KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi perlu diterjemahkan kepada peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya mampu menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, transformasi digital tidak seharusnya sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, sebaliknya perlu menyelesaikan cabaran operasi sebenar, meningkatkan prestasi organisasi serta mewujudkan nilai yang jelas kepada perniagaan dan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Menurutnya, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi berpotensi membantu syarikat di Sabah beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos secara lebih berkesan, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan penggunaan teknologi perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, tadbir urus yang lebih baik, kualiti penyampaian perkhidmatan serta daya tahan sesebuah perniagaan.
“Teknologi hanya akan memberi manfaat sekiranya ia digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar dan menghasilkan penambahbaikan yang boleh diukur, bukannya sekadar mengikut trend tanpa matlamat yang jelas,” katanya.
Masidi berkata, kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dengan syarikat tempatan merupakan langkah penting bagi menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam terhadap persekitaran operasi dan keperluan pelanggan di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa proses pendigitalan perlu disokong oleh aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti serta pengawasan manusia bagi memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.
“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional terus diberi keutamaan supaya lebih ramai rakyat Sabah mampu menceburi bidang teknikal, pengurusan dan inovasi yang menawarkan nilai tambah tinggi.
Katanya, ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar, sebaliknya Sabah perlu terus melahirkan lebih ramai tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaian tempatan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pada akhirnya, kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akan diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan kepada Sabah,” katanya.
]]>PUTRAJAYA, Kerajaan hari ini mengumumkan satu rangka tindakan menyeluruh merangkumi bantuan bersasar, intervensi harga dan pengurangan kos operasi bagi menangani kesan krisis bekalan global yang terus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan tersebut digerakkan melalui beberapa inisiatif utama yang memfokuskan kepada kestabilan bekalan makanan, kelangsungan perniagaan kecil serta akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil, dalam keadaan kos global yang terus meningkat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anwar yang turut menerangkan mengenai intervensi Kerajaan berhubung beberapa Langkah Kerajaan berhubung perkara berkenaan,
Menurutnya Bantuan Khas Insentif Pembajakan pada 14 April lalu yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saudara Muhammad Sabu dan ditingkatkan dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran dari kenaikan harga diesel.
Selain itu, tambahan bantuan tunai RM200 sebagai pendahuluan turut diluluskan bagi membolehkan pesawah meneruskan aktiviti penanaman, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta dan memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah berdaftar.
Dalam masa sama, operasi pembenihan awan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dipertingkatkan bagi menangani kesan musim kemarau berpanjangan di utara Semenanjung, khususnya di Kedah, yang menjejaskan hasil pertanian.
Tambah Anwar lagi kerajaan turut mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat dan UDA Holdings Berhad berkuat kuasa bulan ini.
Langkah itu selari dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, dengan kerajaan turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri melaksanakan pendekatan sama secara menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan pengurangan sewa premis perniagaan di negeri berkenaan dalam masa terdekat.
Tambah Anwar lagi, Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah dengan sasaran 30,000 penganjuran pada tahun 2026, berbanding lebih 25,000 yang dilaksanakan tahun lalu.
Program ini menawarkan barangan keperluan pada harga antara lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran dan akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seminggu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.
Pelaksanaannya juga diperluaskan ke kawasan luar bandar, dengan penekanan kepada penglibatan peniaga kecil bagi memastikan manfaat lebih inklusif.
Mengulas tekanan fiskal, Anwar berkata kerajaan kini menanggung tambahan kira-kira RM5 bilion sebulan susulan pelaksanaan bantuan bahan api, termasuk diesel.
Beliau menegaskan bahawa walaupun langkah tersebut memberi beban kepada kewangan kerajaan, ia kekal penting bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos global.
Walaupun mengakui langkah-langkah yang diumumkan tidak menyelesaikan sepenuhnya kesan krisis bekalan global, Anwar menegaskan kerajaan akan terus menilai keadaan semasa dan memperkenalkan langkah tambahan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan akan terus meneliti dan mencari ikhtiar baharu melalui mesyuarat berkala bagi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan secara berterusan,” katanya.
