala Tuju JANS yang diadakan selama tiga hari itu akan dapat mencari formula terbaik bagi menyelesaikan isu-isu bekalan air di Sabah dan seterusnya mengemukakan cadangan yang akan diangkat untuk perhatian kerajaan negeri.
]]>KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendahului senarai 120 penerima darjah kebesaran dan bintang serta pingat negeri Sabah.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dikurniakan darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’ bersama-sama mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Pengurniaan tersebut berlangsung di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang serta Pingat Negeri Sabah sesi pertama, hari ini.
Dalam istiadat berkenaan, 15 penerima lain menerima darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) antaranya, Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Salleh Yahya dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Faimin Kamin.
Selain itu, Tun Juhar menganugerahkan Watikah Perlantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) kepada lima penerima iaitu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin, bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Tokoh Maulidur Rasul 2021, Zaloha Ahmad dan Datuk Soo Chung Yee serta Syamsul Osman.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah dan Timbalan Ketua Cawangan Khas Sabah, Asistan Komisioner Polis (ACP) Thurairajah a/l Subramaniam pula masing-masing menerima darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) bersama 13 penerima lain.
Turut menerima kurniaan ialah 22 penerima darjah Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 24 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 30 penerima Bintang Kinabalu (BK) 30 dan tujuh lagi menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (SK).
]]>KOTA KINABALU: Golongan belia di negeri ini digesa mengamalkan budaya hidup sihat agar menjadi generasi muda berkualiti serta membantu dalam pembangunan dan kesejahteraan negara.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, untuk memacu pembangunan, negara perlu memiliki generasi muda sebagai pemimpin pelapis yang berkualiti sihat dari segi minda dan fizikal.
“Selain meningkatkan ilmu pengetuhan, kemahiran generasi muda hari ini perlu terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, sukan dan aktiviti riadah yang lain.
“Golongan belia merupakan pemimpin pelapis negara yang perlu memiliki kualiti sama ada pendidikan minda dan fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ringkas penyerahan 50 buah basikal sumbangan Kementerian Belia dan Sukan kepada pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di sini pagi tadi.
Hadir sama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Andi Muhammad Suryady Haji Bandy, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Datuk Dr.Fadilah Sarbi.
Sehubungan dengan itu Ketua Umno Sabah itu berharap agar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno diseluruh bahagian di negeri ini dapat mengatur serta melaksanakan pelbagai program riadah kepada golongan belia sebagai flatfrom untuk mendekati golongan ini.
Bung berkata, penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat penting sebagai salah satu usaha mengelakkan mereka terjebak dengan gelaja penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Kita jangan lupa mereka juga merupakan bakal pengundi pada pilihanraya umum akan datang justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu dilakukan antaranya melalui program-program riadah atau penganjuran pelbagai jenis sukan kepada golongan ini,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Bung mengesa golongan belia di negeri ini melibatkan diri dalam kegiatan persatuan atau kelab sukan di sekitar kawasan masing-masing.
Menurut beliau penglibatan belia dalam aktiviti berpersatuan mampu mendidik mereka bergaul dan bertukar-tukar pandangan untuk memajukan golongan belia di kawasan masing-masing melalui beberapa bidang yang sesuai dengan minat mereka .
“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, kemudahan dan program program kepimpinan keusahawan dan lain lain yang perlu dimanafaatkan sepenuhnya oleh golongan belia” katanya.
]]>