RANAU: Musim buah adalah yang ditunggu-tunggu bagi penggemar buah-buahan khususnya di daerah ini yang terkenal dengan pengeluaran buah tempatan bermusim seperti durian, rambutan, mangga manis, manggis, tarap, langsat, golden melon dan nanas.
Pengerusi Persatuan Penjaja Buah dan Sayuran di Pasar Terbuka pekan Ranau, Zulkefli Abd.Ghani, 40, berkata, kini penjaja di daerah Ranau sudah mula menuai dan menjual hasil tanaman buah-buahan mereka, ini adalah berita baik buat penggemar buah-buahan di seluruh Sabah, musim buah di daerah ini terutamanya buah durian kini mula mengeluarkan hasil sejak awal tahun dan dijangka berakhir sehingga bulan Mac tahun ini.

Menurutnya, antara jenis buah durian yang banyak dijual di pasar terbuka sekarang ini ialah musang king, D8, D24, D101, D96, durian besara, durian tembaga, durian kahwin, durian sukang, durian tembaga hijau, tarap, rambutan dan banyak lagi.


“Buah durian di sini dijual dengan harga RM4.00 hingga RM15.00 sekilo kecuali buah durian Musang King mencecah RM60.00 sekilo,” jelas Zulkefli.
Berkenaan dengan Pesta Durian peringkat daerah Ranau tahun ini kata Zulkefli, belum pasti dapat dianjurkan kerana masih bergantung kepada kelulusan daripada kerajaan ekoran pandemik Covid-19 yang belum reda.
“Kita tunggu dan lihat perkembangan pandemik Covid-19, moga cepat pergi dari negara kita khususnya dari daerah Ranau,” tambah Zulkefli.
]]>KOTA KINABALU: Papar menjadi daerah terbaharu yang diisytiharkan sebagai daerah dilanda wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah setelah virus itu dikesan di Kampung Kogopon dan Kampung Purak pada 14 September lalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengatakan bahawa virus ASF adalah penyebab kematian 91 ternakan babi di kedua-dua kampung itu dalam tempoh dua minggu, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM50,000.
“Setakat ini, virus berkenaan hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan bukan ladang ternakan babi komersial. Di ladang komersial terdapat kira-kira 9,400 ternakan babi.
“Selain Papar, dua lagi daerah turut diisytiharkan kawasan wabak ASF iaitu Kota Kinabalu pada 30 September lalu dan disusuli Tenom pada 13 Oktober,” katanya.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata penularan virus ASF di ibu negeri dan Tenom juga hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan kes diklasifikasikan sebagai terasing.
“Pada masa ini, kementerian belum memutuskan untuk memusnahkan semua babi di daerah terbabit kerana kes ASF itu adalah terasing dan babi di ladang komersial didapati bebas ASF selepas beberapa ujian.
“Kementeriannya akan terus mengawal aktiviti pemindahan babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan di daerah yang terbabit sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan”,katanya.
Jeffrey turut menyatakan bahawa kempen meningkatkan kesedaran di kampung dan lokasi terjejas turut dilaksanakan selain memantau aktiviti di ladang dan rumah penyembelihan di semua daerah yang dikesan wabak ASF.
Awal tahun ini, kawalan yang sama dilaksanakan di 19 daerah dan tujuh daerah iaitu Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan berjaya keluar dari zon merah dan kini berada dalam zon kuning selepas tiada kes baharu ASF dilaporkan dalam tempoh dua bulan lalu.
“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi ASF di negeri ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang penularan jangkitan wabak ASF”,kata Jeffrey.
]]>PENAMPANG: Dua pakej penebatan banjir telah diselesaikan sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan bencana banjir di daerah Penampang.
“Hanya satu pakej lagi yang belum selesai untuk memastikan Penampang dan kawasan sekitarnya tidak akan terjejas oleh banjir, “kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan selepas lawatannya ke Kampung Sugud di sini.

