Diperkasa – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 22 Aug 2023 22:25:52 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Diperkasa – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Inisiatif penghijauan akan terus diperkasa – Dr. Joachim https://sabahmedia.com/2023/08/23/inisiatif-penghijauan-akan-terus-diperkasa-dr-joachim/ https://sabahmedia.com/2023/08/23/inisiatif-penghijauan-akan-terus-diperkasa-dr-joachim/#respond Tue, 22 Aug 2023 22:25:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=40541
Read Time:2 Minute, 25 Second

KENINGAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah merangka beberapa polisi antaranya Dasar Landskap Negeri Sabah yang menggariskan hala tuju di peringkat negeri untuk memastikan pembangunan landskap negeri yang berkualiti, berdaya huni, teratur dengan kesenibinaan landskap tersendiri serta persekitaran yang terpelihara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, turut dirangka ialah Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon untuk membudayakan amalan/praktis bagi membiasakan masyarakat mengamalkan budaya rendah karbon.

Katanya, rancangan inisiatif-inisiatif penghijauan akan terus diperkasakan melalui pelan tindakan Kementerian di bawah dasar ini kelak. 

Menurutnya, antara polisi Kementerian yang membantu penghijauan ini adalah seperti yang berikut;
i) Setiap kelulusan pembangunan mensyaratkan pemaju perumahan menyediakan minimum 10 peratus kawasan lapang yang berkeluasan satu ekar ke atas dalam penyediaan persekitaran kondusif iaitu ruang rekreasi kepada orang awam.

ii) Pelaksanaan Indeks Bangunan Hijau (GBI) diterapkan dalam reka bentuk binaan mengikut konsep kelestarian di mana tenaga, air dan bahan digunakan dengan cekap.

iii) Penyediaan sistem rangkaian pejalan kaki dan berbasikal, sistem jalan raya dan pengangkutan yang berkonsepkan HIJAU.

iv) Konsep HIJAU yang dimaksudkan adalah seperti pendigitalan lestari dan komponen HIJAU dalam penggunaan sistem lampu solar, sistem penuaian air hujan, material yang telap air (permeable paving), pemakaian 5R (Refuse, Reduce, Recycle, Reuse & Recovery) dan sebagainya.

“Justeru, komponen HIJAU amat penting dalam usaha meningkatkan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing,” kata Dr Joachim ketika merasmikan Bengkel Resolusi I-HIJAU Tindakan Bersepadu PBT dan Masyarakat di Zon 2 (Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Tambunan, Majlis Daerah Tenom dan Majlis Daerah Nabawan) yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort, di sini, pada Selasa.

Dr. Joachim berkata, Bengkel Resolusi I-HIJAU Tindakan Bersepadu PBT dan Masyarakat  di Zon 2 ini amatlah bersesuaian sebagai suntikan kepada tadbir urus pembangunan ke arah masyarakat berdaya huni.

“Tadbir urus kerajaan dan pembudayaan masyarakat rendah karbon dapat membantu mewujudkan persekitaran tempat kita tinggal lebih sejahtera.

“Peranan PBT di setiap daerah masing-masing adalah amat penting bagi mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Perancangan di setiap daerah perlu berlandaskan kepada pendekatan infrastruktur hijau untuk mengurangkan kesan pulau haba dan mengurangkan risiko bencana yang berkaitan dengan kebakaran, kemarau, dan banjir,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih khususnya kepada empat Majlis Daerah yang terlibat sama menjayakan program tersebut, Ahli-ahli Majlis serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat kerana begitu komited terhadap kesedaran pembangunan berorentasikan kelestarian alam sekitar.

Bengkel tersebut merupakan kesinambungan program Festival I-HIJAU KKTP: Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya pada 15 Julai 2023.