]]>Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian akan terus menjadi teras utama pembangunan ekonomi Sabah di bawah pelaksanaan SMJ 2.0, dengan sokongan agenda baharu ekonomi biru.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata sektor perindustrian akan diperkasa bagi menarik pelabur asing dan domestik, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT), minyak dan gas, industri berat serta teknologi tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak Sabah.
“Selain itu pemerkasaan ekonomi biru merupakan salah satu agenda penting kerajaan negeri. Perdana Menteri sendiri turut menekankan kepentingan Sabah memanfaatkan ekonomi biru. Dalam dokumen halatuju SMJ 2.0, potensi ekonomi biru akan diperincikan dengan lebih terperinci, selain menekankan aspek-aspek pembangunan lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Mengenai sektor pelancongan pula, Azrul berkata Sabah merekodkan hampir 10 juta kedatangan pelancong secara kumulatif dalam tempoh lima tahun lalu hasil promosi berterusan kerajaan negeri.
Manakala dalam sektor pertanian, beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta penerokaan tanaman bernilai tinggi seperti durian dan buah-buahan.
“Kerajaan negeri turut merancang pembukaan taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort bagi menyeimbangkan pembangunan wilayah dan merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azrul memaklumkan Kerajaan Negeri Sabah secara rasmi mengiktiraf Sijil Unified Examination Certificate (UEC) sebagai kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar kaum Tionghoa.
Beliau berkata pengiktirafan UEC yang diluluskan tahun lalu turut membolehkan lepasan UEC memohon biasiswa kerajaan negeri Sabah, dengan seramai 37 pelajar Sabah telah menerima tajaan setakat ini.
“Ini bukti keterbukaan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keadilan pendidikan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan meneruskan agenda pendidikan percuma sepenuhnya di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Tingkatan Enam Yayasan Sabah (KTYS), dengan sasaran diperluaskan kepada sekolah agama negeri pada masa hadapan.
Manakala dalam aspek kebajikan rakyat, beliau berkata, program Rumah Mesra SMJ dan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) akan diteruskan bagi mengurangkan kadar miskin tegar di negeri ini.
Azrul turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan hasil Sabah mencecah RM10 bilion menjelang 2030 selain merancang penubuhan Sabah Sovereign Wealth Fund sebagai tabung kekayaan masa depan negeri.
“Langkah ini memastikan hasil Sabah dapat dimanfaatkan secara mampan oleh generasi hari ini dan generasi akan datang,” katanya.
]]>Kota Kinabalu – Agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) telah berjaya dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus meletakkan Sabah di atas landasan lebih kukuh untuk melonjakkan pembangunan ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat.
Pada minggu lepas, ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah menonjolkan kejayaan pelaksanaan agenda SMJ, hasil kerjasama erat antara kerajaan, swasta dan masyarakat.
Pada Mac 2021, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025), berteraskan tiga elemen utama iaitu sektor ekonomi (pertanian, perindustrian, pelancongan), modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Menurut beliau, agenda SMJ telah mencapai purata kejayaan pelaksanaan 94 peratus, dengan 366 (78 peratus) daripada 467 inisiatif berjaya dilaksanakan sepenuhnya setakat Mei 2025.
Beliau berkata, pencapaian ini dicapai berkat komitmen, kesungguhan dan kecekapan kerajaan negeri, meskipun berdepan cabaran besar termasuk pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan global.
Agenda SMJ 2.0 akan memberi tumpuan kepada integrasi teknologi hijau dan peralihan tenaga bersih bagi menjana pembangunan Sabah yang mampan dan lestari.
Antara pencapaian utama SMJ sepanjang lima tahun (2021–2025) termasuk:
Pertumbuhan Ekonomi

Infrastruktur Awam
Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat
Kerajaan Sabah turut berjaya mengurangkan hampir 90 peratus jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar, daripada 14,553 kepada 1,464 dalam tempoh setahun.
