calon – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 14 Nov 2025 09:13:04 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png calon – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Persiapan pusat penamaan calon P190 Tawau selesai, semua agensi terlibat siap sedia https://sabahmedia.com/2025/11/14/persiapan-pusat-penamaan-calon-p190-tawau-selesai-semua-agensi-terlibat-siap-sedia/ https://sabahmedia.com/2025/11/14/persiapan-pusat-penamaan-calon-p190-tawau-selesai-semua-agensi-terlibat-siap-sedia/#respond Fri, 14 Nov 2025 09:12:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85759
Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Persiapan bagi pusat penamaan calon pilihan raya bagi kawasan Parlimen P190 Tawau yang dijadualkan berlangsung esok telah berada pada tahap akhir, dengan semua pasukan teknikal, keselamatan dan pentadbiran kini bersiap sedia sepenuhnya.

Menurut Penolong Pegawai Pengurus Pentadbiran P190, Jonah Pitah, persiapan bermula sejak awal pagi di Dewan Masyarakat Tawau, lokasi rasmi proses penamaan calon.

“Semua berada di peringkat akhir dan pasukan teknikal serta keselamatan sudah bersiap sejak awal pagi tadi untuk memastikan kelancaran proses penamaan calon,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan persiapan hari ini.

Beliau berkata, sekitar 60 petugas urusetia akan bertugas di dalam dewan sepanjang proses berlangsung.

Raptai penuh dijadualkan pada petang dan akan dipimpin oleh Pegawai Pengurus, Mohd Sofian Mohd Said.

“Beliau akan mengetuai raptai bagi memastikan semua pergerakan dan prosedur berjalan seperti sepatutnya, dari pintu masuk calon sehingga ke dalam dewan,” jelas Jonah.

Menurut Jonah, semua laluan masuk dan pergerakan calon dari kawasan luar dewan ke dalam dewan telah ditetapkan, termasuk penandaan peraturan dan arahan perjalanan yang akan dipasang pada petang ini.

“Di luar dewan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau bersedia sepenuhnya untuk mengawal keselamatan dan lalu lintas, dibantu oleh anggota keselamatan RELA.

“Selain itu, susun atur dalam dewan selesai lebih awal, dengan hanya “sedikit touch up” terakhir seperti pelabelan tempat duduk bagi memastikan keseragaman dan aturan tempat<‘ ujarnya.

Sementara itu, semua dokumen berkaitan proses penamaan calon akan disediakan pada sebelah petang.

Selain PDRM dan RELA, kerjasama turut diberikan oleh Jabatan Penerangan serta Jabatan Air, yang membantu memastikan aspek logistik dan fasiliti berada pada tahap terbaik.

“Kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi hari penamaan calon esok,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/14/persiapan-pusat-penamaan-calon-p190-tawau-selesai-semua-agensi-terlibat-siap-sedia/feed/ 0 85759
Baki 4 calon GRS diumum hari ini https://sabahmedia.com/2025/11/13/baki-4-calon-grs-diumum-hari-ini/ https://sabahmedia.com/2025/11/13/baki-4-calon-grs-diumum-hari-ini/#respond Thu, 13 Nov 2025 04:55:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85685
Read Time:55 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat lagi calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.

Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata dengan pengumuman ini ia telah melengkapkan senarai 55 calon GRS yang akan bertanding pada pilihan raya ini.

Empat calon itu adalah Dr Bonaventure Boniface yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Tamparuli manakala Rafie Robert Tawik (DUN N40 Bingkor); Samsiah Usman (DUN N70 Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (DUN N73 Sebatik).

“Semua calon-calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka berupaya untuk memenangi pilihan raya ini,” katanya di sini pada Khamis.

Hajiji sekali lagi menyeru semua penyokong GRS agar bersatu dan memastikan kemenangan untuk GRS, bagi memberikan kerajaan pimpinan GRS mandat sekali lagi untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.

Pada Rabu, Hajiji telah mengumumkan seramai 51 calon yang akan bertanding pada PRU DUN Sabah ke-17, yang menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan calon muda dengan 35 peratus terdiri daripada muka baharu.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/13/baki-4-calon-grs-diumum-hari-ini/feed/ 0 85685
Penduduk Papar harap calon menang PRU beri tumpuan tingkat, naik taraf infrastruktur jalan raya https://sabahmedia.com/2025/11/04/penduduk-papar-harap-calon-menang-pru-beri-tumpuan-tingkat-naik-taraf-infrastruktur-jalan-raya/ https://sabahmedia.com/2025/11/04/penduduk-papar-harap-calon-menang-pru-beri-tumpuan-tingkat-naik-taraf-infrastruktur-jalan-raya/#respond Tue, 04 Nov 2025 12:24:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84957
Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh Rhea Dharmin

PAPAR: Peningkatan kemudahan infrastruktur khususnya jalan raya yang lebih baik menjadi antara harapan utama rakyat daerah ini.

Pembangunan secara konsisten yang dilaksanakan di Papar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan aktiviti ekonomi di sini menjadi lebih rancak dari sebelumnya.

