Fairuz – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 28 Aug 2026 01:32:41 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Fairuz – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Masyarakat perlu berubah, terbuka kepada pembaharuan – Fairuz https://sabahmedia.com/2026/08/28/masyarakat-perlu-berubah-terbuka-kepada-pembaharuan-fairuz/ https://sabahmedia.com/2026/08/28/masyarakat-perlu-berubah-terbuka-kepada-pembaharuan-fairuz/#respond Fri, 28 Aug 2026 01:32:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102361
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA BELUD: Masyarakat di daerah ini diseru supaya mengubah pemikiran dan berani keluar daripada kepompong lama bagi memastikan Kota Belud terus berkembang serta mencapai kemajuan seiring dengan daerah lain.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, berkata pengertian kemerdekaan pada masa kini bukan lagi sekadar pembebasan negara daripada penjajahan, sebaliknya turut merangkumi usaha membebaskan masyarakat daripada kekangan pemikiran, ekonomi dan pembangunan.

Beliau berkata, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui perubahan sikap dan pemikiran yang lebih terbuka, selain kesediaan masyarakat menerima pembaharuan demi meningkatkan taraf hidup.

“Kemerdekaan bukan hanya melalui perbuatan tetapi juga melalui pemikiran, keluarlah daripada kepompong yang lama. Kita mahu merdeka daripada ekonomi, pembangunan dan segala-galanya.

“Masyarakat perlu mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia menerima perubahan bagi memastikan Kota Belud tidak lagi berada pada tahap pembangunan seperti dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kota Belud di Padang Kampung Emas, di sini.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, semangat kemerdekaan tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui sambutan dan program kenegaraan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk usaha bersama membangunkan daerah.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan dengan meningkatkan taraf hidup, memperkukuh ekonomi dan menyokong usaha pembangunan supaya Kota Belud terus bergerak ke hadapan.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya menghayati mesej yang terkandung dalam lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang sarat dengan nilai perpaduan, kemajuan serta semangat perjuangan pemimpin terdahulu.

“Mesej dan amanat berkenaan perlu dijadikan panduan dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan terus berusaha mencapai kemajuan,” katanya.

Fairuz turut menekankan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan serta mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih baik dan berakhlak.

Terdahulu, majlis berkenaan diserikan dengan gimik perasmian menerusi permainan tradisional sepak manggis, selain pelbagai acara sukan rakyat yang memeriahkan suasana dan mendapat sambutan masyarakat setempat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/28/masyarakat-perlu-berubah-terbuka-kepada-pembaharuan-fairuz/feed/ 0 102361
Tanding bebas atau tidak, saya perlu bincang dengan jentera dulu – Fairuz https://sabahmedia.com/2025/11/12/tanding-bebas-atau-tidak-saya-perlu-bincang-dengan-jentera-dulu-fairuz/ https://sabahmedia.com/2025/11/12/tanding-bebas-atau-tidak-saya-perlu-bincang-dengan-jentera-dulu-fairuz/#respond Wed, 12 Nov 2025 07:44:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85603
Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa komitmen dan fokus utama kerjaya politik beliau adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa perjuangan jentera parti untuk menyumbang kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, soal beliau bertanding atas tiket bebas atau tidak bagi kerusi DUN Pintasan adalah soal kedua dan beliau tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru.

“Apapun, kena bincang dengan jentera dan sahabat-sahabat saya dari Pemuda kerana tindakan saya akan beri kesan besar, bukan pada Pintasan sahaja tapi juga jentera Pemuda.

“Kita akan cuba fikir dan buat yang terbaik untuk parti ini, dan makluman, dari berminggu-minggu saya dihubungi oleh pelbagai parti lokal dan Semenanjung, sangkaan mereka saya tidak jadi calon.

“Saya menolak dengan baik permintaan mereka kerana saya hormat sebagai rakan dan saya hormat parti saya. Perjuangan bersama parti, ini yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat bagi menyerahkan tugas-tugas kempen pilihan raya, di sini, petang tadi.

Menurut Ketua Pemuda Gagasan Rakyat itu, beliau menerima keputusan Presiden, Datuk Seri Hajiji Noor yang meletakkan Presiden USNI Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi kerusi GRS DUN Pintasan untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Fokus saya sekarang adalah untuk gerakkan jentera Pemuda, kerja keras bagi kawasan yang ada calon kita, soal diri saya sendiri, lepas ini saya akan jumpa presiden, minta nasihat, pandangan, tengok macam mana.

“Kita faham, di kawasan, kekecewaan penyokong dan jentera kita, tapi kita akan fikir selepas ini, kerana untuk buat keputusan tanding atau tidak, tiket bebas atau apa nanti, agak berat, kita kena teliti betul-betul.