Ketua Menteri Sabah sebelum ini mempertikai data miskin tegar yang dikemukakan oleh Menteri Ekonomi Malaysia, memaklumkan data Kerajaan Negeri telah disahkan ICU JPM, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan Sekretariat SMJ.

Pemulihan Sabah Development Bank (SDB)
Sabah Development Bank (SDB), institusi kewangan pembangunan milik penuh kerajaan negeri, mencatat pemulihan selepas mengalami kerugian besar pada 2023 dan 2024 akibat kelemahan tadbir urus serta pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi.
Pelaksanaan Pelan Transformasi Tiga Tahun mengurangkan obligasi pembayaran bon SDB daripada RM5 bilion (Julai 2023) kepada RM2 bilion (akhir 2024). Nisbah Modal Keseluruhan meningkat kepada 20.71 peratus.
Pada Mac 2025, SDB memfailkan saman terhadap firma audit Ernst & Young (EY) bagi menuntut kerugian RM1.975 bilion akibat pelanggaran kontrak, kecuaian, serta pelanggaran kewajipan berkanun sepanjang 2011–2023.
SDB mengurangkan kerugian sebelum cukai sebanyak 90 peratus, daripada RM898 juta (2023) kepada RM86 juta (2024), dan menjangka kembali mencatat keuntungan pada 2025. Firma RAM Rating juga mengekalkan penarafan AA1/Stable untuk instrumen hutang SDB.
Dalam tempoh Januari 2024 hingga April 2025, SDB telah meluluskan pembiayaan pinjaman bernilai RM1.71 bilion untuk komuniti perniagaan Sabah.
Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.
]]>Oleh: Wan Azrain Adnan | 19 Jun 2025
Malaysia terus menerima jumlah pelaburan yang besar. Ini membuktikan para pelabur domestik dan asing terus konfiden dengan suasana perniagaan negara yang kondusif. Dalam bahasa mudah, pelabur yakin boleh membuat keuntungan dengan membuat pelaburan di Malaysia.
Pada minggu lepas, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah mengumumkan bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Suku Pertama 2025 adalah RM89.8 bilion, meningkat 3.7% berbanding tempoh sama tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing adalah RM60.4 bilion (67.3%), manakala pelaburan domestik adalah RM29.4 bilion (32.7%).
Secara keseluruhan, jumlah pelaburan tersebut merangkumi 1,556 projek di dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan pewujudan 33,368 peluang pekerjaan baharu.

Dengan banyak peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan, kadar pengangguran negara akan kekal rendah. Bagi bulan April 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.0%, iaitu tahap terendah dalam tempoh masa 10 tahun.
Daya tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menawan terserlah dengan peningkatan prestasi dalam laporan World Competitiveness Ranking 2025 (WCR 2025), yang diterbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD). Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia dalam WCR 2025 telah melonjak 11 tangga, dari 34 ke 23. Ini merupakan kedudukan terbaik negara dalam tempoh masa 5 tahun.
Fakta menarik, World Competitiveness Ranking diterbitkan oleh IMD sejak tahun 1989, bagi menilai tahap daya saing negara-negara terpilih di seluruh dunia. Bagi tahun 2025, ranking berkenaan melibatkan 69 negara.
KEDUDUKAN MALAYSIA DI DALAM ASEAN
Di kalangan negara-negara ASEAN, lonjakan prestasi Malaysia sebanyak 11 tangga adalah paling menyerlah tatkala banyak negara telah menurun: Singapura (menurun dari tangga 1 ke 2), Thailand (menurun dari 25 ke 30), Indonesia (menurun dari 27 ke 40) dan Filipina (meningkat dari 52 ke 51).
Namun begitu, prestasi Malaysia bercampur antara peningkatan dan penurunan bagi kesemua 4 faktor penilaian sepanjang tempoh masa 5 tahun (2021–2025):
Laporan WCR 2025 menunjukkan banyak perkara yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan lagi tahap daya saing negara, di mana kedudukan negara masih rendah. Ini termasuklah perundangan perniagaan (business legislation), amalan pengurusan (management practices), kesihatan & alam sekitar (health & environment) dan pendidikan (education).
