esscom – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 16 Aug 2026 01:42:56 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png esscom – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Tiada kejadian lelaki bersenjata masuk Semporna, Lahad Datu https://sabahmedia.com/2026/08/16/tiada-kejadian-lelaki-bersenjata-masuk-semporna-lahad-datu/ https://sabahmedia.com/2026/08/16/tiada-kejadian-lelaki-bersenjata-masuk-semporna-lahad-datu/#respond Sun, 16 Aug 2026 01:42:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101692
Read Time:44 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR :  Tiada kejadian sekumpulan lelaki bersenjata masuk ke Semporna dan Lahad Datu, Sabah seperti didakwa dalam hantaran yang tular di media sosial, kata Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos.

Beliau berkata situasi keselamatan di kedua-dua kawasan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan dakwaan tersebut.

“Hantaran yang tular itu tidak benar dan kita ambil maklum berhubung gambar yang dimuat naik di media sosial… setakat ini, keadaan masih terkawal dan pemantauan kita berterusan bagi mengesan sebarang ancaman atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk serta kawasan perairan Sabah Timur,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Victor berkata ESSCOM sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan khususnya di perairan serta lokasi strategik dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Beliau juga berkata sebarang maklumat berkaitan ancaman keselamatan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pengesahan lanjut. BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/16/tiada-kejadian-lelaki-bersenjata-masuk-semporna-lahad-datu/feed/ 0 101692
Pelancong terlibat kegiatan ekonomi haram di Semporna berdepan tindakan tegas https://sabahmedia.com/2026/08/08/pelancong-terlibat-kegiatan-ekonomi-haram-di-semporna-berdepan-tindakan-tegas/ https://sabahmedia.com/2026/08/08/pelancong-terlibat-kegiatan-ekonomi-haram-di-semporna-berdepan-tindakan-tegas/#respond Sat, 08 Aug 2026 05:12:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101225
Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

SANDAKAN : Tindakan terhadap pelancong yang menyalahgunakan pas lawatan sosial kini diperketat menerusi operasi penguatkuasaan tegas bagi membanteras kegiatan warga asing yang menjalankan kegiatan ekonomi secara haram di Sabah, khususnya di Semporna.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak berkuasa mengesan segelintir warga asing masuk atas tujuan melancong tetapi melencong dan menjalankan perniagaan termasuk memiliki atau menguasai perkhidmatan pusat peranginan secara perkongsian dengan penduduk tempatan.

Beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk melakukan operasi penguatkuasaan secara bersama dengan semua pihak yang terlibat di kawasan berkenaan seperti pihak berkuasa tempatan.

“Perkara itu salah mengikut Akta Imigresen dan kita ambil tindakan bukan sahaja menerusi Kementerian Dalam Negeri malah melibatkan pihak berkuasa tempatan serta agensi lain menerusi pembukaan kertas siasatan, kompaun mahupun pendakwaan.

“Kita hendak menghantar isyarat bahawa negara kita ini terbuka, mereka boleh masuk tetapi kena ikut undang-undang… kalau masuk sebagai pelancong dengan perniagaan dan kita dapat kesan, kita ambil tindakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan tinjauan keselamatan di pulau-pulau dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bersama-sama delegasi negara luar yang turut dihadiri Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.

Beliau menjawab soalan mengenai laporan khas Bernama hari ini bertajuk Semporna: Emergence of A Shadow Threat yang mengetengahkan isu pelabur asing yang menguasai rantaian ekonomi pelancongan di daerah berkenaan secara haram mengancam keselamatan dan ekonomi rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata keyakinan pelancong antarabangsa terhadap tahap keselamatan dan potensi pelancongan di ESSZone kekal tinggi serta berada pada arah tuju yang betul.

Beliau berkata kawasan ESSZone tahun ini telah mencatat kehadiran sejumlah 129,492 pelancong setakat Jun lepas sekali gus membuktikan persepsi positif dan keyakinan masyarakat luar terhadap persekitaran keselamatan di lokasi berkenaan.

