KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang tahun 2024 ataupun 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Program jangka masa pendek merangkumi lima program iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri.
“Manakala, program jangka masa panjang terdapat dua program iaitu MySMJ: Modal Insan dan MySMJ: Teroka,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Alias Sani berkaitan langkah kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.
Hajiji berkata, bermula tahun ini (2024), pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742. Manakala, Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah mengambil langkah proaktif dalam memperhalusi definisi kemiskinan tegar di negeri ini melalui 13 indikator tambahan kemiskinan tegar, iaitu pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal ataupun mental, penyakit kritikal, kenderaan, haiwan ternakan, status pendaftaran kelahiran serta tahap pendidikan.
“Secara asasnya, golongan miskin tegar adalah mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan sendiri berdasarkan kepada indikator negeri Sabah seperti tidak memiliki rumah sendiri, tiada pemilikan tanah untuk diusahakan, masih mengunakan peralatan tradisional dalam kehidupan seharian serta akses kepada pendidikan.
“Justeru, Kerajaan Negeri telah menetapkan locked figure yang direkodkan dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah yang melibatkan 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR),” jelasnya.
Hajiji berkata, dalam usaha Kerajaan Negeri bergerak dalam program kemiskinan tegar ini, data-data yang tepat diperlukan dalam menyokong kepada bantuan intervensi yang bersesuaian untuk disalurkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR)/ Ahli Isi Rumah (AIR) yang telah dikenal pasti.
“Sekretariat SMJ bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah telah memulakan kerja verifikasi lapangan data eKasih bagi mengenal pasti padanan bantuan yang bersesuaian kepada golongan miskin tegar di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, setakat 31 Mac 2024, angka locked figure di dalam sistem eKasih merekodkan penurunan sebanyak 42% yang masih berstatus miskin tegar adalah seramai 12,555 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Namun demikian, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima/ ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia/berpindah ke negeri lain,” katanya.
]]>TUARAN: Statistik kemiskinan tegar lapan daerah termiskin di Sabah, termasuk Tuaran
yang dilaporkan sebelum ini dibuat berdasarkan rekod tiga tahun yang lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jika diambil kira rekod terbaharu pada tahun ini, statistik ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di daerah terbabit sudah jauh berkurang.
Katanya, bagi daerah Tuaran saja rekod terkini setakat bulan lalu hanya ada lebih 600
KIR miskin tegar berbanding kira-kira 1,000 KIR yang dilaporkan tiga tahun yang lalu.
Beliau berkata, penurunan itu adalah hasil usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya dalam memerangi kemiskinan tegar sepanjang kira-kira tiga tahun memerintah negeri.
“Sekarang pembangkang guna isu Tuaran daerah termiskin di Sabah, tapi saya mahu jelaskan itu ialah ukuran tiga tahun yang lalu, saya dimaklumkan ada 1,000 lebih KIR miskin tegar di Tuaran pada masa itu.
“Tetapi, yang terbaharu sekarang ini saya dimaklumkan bahawa jumlah KIR miskin tegar sudah berkurang kepada 600 lebih saja di Tuaran.
“Maknanya, kerajaan memandang serius masalah kemiskinan tegar dan berusaha membantu golongan itu melalui pelbagai cara, bukan saja bantuan rumah, malah dibantu memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya statistik mereka dapat diturunkan,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua
Menteri di Masjid An-Nur, Tuaran, di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lapan daerah termiskin di
Sabah ketika ini iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran,
Ranau dan Lahad Datu.
Hajiji berkata, statistik keseluruhan KIR di Sabah setakat 24 Mac lalu pula hanya berjumlah 13,172 orang KIR, berbanding 22,510 orang KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.
“Ini bermakna kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ini adalah keutamaan kita. Dalam kita merancang pembangunan besar, kita tidak lupa golongan miskin tegar.
“Kita ada sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang ditugaskan menangani isu kemiskinan di Sabah. Antaranya melaksanakan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang mana, dua tahun berturut-turut kita beri 1,500 rumah setahun kepada mereka yang tersenarai dalam e-kasih.
“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 rumah, jadi sekarang ini
sudah ada 3,000 rumah diberi kepada golongan miskin tegar yang ada dalam senarai e-kasih,” katanya.
Katanya, perkara itu adalah antara usaha yang dibuat kerajaan, namun pembangkang hanya pandai bercakap macam-macam untuk memburukkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus.
Sementara itu, Hajiji berkata segelintir pemimpin pembangkang di Sabah ketika ini pernah bersama dalam kerajaan sebelum ini, namun hanya mahu membolot jawatan.
“Saya tidak mahu menyalahkan atau merendahkan kawan kita di sebelah sana
(pembangkang), siapa suruh mereka ke sebelah sana, melainkan ada sebab yang saya tidak mahu cakap di sini sekarang.
