ekonomi Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 25 May 2026 06:29:15 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png ekonomi Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hajiji tegas seimbang ekonomi dan alam sekitar https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/ https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/#respond Mon, 25 May 2026 05:56:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97283
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri akan terus menjadi penjaga alam sekitar yang bertanggungjawab, sambil memastikan masa depan ekonomi rakyat terus dipertahankan.

Menurut beliau, Sabah perlu mencapai keseimbangan antara agenda kemampanan dan pembangunan ekonomi demi kepentingan jangka panjang negeri.

“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada Isnin.

Hajiji berkata Sabah menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun mengakui negeri itu masih berada dalam fasa pembangunan.

Katanya, Sabah kini giat memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan tenaga bagi menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata isu tenaga bukan sekadar melibatkan alam sekitar, tetapi turut berkait rapat dengan ekonomi dan keselamatan masa depan Sabah, justeru campuran tenaga yang seimbang dan praktikal amat diperlukan.

“Tenaga boleh diperbaharui jelas merupakan sebahagian daripada masa depan kita. Tenaga solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain mesti terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah,” katanya.

Menurut beliau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut menekankan pembangunan sistem tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan Sabah wajar menerima nilai ekonomi yang adil memandangkan negeri itu memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar negara.

Katanya, pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi turut melibatkan kos ekonomi yang besar termasuk kehilangan peluang hasil apabila kawasan hutan dan tanah dipelihara.

“Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang diwujudkan bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia dan dunia.

“Oleh itu, perbincangan mengenai kemampanan juga mesti menjadi perbincangan mengenai keadilan dari segi nilai, pengiktirafan, pelaburan dan penyertaan,” katanya.

Beliau berkata Sabah tidak boleh terus dilihat sekadar penyumbang modal semula jadi, sebaliknya negeri itu juga perlu menerima manfaat sewajarnya daripada kekayaan alam yang dimiliki.

Hajiji turut menegaskan Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/25/hajiji-tegas-seimbang-ekonomi-dan-alam-sekitar/feed/ 0 97283
Sabah pacu pembangunan melalui Pelaburan Strategik dan Ekonomi Biru https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-pacu-pembangunan-melalui-pelaburan-strategik-dan-ekonomi-biru/ https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-pacu-pembangunan-melalui-pelaburan-strategik-dan-ekonomi-biru/#respond Sun, 20 Jul 2025 01:05:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77599
Read Time:3 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah telah meletakkan asas yang kukuh dalam merealisasikan visi dan hala tuju pembangunan ekonomi yang mantap.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selama lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah membina sebuah Sabah baharu yang kuat dan bersatu padu.

Katanya, Sabah turut mengalu-alukan dunia untuk memanfaatkan kekayaan dan khazanah semula jadi negeri ini demi kehidupan rakyat yang lebih baik.

“Kita ada pelbagai kekayaan khususnya daripada galian seperti emas, tembaga, silika, kelapa sawit, koko dan pelbagai sumber tenaga seperti petroleum mentah, gas, hidroelektrik, arang batu dan banyak lagi.

“Lautan kita pula memberikan hasil laut yang menjadi buruan ramai serta tenaga haba, sambil mengekalkan terumbu karang yang masih asli dan tidak tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah ASEAN International Business Review (IBR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata Sabah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, yang membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dan mempunyai hak bersuara dalam industri minyak dan gas di negeri ini sendiri.

“Kita kini mempunyai pegangan ekuiti 50 peratus dalam medan minyak dan gas Samarang, 25 peratus dalam Samur, dan pada 17 Julai 2025, kita telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 25 peratus ekuiti dalam projek gas asli cecair terapung berhampiran pesisir pantai (ZLNG), juga dikenalai sebagai PFLNG 3 bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.

“Dari segi pelaburan pula, usaha gigih kita telah membuahkan hasil apabila Sabah mencatat RM17.41 bilion daripada 73 syarikat melalui kelulusan keseluruhan pelaburan asing dan domestik dalam sektor perkilangan sejak September 2020.