“Saya percaya ketibaan pelancong ke kawasan ESSZone ini cuma menyimpulkan satu perkara iaitu keyakinan masyarakat antarabangsa tentang tahap keselamatan dan potensi pelancongan itu,” katanya. BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/08/pelancong-terlibat-kegiatan-ekonomi-haram-di-semporna-berdepan-tindakan-tegas/feed/ 0 101225
Perwakilan asing tinjau tahap keselamatan ESSZone di Sandakan https://sabahmedia.com/2026/08/07/perwakilan-asing-tinjau-tahap-keselamatan-esszone-di-sandakan/ https://sabahmedia.com/2026/08/07/perwakilan-asing-tinjau-tahap-keselamatan-esszone-di-sandakan/#respond Thu, 06 Aug 2026 22:12:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101117
Read Time:46 Second

SANDAKAN: Beberapa perwakilan asing tiba di Sandakan pada Khamis bagi menghadiri Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), sebagai usaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Antara negara yang menyertai program itu ialah Switzerland, Jerman, Itali, Slovakia, Amerika Syarikat, Finland, Belgium, Republik Czech, Austria serta wakil daripada Kesatuan Eropah.

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman; serta Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.

Sepanjang program itu, rombongan dijadualkan menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh agensi-agensi keselamatan mengenai pengurusan keselamatan, situasi semasa serta langkah-langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan di ESSZone.

Selain itu, mereka turut dijadual melawat beberapa lokasi strategik bagi meninjau sendiri pelaksanaan kawalan keselamatan di lapangan, termasuk kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan Pantai Timur Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/07/perwakilan-asing-tinjau-tahap-keselamatan-esszone-di-sandakan/feed/ 0 101117
ESSCOM bongkar pelbagai aktiviti haram, tindakan penguatkuasaan cecah RM433,077 https://sabahmedia.com/2026/07/31/esscom-bongkar-pelbagai-aktiviti-haram-tindakan-penguatkuasaan-cecah-rm433077/ https://sabahmedia.com/2026/07/31/esscom-bongkar-pelbagai-aktiviti-haram-tindakan-penguatkuasaan-cecah-rm433077/#respond Fri, 31 Jul 2026 01:09:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100825
Read Time:3 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi Operasi Bersepadu selama dua hari di beberapa lokasi sekitar Sandakan yang berakhir pada Khamis.

Operasi yang dijalankan di kawasan penempatan koloni setinggan sekitar Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan Pusat Bandar Sandakan itu menyaksikan penahanan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), selain tindakan penguatkuasaan, rampasan, kompaun dan anggaran kerugian berjumlah RM433,077.

Selain itu, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan membabitkan imigresen, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, pelanggaran undang-undang pekerjaan, pelesenan perniagaan serta jenayah terhadap hidupan liar.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara berfokus dan berasaskan risikan dalam memelihara keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Menurutnya, operasi berkenaan bukan sahaja berjaya membanteras kehadiran PATI, malah mengesan pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang yang memberi implikasi kepada keselamatan negara, hasil kerajaan dan kesejahteraan komuniti.

“Kadar pengesanan yang tinggi menunjukkan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara berfokus dan berasaskan risikan terus membuahkan hasil.

“Kejayaan ini membuktikan ancaman terhadap keselamatan di ESS Zone bukan hanya melibatkan jenayah rentas sempadan atau kehadiran PATI semata-mata.

“Sebaliknya turut merangkumi pelbagai bentuk aktiviti ekonomi haram yang memberi kesan langsung kepada hasil kerajaan, peluang pekerjaan rakyat tempatan dan keselamatan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam operasi itu, seramai 25 PATI terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam aspek pembanterasan penyeludupan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM20,000, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM22,811.

Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) pula merampas 300 kilogram kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000 selain menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan elektrik secara tidak sah mencecah RM300,000 setahun.

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) turut menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM6,500 serta mengeluarkan satu kompaun bernilai RM300, manakala Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan dua notis hadir ke pejabat atas kesalahan penyambungan bekalan air secara tidak sah melibatkan nilai kompaun RM600.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun di bawah Seksyen 58 Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), sembilan notis pelbagai kesalahan serta mengarahkan pembayaran tunggakan gaji minimum sebanyak RM116, menjadikan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan RM60,116.

Operasi berkenaan turut menyaksikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan menahan dua lelaki bersama 0.07 gram dadah disyaki syabu untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam usaha memelihara khazanah biodiversiti Sabah pula, Jabatan Hidupan Liar Sabah berjaya merampas 1,550 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750, sekali gus menghalang ia daripada memasuki pasaran gelap dan menyokong usaha pemuliharaan spesies marin yang dilindungi.

Victor berkata, pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan pelbagai agensi membolehkan tindakan menyeluruh diambil terhadap setiap bentuk kesalahan yang dikesan tanpa kompromi.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), KPDN, JTK, SESB, JANS, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi berkaitan.

Menurutnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada Operasi SANGGAH ESSCOM yang dilaksanakan bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM di samping membantu jabatan serta agensi penguatkuasaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone.