“Minta jadi Menteri Kewangan dan jawatan lain. Kalau agensi kerajaan yang penting-penting, pengerusinya semua mereka bolot. Dulu mereka hingga empat menteri dan enam pembantu menteri sedangkan parti saya sendiri hanya tiga menteri dan tiga pembantu menteri,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dimaksudkan selain menjelaskan bahawa apa yang disebutkan itu adalah fakta bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah mereka.
Hajiji berkata, beliau juga menyedari pembangkang sudah mula mengatur strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan serangan demi serangan yang
ditujukan kepadanya dan kerajaan.
“Mereka (pembangkang) sekarang berabis, mereka ingat esok PRN… lama lagi ini,
hampir dua tahun lagi. Maklumlah mana tahu Ketua Menteri mahu bubar DUN.
“Sebab itulah sekarang kita lihat mereka tidak peduli puasa hentam saja (menyerang kerajaan),” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Parti Warisan cuba mengelirukan rakyat Sabah berhubung statistik terbaharu kemiskinan di negeri ini, khususnya laporan berkaitan lapan daerah termiskin seperti didedahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata laporan itu dianggap baharu selagi belum pernah didedahkan kepada umum, termasuk di Dewan Rakyat sebelum ini, meskipun ada dakwaan kononnya maklumat itu sepatutnya sudah diketahui lebih awal oleh kerajaan negeri.
Menjawab tuduhan dilemparkan Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua, kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan statistik yang didedahkan itu, Redonah berkata adalah bukan sesuatu yang ganjil jika laporan yang didedahkan itu tidak seperti yang diharapkan kerajaan negeri.
Tegasnya, Ketua Menteri hanya menyatakan bahawa ada perbezaan data yang diperolehi kerajaan negeri sebelum pendedahan dibuat Rafizi, namun perkara itu tidak menjejaskan hala tuju kerajaan negeri dalam membasmi masalah kemiskinan di negeri ini.
“Jika kita mahu mempertikaikan data yang dikeluarkan itu, ia tidak akan menyelesaikan masalah sebenar kemiskinan yang berlaku.
“Begitu juga tindakan Warisan memperbesarkan laporan berkaitan statistik itu, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah apa yang kita lihat Warisan sanggup mempergunakan golongan miskin untuk ‘political mileage’ mereka.
“Sebaliknya, di pihak kerajaan, sama ada laporan statistik itu tepat atau tidak, sudah dilaporkan atau tidak kepada kerajaan negeri, usaha membasmi kemiskinan tetap dilaksanakan kerana misi kerajaan adalah untuk menurunkan kadar kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Norfaizah dalam kenyataannya yang antara lain menyebut adalah mustahil Hajiji dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak menerima laporan yang disebut oleh Rafizi sebelum ini.
Menerusi kenyataannya, Norfaizah menyebut ada empat laporan berkaitan statistik kemiskinan di negeri ini yang sepatutnya diketahui kerajaan negeri iaitu Kajian Pendapatan Isi Rumah Sabah (HIS) dan Laporan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HES), selain laporan Kemiskinan di Malaysia 2022 dan Laporan Sosioekonomi Sabah 2022 yang diterbitkan pada tahun lalu.
Pada persidangan Dewan Rakyat bulan lalu, Rafizi menyatakan bahawa lapan daerah di Sabah, iaitu Tongod, Beluran, Kinabatangan, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu mencatat kadar kemiskinan tegar lebih tinggi berbanding kadar nasional.
Sementara itu, Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan yang jelas dalam usaha membasmi masalah kemiskinan, termasuk mengutamakan anak golongan miskin tegar yang tersenarai dalam e-kasih untuk diberi peluang kerja dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Banyak lagi usaha yang digariskan kerajaan negeri termasuk program Rumah Mesra SMJ, membangunkan aktiviti pelancongan luar bandar, membangunkan aktiviti industri di luar bandar, selain meneruskan bantuan kepada golongan yang layak.
“Ketua Menteri sendiri sangat komited menyelesaikan masalah kemiskinan di semua daerah negeri ini, bukan saja di lapan daerah termiskin yang turut merangkumi daerah Ketua Menteri sendiri.
“Kita yakin apa yang dirancang kerajaan negeri melalui pelbagai program pembasmian kemiskinan itu dapat mencapai matlamatnya dalam menurunkan kadar kemiskinan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak seharusnya membantu kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan dengan memberikan cadangan yang boleh dilaksanakan, bukannya memperbesarkan soal statistik dan hal remeh yang lebih bersifat politik.
