TAWAU: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JAS) telah mengambil tindakan mahkamah ke atas tiga buah kilang kelapa sawit di Tawau kerana kegagalan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Sebutan kes bagi ketiga-tiga kilang tersebut telah dijalankan di Mahkamah Sesyen Tawau pada Khamis (6 April).
Menurut kenyataan media JAS yang dikeluarkan semalam, bagi kes pertama, pihak kilang telah dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kerana telah gagal mematuhi syarat lesen, iaitu pelepasan efluen melebihi kepekatan ditetapkan bagi parameter oksigen biokimia yang diperlukan (BOD 3 hari) dan parameter pepejal terampai.
“Orang kena saman (OKS) telah mengaku bersalah dan Mahkamah Seksyen Tawau telah menjatuhkan hukuman denda RM15,000.00 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000.00 bagi pertuduhan kedua.
“Kes kedua juga melibatkan sebuah kilang kelapa sawit di mana Mahkamah Sesyen Tawau telah menjatuhkan hukuman denda di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kerana telah gagal mematuhi syarat lesen, iaitu pelepasan efluen melebihi kepekatan ditetapkan bagi parameter oksigen biokimia yang diperlukan (BOD 3 hari) dan parameter pepejal terampai.
“OKS telah mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000.00 bagi setiap pertuduhan.
“Manakala kes ketiga, Mahkamah Sesyen Tawau telah menjatuhkan hukuman denda RM15,000.00 atas satu pertuduhan tidak mematuhi syarat lesen, iaitu gagal menguruskan tandan kosong kelapa sawit mengikut Garis Panduan Pelan Pengurusan Tandan Kosong Kelapa Sawit terbitan Jabatan Alam Sekitar.
“Jumlah denda kesalahan yang dikenakan ke atas tiga kilang kelapa sawit oleh Mahkamah Sesyen Tawau pada 6 April 2023 adalah sebanyak RM70,000.00,” katanya.
Sehubungan itu, JAS menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
]]>KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah memaklumkan penahanan lapan pegawai serta anggota Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang mengaitkan pembunuhan seorang lelaki di Tawau baru-baru ini dipercayai bermotifkan cemburu.
Katanya, susulan kes tersebut setakat ini pihak polis telah menahan lapan pegawai dan anggota polis serta tiga orang awam yang boleh membantu siasatan kes.
“Walaubagaimanapun salah seorang orang awam yang ditahan telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes tersebut lebih kepada bermotifkan cemburu yang mana tertuduh ialah isteri kepada si mati,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah hari ini.
Dalam pada itu Idris turut menjelaskan siasatan kes masih diteruskan dan menjalankan siasatan atas tangkapan-tangkapan yang telah ditahan serta mengumpul bukti-bukti kes.
“Cukup bukti dan keterangan, mungkin kita akan rujuk balik kepada siasatan dan kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan seterusnya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam kes tersebut tidak ada apa-apa isu yang menggugat keselamatan dan ini lebih kepada isu peribadi.
Terdahulu, dalam kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing dikenali sebagai Nurman Bakaratu, 61, ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Batu 5, di daerah Tawau.
Berhubung kes tersebut, berita melaporkan dengan penahanan lapan orang termasuk pegawai dan anggota polis untuk membantu siasatan.
]]>TAWAU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sejumlah RM18.2 juta untuk pembinaan semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran pada 17 Mac di sini dan pada 2015 di Semporna.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada RM18.2 juta peruntukan itu, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan kepada 608 KIR rakyat tempatan di Tawau untuk membina semula rumah mereka manakala sejumlah RM8.2 juta adalah untuk pelaksanaan segera projek membabitkan kerosakan harta benda dan infrastruktur di Kampung Bangau- Bangau di Semporna.


Lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini.
Hajiji mengumumkan perkara itu sempena penyampaian sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 200 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini baru-baru ini.
Baki 408 KIR akan menerima bantuan mereka kemudian. Setiap KIR akan menerima RM500.
“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib mereka yang dalam kesusahan dan sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya yakin bantuan ini dapat melegakan mereka yang terjejas,” katanya.
Kebakaran di Kampung Kurnia Jaya menjejaskan seramai 608 keluarga tempatan yang terdiri daripada 3,012 orang dan memusnahkan 591 rumah manakala sebanyak 300 rumah musnah dalam kebakaran di Semporna yang menjejaskan 3,000 orang.
Hajiji diiringi oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya dan pembantu menterinya, Datuk Julita Majungki serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan wakil rakyat Tawau, pada majlis di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pagi ini.
]]>