Perkembangan di Sabah
Bagi Sabah, jumlah pelaburan yang diterima bagi Suku Pertama 2025 adalah RM10.9 bilion, iaitu ke-3 tertinggi. Ini merangkumi 12% daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan negara (RM89.8 bilion).
Malah, sektor perkilangan Sabah (RM7.3 bilion) telah merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia. Jumlah pelaburan besar sektor perkilangan ini boleh mengulangi pencapaian pada tahun 2023, di mana sektor pembuatan Sabah (4.4%) telah merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, daripada jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut, majoriti adalah pelaburan asing (RM6.6 bilion: 61%), dan pelaburan domestik (RM4.29 bilion: 39%).

Sebagai perbandingan, jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut mengatasi jumlah pelaburan yang diterima Sabah (RM6.5 bilion) bagi keseluruhan tahun 2024. Peningkatan besar jumlah pelaburan jelas menggambarkan keyakinan pelabur, serta membuktikan kejayaan awal usaha Kerajaan Sabah menyediakan suasana pelaburan yang kondusif dengan menangani isu-isu legasi yang sekian lama membelenggu Sabah.
Dengan jumlah pelaburan yang besar tersebut, ini sudah pasti dapat merancakkan agenda pembangunan ekonomi Sabah, serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan seterusnya menangani kadar pengangguran yang tinggi di Sabah.
Tambahan lagi, kejayaan peningkatan pelaburan berkenaan disertai dengan pengiktirafan Sabah sebagai sebuah negeri yang cemerlang. Pada minggu lepas, Sabah telah terpilih sebagai Malaysia’s Most Outstanding State di bawah The IBR ASEAN Awards 2025 yang dianjurkan oleh International Business Review (IBR).
Pengiktirafan Sabah berkenaan adalah bersandarkan kepada kejayaan Kerajaan Sabah menerajui agenda pembangunan Sabah sambil menekankan kelestarian alam sekitar, antaranya: peningkatan pelaburan dan memperjuang hak Sabah sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
]]>KUALA LUMPUR,— Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada barisan Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Keputusan itu, menurut Rafizi, adalah susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini yang, katanya, telah menjejaskan legitimasi politik untuk terus memacu dasar-dasar reformasi dalam kerajaan.
“Saya menyertai politik atas semangat membawa politik baru yang berteraskan mandat dan akauntabiliti kepada rakyat. Tanpa mandat itu, adalah tidak wajar untuk saya terus berada dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau akan menghabiskan cuti tahunan bermula hari ini sehingga 16 Jun, sebelum penamatan rasmi jawatannya sehari kemudian.
Surat rasmi perletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan pengganti yang sesuai.
Bekas Naib Presiden PKR itu turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Kementerian Ekonomi dan penjawat awam yang telah bersamanya membentuk kerangka dasar negara sejak menyertai kabinet.
Antara sumbangan terakhir beliau ialah penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menurutnya telah dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan di Parlimen.
RMK13 dijangka memberi fokus utama kepada reformasi pendidikan negara termasuk pembaharuan struktur dalam Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap reformasi pendidikan ini akan terus dilaksanakan demi generasi akan datang, walaupun saya tidak lagi berada dalam pentadbiran,” ujarnya.
Rafizi turut menyeru rakyat agar terus menyokong usaha pemulihan struktur ekonomi negara demi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
“Perjalanan ini masih panjang, tetapi keputusan yang sukar mesti terus dibuat untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya mengakhiri kenyataan.
]]>KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemimpin-pemimpin ASEAN sebulat suara menyuarakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin meruncing, termasuk peningkatan tindakan unilateral dan proteksionis oleh beberapa negara kuasa besar dunia.
Dalam satu kenyataan bersama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara pada 26 Mei, pemimpin ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan tarif dan sekatan pelaburan yang dikenakan secara bersendirian, yang berpotensi memecahbelahkan sistem perdagangan antarabangsa dan menjejaskan kestabilan rantau.