Katanya, isu kemiskinan juga diwarisi daripada kerajaan sebelum ini, malah ketika Warisan memerintah juga masalah kemiskinan berada pada tahap yang tinggi dan gagal diatasi sepenuhnya.
]]>PENAMPANG: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) mengadakan sesi dialog santai petang bersama ahli Persatuan Pemimpin Muda Perniagaan & Industri Sabah (SYBIL) di Donggongon pada Rabu.
Majlis tersebut merupakan kunjungan hormat yang dianjurkan oleh SCC untuk memperkenalkan 13 ahli SYBIL yang hadir.
Setiap ahli merupakan pemilik perniagaan atau profesional dari pelbagai industri di Sabah.
Rombongan SYBIL diketuai oleh Bendaharinya, Kevin Lee, bersama Presiden SYBIL, Ar. James Wong, Naib Presiden, Datuk Roger Chin dan ahli exco persatuan yang lain.
Turut hadir ialah Pengerusi SCC, Datuk Seri Yee Moh Chai, Ahli SEAC Datuk John Lo dan Siaw Kok Chee, Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC, George Taitim, menarik perhatian persatuan perniagaan tentang kekuatan dan kelemahan situasi kewangan semasa di Sabah, dan bagaimana SCC memainkan peranannya sebagai institusi kewangan negeri untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada komuniti di Sabah.
“SCC agak istimewa dalam erti kata kita tidak berada di bawah BAFIA, namun wujud di bawah kawalan negeri untuk menyediakan perkhidmatan bantuan kewangan kepada Rakyat Sabah sebagai sebuah institusi kewangan, namun ia tidak bermakna kita tidak mempunyai pematuhan peraturan yang ketat,” kata George dalam kenyataan hari ini.
Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) ialah akta tadbir urus yang meliputi undang-undang dan peraturan semua institusi yang terlibat dalam perniagaan perkhidmatan perbankan & kewangan di Malaysia.
Beberapa faktor unik SCC ialah mereka adalah satu-satunya institusi kewangan di Sabah yang boleh mengambil tanah hak milik anak negeri (NT) sebagai cagaran untuk pembiayaan, sesuatu yang institusi kewangan lain seperti bank tidak mampu lakukan.
Dalam pada itu, Kevin Lee dari SYBIL turut memberi taklimat kepada SCC dan tetamu lain mengenai agenda keselamatan makanan yang telah diusahakan oleh SYBIL yang melibatkan kerjasama SYBIL dengan Jabatan Bioteknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya, beberapa program termasuk Black Soldier Fly Breeding Program, Tissue Culture Development & Cold Chain Distribution Programs yang akan membantu meningkatkan sektor keselamatan makanan Sabah, meningkatkan kecekapan industri, dan menyediakan sumber pendapatan baharu daripada pembangunan R&D.
“SYBIL dan SCC juga dapat mengemukakan isu sokongan kewangan yang dihadapi oleh ramai dalam komuniti syarikat pemula di Sabah, mengakui kekurangan institusi kewangan yang mempunyai bantuan kewangan yang memberi impak kepada industri baharu dan baru muncul seperti syarikat pemula, dan bagi mereka dalam komuniti di luar bandar,” katanya.
Dialog itu menghasilkan peluang kerjasama untuk SCC dan SYBIL mempertimbangkan kerjasama dalam mengembangkan skim pembiayaan sedia ada oleh SCC khususnya untuk syarikat pemula di Sabah, selain SYBIL bekerjasama dengan SCC untuk mendekati rangkaian perniagaannya ke arah skim kewangan di bawah SCC.
SCC telah melaksanakan program kepada syarikat pemula Sabah dengan kumpulan pembiayaan sebanyak RM8 juta, dan berjanji maksimum RM50,000 bagi setiap pemohon untuk mendapatkan bantuan kewangan dalam pinjaman untuk digunakan oleh syarikat baharu di bawah program tersebut.
]]>KOTA KINABALU: Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan telah mengenal pasti bahawa secara keseluruhan terdapat sebanyak 285 koloni setinggan di seluruh Sabah, melibatkan 33,566 buah rumah dan 130,397 penduduk.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang telah dilantik oleh Kabinet Negeri sebagai Pengerusi jawatankuasa ini berkata, hanya tiga daerah iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran yang tidak mempunyai koloni setinggan.
Beliau menyarankan setiap daerah mempunyai pelan daerah bagi menangani setinggan-setinggan ini.
“Saya ingin melihat lebih banyak daerah/Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sifar setinggan. Daerah/PBT yang mempunyai banyak koloni setinggan hendaklah mencapai penurunan yang ketara menjelang akhir tahun 2025,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah 2024 di Hilton Kota Kinabalu Hotel, di sini, pada Jumaat (8 Mac).