“Daripada jumlah itu, 52 syarikat telah memulakan operasi di Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion dan mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan,” katanya.

Antara tahun 2022 hingga 2024, Hajiji berkata, Sabah telah menerima cadangan pelaburan baharu berjumlah RM42.3 bilion, yang dijangka mewujudkan 32,996 peluang pekerjaan.

Beliau berkata projek tiga fasa bernilai RM31 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd yang dilancarkan pada lewat Jun tahun ini akan memberi kesan berganda yang bukan sahaja tertumpu kepada teknologi hijau, malah merangsang inovasi serta memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di Sabah.

Hajiji menyatakan bahawa disebabkan permintaan tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman perindustrian baharu masing-masing di Kota Belud, Beaufort dan di utara Kudat bagi Taman Perindustrian Ekonomi Biru – semuanya terletak secara strategik untuk merancakkan peluang pelaburan.

“Kami yakin pembangunan ini membawa petanda positif dalam perjalanan Sabah meneroka ufuk baharu untuk merealisasikan potensi sebenar negeri ini.

“Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah melaksanakan dasar-dasar yang mampu menarik lebih ramai pelabur ke sini. Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, menyokong pelaburan dan merangsang kerjasama.

“Kami faham betapa pentingnya mewujudkan suasana yang stabil, telus dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sabah mengalu-alukan lebih banyak sambungan penerbangan terus agar pelabur, pelancong dan pengembara perniagaan dapat mengakses negeri ini dengan mudah.

Katanya, laluan baharu AirAsia dari Kota Kinabalu ke Taipei dan Fukuoka adalah satu contoh yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan pelaburan, dan pihaknya berharap lebih banyak laluan seperti ini akan dibuka tidak lama lagi.

Hajiji berkata satu industri yang bakal menjadi pemangkin perubahan besar dan menawarkan peluang pelaburan yang luas untuk Sabah ialah Ekonomi Biru, yang telah diwujudkan di Kudat.

“Industri ini dianggarkan mampu menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut seperti ikan dan udang setiap tahun, dengan nilai mencecah RM3.25 bilion. Namun, Ekonomi Biru bukan hanya tentang perikanan laut dalam,” katanya.

Malah, katanya lagi, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai termasuk tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lain.

Berhubung tenaga laut, Ketua Menteri berkata salah satu yang paling menarik adalah Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC), yang menjana tenaga daripada lautan.

“Loji kuasa OTEC kita kini dalam perancangan untuk merangkumi sepanjang 500km pesisir pantai dan dijangka mampu menjana 20,000MW tenaga hijau, skala yang belum pernah dicapai di peringkat global. Ini bukan sahaja mencetuskan perubahan besar untuk negara, malah untuk rantau ini,” katanya.

Hajiji berkata dari segi bekalan tenaga, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, yang dijangka menjana 700MW dalam tempoh 1-2 tahun bagi memenuhi keperluan pelabur dan rakyat.

Begitu juga, katanya, sebanyak RM679.85 juta telah diperuntukkan pada tahun 2024 untuk menangani masalah kekurangan air secara segera, dan pelan jangka panjang termasuklah menyiapkan projek hidroelektrik Ulu Padas yang mampu membekalkan 6,000 juta liter air setiap hari.

Hajiji turut menyatakan bahawa Sabah telah banyak melabur dalam pembangunan modal insan, dengan hampir RM1 bilion telah dibelanjakan untuk sektor pendidikan serta pelbagai program pembangunan belia dari 2021 hingga 2024.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/20/sabah-pacu-pembangunan-melalui-pelaburan-strategik-dan-ekonomi-biru/feed/ 0 77599
Ekonomi Sabah Kukuh di Bawah GRS, Rezab Negeri Cecah RM8.6 Bilion https://sabahmedia.com/2025/05/07/ekonomi-sabah-kukuh-di-bawah-grs-rezab-negeri-cecah-rm8-6-bilion/ https://sabahmedia.com/2025/05/07/ekonomi-sabah-kukuh-di-bawah-grs-rezab-negeri-cecah-rm8-6-bilion/#respond Wed, 07 May 2025 12:35:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73382
Read Time:5 Minute, 13 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