Turut hadir, Nurulhayati Awang More, Arkitek Landskap Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP; Inchek Anam, Penolong Pegawai Daerah Keningau; Mohd Fawzi Abdul Kadir, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau selaku tuan rumah bengkel; Mohd Saidi Mohd Ibrahim, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom; Rizal Maulah, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan; Mumin Amsah, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Nabawan; Rafie Robert, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Keningau.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/08/23/inisiatif-penghijauan-akan-terus-diperkasa-dr-joachim/feed/ 0 40541
Aspek keselamatan awam terus diperkasa – Hajiji https://sabahmedia.com/2023/04/06/aspek-keselamatan-awam-terus-diperkasa-hajiji/ https://sabahmedia.com/2023/04/06/aspek-keselamatan-awam-terus-diperkasa-hajiji/#respond Thu, 06 Apr 2023 05:08:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32257
Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran yang lebih selamat, malah akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya”, katanya.

Hajiji (dua kanan) menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya kepada Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.Foto ihsan JKM Sabah

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.

Katanya, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati.

Beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1 April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.

“Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing”, tegasnya.

Hajiji berkata, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.

“Tidak dilupakan juga pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan di jalan raya, harta benda awam dan sebagainya.

Begitu juga petugas kesihatan, doktor, jururawat dan pasukan paramedik yang tidak pernah mengeluh tanpa mengira erti lelah dan masa terutama ketika pandemik COVID-19, juga tidak dilupakan”, tambahnya.

Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan negara.

“Pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi untuk menjaga keamanan dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan hari raya yang akan menjelang tiba”, tegasnya.

Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih-muih untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan menjelang aidilfitri.

Beliau berharap lebih banyak lagi agensi kerajaan termasuklah GLC dan NGO tampil untuk menghulurkan sumbangan pada masa akan datang.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/06/aspek-keselamatan-awam-terus-diperkasa-hajiji/feed/ 0 32257
Bahasa Ibunda KDMR Terus Diperkasa – Maximus https://sabahmedia.com/2021/10/16/bahasa-ibunda-kdmr-terus-diperkasa-maximus/ https://sabahmedia.com/2021/10/16/bahasa-ibunda-kdmr-terus-diperkasa-maximus/#respond Sat, 16 Oct 2021 10:35:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7585
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA MARUDU: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa ibunda KadazanDusun Murut Rungus (KDMR), terutama dalam institusi keluarga mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, penguasaan bahasa KDMR kini semakin lemah, terutamanya di kalangan generasi muda.

“Oleh itu, penguasaan bahasa KDMR ini perlu dimulakan dari rumah, dimana ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak mereka bertutur dalam bahasa tersebut.

“Dengan cara ini, bahasa KDMR tidak akan pupus dan terus ditutur oleh generasi muda,” katanya ketika merasmikan bangunan Galeri Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Pekan Tandek, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen P168 Kota Marudu itu, sejajar dengan usaha dalam memartabatkan bahasa KDMR di kalangan generasi muda, KDCA Daerah Kota Marudu akan membuka kelas pembelajaran bahasa tersebut di daerah ini.

“Usaha ini juga penting dalam mendidik anak-anak muda untuk mendalami penggunaan bahasa KDMR melalui pembelajaran formal.

“Bahasa Dusun Liwan – Tangara akan menjadi modul pembelajaran utama dan akan diikuti dengan bahasa suku kaum lain yang terdapat di daerah ini seperti Dusun Tobilung, Kimaragang dan Rungus,” tambah beliau.

Dalam hal sama, Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Kota Marudu berkata bangunan Galeri KDCA Pekan Tandek merupakan usaha KDCA KM untuk mewujudkan peluang perniagaan kepada ahli-ahli mereka daerah ini.

“Bangunan enam pintu kedai ini bukan sahaja bertujuan untuk mempamerkan tradisi dan budaya KDMR di daerah ini, tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada ahli-ahli KDCA,” jelas Maximus.

Tambah beliau, pemilihan penyewa setiap unit kedai akan dibuat berdasarkan cabutan undian.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Matunggong Ribin Torutuk dan Setiausaha Sulit kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Julita Dalinsi.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/16/bahasa-ibunda-kdmr-terus-diperkasa-maximus/feed/ 0 7585