Dr. Joachim berkata, beliau juga telah mengarahkan agar semua PBT menyediakan kajian keperluan perumahan di PBT masing-masing serta mengenal pasti dan menyenaraikan tanah yang tersedia dibangunkan untuk pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau turut mengambil perhatian mengenai usaha Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) untuk meningkatkan prestasi jabatan.
“Saya sendiri melihat ada perkembangan baik terutama proses penilaian dan kelulusan pembangunan dalam Majlis Perancang Negeri yang dipengerusikan oleh saya sendiri.
“Saya menyokong usaha berterusan JPBW untuk terus maju ke hadapan walaupun berhadapan dengan kekangan-kekangan seperti kekurangan kakitangan dan yang lain-lain. Walaupun berdepan dengan rintangan ini, kamu teruskan kerja yang cemerlang sebab saya percaya kerja keras dan semangat yang tinggi akan tetap dilihat oleh pihak atasan,” ujarnya.
Dr. Joachim turut menekankan sekali lagi mengenai ketetapan Kerajaan Negeri bahawa Ketua-ketua Adat sedia ada diteruskan pelantikan mereka, kecuali ada usul penggantian oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan di kawasan tersebut.
“Saya ambil maklum mengenai beberapa kesukaran dalam pelantikan Ketua-ketua Adat di beberapa daerah.
“Pada umumnya, sekali lagi saya ingin menekankan mengenai ketetapan Kerajaan Negeri bahawa Ketua-ketua Adat sedia ada diteruskan pelantikan mereka, kecuali ada usul penggantian oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di kawasan tersebut.
“Usul dan cadangan-cadangan tersebut hendaklah dibincangkan di dalam jawatankuasa peringkat daerah, dipengerusikan oleh Pegawai Daerah sebelum senarai dikemukakan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri untuk diserahkan kepada saya selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan,” katanya, sambil mengucapkan tahniah atas kenaikan elaun kesemua Ketua-ketua Adat mulai September 2023.
Dr Joachim mahu warga Kementerian, Jabatan, Agensi dan PBT meningkatkan integriti dalam penyampaian perkhidmatan yang merupakan tunjang dalam menjalankan apa yang diamanahkan kepada mereka semua.
“Dengan berpaksikan kepada integriti dalam apa jua yang dilaksanakan ianya akan menjamin keberkesanan pelaksanaan tugasan harian.
“Saya berharap agar semua warga Kementerian, Jabatan, Agensi dan PBT senantiasa menyematkan dalam diri semua kepentingan amalan integriti dalam menjalankan tanggungjawab. Dengan amalan ini, ia akan dapat memberi gambaran kepada rakyat di luar sana bahawa penjawat awam sentiasa telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada mereka,” katanya.
Dr. Joachim juga mahu semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah melipatgandakan usaha memperkasa PBT masing-masing dengan menitikberatkan khidmat kepada penduduk masing-masing.
“Saya telah memulakan jelajah ke kesemua PBT di negeri Sabah dengan melawat Majlis Daerah Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan. Setakat ini, saya melihat bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh PBT lebih kurang sama. Antaranya ialah, mengenai kekurangan kewangan dan kakitangan. Kemudahan asas dan kemudahan PBT umumnya adalah usang dan tidak diselanggara dengan baik.
“Saya memperingatkan para Presiden dan Pegawai Eksekutif kepada prinsip bahawa setiap PBT itu sepatutnya berusaha ke arah mandiri daripada segi kewangan, dan bukan hanya berharap kepada sumbangan dan pemberian daripada kerajaan.
“Semua PBT hendaklah berusaha menjana pendapatan dan mengelakkan pembaziran serta ketirisan.
“Setiap PBT juga harus mempunyai senarai keutamaan projek-projek pembangunan, mengikut keperluan mendesak PBT masing-masing dan bukan mengikut senarai permohonan-permohonan daripada pihak luar. Kebersihan kawasan PBT masing-masing hendaklah sentiasa terjaga.
“Para Presiden dan Pegawai Eksekutif hendaklah mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah semasa, misalnya pembersihan berterusan dan tidak hanya menunggu sahingga konsesi-konsesi pembersihan telah dilantik.
Beliau berkata, ada juga sesetengah PBT yang datang kerja sesuka hati tanpa mengikuti jadual masa penjawat awam.
““This is simply not to be tolerated. Sebagai makluman, pihak Kementerian akan mengadakan ‘spot check’ dari semasa ke semasa dan ini akan dijadikan salah satu penilaian prestasi kerja atau KPI.
“Saya juga ingin memperingatkan PBT-PBT mengenai aduan awam yang sering sampai kepada saya mengenai tahap kebersihan, serta lampu-lampu jalan yang tidak menyala di waktu malam,” tegasnya.
