Ekonomi Biru – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 18 Jun 2026 14:33:52 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Ekonomi Biru – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah mahu menjadi peneraju dalam agenda tenaga hijau, ekonomi biru di Asia – Dr James https://sabahmedia.com/2026/06/18/sabah-mahu-menjadi-peneraju-dalam-agenda-tenaga-hijau-ekonomi-biru-di-asia-dr-jim/ https://sabahmedia.com/2026/06/18/sabah-mahu-menjadi-peneraju-dalam-agenda-tenaga-hijau-ekonomi-biru-di-asia-dr-jim/#respond Thu, 18 Jun 2026 14:32:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98441
Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh Ahmad Fazlan

KUALA LUMPUR: Sabah berada di barisan hadapan dalam menerajui agenda tenaga hijau dan ekonomi biru di Asia, sekali gus membuktikan komitmen jitu negeri itu terhadap kelestarian alam sekitar yang seimbang dengan keadilan ekonomi demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

​Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim berkata, hala tuju strategik negeri itu mencerminkan komitmen seimbang terhadap kelestarian, keadilan ekonomi, dan pembangunan yang bertanggungjawab.

​Menurut beliau, kedudukan Sabah yang strategik serta kepimpinannya dalam tenaga hijau, tadbir urus karbon, perlindungan biodiversiti, dan pelan ekonomi biru meletakkan negeri itu sebagai rakan kongsi yang berwibawa dalam membentuk masa depan iklim di Asia.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan dalam kunjungan hormat kepada Duta Besar Austria ke Malaysia, Gerhard Eisl, di ibu negara, hari ini.

​Mengulas lanjut, Dr. James berkata, dalam Sidang Kemuncak Kelestarian dan Hijau Dunia (WGSS) 2026 yang berlangsung Mei lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menegaskan pendirian bahawa Sabah tidak boleh terus dilihat sebagai penyumbang modal semula jadi semata-mata, sebaliknya perlu menerima manfaat ekonomi yang adil hasil daripada sumbangan kelestarian tersebut.

​”Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang terhasil bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia, rantau ini, dan seluruh dunia,” katanya memetik ucapan Hajiji.

Beliau menambah bahawa undang-undang tadbir urus karbon baharu Sabah turut melindungi hak masyarakat peribumi sebagai manifestasi keadilan iklim yang inklusif.

​Dr. James turut menjelaskan bahawa Sabah sedang memperkukuh peranannya sebagai ‘sinki karbon’ utama menerusi perlindungan hutan secara semula jadi, termasuk di Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Rizab Biosfera Kinabatangan, yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO keempat di Malaysia pada Oktober 2025.

​Mengenai masa depan tenaga dan pertumbuhan ekonomi, beliau berkata Sabah kini giat memfokuskan kepada tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, biojisim, dan biogas menerusi Pelan Halatuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

​Di samping itu, Pelan Ekonomi Biru Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang disokong dana pembangunan RM6.9 bilion bagi tahun 2026, akan memacu sektor perikanan, pelancongan maritim, dan projek berimpak tinggi seperti Pelabuhan Tuna Sabah di Kota Kinabalu, Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, serta teknologi Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC).

​Dasar Perancangan Ruang Marin yang dilancarkan pada April 2026 juga telah mengenal pasti zon keutamaan untuk pembangunan dan pemuliharaan.

​Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negeri yang sedang membangun, Sabah tidak perlu memilih antara melindungi alam semula jadi atau meningkatkan taraf hidup rakyat, kerana negeri itu mampu melaksanakan kedua-duanya secara serentak demi masa depan yang mampan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/18/sabah-mahu-menjadi-peneraju-dalam-agenda-tenaga-hijau-ekonomi-biru-di-asia-dr-jim/feed/ 0 98441
Ekonomi Biru pacu pertumbuhan baharu Sabah di bawah SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/#respond Thu, 09 Apr 2026 07:07:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94573
Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah memperkukuh struktur ekonominya dengan menjadikan Ekonomi Biru sebagai pemacu baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selaras usaha melonjakkan pertumbuhan bernilai tinggi, inklusif dan mampan berasaskan kekuatan maritim negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah, merangkumi sektor strategik seperti perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.