Hajiji semasa mengunjungi kampung tersebut selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini berkata, Kerajaan Negeri juga akan membantu mangsa banjir dari segi bahan yang diperlukan untuk membaiki rumah mereka.
Katanya, 937 mangsa banjir di daerah Penampang masing-masing akan menerima bantuan wang kecemasan sebanyak RM1,000 dari Kerajaan Negeri.
“Selain itu, 10 rumah yang dihanyutkan semasa banjir baru-baru ini akan dibina semula. Ini adalah bantuan segera kepada penduduk di sini yang merupakan antara yang paling teruk terjejas.
“Kerajaan Negeri akan memastikan mereka akan mendapat bantuan dari kerajaan Negeri dan Persekutuan, “katanya.
Berdasarkan taklimat oleh Pegawai Daerah, Francis Chong, beliau mengatakan bahawa Kampung Sugud adalah kawasan terjejas teruk.
Ketua Menteri juga telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan semua tempat aliran air supaya tidak tersumbat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong turut mengiringi Ketua Menteri semasa lawatan itu.
]]>KOTA KINABALU: Seramai 300 pemandu teksi dan bas sekolah daerah Sandakan menerima sumbangan bakul makanan daripada Bintulu Port Holding yang diadakan secara pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan pagi tadi.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan Malaysia, Ling Tian Soon bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung.
Program tersebut telah dianjurkan bersama oleh Persatuan Bas Sekolah Daerah Sandakan dan Persatuan Teksi Seluruh Sabah serta sokongan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Operasi Lapangan Terbang Sandakan, Gazzalih Hussain, Pengerusi Persatuan Teksi Seluruh Sabah, Hiew Su Vun serta Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Seluruh Sabah, Lee Man Keong.
]]>KUDAT: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan sekatan perjalanan rentas antara daerah kerana melihat peningkatan yang membimbangkan dalam jumlah kes Covid-19 baru dilaporkan setiap hari di Sabah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun terdapat usaha oleh pihak berkuasa seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap kawasan yang terjejas namun jumlah kes terus meningkat.
“Oleh itu sekatan jalan raya akan terus dilaksanakan kerana perjalanan rentas antara daerah masih tidak dibenarkan. Rakyat mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ini, “katanya selepas lawatan kerja ke daerah ini pada hari Khamis.
Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran
beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri-negeri di bawah Pelan Pemulihan Nasional Fasa 2 yang merangkumi perjalanan rentas antara daerah bagi mereka yang telah menerima dua dos vaksin lengkap.
Pelan Pemulihan Nasional Sabah Fasa 2, SOP dikemaskini pada 12 Ogos, bagaimanapun, dinyatakan bahawa sekatan perjalanan rentas antara daerah masih berlaku kecuali untuk kes kecemasan, pekerjaan (disokong oleh surat dari majikan), temujanji vaksinasi COVID-19 dan mereka dalam sektor perkhidmatan penting.
SOP yang dikemaskini untuk Sabah juga menyatakan bahawa kebenaran daripada pihak polis diperlukan untuk pergerakan di seluruh daerah bagi kes kecemasan, pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka yang berumur di bawah 18 tahun.
Dalam hal ini, Hajiji mengatakan antara langkah untuk memerangi COVID-19 adalah dengan memperoleh sebanyak mungkin vaksin untuk semua orang selain memastikan SOP dipatuhi setiap masa.
“Kita menyeru kepada masyarakat untuk tidak mengadakan perhimpunan yang akan melibatkan banyak orang masa ini.
“Kita mahu rakyat lebih berdisiplin. Hanya dengan cara ini kita dapat melandaikan lekuk penularan COVID-19, “katanya.
Menurut Hajiji lagi, Sabah akan mendapat 200,000 dos tunggal Vaksin CanSino minggu depan berikutan jaminan daripada Khairy Jamaluddin, menteri yang bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), di mana Sabah akan mendapat keutamaan Bekalan vaksin CanSino.