“ASEAN menegaskan bahawa tindakan perdagangan unilateral dan tindakan balas hanya akan memburukkan lagi ketegangan ekonomi global dan memberi kesan tidak langsung kepada rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, ASEAN mengarahkan pegawai-pegawai berkaitan agar memantau risiko pengalihan perdagangan dan memperkukuh perbincangan dengan rakan luar menerusi platform sedia ada untuk mencari penyelesaian yang konstruktif dan damai berlandaskan undang-undang antarabangsa.
Perkukuh Ekonomi Serantau
Bagi meningkatkan ketahanan ekonomi rantau, ASEAN bersetuju untuk:
ASEAN turut menekankan keperluan untuk melaksanakan langkah domestik yang bersasar bagi menyokong industri dan pekerja tempatan yang terkesan akibat gangguan perdagangan, selain bersedia menerima perubahan ekonomi masa hadapan yang bersifat transformasi dan inovatif.
Komitmen Multilateral
Dalam kenyataan itu, ASEAN sekali lagi menzahirkan sokongan penuh terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai tunjang utama.
“ASEAN bersedia bekerjasama secara konstruktif bersama ahli WTO bagi memastikan sistem perdagangan global kekal terbuka, telus, saksama dan inklusif,” jelas kenyataan tersebut.
Menjelang sambutan ulang tahun ke-60 ASEAN pada 2027, blok serantau itu menegaskan perpaduan dan prinsip ASEAN Centrality sebagai kunci kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.
Kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025.
]]>Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25, menegaskan kepentingan kerjasama serantau dalam menghadapi perubahan drastik dasar ekonomi global, terutamanya yang berpunca daripada pendekatan baharu oleh Amerika Syarikat.
Dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat AEC hari ini, beliau mengalu-alukan para Menteri Ekonomi ASEAN dan delegasi, sambil mengiktiraf kesibukan blok itu dalam siri rundingan bersama rakan dialog seperti China, Jepun, Australia dan New Zealand minggu ini.
“Dasar ekonomi terkini Amerika Syarikat termasuk tarif timbal balik, ‘strategic decoupling’, dan ‘friend-shoring’ dalam rantaian bekalan, memerlukan kita bertindak secara berhemah dan strategik,” katanya. ASEAN, tambah beliau, memilih jalan diplomasi dan kerjasama berbanding tindakan balas, satu pendekatan yang menurutnya telah membantu mengekalkan kestabilan dan keterlibatan ekonomi serantau.
Tengku Zafrul turut menyampaikan penghargaan kepada rakan sejawat ASEAN atas sokongan dalam mesyuarat-mesyuarat AEM khas serta konsultasi bersama rakan dialog. Beliau menggesa agar momentum itu dikekalkan, termasuk meneroka langkah-langkah bagi meningkatkan dagangan intra-ASEAN dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang luar.
Mesyuarat separuh hari itu dijangka membincangkan 11 agenda, termasuk kemajuan pelbagai inisiatif AEC serta cadangan yang akan dibawa ke Majlis Penyelaras ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, bersama Sekretariat ASEAN dijangka mengetuai sesi pembentangan dan kemas kini status.
Mengakhiri ucapannya, Menteri MITI itu mengingatkan semua pihak untuk kekal berpegang pada nilai-nilai teras ASEAN: keamanan, kestabilan, saling menghormati dan masa depan yang lebih baik. “Persekitaran ekonomi semasa tidak menuntut kita berundur, tetapi menuntut tekad yang diperbaharui,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste dalam mesyuarat, selaras dengan garis panduan baru yang diterima pakai oleh Majlis Penyelaras ASEAN ke-35.
]]>Oleh: Wan Azrain Adnan
Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh, kadar inflasi yang rendah dan dasar monetari yang berhemah.