“ESSCOM akan terus mempertingkat pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan, analisis ancaman dan kerjasama strategik antara agensi.

“Selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, operasi bersepadu akan terus diperkasakan bagi membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, memperkukuh pematuhan undang-undang serta memastikan ESS Zone kekal selamat, stabil dan kondusif demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/31/esscom-bongkar-pelbagai-aktiviti-haram-tindakan-penguatkuasaan-cecah-rm433077/feed/ 0 100825
ESSCOM perkukuh pembangunan modal insan melalui program sekolah angkat MADANI 2026 https://sabahmedia.com/2026/07/26/esscom-perkukuh-pembangunan-modal-insan-melalui-program-sekolah-angkat-madani-2026/ https://sabahmedia.com/2026/07/26/esscom-perkukuh-pembangunan-modal-insan-melalui-program-sekolah-angkat-madani-2026/#respond Sun, 26 Jul 2026 01:10:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100585
Read Time:2 Minute, 44 Second

LAHAD DATU : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan modal insan apabila melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM 2026 dengan memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya sebagai sekolah angkat bagi tahun ini.

Majlis peluncuran program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron, yang turut merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Abdullah Munshi, SMK Sepagaya, di sini, pada Sabtu.

Pemilihan SMK Sepagaya sebagai Sekolah Angkat MADANI ESSCOM mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh agenda Whole of Government menerusi kerjasama strategik bersama institusi pendidikan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, Program Sekolah Angkat MADANI membuktikan bahawa keselamatan negara tidak hanya bergantung kepada aspek penguatkuasaan dan kawalan sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), sebaliknya turut memerlukan pembentukan generasi yang berilmu, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Menurut beliau, keamanan yang berkekalan bukan sahaja dibina melalui aset keselamatan yang moden, malah melalui masyarakat yang menghargai keamanan, memiliki integriti tinggi dan semangat patriotisme yang mantap.

“Keamanan yang berkekalan bukan hanya dibina melalui aset keselamatan yang moden, tetapi melalui masyarakat yang berilmu, berintegriti, mempunyai jati diri yang kental serta menghargai keamanan yang dinikmati,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, menerusi program itu ESSCOM akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pihak sekolah yang merangkumi pembangunan kepimpinan murid, pendidikan keselamatan, kesedaran kenegaraan, kesiapsiagaan menghadapi cabaran, program kesukarelawanan, inovasi sosial serta pemerkasaan sahsiah.

Katanya lagi, kejayaan Program Sekolah Angkat MADANI tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai projek fizikal semata-mata, sebaliknya melalui hubungan jangka panjang yang mampu diwujudkan antara ESSCOM dengan warga sekolah dalam usaha melahirkan generasi yang menghargai keamanan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan negara.

Bagi tahun 2026, ESSCOM menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan dua projek di SMK Sepagaya, iaitu kerja-kerja penyelenggaraan Gelanggang Serbaguna Sekolah dan Dewan Terbuka Abdullah Munshi bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk aktiviti pembelajaran, kokurikulum serta pembangunan murid.

Sementara itu, Jordan berkata, pendidikan berkualiti memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi keselamatan, sektor swasta, komuniti dan ibu bapa bagi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau berkata, dalam era yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital, sistem pendidikan perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah mempunyai pemikiran kritis, kreatif, inovatif serta kemahiran teknologi yang memenuhi keperluan industri masa depan.

Majlis tersebut turut berlangsung serentak dengan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang menghimpunkan penyertaan sekolah-sekolah dari seluruh negeri sebagai platform memupuk budaya inovasi, memperkasa pendidikan STEM serta memberi pendedahan kepada murid mengenai pelbagai laluan kerjaya masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Pengetua SMK Sepagaya, Shamsir Nureddin, menyifatkan pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Angkat MADANI ESSCOM membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan di Sabah Timur.

Beliau yakin kerjasama strategik yang terjalin antara ESSCOM dan pihak sekolah akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dalam aspek akademik, sahsiah, kepimpinan, keselamatan, inovasi dan kesejahteraan murid.

Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM diharapkan menjadi model kerjasama strategik antara agensi keselamatan dan institusi pendidikan dalam melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti, berdaya tahan serta cintakan negara demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negeri Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/26/esscom-perkukuh-pembangunan-modal-insan-melalui-program-sekolah-angkat-madani-2026/feed/ 0 100585
Operasi ‘Omni Presence’ perkukuh penguatkuasaan ESSCOM di Lahad Datu https://sabahmedia.com/2026/06/26/operasi-omni-presence-perkukuh-penguatkuasaan-esscom-di-lahad-datu/ https://sabahmedia.com/2026/06/26/operasi-omni-presence-perkukuh-penguatkuasaan-esscom-di-lahad-datu/#respond Fri, 26 Jun 2026 06:28:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98917
Read Time:1 Minute, 37 Second

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh penguatkuasaan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) menerusi pelaksanaan Operasi ‘Omni Presence’ yang dilaksanakan di sekitar bandar Lahad Datu di sini pada Khamis.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi itu merupakan usaha berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, selain membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut dilaksanakan sebagai satu ‘show of force’ bagi menunjukkan ketegasan ESSCOM terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone.

“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang. Kehadiran anggota keselamatan di lapangan merupakan mesej jelas bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan seramai 53 pegawai dan anggota yang menjalankan pemeriksaan di premis-premis perniagaan serta terhadap orang awam di sekitar bandar Lahad Datu.

Sepanjang operasi dijalankan, seramai 342 individu telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, selain mengesan sebarang elemen yang boleh mengancam keselamatan kawasan ESS Zone.

Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut merampas 75 bungkus rokok seludup pelbagai jenis dan 19 kotak mancis Aladdin dengan nilai rampasan dianggarkan RM800.

Victor berkata, Operasi Omni Presence merupakan sebahagian daripada Operasi Sanggah ESSCOM yang dilaksanakan selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh operasi keselamatan sedia ada bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguat kuasa Persekutuan dan negeri.

Katanya, ESSCOM akan terus melaksanakan operasi bersepadu secara konsisten selaras dengan slogan “Tiada Hari Tanpa Operasi” bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan memastikan keamanan serta ketenteraman awam di Sabah Timur terus terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan ESSCOM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/26/operasi-omni-presence-perkukuh-penguatkuasaan-esscom-di-lahad-datu/feed/ 0 98917
ESSCOM tumpaskan kegiatan penyeludupan barang bersubsidi ke negara jiran https://sabahmedia.com/2026/06/14/esscom-tumpaskan-kegiatan-penyeludupan-barang-bersubsidi-ke-negara-jiran/ https://sabahmedia.com/2026/06/14/esscom-tumpaskan-kegiatan-penyeludupan-barang-bersubsidi-ke-negara-jiran/#respond Sun, 14 Jun 2026 10:48:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98217
Read Time:1 Minute, 48 Second

SANDAKAN : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup barang bersubsidi dalam satu operasi khas ESSCOM di kawasan sungai, Jalan Datuk Tay di sini, pada jumaat.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, antara barang bersubsidi yang cuba diseludup termasuklah minyak masak paket bersubsidi dan minyak petrol.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama dan bantuan daripada Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (MARTEK), Sandakan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota keselamatan yang dketuai oleh ESSCOM telah melaksanakan OP TIRIS 4.0 di kawasan jeti sungai Jipon, Jalan Datuk Tay lebih kurang jam10.30 malam.

“Semasa operasi dilaksanakan, sepasukan anggota keselamatan telah mengesan 140 plastik hitam disyaki mengandungi paket minyak masak bersubsidi berada di daratan dan sebuah bot yang mencurigakan sedang berlabuh di jeti berkenan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berada di daratan berhampiran jeti manakala tiga lagi lelaki berada di atas bot. Apabila pasukan keselamatan memperkenalkan diri dan melaksanakan serbuan dan pemeriksaan di lokasi berkenaan, seorang lelaki yang berada di daratan berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Tiga lagi suspek lelaki yang berada di atas bot cuba melarikan diri dengan bertindak terjun ke sungai sebelum meloloskan diri ke kawasan bakau berhampiran tanpa dikesan,”katanya.

Victor berkata pemeriksaan lanjut di lokasi serbuan mendapati plastik hitam tersebut mengandungi 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan lima tong jerikin yang mengandungi 150 liter petrol disyaki cuba diseludup ke negara jiran

Beliau berkata, tahanan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada balai polis dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1953/69 (Akta 155) dan Akta kawalan Bekalan 1961. Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM101,508.00.

“ESSCOM dengan Kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa melaksanakan operasi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi di kawasan Sabah Timur.