Menurutnya, sektor itu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion.

Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.

Beliau berkata, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.

Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil.

Menurutnya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.

“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas kepada usahawan tempatan.

“Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika dibangunkan secara strategik.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/feed/ 0 94573
Pembangunan modal insan, infrastruktur dan Ekonomi Biru teras SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/#respond Fri, 30 Jan 2026 08:28:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90684
Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, pengukuhan infrastruktur serta kelestarian hijau digariskan sebagai teras utama pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan diberi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, SMJ 2.0 turut meneruskan pelbagai bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan bernilai RM203.4 juta, manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025.

Katanya, seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan negeri, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi tujuan permohonan biasiswa serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

“Program Rumah Mesra SMJ telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 7,482 penerima dan diteruskan dengan 50 unit setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda baru berkahwin.

“Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, selari bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Hajiji berkata, di bawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan serta naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik, selain pembangunan projek Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.

Katanya, kerajaan negeri turut memperluas infrastruktur digital menerusi pelaksanaan Pusat e-Desa, Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI.

Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar serta tindak balas terhadap perubahan iklim, dengan sasaran mencapai 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, selain memanfaatkan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.

Menurutnya, kerajaan memperkenalkan inisiatif Blue Financing menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank bagi penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta, bagi memudahkan syarikat terlibat mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada peranan penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar, dengan kecekapan, integriti dan disiplin menjadi penentu sejauh mana pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, sebaliknya akan terus membuat keputusan berlandaskan kepentingan jangka panjang Sabah, walaupun ada yang dilihat tidak popular.

“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/feed/ 0 90684
Kerajaan Sabah teroka Ekonomi Biru, OTEC dijangka siap 2027 – Hajiji https://sabahmedia.com/2025/12/17/kerajaan-sabah-teroka-ekonomi-biru-otec-dijangka-siap-2027-hajiji/ https://sabahmedia.com/2025/12/17/kerajaan-sabah-teroka-ekonomi-biru-otec-dijangka-siap-2027-hajiji/#respond Wed, 17 Dec 2025 10:32:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88474
Read Time:2 Minute, 51 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa Dasar Ekonomi Biru negeri sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan, termasuk penerokaan teknologi tenaga boleh diperbaharui Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengemukakan pertanyaan, pandangan dan saranan berkaitan pelaksanaan Ekonomi Biru ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.

Mengulas isu OTEC yang dibangkitkan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah memulakan penerokaan tenaga boleh diperbaharui itu dan kini berada dalam fasa kajian pelaksanaan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan tiga syarikat pemaju tempatan dan dijangka siap pada tahun 2027.

“Dari segi peruntukan, pembangunan teknologi OTEC ini akan dilaksanakan sepenuhnya melalui pelaburan pihak pemaju sendiri. Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan sebarang dana kerana kita menggalakkan pembangunan inisiatif Ekonomi Biru yang dipacu oleh sektor swasta,” katanya.

Menjawab persoalan ADUN Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengenai kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengurus penerokaan Ekonomi Biru, Hajiji menegaskan bahawa Sabah telah menyediakan asas perundangan dan institusi yang kukuh.

Katanya, perkara itu dibuktikan melalui kelulusan Enakmen OTEC 2024 serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah pada April 2024 bagi memperkukuh tadbir urus dan pelaksanaan sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 industri Ekonomi Biru telah dikenal pasti berdasarkan senarai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merangkumi penuaian sumber hidup seperti bioteknologi marin dan makanan laut; perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar laut termasuk pengangkutan, perdagangan, pelancongan dan rekreasi; serta aktiviti berkaitan sungai seperti logistik, hidupan sungai, tenaga dan pelancongan.

Selain itu, sektor Ekonomi Biru turut meliputi tindak balas terhadap cabaran kesihatan laut termasuk perlindungan pesisir pantai, pelupusan sisa, pengasingan karbon serta pemantauan dan pengawasan laut, selain pengekstrakan sumber tidak hidup dan penjanaan sumber baharu seperti air industri, tenaga dan mineral.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta bagi membangunkan Landing Port Tuna di Kota Kinabalu bernilai RM360 juta.