Pertumbuhan KDNK Suku Pertama 2025 Capai 4.4%
Beberapa hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat sebanyak 4.4% pada Suku Pertama 2025. Data bulanan menunjukkan aliran peningkatan konsisten: Januari (3.5%), Februari (3.6%) dan Mac (6.0%).

Meskipun lebih perlahan berbanding 4.9% pada suku sebelumnya, pertumbuhan ini masih lebih baik daripada suku yang sama tahun lalu (4.2%).
Sektor Perkhidmatan dan Pembinaan Jadi Pemacu
Semua sektor ekonomi utama merekodkan peningkatan kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian yang menyusut 2.7%. Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama dengan pertumbuhan 5%, diikuti sektor pembinaan yang melonjak 14.2%.
Sektor pertanian juga kembali mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 0.6%, dipacu oleh subsektor perikanan yang meningkat 7.9%. Namun begitu, subsektor kelapa sawit dan perhutanan masing-masing menurun 3.1% dan 10.5%.
Malaysia Atasi Beberapa Ekonomi Maju

Pertumbuhan KDNK Malaysia (4.4%) mengatasi beberapa ekonomi utama dunia seperti Amerika Syarikat (2.0%), Kesatuan Eropah (1.4%) dan Korea Selatan (-0.1%). Namun begitu, ia masih ketinggalan berbanding jiran serantau seperti Vietnam (6.9%), Filipina (5.4%) dan Indonesia (4.9%).
Menteri Kewangan II memaklumkan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh, dengan kadar inflasi hanya pada 1.5% dan kadar pengangguran rendah pada 3.1% (Januari 2025).
Pada 8 Mei 2025, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3% – kali ke-12 berturut-turut sejak Mei 2023 – membuktikan keyakinan terhadap kestabilan makroekonomi domestik.
Langkah Tambahan: Penurunan Nisbah SRR
BNM turut menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada bank-bank daripada 2% kepada 1%, berkuat kuasa 16 Mei 2025. Langkah ini dijangka menyuntik RM19 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan untuk merangsang pelaburan dan pinjaman.
Meskipun asas ekonomi kekal stabil, landskap global kini semakin mencabar. Amerika Syarikat memperkenalkan tarif baharu ke atas pelbagai import termasuk dari Malaysia – dengan Kadar Tarif Asas sebanyak 10% dan Tarif Timbal Balik mencecah 24%.
Ketidakstabilan geopolitik yang berpanjangan akibat konflik Ukraine–Russia, Israel–Palestin dan terbaru, ketegangan India–Pakistan, turut menambah tekanan ke atas ekonomi global dan harga komoditi makanan.
Ramalan Dikurangkan, OPR Dijangka Disemak
Beberapa firma kewangan telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 2025 daripada 4.7–5.0% kepada 4.0–4.5%. Standard Chartered Bank, misalnya, menganggarkan impak tarif AS bakal mengurangkan 0.4–0.7% daripada KDNK dan menurunkan unjurannya kepada 4.2%.
Perang tarif dan ketidakstabilan geopolitik di jangka akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Oleh kerana itu, beberapa firma kewangan telah menurunkan ramalan pertumbuhan KDNK negara bagi tahun 2025, dari 4.7% – 5.0% kepada 4% – 4.5%.
Sebagai contoh. Standard Chartered Bank menjangkakan Kadar Tarif yang di kenakan ke atas Malaysia akan memotong antara 0.4% – 0.7% daripada KDNK negara. Oleh yang demikian, ia telah menurunkan ramalan KDNK 2025 negara dari 5.0% kepada 4.2%.
Justeru itu, beberapa firma kewangan menjangkakan BNM akan menurunkan OPR sebanyak 0.25% pada Separuh ke-2 2025, bagi mendepani cabaran pertumbuhan ekonomi negara.
Kesimpulan: Cabaran Besar Menanti
Walaupun ekonomi negara masih kukuh setakat ini, risiko luaran yang kian meningkat memerlukan Malaysia bersedia dengan dasar yang responsif dan ruang fiskal yang mampan untuk menangani ketidaktentuan yang mendatang.