“Ini adalah demi memastikan barang-barang kawalan bersubsidi ini tidak diseludup keluar sewenang-wenangnya ke negara jiran tanpa kelulusan atau permit sah daripada pihak berkuasa demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan ekonomi negara,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/14/esscom-tumpaskan-kegiatan-penyeludupan-barang-bersubsidi-ke-negara-jiran/feed/ 0 98217
Ops Bersepadu ESSCOM kesan pelbagai kesalahan di Semporna https://sabahmedia.com/2026/04/02/ops-bersepadu-esscom-kesan-pelbagai-kesalahan-di-semporna/ https://sabahmedia.com/2026/04/02/ops-bersepadu-esscom-kesan-pelbagai-kesalahan-di-semporna/#respond Thu, 02 Apr 2026 03:14:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94132
Read Time:3 Minute, 9 Second

SEMPORNA : Sebanyak 165 notis dan kompaun dengan nilai anggaran sebanyak RM680,250 dikenakan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa dalam satu operasi bersepadu di daerah ini di sini semalam.

Operasi yang dikoordinasi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa termasuklah Polis: Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Komander ESSCOM Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memastikan pematuhan aspek pelesenan premis pelancongan selain bertindak terhadap aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan dan imej sektor pelancongan di daerah Semporna.

Selain itu katanya, operasi itu turut memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang melibatkan imigresen, perniagaan, pekerjaan, perkastaman serta kesalahan berkaitan hidupan liar dilindungi.

Beliau berkata, operasi yang melibatkan 269 pegawai dan anggota itu turut menyaksikan pemeriksaan mengejut terhadap 40 buah resort dan premis perniagaan di sekitar kawasan bandar serta perairan Semporna termasuk penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 38 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut 28 individu dikenal pasti sebagai PATI. 

“Kesemua individu yang ditahan akan diserahkan kepada JIM Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Victor berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan oleh Jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat. 

Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265], melibatkan kegagalan majikan mematuhi peruntukan berkaitan syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan sembilan kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777], manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan 8 notis dan kompaun di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] berkaitan pematuhan pengendalian data peribadi.

“Majlis Daerah Semporna (MDS) turut mengeluarkan 33 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Majlis Daerah Semporna yang dikuatkuasakan di bawah Local Government Ordinance 1961 (Sabah), melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, kegagalan mematuhi syarat pelesenan premis serta pelanggaran keperluan kesihatan dan operasi premis,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengeluarkan 49 notis kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341], melibatkan kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran seperti pili bomba, pengesan asap, alat penggera kebakaran manual, lampu kecemasan serta alat pemadam api di premis.

Menurutnya, dalam operasi yang sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai di bawah peruntukan Akta Kastam 1967 [Akta 235] dan Akta Eksais 1976 [Akta 176].

“Selain itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut merampas pelbagai hasil hidupan liar termasuk daging babi, kura-kura dan burung murai dengan nilai dianggarkan RM1,300 dan disyaki melanggar peruntukan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

” Jabatan Perikanan Sabah pula turut mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan aktiviti perikanan termasuk rampasan peralatan menangkap ikan (panah ikan),” katanya

Tambahnya,, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP 1969) dan Seksyen 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (ASIP 2017).

Sementara itu, Victor berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan operasi tersebut serta semua jabatan dan agensi yang memberikan kerjasama padu.

” Kerjasama erat antara agensi ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone sentiasa terpelihara.

” Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM selain membantu Jabatan/ agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone,” katanya. 

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/02/ops-bersepadu-esscom-kesan-pelbagai-kesalahan-di-semporna/feed/ 0 94132
ESSCOM hargai peranan media, perkukuh kerjasama menerusi sukan persahabatan https://sabahmedia.com/2025/12/09/esscom-hargai-peranan-media-perkukuh-kerjasama-menerusi-sukan-persahabatan/ https://sabahmedia.com/2025/12/09/esscom-hargai-peranan-media-perkukuh-kerjasama-menerusi-sukan-persahabatan/#respond Tue, 09 Dec 2025 03:55:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87975
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Program Media Engagement Strike Bond – ESSCOM X Media 2025 berjaya memperkukuhkan hubungan antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pengamal media di Sabah menerusi penganjuran sukan persahabatan tenpin boling.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B. Sanjos berkata program itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kerjasama antara ESSCOM dan pengamal media di Sabah.

“Salah satu objektif program ini adalah untuk merapatkan hubungan serta kerjasama antara ESSCOM dan para pengamal media.

“Saya percaya melalui aktiviti sukan seperti ini, bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi juga membolehkan kita saling mengenali dengan lebih dekat.