Justeru, beliau menyeru semua PBT untuk sentiasa proaktif mengambil tindakan pembaikan sebelum ada aduan.
Beliau turut dimaklumkan dengan tanggapan awam bahawa para Presiden, Pegawai Eksekutif dan Pegawai-pegawai Kanan PBT sukar ditemui di pejabat.
“Saya mengambil berat perkara berkenaan dan beberapa langkah akan diperkenalkan oleh Kementerian untuk memperbaiki perkara ini,” katanya.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada kesemua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Anugerah Khas pada malam tersebut, Dr. Joachim berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan satu platform untuk meraikan warga Kementerian yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan pencapaian yang membanggakan sepanjang tahun 2023.
“Saya berharap penganugerahan ini akan memberi impak motivasi kerja yang positif kepada semua warga Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah kementerian dalam membentuk dan memantapkan lagi ekosistem pekerjaan yang cemerlang selaras dengan hala tuju Kementerian dan Kerajaan,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Politik Kementerian, Datuk Jonnybone J. Kurum; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Stanley Chong dan Faridah Giau, Pengarah- pengarah Agensi Kementerian; Presiden- Presiden Majlis Perbandaran; Pegawai-Pegawai Eksekutif, dan seluruh warga kerja Kementerian.
]]>KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berhasrat untuk bertanding 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Hasrat itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Dr. Sangkar Rasam ketika ditemui Sabah Media di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam siri mesyuarat jelajah PKR Sabah di seluruh negeri baru-baru ini.
“Bagi PKR di Sabah selepas diputuskan dalam siri mesyuarat jelajah PKR di seluruh negeri Sabah, PKR Sabah berhasrat untuk bertanding 25 kerusi Dewan Undangan Negeri di setiap Parlimen pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
“Perkara ini, kami akan sampaikan kepada pucuk pimpinan parti Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH) dalam masa yang terdekat ini,” katanya.
Jelas Dr Sangkar, setiap parti ada hasrat, semua parti mahu kerusi yang banyak, jadi perkara itu perlu dimurnikan di peringkat atasan untuk mendapatkan kata sepakat dari semua pihak terbabit sebelum ia diputuskan.
“Setiap parti ada hasrat, semua parti mahu kerusi yang banyak, jadi perkara itu perlu dimurnikan di peringkat atasan dan apabila kata sepakat dapat diputuskan di situ, kami di bawah ini kena ikut, masing-masing ada tujuan tapi akhirnya ditentukan di peringkat
paling atas.
“Ia juga bergantung kepada perbincangan antara PH lagi dan antara parti-parti yang sanggup bekerjasama dengan kita tapi sekurang-kurangnya hasrat PKR Sabah ada satu wakil calon kerusi DUN di setiap Parlimen.
“Bila diputuskan nanti kami terima seadanya… Syaratnya sekarang bagaimana hasrat ini dapat ditunaikan bergantung kepada bagaimana bukti-bukti seperti data-data dan analisis kawasan termasuk kriteria kelayakan 25 calon ini dapat dikemukakan kepada pihak pimpinan atasan,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan PH perlu diteruskan hingga PRN akan datang seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini, Dr Sangkar berkata, kerjasama itu memang sudah wujud dan dikekalkan walau bagaimanapun hubungan dan kerjasama itu perlu dibaiki sehingga ke peringkat akar umbi.
“Di manapun perpaduan telahpun dilaksanakan di peringkat lebih tinggi terutama dari kepimpinan di atas tetapi apa yang kita lihat perpaduan dari peringkat di sebelah bawah pertengahan di peringkat akar umbi, saya rasa perpaduan ini belum lagi mencapai matlamatnya dengan baik dan ia perlu kita perbaiki dari semasa ke semasa.
“Mengenai dengan apa yang disebut oleh Armizan itu saya beranggapan itu adalah pandangan peribadinya iaitu PH-GRS perlu bekerjasama tapi bagi saya bergantung kepada pimpinan pusat apabila sampai masanya sebab kerjasama ini bagi peringkat kami, kami hanya penyelaras tapi untuk memutuskan gabungan atau kerjasama itu ia perlu diputuskan dari peringkat atasan,” ulasnya.
Ditanya mengenai desas-desus Barisan Nasional (BN) juga turut menawarkan kerjasama kepada PH dalam PRN akan datang, Dr Sangkar berkata, ia adalah tidak mustahil kerana BN sudah ada kerjasama di peringkat pusat.
“Justeru itu, untuk Sabah, saya rasa tidak mustahil kita boleh bergabung bersama BN untuk kepentingan parti, masyarakat dan kepentingan negara untuk dibangunkan terutamanya, kita mahu politik ini stabil di negara kita, jadi bila negara kita stabil dari segi politik barulah kita boleh bangunkan negara kita dengan baik.