“Untuk Pintasan, memang ini kerusi Pemuda, kita sudah bekerja dari awal sampai sekarang, tanpa henti,” katanya lagi.

Fairuz turut memberitahu bahawa beliau mahu fokus kepada kerja-kerja utama jentera dan membawa suara akar umbi di Pintasan tanpa meletakkan sebarang sentimen emosi.

“Semalam saya dihubungi oleh Presiden, mengatakan saya adalah calon di kawasan tersebut, alhamdulillah tapi saat-saat akhir, dihubungi semula, dan bertukar tapi tidak mengapa, kita terima.

“Bagi saya perjuangan di Pintasan belum selesai, masih banyak perkara yang perlu buat dan selesaikan kerana terlalu banyak, terutamanya baki geran pantas yang saya mahu keluarkan dan serahkan kepada pemilik tanah.

“Persoalan berkenaan adakah saya akan langgar perintah Presiden, untuk bertanding di Pintasan, itu perkara kedua, kita akan balik kawasan dan bincang,” ujar beliau lagi.

Fairuz merupakan ADUN Pintasan selepas menang semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-16, pada tahun 2020 dengan majoriti 84 undi, menewaskan Presiden USNO merangkap calon GRS untuk kerusi DUN Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Fairuz turut membawa banyak pembangunan khasnya penambahbaikan infrastruktur di seluruh kawasan Pintasan, termasuk pembangunan komuniti setempat.

Fairuz turut menjadi Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, sekaligus membawa pencapaian cemerlang kepada komuniti belia Sabah, khasnya di Pintasan dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/12/tanding-bebas-atau-tidak-saya-perlu-bincang-dengan-jentera-dulu-fairuz/feed/ 0 85603
Fairuz terus turun padang, dekati rakyat DUN Pintasan https://sabahmedia.com/2025/11/09/fairuz-terus-turun-padang-dekati-rakyat-dun-pintasan/ https://sabahmedia.com/2025/11/09/fairuz-terus-turun-padang-dekati-rakyat-dun-pintasan/#respond Sun, 09 Nov 2025 11:34:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85364
Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA BELUD: Setiap kali Datuk Fairuz Renddan turun ke lapangan, suasana di kampung-kampung sekitar DUN Pintasan pasti hidup dengan gelak tawa dan senyuman penduduk yang menyambut kehadiran wakil rakyat mereka.

Beliau tidak datang sekadar untuk berucap, tetapi benar-benar mendekati rakyat bertanya khabar, mendengar masalah, dan mencari jalan penyelesaian di tempat kejadian.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan itu terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap komuniti setempat, meskipun sibuk dengan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Bagi Fairuz, khidmat kepada rakyat tidak terhenti selepas pilihan raya, tetapi diteruskan setiap hari dengan tindakan nyata.

Melalui laman rasmi Facebooknya, Fairuz sering berkongsi aktiviti turun padang termasuk menziarahi penduduk, menyampaikan bantuan keperluan asas, serta meninjau projek-projek kecil di kawasan pedalaman.

Setiap kunjungan beliau disambut mesra, memperlihatkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat.

“Menjadi wakil rakyat bukan sekadar menyuarakan isu di dewan, tetapi hadir bersama rakyat di lapangan memahami cabaran mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama,” katanya.

Pendekatan itu membuatkan nama Fairuz terus disebut-sebut sebagai pemimpin muda berjiwa rakyat yang tidak pernah berjarak dengan komuniti.

Beliau dilihat bukan sahaja mendengar, tetapi juga bertindak segera terhadap aduan dan keperluan penduduk.

Dalam perkembangan lain, Fairuz menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, banyak usaha pembangunan di kawasan itu masih dalam proses dan perlu diteruskan demi manfaat rakyat.

“Selagi rakyat terus bersama saya, saya akan terus bersama mereka bukan hanya semasa pilihan raya, tetapi setiap masa,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/09/fairuz-terus-turun-padang-dekati-rakyat-dun-pintasan/feed/ 0 85364
Kerajaan bagi bantuan, bukan sebab tiru sesiapa – Fairuz https://sabahmedia.com/2025/09/22/kerajaan-bagi-bantuan-bukan-sebab-tiru-sesiapa-fairuz/ https://sabahmedia.com/2025/09/22/kerajaan-bagi-bantuan-bukan-sebab-tiru-sesiapa-fairuz/#respond Mon, 22 Sep 2025 04:15:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81786
Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa usaha Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memberi bantuan kepada rakyat adalah usaha yang dibuat kerana memegang mandat, bukan sebab meniru mana-mana pihak.

“Siapa cakap bila jadi kerajaan, kita bagi bantuan atau tolong rakyat sebab tiru kerajaan lepas, tiru idea orang atau curi dasar orang.