Dengan kedatangan vaksin dos tunggal, ini akan membantu meningkatkan jumlah vaksinasi yang diperlukan untuk mencapai imuniti komuniti.
Setakat ini, 1,227,628 atau 44.5 peratus penduduk negeri berusia 18 tahun ke atas telah menerima dos vaksin pertama.
Hajiji juga mengunjungi Pusat Penerimaan Vaksin di Dewan Tun Mustapha (PPV), memantau proses vaksinasi dan bertemu dengan para petugas barisan hadapan di sana.
]]>KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu mencatat kes terbanyak iaitu 326 kes, hampir 24% daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini.
Jumlah kes baharu COVID-19 terus bertambah dan hari ini mencatatkan 1,383 kes iaitu penambahan 136 kes baharu berbanding 1,247 kes semalam selain 12 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima kes di Tawau, tiga kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Keningau, Telupid, Kota Kinabalu dan Tenom.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beberapa daerah merekodkan kenaikan kes yang ketara, Sandakan 86 kes, Keningau 36 kes, Kota Belud 18 kes, Kinabatangan 21 kes , Kota Marudu 37 kes, Beluran 23 kes dan Tenom 17 kes.
Katanya, daerah Kota Kinabalu mencatat kes terbanyak iaitu 326 kes, hampir 24% daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini diikuti Tawau 168 kes , Sandakan 138 kes, Tuaran 92 kes, Penampang 80 kes, Keningau 79 kes, Kota Belud 66 kes, Beaufort 65 kes, Kinabatangan 49 kes , Kota Marudu 41 kes, Papar 39 kes, Beluran 33 kes, Tenom dan Putatan masing-masing 30 kes.
Bagaimanapun, Kontak Rapat penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah, iaitu
54.16% atau 749 kes, Saringan Bergejala 23.28% atau 322 kes, Saringan Kluster 8.03% atau 111 kes dan Saringan Bersasar 5.28% atau (73) kes.
Satu kluster baharu diisytiharkan hari ini di Kampung Timbua, Ranau yang sehingga kini merekod kumulatif sebanyak 48 kes, termasuk satu kes baharu hari ini.
Manakala daripada 1,383 kes hari ini, 1,064 kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, 19 kes dalam Kategori 3, 12 kes dalam Kategori 4 dan enam kes dalam kategori 5. Namun 282 kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
]]>KOTA KINABALU: Mengkritik orang lain lebih mudah daripada dikritik, itulah teguran yang diberikan Christoper Mandut terhadap kenyataan Ketua Bahagian PKR Kota Marudu, Sazalye Donol.
“Selain itu, mereka perlu mencerminkan diri sendiri sebelum bercakap mengenai orang lain,” tambahnya sambil menegaskan bahawa Sazalye hanya pandai mengata dan mengkritik tetapi lupa kepada kelemahan parti dan pemimpinnya sendiri.
Christoper mempersoalkan Sazalye mengenai sumbangan PKR, dan dirinya sendiri terhadap pembangunan Sabah, khususnya di daerah Kota Marudu.
“Sebenarnya, saya percaya kemiskinan bertambah teruk sewaktu mereka berkuasa selama dua tahun, dan hampir tidak ada pembangunan di Kota Marudu sepanjang tempoh tersebut, yang boleh mereka banggakan,” kata Christoper.
Christoper yang merupakan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menasihati Sazalye untuk berhenti menjadi boneka dan digunakan untuk mengkritik dan menuding jari bagi menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka sendiri.
“Sebagai seseorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Kota Marudu, saya percaya bahawa saya adalah orang terbaik yang mengatakan bahawa daerah ini telah berkembang pesat. Kota Marudu adalah sebuah bandar yang berkembang, dan mampu mengejar bandar-bandar maju di Sabah, dan sebenarnya, jauh lebih baik daripada beberapa kawasan di negeri ini.