“Jadi matlamat kita bersama-sama di negeri ini dengan kestabilan politik yang ada, maksud kita stabilkan politik kita dahulu barulah kita dapat membangunkan negara kita bersama-sama,” katanya.
]]>TUARAN: Kerajaan Negeri menyasarkan mengurangkan bilangan isi rumah miskin
tegar di Sabah diantara 70 hingga 80 peratus dalam tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik, Sabah mempunyai lebih 22 ribu Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar.
Beliau berkata, menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan
termasuk Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah, kerajaan yakin dapat mengurangkan kadar KIR miskin tegar di Sabah.
“Dengan pengembelingan semua pihak melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi jabatan dan agensinya serta GLC Kerajaan dan sektor swasta yang menyediakan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif, insyaallah dalam tahun ini atau
mungkin tahun hadapan, kita berharap boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja di Shangri- La Rasa Ria Tuaran pada Khamis.
Katanya, bantuan yang diberikan termasuklah bantuan pekerjaan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan keusahawanan.
“Kita bagi keutamaan kepada anak-anak dari KIR miskin tegar supaya diambil bekerja di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan juga pelabur-pelabur yang datang melabur dan membuka kilang di Sabah diwajibkan untuk mengambil anak -anak dari senarai eKasih miskin tegar bekerja.
“Kita telah minta kepada mereka supaya memastikan peluang pekerjaan ini dapat dinikmati oleh mereka yang dalam kategori miskin tegar.
“Nama-nama KIR miskin tegar ini telah diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dihantar kepada syarikat-syarikat, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC kerajaan, supaya mereka diberi peluang untuk bekerja”, katanya.
“Itulah sasaran kita. Kalau boleh semua kita bagi peluang, pekerjaan dan juga berniaga disamping bantuan lain terus daripada kerajaan. Kita kena buat ini. Bagi kita, inilah antara cara untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar”, tegasnya.
Menyentuh Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi
Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja, Hajiji berkata, ia merupakan manifestasi kerjasama semua agensi kerajaan khususnya agensi pemberi bantuan dalam penyaluran bantuan kepada golongan miskin tegar, untuk memastikan tahap ekonomi mereka dapat ditingkatkan dan seterusnya mengeluarkan mereka dari golongan miskin tegar.
Pada majlis itu, Hajiji menyerahkan surat penyertaan kepada 27 agensi pemberi
bantuan terdiri daripada 10 buah Kementerian Negeri Sabah, sembilan Agensi Kerajaan Negeri, tujuh Agensi Kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri.
Menurut Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Program Rintis Menoktahkan Miskin Tegar di Daerah Tuaran yang melibatkan sebanyak 974 KIR miskin tegar telah diprofilkan, bagi fasa awal program MySMJ Kerja: Industri, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn Bhd telah memberikan komitmen untuk melantik seramai 200 Ketua Ahli Isi Rumah dan ahli-ahli isi rumah untuk bekerja di daerah Kota Kinabalu dan Kudat.
Sebagai permulaan kepada kerjasama ini, setakat ini seramai 71 orang pekerja baharu
dari kalangan miskin tegar telah dilantik oleh SBH Kibing Solar Sdn Bhd dan proses pelantikan pekerja ini masih berjalan.
Selain itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga komited memberikan pekerjaan kepada 12 golongan miskin tegar untuk ditempatkan di enam sekolah agama negeri di daerah Tuaran.
Untuk bantuan kebajikan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga telah memberikan komitmen dalam penyaluran bantuan kebajikan kepada 263 KIR.
Bagi bantuan perumahan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah memberikan komitmen dalam bantuan perumahan iaitu Program Rumah Mesra SMJ dan Program Baik Pulih Rumah kepada 377 ketua isi rumah.
Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) mewujudkan klinik bantuan guaman bergerak dikenali sebagai pogram ‘Justice on Wheels’ yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar sekali gus memberikan lebih ramai rakyat Malaysia akses kepada keadilan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan Madani komited untuk membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan akses kepada keadilan, dan pendirian ini jelas berdasarkan Belanjawan Madani 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri ke-10 pada 13 Oktober 2023 yang lalu.
“Manakala had kelayakan bantuan guaman penuh yang disediakan oleh JBG berasaskan sumber kewangan tahunan, iaitu dari RM30,000 ke RM50,000 setahun, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2023,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Justice on Wheels Jabatan Bantuan Guaman di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, di sini, hari ini.
Menurut Azalina, sebanyak 15 program Justice on Wheels akan dijadikan program ‘pilot’ bagi tahun 2024, di mana ia akan dilaksanakan di negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak.