Sabah terus digambarkan sebagai ‘permata kasar’—sebuah negeri dengan potensi luar biasa yang belum digilap sepenuhnya. Menyempurnakan potensi ini bukan suatu tugas mudah, tetapi menuntut kepimpinan yang berwibawa, dasar yang konsisten dan kesabaran berterusan.

Baru-baru ini, seorang bekas Ketua Menteri merangkap ADUN Senallang mendakwa ekonomi Sabah belum mencapai semula tahap pra-pandemik, merujuk kepada prestasi negeri semasa ditadbir beliau antara 2018 hingga 2020. Beliau turut menyatakan bahawa pentadbiran semasa belum menunjukkan kemajuan ketara walaupun sudah lebih empat tahun menerajui negeri.

Antara lain, beliau memetik angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2019 sebagai yang tertinggi dalam sejarah Sabah dan menyeru agar rakyat menilai prestasi pemimpin melalui pencapaian yang boleh diukur, bukan semata-mata janji politik.

Hakikatnya, statistik semasa mengesahkan bahawa pertumbuhan KDNK Sabah kekal perlahan. Namun, menilai prestasi sesebuah kerajaan hanya berdasarkan satu indikator makroekonomi seperti KDNK tanpa mengambil kira pencapaian menyeluruh, adalah tidak tepat dan berisiko menimbulkan persepsi yang pincang.

Belanjawan Sabah Terbesar Dalam Sejarah

Walaupun pertumbuhan KDNK terbatas, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentangkan belanjawan negeri terbesar dalam sejarah. Sepanjang lima tahun dari 2021 hingga 2025, pendapatan dan perbelanjaan negeri meningkat secara konsisten:

  • PENDAPATAN: meningkat 44% daripada RM4.481 bilion (2021) kepada RM6.445 bilion (2025).
  • PERBELANJAAN: meningkat 49% daripada RM4.303 bilion kepada RM6.421 bilion dalam tempoh sama.

Bagi tahun 2025, lebihan belanjawan walaupun kecil (RM24.08 juta), tetap mencerminkan disiplin fiskal berterusan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sabah telah mengumumkan Belanjawan yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri yang lebih maju dan pesat membangun. Sebagai perbandingan:

  • Belanjawan Selangor 2025: pendapatan (RM 2.35 bilion), perbelanjaan (RM 3 bilion)
  • Belanjawan Johor 2025: pendapatan (RM 2.005 bilion), perbelanjaan (RM 1.999 bilion)
  • Belanjawan Pulau Pinang 2025: pendapatan (RM 906.59 juta), perbelanjaan (RM

940.22 juta)

Fokus kepada Rakyat dan Kemiskinan Tegar

Peningkatan besar (49%) peruntukan perbelanjaan dalam tempoh masa 5 tahun jelas membuktikan keazaman Kerajaan Sabah untuk menjana kesejahteraan rakyat.

Peningkatan peruntukan perbelanjaan hanya terjadi dengan kejayaan Kerajaan Sabah (GRS) melonjakkan hasil pendapatan Sabah.

Sebagai contoh, di bawah Belanjawan Sabah 2025, Kerajaan Sabah telah menyediakan dana:

  • RM 358.5 juta: untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur), bagi membantu rakyat miskin menghadapi cabaran kos sara hidup. Bermula bulan Februari 2025, Fasa 1 Program Syukur melibatkan 72,060 Ketua Isi Rumah Miskin dan Miskin Tegar.
  • RM 250 juta: untuk membina 3,000 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya

Lebih membanggakan,  jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar di Sabah berjaya dikurangkan hampir 90% dalam masa setahun—daripada 14,553 (Feb 2024) kepada 1,464 orang (Feb 2025).