“Dalam projek ini, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan tetapi memperoleh 30 peratus kepentingan dalam industri Landing Port Tuna tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan Ekonomi Biru Sabah dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan keterlibatan awam, bukan terhad kepada peringkat kerajaan atau kolaborasi universiti semata-mata.

Menurutnya, penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melibatkan pelajar, penyelidik, graduan, usahawan serta komuniti pesisir.

Selain itu, Program Sabah Blue Economy SkillFest 2025 anjuran bersama HRD Corp dan Kerajaan Negeri yang diadakan pada 19 dan 20 Jun 2025 turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran, inovasi dan pendedahan industri, khususnya kepada golongan muda dan graduan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menganjurkan pelbagai forum interaktif termasuk ASEAN Blue Economy Forum 2025 Exhibition, Consilium: Governan dan Perancangan Marin Spatial (MSP) serta Program Synédrio SMJ bagi memperluas kefahaman dan dialog merentas sektor berkaitan Ekonomi Biru.

“Pendekatan ini memastikan Ekonomi Biru Sabah dibangunkan secara inklusif dengan penglibatan aktif anak muda, graduan universiti dan masyarakat setempat sebagai pemacu kelestarian serta kemakmuran jangka panjang negeri,” katanya.

Menjawab persoalan berhubung penerokaan Ekonomi Biru di sempadan perairan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan meneroka potensi ekonomi di perairan negara seperti yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Katanya, Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia khususnya bagi Sabah meliputi kawasan sejauh 200 batu nautika dengan anggaran keluasan 334,671 kilometer persegi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/17/kerajaan-sabah-teroka-ekonomi-biru-otec-dijangka-siap-2027-hajiji/feed/ 0 88474
Sabah tawar peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru https://sabahmedia.com/2024/10/19/sabah-tawar-peluang-pelaburan-besar-dalam-ekonomi-biru/ https://sabahmedia.com/2024/10/19/sabah-tawar-peluang-pelaburan-besar-dalam-ekonomi-biru/#respond Sat, 19 Oct 2024 05:44:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=62430
Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu: Sabah menawarkan peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru apabila potensi hasil tahunan negeri yang dianggarkan lebih daripada 491,000 metrik tan ikan dan udang bernilai RM3.25 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini kurang daripada 50 peratus potensi tangkapan telah diterokai. 

Katanya, walaupun terdapat lebih 3,000 vesel nelayan, kebanyakannya beroperasi dalam lingkungan 30 batu nautika dari pantai.

“Sekarang, hanya tujuh vesel beroperasi di kawasan laut dalam. Ini merupakan peluang bagi nelayan industri untuk menubuhkan lebih banyak kemudahan pemprosesan hasil laut dalam.

“Autonomi yang diberikan kepada Sabah untuk meluluskan dan mengeluarkan lesen aktiviti maritim seperti perikanan laut dalam memberi kelebihan besar kepada negeri dalam membangunkan Ekonomi Biru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis perasmian SIBEC dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru bukan sahaja tentang perikanan laut dalam tetapi terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai.

Katanya,  antaranya tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin.

Beliau juga menyatakan potensi menarik untuk menjana tenaga melalui lautan.

“Pada April tahun ini, kami meluluskan Akta Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC) yang membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah meneroka teknologi ini sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara permukaan laut yang hangat dan air dalam yang sejuk untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bahan api.

“Teknologi ini mempunyai impak rendah terhadap alam sekitar dan dapat menghasilkan air bersih untuk minuman dan pertanian. Ia juga boleh menyediakan penyejukan serta tenaga boleh dipercayai untuk komuniti pesisir,” katanya.

Beliau menambah bahawa Sabah memiliki garis pantai sepanjang lebih 1,700 kilometer dan 75 peratus daripada rizab tenaga terma laut Malaysia berada di perairan Sabah.

“Kajian menunjukkan bahawa Sabah boleh menghasilkan sehingga 20,000MW elektrik. Kerajaan Negeri Sabah kini sedang mencari kerjasama dengan pelabur untuk memanfaatkan tenaga ini. Ini adalah peluang emas bagi Sabah untuk menjadi peneraju dalam penjanaan tenaga hijau dan menyelesaikan masalah tenaga kita,” katanya.