“Ya, kami tidak akan malu untuk mengakui bahawa masih ada ruang untuk penambahbaikan, tetapi Kota Marudu berkembang secara progresif.
“Jurang kemiskinan sememangnya ketara di kawasan perbukitan seperti di Sonsogon, Gana dan Magandai tetapi kawasan tanah rata tetapi kita dapat bersaing dengan daerah lain seperti Penampang dan Papar.
” Di Kota Marudu berkembang maju dengan mempunyai lebih kurang 50,000 ekar kelapa sawit, pertanian, dan tanaman padi kami adalah yang kedua terbesar di Sabah, selepas Kota Belud, “katanya.
Dalam pada itu, Christoper turut mempersoalkan Sazalye mengenai sumbangan PKR sepanjang tempoh dua tahun mereka menjadi kerajaan, sedangkan zink untuk pembaikan rumah tidak pernah diberikan kepada masyarakat di Kota Marudu.
“Saya percaya, Ahli Parlimen kita telah melakukan pelbagai perkara untuk Kota Marudu. Di Matunggong sahaja, sejumlah 22 rumah panjang telah dibina, dan dua buah lagi akan dibina.
“Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika mereka tidak dapat menunjukkan sumbangan parti itu terhadap pembangunan di Kota Marudu,” tambahnya.
]]>13 Jun 2021
BEAUFORT: Seramai 9,692 orang atau 20.71 peratus penduduk di daerah ini telah menerima vaksin Covid-19 setakat ini, menjadikannya daerah teratas di seluruh Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam yang gembira dengan perkembangan ini menyeru penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang belum agar mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19.
Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd, berterima kasih kepada rakyat yang telah mendaftar menerima vaksin dan melengkapkan vaksinasi berkenaan.
“Saya gembira dan berterima kasih sejumlah 9,692 orang telah menerima vaksin sebanyak 20.71 peratus setakat ini.
“Ini menjadikan Beaufort sebagai daerah teratas di seluruh Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslan juga telah mendermakan kerusi bagi kegunaan dalam Pusat Vaksinasi di Dewan Pak Musa, Beaufort.
Sumbangan kerusi diserahkan oleh Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Dioslin Agostin bersama Sobri Adis, yang mewakili Ruslan, kepada Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Beaufort.
]]>12 Jun 2021
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bimbang mengenai kes positif Covid-19 di Daerah Tawau semakin meningkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Tawau merupakan daerah yang kes positifnya tidak menentu dan antara daerah yang mempunyai jangkitan kes positif Covid-19 tertinggi di negeri Sabah.
“Jesteru itu langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terlibat adalah tindakan yang tepat untuk kita kawal dan landaikan penularan Covid-19 ini.
“Saya berharap agar semua pihak di manapun berada mestilah sentiasa mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan bagi keselamatan dan kebaikan semua penduduk”, kata Nizam.
Katanya, “berikutan pelaksanaan PKP 3.0 ini, fokus kita selain untuk memastikan penduduk mematuhi SOP, kita juga berusaha membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerajaan dalam mewujudkan imuniti berkelompok dikalangan masyarakat”.
Oleh yang demikian, Nizam bersama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Apas telah menjalankan kempen dikalangan komuniti setempat didaftarkan untuk mendapat suntikan vaksin covid19 agar tidak ada penduduk yg tercicir dari mendapat suntikan vaksin ini.
Sementara itu, Nizam turut menyampaikan sumbangan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di kawasan itu.
Antara sumbangan lain yang disampaikan termasuklah peralatan kelengkapan kepada petugas barisan hadapan seperti khemah, kipas angin, meja, kerusi, facemask dan air mineral.
Dalam perkembangan lain, Nizam menyokong penuh dan bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas pengumuman pemotongan gaji 50 peratus kepada jemaah menteri di Sabah.
“ini membuktikan bahawa pemimpin GRS prihatin dan bersama dengan rakyat dalam menghadapi situasi sukar akibat dari pandemik covid19 ini,” katanya.
]]>