Kemeriahan pembangunan yang semakin pesat ini sekaligus memperlihatkan usaha konsisten kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masa kini dalam membangunkan sesebuah daerah.

Susulan itu, infrastruktur jalan raya yang lebih baik juga menjadi antara aspek penting bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi selain berfungsi sebagai kemudahan perhubungan lebih selamat.

Ziela Abu Bakar, 49, penjawat awam berkata menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) ini, beliau berharap calon khususnya yang bakal mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis kelak prihatin terhadap keselamatan dan keselesaan rakyat.

“Sebagai penduduk DUN Pantai Manis, saya berharap PRU kali ini membawa perubahan positif kepada semua kawasan.

“Semoga calon yang dipilih dapat memberi perhatian kepada keperluan rakyat, terutamanya keadaan jalan raya yang masih banyak perlu dibaiki demi keselamatan dan keselesaan semua,” katanya.

Sementara itu, Nuralieya Marzuki, 28, eksekutif sumber manusia berkata beliau mengharapkan pembangunan daerah ini meningkat lagi.

Namun pada masa sama, beliau turut berharap agar kesinambungan meningkatkan pembangunan khususnya menaik taraf dan baik pulih infrastruktur jalan raya antara perkara utama yang akan diberi keutamaan oleh calon yang bakal mewakili DUN Kawang kelak.

“Untuk PRU kali ini, saya berharap calon akan tampil dengan solusi untuk memberi perhatian terhadap pembaikan dan menaik taraf khususnya jalan raya yang rosak.

“Keselamatan di jalan raya adalah perkara penting. Dengan jalan raya yang selamat, sekurang-kurangnya dapat menurunkan angka kemalangan jalan yang berkait dengan jalan raya rosak,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Saufi Shaffi, 33, guru, berkata daerah Papar mempunyai potensi besar untuk terus maju namun pada masa sama penambahbaikan infrasruktur asas harus menjadi tumpuan bakal calon yang memenangi PRU.

“Sebagai penduduk daerah Papar, saya amat berharap agar kepimpinan yang bakal dipilih pada PRU kali ini dapat memberi tumpuan yang lebih serius terhadap penambahbaikan infrastruktur asas di daerah ini.

“Papar mempunyai potensi besar untuk terus maju, namun masih terdapat keperluan mendesak seperti jalan raya yang lebih baik, selain sistem saliran lebih teratur bagi mengatasi masalah banjir, serta kemudahan awam lebih selesa untuk rakyat,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/04/penduduk-papar-harap-calon-menang-pru-beri-tumpuan-tingkat-naik-taraf-infrastruktur-jalan-raya/feed/ 0 84957
Nama-nama calon GRS telah dimuktamadkan, tunggu masa untuk umum – Hajiji https://sabahmedia.com/2025/11/03/nama-nama-calon-grs-telah-dimuktamadkan-tunggu-masa-untuk-umum-hajiji/ https://sabahmedia.com/2025/11/03/nama-nama-calon-grs-telah-dimuktamadkan-tunggu-masa-untuk-umum-hajiji/#respond Mon, 03 Nov 2025 07:46:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84828
Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa senarai nama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi.

“Pengumuman calon saya ingat saya akan buat mungkin sekitar 11 atau 12 haribulan, tiga atau empat hari sebelum penamaan calon. Nama-nama calon telah dimuktamadkan, hanya tinggal pengumuman sahaja” katanya.

Tambah beliau, keputusan akhir mengenai calon adalah tertakluk kepada presiden parti masing-masing dalam gabungan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 4.0 kepada 42 anak muda di negeri ini yang menyertai program berkenaan, di Menara Kinabalu, hari ini.

Menurut Hajiji, manifesto pula akan dilancarkan sehari atau dua hari selepas penamaan calon.

Ketika ditanya khabar mengenai berlaku ‘pelanggaran’ calon dalam kalangan parti gabungan, beliau berkata: “Belanggar sikit-sikit itu boleh lah… tidak apa.”

Beliau turut menyentuh tindakan segelintir individu yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan.

“Yang tidak dapat menjadi calon itu, dia fikir calon sahaja. Jadi bila tidak dapat, mereka ‘pergilah’. Jadi macam mana ini jadi pemimpin, pejuang.. Kita kena ada kualiti, bukan kerana tidak dapat calon kita merajuk, ‘pergi’… Jadi saya harap parti lain pun fikirlah ambil mereka,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/03/nama-nama-calon-grs-telah-dimuktamadkan-tunggu-masa-untuk-umum-hajiji/feed/ 0 84828
GRS bakal umum calon seminggu sebelum hari penamaan? https://sabahmedia.com/2025/11/01/grs-bakal-umum-calon-seminggu-sebelum-hari-penamaan/ https://sabahmedia.com/2025/11/01/grs-bakal-umum-calon-seminggu-sebelum-hari-penamaan/#respond Sat, 01 Nov 2025 09:36:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84700
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap dapat mengumumkan calon mereka seminggu sebelum hari penamaan (15 November) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, mengulas khabar angin bahawa GRS akan mengumumkan calon lebih awal daripada hari penamaan dan mengesahkan bahawa GRS akan mengumumkan nama calon lebih awal.

