Fahmi – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 28 Dec 2025 02:08:08 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Fahmi – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 MCMC teruskan libat urus dengan platform media sosial, tegaskan pematuhan undang-undang – Fahmi https://sabahmedia.com/2025/12/28/mcmc-teruskan-libat-urus-dengan-platform-media-sosial-tegaskan-pematuhan-undang-undang-fahmi/ https://sabahmedia.com/2025/12/28/mcmc-teruskan-libat-urus-dengan-platform-media-sosial-tegaskan-pematuhan-undang-undang-fahmi/#respond Sun, 28 Dec 2025 02:08:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88917
Read Time:2 Minute, 40 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan tempatan, yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Jan 2026, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima daripada penyedia platform terhadap libat urus yang dilaksanakan MCMC setakat ini berbeza-beza, dengan sebahagian daripadanya menunjukkan tahap kerjasama tinggi dalam menangani kandungan bermasalah, manakala ada juga yang masih kurang memberikan komitmen.

“Ada platform yang sangat proaktif, tetapi ada juga yang apabila kita salurkan aduan atau maklumat, langsung tidak diendahkan,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj; Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi, M. Saraswathi.

Fahmi berkata, meskipun platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna tidak perlu memohon lesen secara rasmi seperti diumumkan oleh MCMC sebelum ini, namun, undang-undang Malaysia tetap terpakai ke atas mereka.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan mahu memastikan platform media sosial di Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan dan aktiviti di platform masing-masing.

“Kita sudah beri peluang … ada yang akur, ada yang memberikan pelbagai alasan. Tetapi realitinya, masalah jenayah dalam talian tidak berkurangan, malah semakin merisaukan,” katanya.

Beliau berkata, kes penipuan dalam talian kini berlipat ganda, selain peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, serta kegiatan perjudian dalam talian yang dilihat sukar dibendung.

Fahmi turut merujuk laporan antarabangsa yang mendedahkan bahawa terdapat platform tertentu yang menjana pendapatan melalui iklan penipuan, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tanggungjawab penyedia perkhidmatan digital.

“Atas dasar itu dan mengambil kira apa yang berlaku di negara lain, kerajaan melihat ada kewajaran untuk mentakrifkan ataupun menyifatkan semua platform media sosial sebagai telah dilesenkan. Tak perlu melalui proses pelesenan tapi undang-undang negara terpakai,” katanya.

Mengulas kemungkinan tentangan daripada platform besar, termasuk syarikat teknologi global, Fahmi berkata kerajaan tidak boleh terus menunggu sedangkan mangsa penipuan dan penyalahgunaan digital terus bertambah.

“Saya masih ingat, sehari sebelum Krismas 2024, wakil sebuah platform besar menghubungi saya dan menyatakan kesediaan untuk menghantar aplikasi (mereka), tetapi setahun berlalu tanpa sebarang tindakan. Mangsa scam dan mangsa penyalahgunaan AI tidak boleh menunggu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan, semua platform dengan lebih lapan juta pengguna perlu akur dan mematuhi undang-undang Malaysia, dengan langkah berkenaan dijadual berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.

Fahmi berkata, pendekatan berbeza yang ditunjukkan oleh penyedia platform dalam mengoperasikan platform mereka mengukuhkan lagi keperluan untuk satu kerangka tanggungjawab yang jelas demi keselamatan ruang digital negara.

“Saya berpandangan semua platform perlu akur dan bekerjasama untuk memastikan Internet selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan keluarga. Ini soal tanggungjawab, bukan semata-mata kawalan,” katanya.

MCMC sebelum ini memaklumkan, platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia tidak lagi diwajibkan memohon lesen operasi, namun, tetap tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang negara, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain.