Ini adalah satu kejayaan yang amat membanggakan, memandangkan Sabah memiliki jumlah Miskin Tegar yang tinggi bertahun-tahun lamanya, termasuklah semasa pentadbiran Kerajaan Sabah terdahulu.

Pelaburan Asing Kukuhkan Sektor Pembuatan

Kerajaan Sabah terus menarik pelaburan besar  dari luar negara, yang melebarkan kepelbagaian sektor ekonomi Sabah. Ini selari dengan usaha Kerajaan Sabah (GRS) untuk membina sektor pembuatan yang mampan dan berdaya-saing.

Sebagai contoh, sektor pembuatan telah menerima pelaburan berbilion Ringgit:

  • SK Nexilis dari Korea Selatan telah melabur lebih RM 4 bilion untuk pembinaan kilang kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV), yang menyediakan 5,000 peluang pekerjaan
  • Kumpulan Kibing dari China telah melabur lebih RM 2 bilion untuk pembinaan kilang pembuatan kaca solar

Pada 2023, sektor pembuatan Sabah mencatat pertumbuhan 4.4% — tertinggi di negara ini, mengatasi kadar nasional 0.7%.

Perdagangan dan Rizab Negeri Capai Tahap Tertinggi

Kerajaan Sabah (GRS) telah berjaya meningkatkan jumlah perdagangan Sabah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan Sabah telah merekodkan peningkatan ketara melebihi  RM 100 bilion, tertinggi di dalam sejarah Sabah:

2023: RM 105 bilion, dengan lebihan dagangan RM 20.6 bilion 2022: RM 118.1 bilion, dengan lebihan dagangan RM 36.2 bilion 2021: RM 87.2 bilion, dengan lebihan dagangan RM 24.1 bilion

Malah, dengan peningkatan perdagangan, pelaburan dan pelancong dari Korea Selatan, pejabat Konsulat Korea Selatan telah di buka di Kota Kinabalu pada bulan September 2023.

Manakala rizab simpanan negeri meningkat hampir 130% dalam tempoh enam tahun:

·    2018: RM3.77 bilion

  • 2024: RM8.6 bilion

Peningkatan besar hampir 130% sejak 2018 membuktikan Kerajaan Sabah (GRS) telah menguruskan kewangan Sabah secara berhemah. Rizab simpanan wang yang besar penting bagi masa depan Sabah.

Antara lain, ianya berfungsi sebagai  penimbal/ buffer sekiranya berlaku krisis yang mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat Sabah.

Industri Pelancongan Pulih Pesat

Sektor pelancongan telah berkembang begitu pesat, pasca pandemik Covid-19. Pada tahun 2023, Sabah telah merekodkan jumlah pelancong sekitar 2.3 juta orang, dengan jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM 4.6 billion. Pada tahun 2024, jumlah pelancong meningkat lagi kepada 3.14 juta.

Malah, bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, jumlah pelancong di Sabah di sasar berjumlah 3.7 juta, dengan anggaran jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM 9.1 billion.

Dengan pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat, pada penghujung tahun 2024, projek menaik-taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota  Kinabalu (LTAKK) telah di umumkan melibatkan kos hampir RM 450 juta. LTAKK, yang merupakan lapangan terbang ke-2 tersibuk di Malaysia, bakal menyaksikan penambahan kapasiti terminal dari 9 juta kepada 12 juta penumpang.

Menghadapi Isu Legasi dan Demografi

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan Sabah masih dicengkam isu legasi seperti bekalan air, elektrik dan jaringan pengangkutan. Di samping itu, isu demografi turut menambah beban pentadbiran:

22% daripada populasi Sabah (3.39 juta) ialah penduduk bukan warganegara, dengan daerah seperti Kinabatangan mencatat majoriti 78% bukan warganegara.