Beliau juga menyatakan potensi Sabah untuk membekalkan elektrik kepada negara jiran seperti Indonesia, memandangkan lokasi kolam OTEC yang dekat dengan Kalimantan. – SABAH MEDIA 

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/19/sabah-tawar-peluang-pelaburan-besar-dalam-ekonomi-biru/feed/ 0 62430
Sabah akan terokai Ekonomi Biru bersama pelabur asing https://sabahmedia.com/2023/12/14/sabah-akan-terokai-ekonomi-biru-bersama-pelabur-asing/ https://sabahmedia.com/2023/12/14/sabah-akan-terokai-ekonomi-biru-bersama-pelabur-asing/#respond Thu, 14 Dec 2023 04:25:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=46520
Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menerokai Ekonomi Biru dengan kerjasama pelabur-pelabur asing yang pakar dalam bidang itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Ekonomi Biru sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebagai salah satu pendekatan untuk merancakkan ekonomi negara.

Katanya, selaras dengan Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri berhasrat meneroka Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, Ekonomi Biru menjanjikan potensi yang besar dalam pelbagai bidang, antaranya bagi negeri Sabah ialah Perikanan dan Akuakultur, Perkapalan dan Pengangkutan (Logistik), Pelancongan, Tenaga Boleh Diperbaharui, Sumber-sumber Mineral, Bioteknologi dan Farmaseutikal, Blue Carbon, Pengurusan Sisa dan Kawalan Pencemaran, Kajian dan Pembangunan serta Infrastruktur Marin.

“Semasa mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di China pada November lalu, saya telah menjemput pelabur untuk meneroka konsep Ekonomi Biru dengan Kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan, kerana Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, dengan lebih 1,000 kilometer berpotensi besar untuk penternakan ikan dan hasil laut lain”, katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perasmian Program SMJ-EKOB 2023 Khazanah
Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru Di Negeri Sabah “Beyond Limits, Unleashing Economy” di Hotel Le Meridien pada Khamis.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Katanya, beliau turut meminta pelabur untuk mempertimbangkan sektor tenaga, merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.

Justeru beliau berharap semua pihak yang berkaitan dalam konsep Ekonomi Biru akan bekerja keras untuk menarik lebih ramai pelabur luar termasuk dari China untuk melabur dalam konsep itu.

“Kita harus sedar bahawa jika pada masa lalu ia hanyalah sebuah konsep dalam ekonomi, kini sudah menjadi satu kemestian untuk diterokai. Lebih-lebih lagi, kedudukan geografi negeri Sabah amatl strategik, dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi, dengan pelantar benua berkeluasan 116,800 kilometer persegi, dan garis pantai sepanjang 2,383 kilometer.

“Dengan khazanah dan kekayaan biodiversiti marin yang dimiliki negeri Sabah, potensinya amat besar. Justeru, kerajaan komited dan mengambil serius pembangunan Ekonomi Biru kerana memahami betapa besar implikasinya kepada rakyat, alam sekitar dan masa depan bersama”, tegasnya.

Hajiji berkata, Konsep Ekonomi Biru diperkenalkan pada tahun 2012 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang merujuk kepada pemanfaatan secara lestari sumber-sumber laut untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, dan penciptaan pekerjaan, sambil menjaga kelestarian ekosistem marin.

Sementara di persidangan ASEAN di Brunei Darussalam pada tahun 2021, para delegasi termasuk Malaysia telah bersetuju untuk mengadaptasikan ekonomi biru di rantau ASEAN.

Beliau berkata, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021-2025) yang dilancarkan pada 29 Mac 2021, menggariskan strategi pembangunan negeri dengan memanfaatkan semua sumber yang terdapat di negeri Sabah secara optimum.

Menurutnya, sifat Pelan SMJ sudah seawalnya menyediakan ruang untuk meneroka kaedah atau sumber baharu bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama memelihara ekosistem alam sekitar.

“Perkara ini terkandung dalam teras utama Pelan SMJ di bawah elemen J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, yang pada prinsipnya menyokong agenda pembangunan Ekonomi Biru di negeri Sabah”, tambahnya.

