KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 118,000 premis di seluruh negeri sejak 1 Januari hingga 12 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pemeriksaan yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan pematuhan harga dan kestabilan bekalan barangan keperluan rakyat.
Katanya, emeriksaan ini melibatkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga yang aktif melakukan rondaan di pasar awam, pasar tani serta pusat membeli-belah.
“Kita bukan sahaja memantau harga, tetapi juga keberadaan bekalan untuk mengelakkan sebarang manipulasi harga atau kekurangan barang di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Shahril berkata, sehingga kini, KPDN Sabah telah merekodkan 1,438 kes pelanggaran dengan nilai kompaun melebihi RM531,000 dan sitaan barangan bernilai lebih RM29 juta.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara bagi kesalahan serius.
“Kami komited melindungi pengguna dan memastikan semua rakyat menikmati perayaan dengan tenang tanpa risau tentang harga barang,” ujarnya.
Sementara itu, sempena Deepavali 2025, KPDN juga melaksanakan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dari 16 hingga 22 Oktober.
Walkabout itu adalah bagi memastikan harga sembilan barangan kawalan seperti daging kambing import, bawang merah, tomato dan kacang dal kekal berpatutan.
Sesi walkabout itu diwakili Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Sabah Peter J. Berinus Agang.
Orang ramai digalakkan melaporkan sebarang kenaikan harga atau ketidakpatuhan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH
]]>Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 dari 16 hingga 22 Oktober, di samping meneruskan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena sambutan perayaan itu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tahun ini, sebanyak sembilan jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan berbanding lapan jenis pada SHMMP Deepavali 2024, dengan penambahan bawang merah kecil India.
“Barangan lain yang terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India (Ros), bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji pada peringkat borong serta kelapa parut pada peringkat runcit,” katanya dalam sidang media Perlaksanaan SHMMP Deepavali 2025 di Sabah International Convention Centre hari ini.
Menurut Armizan pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 disesuaikan dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga, memastikan pengguna menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga dengan tempoh kawalan yang panjang.
“Penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan turut mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri. KPDN turut bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang skim dilaksanakan.
“SHMMP Deepavali 2025 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan penetapan harga dibuat. Harga maksimum bagi peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.,” katanya.
Beliau juga menegaskan pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah sepanjang skim bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Kerajaan mengingatkan peniaga supaya menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal. Di bawah AKHAP 2011, kesalahan menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Terdapat 94 premis bengkel seluruh negara terlibat bagi SIM@PAX bermula 5 hingga 19 Oktober 2025. Orang ramai boleh menyemak takwim PJRM di laman web KPDN, manakala tempahan servis kenderaan SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi Setel.
KPDN turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan aduan lengkap melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
]]>KOTA KINABALU: Majlis sambutan Deepavali peringkat negeri akan diadakan di salah sebuah hotel di ibu negeri, Ahad ini.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat India Sabah (GPMIS), Datuk A. Nagaraju, sambutan tersebut akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi menyubur keharmonian serta perpaduan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
“Sambutan julung kali diadakan ini menekankan aspek keharmonian dan perpaduan berdasarkan norma baharu dengan kehadiran tetamu jemputan yang terhad.
“Sambutan ini diraikan dengan kepelbagaian kaum yang hidup dalam suasana harmoni dengan identiti unik yang menjadi kunci keeratan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Justeru, kita akan bersama-sama 81 etnik di negeri ini sebagai lambang menghormati keunikan kepelbagaian kaum dengan meraikan sambutan perayaan dalam suasana muhibah,” katanya ketika ditemu bual di SABAHfm.
Dengan tema “Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian”, beliau berharap majlis akan berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. – PENERANGAN
]]>KOTA KINABALU: Masyarakat Hindu yang akan menyertai upacara ‘puja’ esok sempena sambutan Deepavali dinasihatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam Kota Kinabalu, Datuk Dr K Mathavan berkata, pihaknya menjangkakan lebih 300 orang penganut agama Hindu akan mengunjungi ke kuil itu nanti.
“Sempena ucapara sembahyang khas, kuil akan dibuka dua sesi iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan sesi kedua pula bermula 4.00 petang hingga 9.00 malam.
“Walau bagaimanapun, orang ramai masih boleh datang pada waktu rehat untuk melaksanakan upacara sembahyang masing-masing.
“Kapasiti dihadkan kepada 50 orang untuk berada dalam kuil pada satu-satu masa bagi mengambil bahagian dalam ucapara sembahyang selama 30 hingga 40 minit dan selepas itu, kita akan benarkan giliran untuk orang lain pula,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hindu Sangam Malaysia Negeri Sabah berkata, pada tahun ini sambutan di kuil berkenaan diadakan secara sederhana dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kita mengalu-alukan kehadiran penganut Hindu untuk datang bersembahyang dan meraikan Deepavali, tetapi setiap orang yang hadir perlu mematuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama.
“Dalam pada itu, kanak-kanak juga dibenarkan hadir dengan syarat ibu bapa mereka telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya.
Tambah beliau, bantuan daripada anggota RELA juga telah dimohon bagi melancarkan sambutan serta memantau pematuhan SOP.
Untuk rekod, terdapat seramai 4,000 penganut Hindu di negeri ini terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta dan juga pelajar universiti.
]]>KOTA KINABALU: Sebanyak 1,100 sumbangan bakul makanan akan diagihkan kepada masyarakat India di Sabah bagi membantu meringankan beban mereka akibat pandemik COVID-19, disamping sebagai persiapan merayakan sambutan Hari Deepavali.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat, terutama kumpulan B40 akibat pandemik COVID-19.
“Sumbangan bakul makanan kepada rakyat golongan B40 termasuklah masyarakat India membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat di Sabah”, kata Hajiji semasa majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada masyarakat India B40 di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, hari ini.
Katanya, kerajaan melalui pelbagai agensi menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat kumpulan B40 bagi membantu meringankan sara hidup mereka.
Hajiji berkata, semangat Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment) turut diterjemahkan pada majlis hari ini.
Beliau berharap, sumbangan daripada Kerajaan Negeri ini akan memberi sinar kegembiraan kepada keluarga yang menerima sumbangan, sebagai persediaan menyambut Hari Deepavali.
“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua masyarakat India di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya.
“Walaupun dalam suasana yang sederhana dan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa, kita masih berpeluang sama-sama meraikan perayaan ini melalui semangat Kebersamaan dan Kesyukuran sebagai tanda bahawa kita adalah ‘Keluarga Malaysia’,” ujarnya.
Turut hadir ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Ag.Sahari, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajian Am Sabah, Encik Jais Asri, Presiden Gabungkan Masyarakat India Sabah (GMIS), Datuk Nagaraju Applasamy, Sivathalayan Subramaniam (Penasihat GMIS), Setiausaha, Rishi Kumar Loganathan, Bendahari, Sukawathi Shunmugan dan wakil komuniti Sikh, Datuk Ir. Ts. Amarjit Singh.
]]>