Rata-rata warga asing tanpa dokumen hidup di dalam kemiskinan kerana tidak mendapat pekerjaan dan pendapatan yang tetap. Seterusnya, mereka menjadi bebanan kepada kewangan serta pelbagai kemudahan awam seperti elektrik, air dan kesihatan.

Sudah pasti usaha pembangunan Sabah melibatkan penyelesaian menyeluruh isu-isu legasi berkenaan. Ini memerlukan perancangan yang teliti, dana yang besar dan tempoh masa yang lama. Berdepan dengan cabaran isu-isu legasi berkenaan, Kerajaan Sabah (GRS) telah melaksanakan Pelan Pembangunan Negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025.

Setakat ini, agenda Sabah Maju Jaya telah menghasilkan pelbagai kejayaan. Ini meletakkan Sabah di atas landasan yang kukuh untuk pembangunan yang lebih pesat.

Kejayaan awal ini hanya dapat di lonjakkan lagi dengan kesinambungan agenda pembangunan menerusi kestabilan dan kekuatan politik, serta kepimpinan yang berwawasan.

Untuk memacu lebih jauh, kesinambungan dasar, kestabilan politik dan kepimpinan berwawasan adalah elemen yang tidak boleh dikompromi.

Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/07/ekonomi-sabah-kukuh-di-bawah-grs-rezab-negeri-cecah-rm8-6-bilion/feed/ 0 73382
SYBIL platform kongsi idea inovatif bantu kerajaan memperkasa ekonomi Sabah https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/#respond Wed, 17 Jan 2024 12:28:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48114
Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lebih 100 Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah (SYBIL) hadir ke Sesi Dialog Meet & Greet antara Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan ahli SYBIL di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Sesi dialog ini adalah yang pertama sejak SEAC ditubuhkan pada pada tahun 2022.

Antara yang hadir termasuk golongan usahawan dan profesional dari pelbagai sektor seperti seni bina, pembinaan, pertanian, pembuatan, produk halal, makanan sejuk beku, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, perlombongan, pembangunan, Teknologi Maklumat (IT), reka bentuk, penjenamaan, perundingan, penjagaan kesihatan, perubatan, Food & Beverage (F&B), undang-undang, dan banyak lagi.

Pengerusi SYBIL, Ar. James Wong berkata, kepentingan membina pertubuhan seperti ini adalah platform untuk membolehkan pemimpin muda perniagaan dan industri yang telah berjaya menjalankan organisasi mereka, menyuarakan dan berkongsi idea inovatif mereka sekali gus meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Ar. James Wong

‘Kita perlu membina pasukan Kapten Industri muda yang bersedia menyumbang kembali, memimpin kita untuk membangunkan pelbagai industri mereka khususnya membantu kerajaan hari ini membina pemikiran Ekonomi Masa Hadapan yang lebih kukuh pada masa 5-10-20 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Dialog itu.

James turut menekankan bahawa keperluan untuk merekrut ‘Penyelesai Masalah yang Bijak’ (intelligent problem solvers) berkebolehan membangunkan pelan tindakan dengan lebih efisien untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dalam industri kita pada masa kini.

“Kita perlu merekrut ‘intelligent problem solvers’ yang boleh membangunkan pelan tindakan langkah demi langkah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi industri kita, ia adalah orang yang benar-benar boleh melaksanakannya dan bukan hanya tahu merungut sahaja. Seperti kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ‘Do More, Talk Less’ iaitu bertindak lebih banyak daripada hanya berkata-kata.

“Selain itu, pertubuhan ini juga menyediakan platform kepada semua untuk memperkasakan rakan usahawan serta profesional yang lain untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk John Lo mewakili SEAC dalam sesi dialog pada hari ini telah memberi taklimat terperinci mengenai pelan semasa dan masa depan yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan ekonomi masa depan Sabah yang teguh termasuk penstrukturan semula industri seperti Minyak dan Gas, Tenaga, Pelaburan, Pelancongan, Pertanian, Logistik , Pembuatan Hilir, dan banyak lagi.