“Di Sabah program Kem Guaman akan dilaksanakan di Pitas (Feb), Telupid (May), Paitan (Jun), Sukau (Sept) dan Tungku (Okt),” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pada tahun 2023, kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1,000,000 bagi JBG yang telah dimanfaatkan untuk pembelian tiga buah van.
“Van-van ini akan digunakan sebagai klinik guaman bergerak yang telah diubah suai dengan kelengkapan yang sesuai bagi memberikan perkhidmatan nasihat guaman kepada rakyat yang berada di kawasan pedalaman, termasuk kawasan Felda di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha untuk menggiatkan lagi aktiviti promosi khidmat bantuan guaman akan diteruskan, terutamanya bagi mencapai rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar atau kawasan pendalaman bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh JBG.
“Saya difahamkan bahawa pelbagai pembaharuan telah diusahakan untuk mempromosikan khidmat bantuan guaman untuk menyebar luas pengetahuan dan meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan.
“Misalnya, di Sabah, didapati kes kelahiran yang tidak didaftarkan kian meningkat kerana masih terdapat segelintir masyarakat di pedalaman yang tidak mengetahui tentang peruntukan undang-undang berkenaan dengan pendaftaran kelahiran lewat.
“Menyedari hakikat ini, Badan Kehakiman Malaysia juga telah mewujudkan Program Mahkamah Bergerak di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil di negeri Sabah untuk menyelesaikan isu ketiadaan dokumen kelahiran bagi masyarakat di kawasan tersebut, dengan lokasi pertamanya di Long Pasia Sabah.
“Sehingga kini, program ini telah meliputi sebanyak 41 lokasi bagi kawasan pekan dan bandar kecil manakala 63 lokasi lagi di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambah Azalina, inisiatif ini turut melibatkan pengamal undang-undang serta pasukan perubatan yang menawarkan perkhidmatan undang-undang dan perkhidmatan kesihatan asas kepada masyarakat setempat.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga turut serta bagi memproses permohonan MyKad secara segera setelah pendaftaran sijil kelahiran disahkan oleh Mahkamah. Pada tahun 2023, program ini telah dapat menyelesaikan lebih 60 peratus kes pendaftaran lewat kelahiran,” ujarnya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merengkap Ahli Parlimen P174 Penampang, Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Kulasegaran a/l V. Murugeson, Ahli- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris, ADUN Kapayan Jannie Lasimbang, ADUN Moyog Datuk Ignatius Darell Leiking, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
Zamri Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Dato’ Norazmi Mohd Narawi serta Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, M Bakri Abd Majid.
Oleh NORMIMIE DIUN
PUTATAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah merekodkan lebih daripada 1,000 mangsa sindiket penipuan dalam talian atau scammer di Sabah dari Januari hingga hujung November 2023, melibatkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, statistik tersebut menunjukkan bahawa jumlah mangsa sindiket scammer semakin meningkat dari tahun ke tahun, justeru pihaknya mengambil inisiatif mengadakan satu program Town Hall Discussion bersama komuniti pada hari ini untuk memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai jenayah tersebut.
“Program hari in merupakan program dari di bawah Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti, PDRM Sabah yang mana ia bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat terutama sekali tentang bahaya dadah dan juga scammer yang makin berleluasa pada masa kini.
“Kita mendapati bahawa jumlah mangsa semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kita harapkan melalui Program Town Hall Discussion seumpama ini akan memberikan ilmu pengetahuan dan juga maklumat kepada masyarakat supaya mereka sentiasa bersiap siaga ataupun sentiasa peka kepada apa juga panggilan-panggilan yang tidak dapat dikesan ataupun tidak dapat diketahui pemanggilnya.
“Dan yang paling penting kepada masyarakat adalah bersedia menghadapi kesan akibat daripada penggunaan teknologi yang semakin canggih yang mana kecanggihan ini juga akan dimanipulasikan oleh banyak pihak untuk kepentingan peribadi yang akan merugikan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Program Kepolisan Komuniti Town Hall Discussion dan Karnival Keselamatan Jalan Raya Tahun 2023 di Dewan Sri Putatan di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (Ums), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
Menurut Jauteh, berdasarkan statistik Kontinjen Polis Sabah merekodkan lebih daripada 1,000 mangsa sindiket scammer dari Januari hingga hujung November 2023.
“Scammers ini tidak memilih mangsa, ada yang berpangkat tinggi, ada yang berpangkat rendah semuanya menjadi mangsa dan jumlah kerugian mencecah kepada puluhan juta,” katanya.
Sementara itu pada sidang media sama, Shahelmey berkata, dua topik yang dibincangkan iaitu tentang bahaya penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat dan juga scammers dalam sesi Town Hall tersebut para panel telah menyentuh tentang dua isu tersebut dan kita berharap daripada sesi itu ianya dapat menimbulkan kesedaran pemahaman dikalangan para hadirin dan juga masyarakat yang mengikuti sesi secara live sebentar tadi.