“Kami percaya bahawa dengan kerjasama serta ikatan yang kukuh daripada rakan-rakan media, ESSCOM dapat mencapai objektif penubuhannya di kawasan Sabah Timur (ESSZone).

“Saya berharap hubungan serta silaturahim ini dapat dikekalkan dan seperti yang sering saya tekankan rakan-rakan media adalah mata, telinga dan juga suara kepada ESSCOM,” katanya kepada media selepas program itu di sini, pada Ahad.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JAPEN) dan dihadiri 75 pengamal media daripada pelbagai agensi dan warga ESSCOM, sebagai usaha mengeratkan hubungan antara ESSCOM dan media di Sabah.

Mengulas pencapaian ESSCOM tahun ini, beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan di kawasan ESSZone berada pada tahap baik, termasuk ketika pelaksanaan Pilihan Raya Umum yang berlangsung dengan aman.

“Sepanjang tahun ini, ESSCOM berjaya mengekalkan keselamatan di ESSZone. Ini dapat dibuktikan melalui perjalanan PRU yang begitu tenang dan damai sehingga pembentukan kerajaan baharu.

“Harapan kami ialah komuniti ESSZone dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan tenang dan sejahtera, sekali gus menyumbang kepada ketenteraman awam dan pembangunan ekonomi di kawasan itu,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali; Timbalan Komander ESSCOM, Brig Jen Mohamad Ismail Kamarudin; serta Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/09/esscom-hargai-peranan-media-perkukuh-kerjasama-menerusi-sukan-persahabatan/feed/ 0 87975
Latihan ESSCOM-AS tingkat tahap kesiapsiagaan anggota hadapi bencana dan misi kemanusiaan https://sabahmedia.com/2025/12/06/latihan-esscom-as-tingkat-tahap-kesiapsiagaan-anggota-hadapi-bencana-dan-misi-kemanusiaan/ https://sabahmedia.com/2025/12/06/latihan-esscom-as-tingkat-tahap-kesiapsiagaan-anggota-hadapi-bencana-dan-misi-kemanusiaan/#respond Sat, 06 Dec 2025 04:34:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87824
Read Time:1 Minute, 39 Second

LAHAD DATU: Tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan dan agensi penyelamat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) terus diperkasa menerusi pelaksanaan Latihan Medical First Responder (MFR).

MFR itu adalah hasil kerjasama dua hala antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) serta Civil Military Support Element (CSME) dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Latihan yang berlangsung selama lima hari bermula 1 Disember lalu itu memberi penekanan khusus terhadap pengurusan risiko kecemasan, terutama dalam menghadapi senario bencana alam dan operasi bantuan kemanusiaan, melibatkan pendekatan teori dan latihan praktikal.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, latihan tersebut penting bagi memastikan anggota keselamatan dan penyelamat sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, selain meningkatkan pengetahuan serta pengalaman sebenar di lapangan.

“Latihan seperti ini amat penting bagi memperkukuh keupayaan respon awal anggota terhadap sebarang insiden kecemasan, termasuk bencana alam dan situasi kemanusiaan yang boleh berlaku tanpa diduga,” katanya dalam kenyataan di sini

Seramai 33 pegawai dan anggota ESSCOM serta agensi keselamatan dan penyelamat terlibat dalam latihan tersebut, termasuk 11 fasilitator daripada SOFLE dan CSME. 

Latihan ini dilaksanakan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Lahad Datu.

Antara agensi yang terlibat ialah Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Hospital Lahad Datu serta St. John Ambulans Malaysia.

Menurut beliau, pelaksanaan latihan ini turut memperkukuh koordinasi pelbagai agensi melibatkan keselamatan, penguatkuasaan, perubatan dan badan sukarela yang beroperasi di ESS Zone, sekali gus memastikan tindakan lebih tersusun dan efektif apabila berlaku situasi kecemasan.

Majlis perasmian penutupan latihan telah disempurnakan oleh Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin mewakili Komander ESSCOM dan Penasihat Pertahanan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Captain Pasit Somboonpakron dari Tentera Laut Amerika Syarikat.

Secara keseluruhan, latihan bersama ini berjaya dilaksanakan mengikut terma rujukan yang ditetapkan dan memberi impak positif terhadap pembangunan keupayaan anggota serta kesiapsiagaan menghadapi bencana, selain mengukuhkan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/06/latihan-esscom-as-tingkat-tahap-kesiapsiagaan-anggota-hadapi-bencana-dan-misi-kemanusiaan/feed/ 0 87824