Fahmi fadzil – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 09 Feb 2026 01:56:01 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Fahmi fadzil – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Ibu bapa perlu ambil peranan kawal penggunaan internet anak-anak – Fahmi https://sabahmedia.com/2026/02/09/ibu-bapa-perlu-ambil-peranan-kawal-penggunaan-internet-anak-anak-fahmi/ https://sabahmedia.com/2026/02/09/ibu-bapa-perlu-ambil-peranan-kawal-penggunaan-internet-anak-anak-fahmi/#respond Mon, 09 Feb 2026 01:55:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91291
Read Time:1 Minute, 27 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mengawal dan memantau penggunaan internet oleh anak-anak, sebagai usaha melindungi mereka daripada ancaman jenayah siber.

Beliau berkata kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya terutama berusia bawah 16 tahun berisiko menjadi mangsa eksploitasi data, penipuan dan gangguan dalam talian sekiranya tidak dipantau dengan baik.

“Telefon pintar, tablet dan langganan internet bukan dibeli oleh anak-anak, tetapi oleh ibu bapa. Jadi kawalan dan tanggungjawab itu perlu bermula daripada ibu bapa sendiri,” katanya pada pelancaran Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini pada Ahad.

Fahmi menegaskan peranti digital tidak seharusnya dijadikan sebagai ‘pengasuh’ kepada anak-anak, sebaliknya ibu bapa perlu menetapkan sekatan keselamatan dan had masa penggunaan.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengawal penggunaan permainan digital oleh anaknya yang berusia 13 tahun, selepas mendapati permainan itu menyebabkan anaknya terlalu leka.

“Saya tetapkan had masa, kalau lebih sejam, perlu minta kebenaran. Ini bukan kejam, tetapi untuk mendidik anak-anak supaya tahu batas dan bersederhana,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa supaya memastikan penggunaan internet tidak menjejaskan pendidikan anak-anak.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Fahmi berkata Kempen Internet Selamat pada tahun ini juga memfokuskan mesej keselamatan internet di bawah kawalan ibu bapa, antaranya peranan mengehadkan masa penggunaan peranti atau bermain permainan video.

Mengenai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan internet dalam komuniti, beliau berkata sebanyak 150 individu daripada pelbagai latar belakang telah dilantik untuk menyampaikan segala maklumat terkini kepada komuniti masing-masing dari semasa ke semasa.

“Mereka akan diberikan maklumat dari semasa ke semasa untuk disampaikan kepada komuniti masing-masing tentang sama ada masalah scam (penipuan) terbaharu, modus operandi scammer (penipu) yang terkini, ataupun sebarang maklumat terkini tentang isu keselamatan internet,” katanya. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/09/ibu-bapa-perlu-ambil-peranan-kawal-penggunaan-internet-anak-anak-fahmi/feed/ 0 91291
PRN Sabah: Kempen secara sihat, jangan main isu 3R – Fahmi https://sabahmedia.com/2025/11/25/prn-sabah-kempen-secara-sihat-jangan-main-isu-3r-fahmi/ https://sabahmedia.com/2025/11/25/prn-sabah-kempen-secara-sihat-jangan-main-isu-3r-fahmi/#respond Tue, 25 Nov 2025 12:43:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87037
Read Time:2 Minute, 7 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Semua pihak diingatkan supaya tidak memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kerana tindakan sedemikian boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan berkempen menggunakan isu 3R ialah strategi yang “memakan tuan” dan tidak sihat untuk amalan demokrasi negara.

“Kita sangat risau dengan sebarang aktiviti berkempen yang berasaskan isu 3R. Ini tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat. 

“Gunakanlah hujah dengan cerdik, cerdas kerana kita tidak mahu tindakan yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media bagi PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemantauan kementerian terhadap kecenderungan pihak tertentu menggunakan isu 3R dalam kempen melalui media sosial.

Fahmi berkata kementerian bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius semua aduan berkaitan isu 3R dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata ketika ini, MCMC sedang menyiasat tiga kes berkaitan penyebaran maklumat yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh PRN berkenaan.

Dua daripada kes itu katanya, telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.

“Ketiga-tiga kes ini ada kaitan tentang sebaran sepanjang tempoh pilihan raya, tetapi saya tidak boleh maklumkan isi kandungan atau perincian kerana masih dalam siasatan.

“Perkara itu tidak semestinya berkait dengan mana-mana calon pilihan raya, tetapi mungkin lebih bersifat umum, iaitu kesalahan yang melanggar undang-undang sedia ada. Walaupun dalam tempoh berkempen, undang-undang masih (tetap) berkuat kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan turut ditanya dakwaan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa lawannya menggunakan dana awam untuk membiayai kempen media sosial menjelang hari pengundian PRN pada 29 Nov ini. 

“Saya tidak tahu apa yang dia cakap. Bagi Pakatan Harapan (PH), kami tidak ada dana seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kesiapsiagaan infrastruktur telekomunikasi bagi menghadapi hari pengundian PRN Sabah berada pada tahap memuaskan. 

Katanya, hanya beberapa lokasi, iaitu 29 pusat mengundi yang akan dipasang dengan peranti Starlink tambahan bagi memastikan capaian Wi-Fi yang baik untuk semua petugas.

“Usaha penambahbaikan ini akan siap menjelang 28 Nov. Selain itu, saya menerima taklimat tentang status menara komunikasi, dan kita dapati semua berjalan dengan baik, berfungsi dengan baik. 

“Tidak berlaku apa-apa masalah blackout melibatkan menara telekomunikasi setakat ini. Kalau ada pun, dalam tempoh tiga, empat jam akan kembali beroperasi,” katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian, manakala undi awal berlangsung hari ini. –BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/25/prn-sabah-kempen-secara-sihat-jangan-main-isu-3r-fahmi/feed/ 0 87037