]]>Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan prospek ekonomi negara yang semakin jelas susulan perang tarif global dilihat bakal memberi tekanan besar terhadap pasaran buruh tempatan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berkaitan keselamatan pekerjaan dan kadar gaji.
Laporan terbaharu Hiring, Compensation and Benefits 2025 oleh Jobstreet yang diterbitkan baru-baru ini memperincikan jangkaan dan perancangan majikan terhadap pasaran buruh untuk separuh pertama tahun ini. Laporan tersebut dibina berdasarkan tinjauan ke atas 2,279 responden terdiri daripada majikan dan profesional sumber manusia merentas pelbagai industri serta saiz organisasi.
Hampir separuh daripada organisasi kecil (48%), sederhana (49%) dan besar (47%) menyatakan hasrat untuk menambah pekerja dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Faktor utama yang mendorong pengambilan baharu ini ialah pengembangan perniagaan.

Sementara itu, 41% majikan memilih untuk mengekalkan jumlah pekerja sedia ada, manakala hanya 5% menyatakan hasrat mengurangkan pekerja – langkah yang didorong oleh keperluan mengurangkan kos operasi dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi.
Bagaimanapun, dapatan itu dibuat dalam tempoh ketika sentimen ekonomi masih positif, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025.
Namun situasi berubah drastik selepas Amerika Syarikat mengumumkan pelaksanaan ‘perang tarif’ ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia yang dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 24%. Negara ASEAN lain turut terkesan – Indonesia (32%), Thailand (37%), Myanmar (45%), Vietnam (46%), Laos (48%) dan Kemboja (49%).
Kesan segera daripada dasar perdagangan agresif itu ialah semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia, yang kini diramalkan berada di antara 4% hingga 4.5% – lebih rendah daripada jangkaan awal.
Keadaan ini mendorong banyak majikan untuk menilai semula rancangan pengambilan pekerja mereka. Menurut pemerhati industri, langkah membekukan pengambilan atau pengurangan tenaga kerja dijangka menjadi lebih meluas.
Presiden Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pekerja berisiko kehilangan pekerjaan khususnya di negeri berorientasikan eksport seperti Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang. MICCI turut menjangkakan pertumbuhan gaji pekerja akan turut terjejas.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menyatakan lebih 60,000 pekerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada eksport ke pasaran Amerika Syarikat berada dalam risiko tinggi kehilangan kerja. Menurut MEF, sekitar 12,000 daripada 1.2 juta PKS negara mempunyai keterikatan langsung dengan pasaran eksport AS.
Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL) yang mewakili lebih 10,000 pekerja dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), turut menyuarakan kebimbangan bahawa sektor itu kini berada di bawah tekanan hebat yang berpotensi menjejaskan keselamatan pekerjaan ribuan pekerja tempatan.
Berdasarkan Sorotan Pasaran Buruh Suku Tahun Ke-4 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara masih kekal stabil pada paras 3.2%. Angka ini menunjukkan Malaysia masih berada dalam kategori guna tenaga penuh – istilah yang digunakan apabila kadar pengangguran berada di bawah 4%.

Namun kestabilan ini bakal terancam sekiranya jangkaan pemberhentian pekerja dalam sektor eksport menjadi kenyataan, justeru menyebabkan kadar pengangguran meningkat.
Malaysia telah mengekalkan kadar pengangguran rendah secara konsisten selama lebih 40 tahun, dari 1982 hingga 2023, yang mencerminkan keupayaan pertumbuhan ekonomi negara menyediakan peluang pekerjaan mencukupi.
Dalam menghadapi tekanan ini, kerajaan sedang menjalankan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat bagi membincangkan semula kadar tarif yang dikenakan. Harapan kini disandarkan kepada diplomasi perdagangan untuk memastikan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan pasaran buruh negara dapat diminimumkan.
Kejayaan rundingan ini bukan sahaja penting bagi memulihkan keyakinan pelabur dan majikan, malah dapat mengurangkan keresahan rakyat terhadap ketidaktentuan ekonomi yang sedang melanda.
]]>