Datuk John Lo

John turut menerangkan mengenai Dasar Pertama Sabahan dan Pembangunan Kepimpinan Perniagaan/ekonomi Sabahan Muda.

Antaranya, Kepimpinan muda yang berkualiti diperlukan untuk masa depan ekonomi Sabah, Melindungi hak Sabah, Usahawan, profesional (termasuk hi-tec), Asertif, Inovatif, Berdikari, Berdikari, Berwawasan, Fokus kepada pembangunan ekonomi dan perniagaan Sabah serta Tiada politik.

“Sabah adalah negeri kita, rumah kita. Rakyat Sabah tidak boleh menjadi pelarian ekonomi di negeri kita sendiri atau di Semenanjung Malaysia lagi.

“Adalah penting, demi masa depan ekonomi Sabah dan generasi masa depan Sabah, Sabah mesti melatih ramai pemimpin perniagaan/ekonomi Sabahan muda untuk meneruskan trend pertumbuhan dan penstrukturan semula ekonomi masa kini.

“Justeru itu, dasar ini juga adalah penting untuk membentuk Pemimpin Ekonomi Muda Sabah jika kita ingin melaksanakan rancangan ekonomi jangka panjang kerajaan dengan jayanya,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/feed/ 0 48114
Pemimpin muda perniagaan dan industri diseru bekerjasama bantu bangunkan ekonomi Sabah – Hajiji https://sabahmedia.com/2024/01/17/pemimpin-muda-perniagaan-dan-industri-diseru-bekerjasama-bantu-bangunkan-ekonomi-sabah-hajiji/ https://sabahmedia.com/2024/01/17/pemimpin-muda-perniagaan-dan-industri-diseru-bekerjasama-bantu-bangunkan-ekonomi-sabah-hajiji/#respond Wed, 17 Jan 2024 08:52:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48105
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru kepada pemimpin muda perniagaan dan industri Sabah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri membantu dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri itu untuk manfaat Sabah dan rakyat.

“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Sabah dan saya mahu anda, sebagai ahli Sabah Young Business and Industry Leaders (SYBIL) menjadi rakan kongsi kerajaan bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri kita yang sedang dilaksanakan pada masa ini untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menghadiri secara mengejut pada sesi dialog Meet & Greet antara Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan ahli SYBIL di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Ketua Menteri turut meluahkan rasa gembira melihat semangat yang dicerminkan dengan kehadiran 100 peserta termasuk golongan pemimpin muda perniagaan yang mapan di Sabah.

“Saya gembira melihat semangat mereka dan saya memuji inisiatif SEAC untuk memulakan dan memberikan suara kepada golongan muda dari bidang perniagaan dan industri,” katanya.

Hajiji berkata sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada September 2020, kerajaan negeri tidak membuang masa menstruktur semula ekonomi Sabah.

“Kita telah meletakkan sasaran berani untuk membangunkan Sabah dalam tempoh lima tahun mulai 2021 menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Sehingga kini, kita telah merekodkan lebih RM12 bilion pelaburan merentasi 90 projek, menjanjikan untuk menjana beribu-ribu peluang.

“Minggu lalu, saya telah mengumumkan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion. Fasa Satu projek akan bermula pada akhir tahun ini dan siap pada 2026, menjanjikan 2,795 peluang pekerjaan semasa fasa operasinya.

“Dasar mesra pelabur yang dibuat menjadikan Sabah kondusif untuk pelaburan dan kita menjangkakan lebih banyak pelaburan akan datang tidak lama lagi,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/17/pemimpin-muda-perniagaan-dan-industri-diseru-bekerjasama-bantu-bangunkan-ekonomi-sabah-hajiji/feed/ 0 48105
Hajiji yakin ekonomi Sabah dapat dipulih & diperhebat https://sabahmedia.com/2023/04/16/hajiji-yakin-ekonomi-sabah-dapat-dipulih-diperhebat/ https://sabahmedia.com/2023/04/16/hajiji-yakin-ekonomi-sabah-dapat-dipulih-diperhebat/#respond Sun, 16 Apr 2023 11:31:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32876
Read Time:2 Minute, 39 Second

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin ekonomi negeri Sabah dapat dipulih dan diperhebatkan lagi pertumbuhannya di bawah Pelan
Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, ini agar kemajuan yang holistik dapat dilaksanakan oleh Kerajaan demi
pembangunan yang lebih inklusif, seimbang dan saksama.