Ditanya mengenai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meletakkan calon di kawasan yang turut ditandingi GRS, Masidi berkata setakat ini beliau belum terbaca atau melihat sebarang pengumuman daripada parti itu.

Beliau menambah bahawa GRS telah mengadakan perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dan akan meletakkan calon tanpa mengira siapa calon lawan.

“Melalui perundingan, kami berharap kedua-dua pihak menghormati persetujuan dalam rundingan itu. Jika tidak, ia membuka kemungkinan persaingan bebas,” katanya dalam sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan BigSabah Sale 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Masidi menjelaskan bahawa dalam politik tiada apa yang mustahil dan persaingan bebas boleh berlaku atau tidak.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Senator Nelson W. Angang dalam kenyataannya mengesahkan parti itu merancang bertanding di lebih daripada dua kerusi pada PRU kali ini.

Difahamkan, UPKO hanya diberikan dua kerusi untuk ditandingi. Selain Kadamaian dan Limbahau, parti itu dipercayai turut menilai peluang di Moyog dan beberapa kawasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan teliti dan parti yakin dengan kesiapsiagaannya untuk bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/01/grs-bakal-umum-calon-seminggu-sebelum-hari-penamaan/feed/ 0 84700
Suara wanita dalam GRS perlu terus diperkukuh https://sabahmedia.com/2025/10/25/suara-wanita-dalam-grs-perlu-terus-diperkukuh/ https://sabahmedia.com/2025/10/25/suara-wanita-dalam-grs-perlu-terus-diperkukuh/#respond Sat, 25 Oct 2025 08:45:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84136
Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Suara dan peranan wanita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai elemen penting yang perlu terus diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS, Datuk Rina Jainal berkata, kepimpinan GRS telah memberi jaminan untuk mempertahankan semua penyandang wanita sedia ada, selain mempertimbangkan tambahan kerusi bagi calon wanita dalam PRN kali ini.

“Dimaklumkan bahawa semua kerusi yang disandang oleh wakil wanita akan dipertahankan. Malah ada juga cadangan untuk menambah, sekitar 10 kerusi untuk calon wanita,” katanya kepada Sabah Media.

Rina berkata, langkah itu menunjukkan komitmen GRS dalam memastikan suara wanita terus berkumandang dalam pentadbiran dan pembuatan dasar negeri.

“Kita mahu supaya sentiasa ada suara wanita di Dewan. Itu yang penting, sebab peranan wanita dalam membawa pandangan masyarakat juga besar,” ujarnya.

Mengenai peluang untuk dicalonkan semula, beliau berkata, keyakinan itu bukan semata-mata berdasarkan pengalaman, tetapi turut disokong oleh prestasi kerja dan maklum balas positif daripada masyarakat setempat.

“Keyakinan itu memang ada, berdasarkan cara kita bekerja dan respon daripada rakyat. Namun, keputusan akhirnya tetap bergantung kepada kepimpinan atasan,” katanya.

Rina menambah, GRS juga diyakini akan menilai calon-calon berdasarkan kemampuan mereka memberikan saingan yang kuat di kawasan masing-masing, termasuk dalam kalangan calon wanita.

“Sudah tentu mereka akan pertimbangkan calon yang boleh memberi saingan, sebab semua orang sedang berjuang secara adil untuk peluang masing-masing,” katanya.

Beliau berharap peningkatan jumlah calon wanita bukan sahaja memperkukuh keseimbangan gender dalam politik Sabah, tetapi juga menjadi simbol kesediaan GRS untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa di masa hadapan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/25/suara-wanita-dalam-grs-perlu-terus-diperkukuh/feed/ 0 84136
114 Ahli Parlimen Dipanggil Ke Istana Negara Pagi Ini, Ismail Sabri Bakal PM Ke-9 https://sabahmedia.com/2021/08/19/114-ahli-parlimen-dipanggil-ke-istana-negara-pagi-ini-ismail-sabri-bakal-pm-ke-9/ https://sabahmedia.com/2021/08/19/114-ahli-parlimen-dipanggil-ke-istana-negara-pagi-ini-ismail-sabri-bakal-pm-ke-9/#respond Wed, 18 Aug 2021 22:54:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4861
Read Time:40 Second

KUALA LUMPUR : Ahli-ahli Parlimen yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-sembilan telah dipanggil ke Istana Negara bermula pagi ini.

Mereka yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN),Parti Islam SeMalaysia (PAS) ; Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen Bebas.

Difahamkan, kehadiran mereka ke Istana Negara pagi ini adalah bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Sumber menyatakan, pergerakan ke Istana Negara adalah mengikut parti bermula seawal jam 10 pagi yang dimulakan dengan GPS; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); UMNO dan BN serta PAS pada sebelah petang.

Pergerakan Ahli Parlimen BN dan UMNO esok akan bergerak ke Istana Negara dalam dua kumpulan menaiki bas khas dari ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, di sini.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/19/114-ahli-parlimen-dipanggil-ke-istana-negara-pagi-ini-ismail-sabri-bakal-pm-ke-9/feed/ 0 4861