Menyentuh Program SMJ-EKOB 2023, Hajiji berkata ia adalah platform untuk mewujudkan kerangka ekonomi yang akan menentukan hala tuju Ekonomi Biru bagi negeri Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/12/14/sabah-akan-terokai-ekonomi-biru-bersama-pelabur-asing/feed/ 0 46520
Hajiji mempelawa pelabur China terokai Ekonomi Biru di Sabah https://sabahmedia.com/2023/11/06/hajiji-mempelawa-pelabur-china-terokai-ekonomi-biru-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/11/06/hajiji-mempelawa-pelabur-china-terokai-ekonomi-biru-di-sabah/#respond Mon, 06 Nov 2023 15:21:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=44802
Read Time:2 Minute, 33 Second

SHENZHEN, China: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mempelawa pelabur China meneroka konsep Ekonomi Biru dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan.

“Kami akan melaksanakan konsep ini yang memerlukan penggunaan sumber laut secara mampan untuk pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan dan meningkatkan kehidupan.

“Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, dengan lebih daripada 1,000 km untuk penternakan ikan dan hasil laut lain. Terdapat potensi besar di kawasan ini untuk perkongsian menang-menang,” katanya.

Mengetuai delegasi misi perdagangan dari Sabah ke “Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Sabah” Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Futian Shangri-La di sini, Hajiji berkata, kerajaan negeri Sabah akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru pada Februari tahun hadapan.

Katanya, pelabur China harus mempertimbangkan sektor tenaga, merangkumi sumber tradisional seperti bahan api fosil dan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.

“Dengan melabur dalam sektor tenaga, anda memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan kuasa yang boleh dipercayai selain menyumbang kepada masa depan tenaga yang lebih mampan. Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran hasil yang penting untuk negeri ini, kami juga mengalu-alukan pelabur untuk meneroka tenaga boleh diperbaharui seperti sebagai teknologi solar dan storan, hidro, geoterma, dan peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, terdapat juga banyak peluang pelaburan dan perniagaan dalam minyak dan gas di Sabah.

“Industri ini berkembang pesat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini kerana kerajaan saya telah berjaya berunding untuk mengawal pengeluaran dan bekalan minyak dan gas yang lebih besar dengan syarikat minyak negara, PETRONAS.

“Pegangan Sabah dalam sumber minyak dan gas akan terus meningkat dengan lebih banyak telaga akan datang. Terdapat potensi besar untuk pelaburan dan peluang perniagaan selanjutnya dalam pembuatan hiliran dan perkhidmatan sokongan,” katanya.

Menurut Hajiji, pelabur China juga harus mempertimbangkan peluang pelaburan dan perniagaan dalam membangunkan hotel 5 bintang, pusat peranginan butik, dan produk pelancongan mewah serta membangunkan perniagaan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (M.I.C.E).

“Sekarang keadaan kembali normal kepada industri pelancongan, kerajaan saya telah melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah. China hanya antara tiga hingga lima jam perjalanan dari Sabah.

“Sehingga kini, Sabah dihubungkan dengan bandar-bandar utama – Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou dan Macau, antara lain di China dengan 63 penerbangan mingguan dengan kapasiti tempat duduk 11,360. Kami berharap dapat melihat lebih banyak sambungan udara untuk meningkatkan ketibaan pengunjung ke Sabah,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa kerajaan Sabah juga sedang giat mengusahakan strategi untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, seperti pembangunan Taman Budaya Sabah dan pengenalan Program ‘Sabah My Second Home’.

Hajiji juga secara peribadi mengalu-alukan pelabur untuk membincangkan penubuhan industri baharu.

“Kerajaan saya bersedia untuk melihat dasar yang dibuat khusus untuk industri baharu untuk pelabur yang betul,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi Invest Sabah, Tan Sri Anifah Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Tan Sri David Chu.

Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) dianjurkan oleh Institut Pembangunan China, Shenzhen (CDI) and Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI).

]]>
https://sabahmedia.com/2023/11/06/hajiji-mempelawa-pelabur-china-terokai-ekonomi-biru-di-sabah/feed/ 0 44802