Langkah itu, antara lain bertujuan memastikan penyedia platform bertanggungjawab dalam menangani kandungan menyalahi undang-undang, termasuk penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan akaun palsu serta jenayah melibatkan kanak-kanak, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan ruang digital negara.  BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/28/mcmc-teruskan-libat-urus-dengan-platform-media-sosial-tegaskan-pematuhan-undang-undang-fahmi/feed/ 0 88917
Malaysia bakal wajibkan platform media sosial laksana had umur pengguna – Fahmi https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/ https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/#respond Wed, 15 Oct 2025 09:36:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83346
Read Time:2 Minute, 22 Second

BERNAMA

SIPITANG: Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata bagi tujuan itu, satu pertemuan antara MCMC dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.

Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam… semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan… ada angka yang menggerunkan… 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.

Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC adalah bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.

Fahmi berkata sehingga kini, terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.

Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet bagi membolehkan komuniti tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026, yang akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Untuk program SALAM, di Sabah kita akan bina juga jaringan kabel dasar laut di pesisir pantai… kabel ini akan dipasang dari Tanjung Aru hinggalah ke Tawau sepanjang pesisir… kita jangka projek ini akan selesai dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata projek itu akan menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan kelancaran rangkaian komunikasi di Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada.

Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa MCMC akan menumpukan kepada usaha penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat banjir dengan pelaksanaan proses site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/feed/ 0 83346
Malaysia komited wujudkan persekitaran digital selamat dan dipercayai – Fahmi Fadzil https://sabahmedia.com/2025/05/31/malaysia-komited-wujudkan-persekitaran-digital-selamat-dan-dipercayai-fahmi-fadzil/ https://sabahmedia.com/2025/05/31/malaysia-komited-wujudkan-persekitaran-digital-selamat-dan-dipercayai-fahmi-fadzil/#respond Sat, 31 May 2025 06:31:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74873
Read Time:1 Minute, 57 Second

TOKYO: Malaysia menegaskan komitmen untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai dalam usaha melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dengan dunia semakin bergantung kepada teknologi digital, adalah penting untuk setiap negara menangani risiko yang datang bersama perkembangan pesat teknologi itu.

“Memastikan persekitaran digital yang selamat bukan lagi pilihan, ia adalah satu keperluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT) di Tokyo hari ini.

Antara usaha utama Malaysia ialah pelaksanaan Kempen Keselamatan Internet, iaitu program kesedaran berskala nasional yang memberi tumpuan kepada isu seperti penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Kempen ini diperluas melalui Jelajah Keselamatan Internet yang dilancarkan pada Januari lalu dengan forum interaktif dan sesi libat urus bersama pelajar dan masyarakat umum.

Malaysia juga memperkenalkan Rangka Kerja Kawal Selia baharu yang mewajibkan penyedia perkhidmatan pemesejan dan media sosial dengan lapan juta pengguna atau lebih di negara ini untuk memohon lesen khas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah itu bertujuan memastikan platform besar seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulu Twitter) dan TikTok lebih bertanggungjawab dalam mengurus kandungan yang berisiko.

“Sebagai pelengkap, Kod Tatakelakuan (Amalan Terbaik) turut diperkenalkan pada Disember 2024 untuk menggalakkan etika serta penyederhanaan kandungan secara bertanggungjawab,” jelas beliau.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut mengetuai perangkaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, yang disokong semasa mesyuarat AMRI ke-17 pada 7 Mei lalu dan akan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan.

Malaysia turut mencadangkan penubuhan Kit Panduan ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian sebagai sumber rujukan serantau dalam menangani isu berita palsu, maklumat salah dan eksploitasi atas talian.

Fahmi berkata, Malaysia juga memperkukuh usaha menangani penularan maklumat palsu menerusi portal semakan fakta Sebenarnya.my dan chatbot AIFA, yang membolehkan pengguna menyemak berita secara masa nyata melalui WhatsApp dan laman web rasmi.

“Sehingga 31 Mac lalu, AIFA telah memproses lebih 84,000 mesej, dengan purata 1,338 mesej sehari,” katanya.

Fahmi turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara serantau dalam membina ekosistem digital yang selamat dan menyeluruh.

“Melalui kerjasama dan pembangunan kapasiti berterusan, kita dapat pastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/31/malaysia-komited-wujudkan-persekitaran-digital-selamat-dan-dipercayai-fahmi-fadzil/feed/ 0 74873