“Saya yakin, kerajaan ini berkemampuan untuk melakukan perubahan, mengurangkan
kadar pengangguran, membasmi kemiskinan dan sudah tentu memberikan keselesaan hidup kepada seluruh rakyat, insya Allah!”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 1444H/2023M di Masjid An-Nur Daerah Tuaran, hari ini.

Hajiji berkata, dalam keadaan ekonomi negeri dan negara masih dalam proses pemulihan akibat pandemik tiga tahun lalu, Sabah sangat bernasib baik kerana masih mampu merekodkan pencapaian tertinggi dalam kutipan hasil negeri.

Menurutnya, kejayaan membanggakan itu adalah hasil daripada kerja keras serta kesungguhan di pihak Kerajaan Negeri yang turut dibantu oleh anggota penjawat awam, yang komited dalam membangunkan negeri yang tercinta ini.

“Kita tetap akan bekerja keras, berusaha dan terus berusaha untuk terus memperkukuhkan kewangan negeri sesuai dengan dasar Hala Tuju SMJ.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar dan polisi yang kukuh serta mesra pelabur, bertujuan untuk menarik lebih ramai pelabur datang dan membuat pelaburan di negeri ini.

“Apabila bilangan pelabur bertambah, maka akan bertambah jugalah spin-off effects-nya terhadap ekonomi negeri, lantaran peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan akan terbuka luas untuk direbut oleh anak-anak tempatan”, tegasnya.

Hajiji berkata, sejak negara bergelut dengan pandemik COVID-19 sehingga tahun lalu, kerajaan negeri telah meluluskan kemasukan pelaburan daripada sektor ekonomi bernilai RM11.5 bilion melibatkan 89 buah projek yang dapat menjana 4,566 peluang pekerjaan.

Menurutnya, dengan tambahan projek Keluli Hijau Bersepadu (integrated green steel) bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang telah ditandatangani pada bulan November tahun lalu, termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini sedang dalam proses untuk dilaksanakan, Sabah akan memperoleh jumlah pelaburan langsung asing dan domestik berjumlah RM33.4 bilion.

Beliau menegaskan, membela hidup rakyat merupakan antara agenda besar kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat.

Katanya, kerajaan sememangnya amat prihatin dan mengambil berat tentang apa jua isu yang berkaitan dengan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan asnaf dan mualaf.

Justeru katanya, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, selain menunaikan ibadah puasa kita juga sangat dituntut untumemperbanyakkan amal sedekah dan membantu golongan yang memerlukan.

“Selain sumbangan bantuan oleh kerajaan, saya amat menggalakkan mana-mana agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta dan badan bukan kerajaan untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ini bagi membolehkan mereka bersama-sama menikmati perayaan ini sama seperti orang lain.

“Penganjuran Majlis Berbuka Puasa pada hari ini dengan seramai 200 orang akan menerima bantuan, juga membuktikan keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan dan menyambut Syawal dengan rasa penuh kegembiraan dan keceriaan”, tambahnya.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hajiji menyeru kepada rakyat agar sentiasa mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja agar tidak berlaku pembaziran.

“Dengan berjimat cermat, ia akan memperkukuhkan ekonomi keluarga dan sebagai persiapan untuk keperluan masa akan datang, seperti pendidikan anak-anak”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/16/hajiji-yakin-ekonomi-sabah-dapat-dipulih-diperhebat/feed/ 0 32876