“Pesanan saya kepada masyarakat di luar sana marilah kita sama-sama menjalankan tanggungjawab dan tugas kita sebagai masyarakat yang prihatin untuk sama-sama membenteras penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat kita.
“Manakala isu kedua “scammer” iaitu penipuan dalam talian yang juga isu semakin hangat di masa kini, kita juga turut berpesan kepada masyarakat turut sama dengan pihak kerajaan dan pihak-pihak berwajib untuk tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu ataupun taktik-taktik scammers dari masa ke semasa semakin kreatif dengan menggunakan kecanggihan teknologi digital masa kini,” katanya.

Pada program itu, Shahelmey turut melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena hujung tahun.
“Saya difahamkan banyak aktiviti-aktiviti daripada PDRM Sabah terhadap kempen keselamatan Jalan Raya pada hari ini
“Ianya satu aktiviti ataupun pelaksanaan program yang berkesan kerana libat urus ini memudahkan komunikasi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat secara langsung,” ujarnya.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, kerajaan dari masa ke semasa sentiasa bekerjasama dengan jabatan-jabatan berkaitan untuk memastikan bahawa kegiatan ataupun aktiviti scammers ini dapat bendung.
“Namun demikian ianya merupakan satu cabaran kerana scammers juga kreatif dalam melaksanakan operasi tipu daya mereka jadi itulah penting pihak kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan yang berwajib bekerjasama memberi maklumat kepada orang awam untuk memastikan tahap kesedaran itu sentiasa baik,” tambah beliau lagi.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Tinjauan menjelang sambutan perayaan Krismas, orang ramai mula membanjiri pusat-pusat membeli-belah di sekitar ibu kota bandaraya Kota Kinabalu sejak dua tiga hari yang lalu.
Uniknya di Sabah, setiap perayaan akan diraikan bersama tidak mengira latar belakang, bangsa, suku kaum dan agama serta saling menghormati antara satu sama lain.
Bagi mereka yang meraikan Krismas, tinjauan mendapati persiapan yang dibuat hanya sederhana dan apa yang penting mereka sangat gembira kerana dapat meraikannya bersama-sama keluarga tersayang.
Antara pengunjung yang ditemui Sabah Media, Maria Aloi, 53, dari daerah Ranau berkata, beliau bersama keluarga datang ke Kota Kinabalu selain bertemu anak-anak yang tinggal di sini, mereka bersama-sama membeli-belah untuk persiapan sambutan Krismas yang akan diraikan di kediaman mereka di kampung halaman mereka iaitu Kampung Kemburongoh, Ranau.


“Persiapan Krismas tahun ini sederhana saja disebabkan ekonomi tidak menentu, apa yang lebih penting kami akan menyambutnya dengan anak-anak yang semua akan balik ke kampung.
“Memang ada kekangan dari segi perbelanjaan tapi kalau kita berbelanja dengan berhemah dan memadai meraikan bersama keluarga tersayang, saya rasa itu adalah lebih mengembirakan kami untuk meraikan Krismas pada tahun ini,” katanya.
Bagi Acong Limbakut, 62, suami kepada Maria berkata, uniknya di Sabah setiap perayaan diraikan oleh semua rakyat Sabah.
“Kami di kampung, dan di tempat lain juga, penduduknya meraikan setiap perayaan bersama-sama, tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama dan kaum, sangat harmoni, hormati menghormati, itulah keunikan negeri Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, pemandu pelancong, Calvin Shau, 26, dari Keningau berkata, beliau bersama isteri akan meraikan Krismas pada tahun ini di luar negara iaitu Taiwan.

“Saya bersama isteri saya akan meraikan Krismas di luar negara iaitu Taiwan pada tahun ini, ia juga merupakan rancangan berbulan madu kami kerana pada tahun-tahun sebelumnya rancangan kami terbatal disebabkan pendamik Covid-19.
“Kami datang ke KK membeli-belah bagi persiapan Krismas untuk keluarga di kampung sebelum kami berangkat ke Taiwan.
“Persiapan sederhana sahaja, namun kami mendoakan agar semua diberikan kesihatan yang baik dan dapat meraikan Krismas dengan penuh kegembiraan,” katanya.
Manakala seorang pekerja di pusat beli-belah, hanya dikenali sebagai Deela berkata, beliau turut sama memeriahkan sambutan perayaan Krismas bersama-sama rakan dan saudara mara yang beragama Kristian.

“Bagi saya tidak salah turut sama memeriahkan apapun perayaan yang terdapat di Sabah asalkan ia bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat kita supaya kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negeri ini,” kata Deela.
]]>