“Sejak bila pula kerajaan curi idea orang bila buat kerja dengan memberikan bantuan dan menyelesaikan masalah rakyat?

“Kalau tidak ada modal untuk menghentam, mengecam dan menghina, lebih baik diam saja, daripada buat dosa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga, usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah usaha berterusan yang dilaksanakan sejak awal mengambil alih tampuk pemerintahan dan bukan sekadar ‘gula-gula’ politik semasa musim pilihan raya.

“Jangan cakap Kerajaan Negeri bagi bantuan untuk rakyat sebab mahu pamer imej baik kerana hampir musim pilihan raya.

“Jangan sembarangan menuduh semua usaha murni Kerajaan Negeri sebagai ‘gula-gula’ politik untuk memancing undi.

“Daripada hari-hari buat fitnah, bagus sama-sama kita semua kerja tolong rakyat, apatah lagi musim sekarang, kita dilanda musibah, rakyat banyak susah, ini fokus kita, bantu ringankan musibah rakyat, bukan kejar publisiti muruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut berkongsi bahawa hala tuju Kerajaan Negeri sedia ada adalah untuk menyampaikan semua yang dirancang untuk rakyat, semaksimum yang mungkin, selagi masih memegang mandat.

“Selagi masih menjadi pentadbir, inilah tanggungjawab kita, kerja untuk rakyat, turun padang dengar dan lihat apa sedang rakyat di bawah sana alami.

“Mereka berduka, bersedih, perik menjadi tabah untuk menghadapi musibah.

“Sungguh biadap jika ada pihak yang menjadikan musibah ini sebagai satu faktor untuk menimbulkan isu, memburukkan dan mengeji segala usaha Kerajaan Negeri,” tambahnya lagi.

Selain itu, Fairuz turut memberitahu bahawa usaha Kerajaan Negeri dalam memfokuskan pembangunan serta kemajuan intelektual anak negeri Sabah jelas dipamerkan dalam semua pelan dan tabung pendidikan.

“Ada pelbagai bantuan pendidikan untuk anak Sabah seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah, dan bantuan lain seperti SUBFLY, BUDI, BAIK dan BISTARI.

“Semua ini adalah fokus untuk memastikan modal insan kita, anak-anak Sabah dapat disokong dan dibantu dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi.

“Ini semua kerana kita peka, Kerajaan Negeri peka dan mahu anak-anak Sabah mendapat ruang dan dibantu sebaiknya dalam aspek pendidikan,” katanya lagi.

Fairuz turut menyeru semua pihak untuk menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan mengelakkan daripada terjebak dengan pelanggaran etika semasa menggunakan media sosial.

“Kita guna media sosial secara bijak, guna untuk tambah input sendiri, untuk hiburan, untuk kerja, tapi elakkan daripada guna media sosial untuk cari musuh.

“Kadang-kadang, dalam persekitaran media sosial yang terlebih canggih sekarang, semua orang masing-masing mahu jadi pakar dan serba tahu.

“Malangnya, masih dangkal dan penuh emosi, sungguh memalukan kerana kita ada adab dan nilai murni yang harus dipegang,” ujar Fairuz lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/22/kerajaan-bagi-bantuan-bukan-sebab-tiru-sesiapa-fairuz/feed/ 0 81786
Kerajaan GRS sentiasa cari jalan selesaikan masalah infrastruktur – Fairuz https://sabahmedia.com/2025/03/18/kerajaan-grs-sentiasa-cari-jalan-selesaikan-masalah-infrastruktur-fairuz/ https://sabahmedia.com/2025/03/18/kerajaan-grs-sentiasa-cari-jalan-selesaikan-masalah-infrastruktur-fairuz/#respond Tue, 18 Mar 2025 09:18:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70649
Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa berusaha menyelesaikan masalah infrastruktur rakyat di seluruh negeri Sabah.

“Ketua Menteri kita sentiasa utamakan fokus beliau untuk masalah infrastruktur yang sejak sekian lama belum selesai walaupun sudah bertukar kerajaan banyak kali.

“Masalah yang wujud seperti masalah air, masalah elektrik, masalah jalan, ini semua masalah yang diwarisi.

“Bukan mudah dan kita tidak dapat selesaikan semua sekelip mata dan untuk usaha menyelesaikan masalah ini, Kerajaan Negeri yang diterajui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah pejam mata dan abaikan aduan atau suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, untuk pihak lain mencari publisiti murahan dan terus memainkan sentimen Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan yang gagal, adalah tindakan yang tidak sewajarnya berlaku.

“Realiti apa yang dimaksudkan bila mereka mengatakan Kerajaan Negeri yang ditakbir oleh GRS sebagai kerajaan yang gagal dan tidak menyelesaikan masalah rakyat?

“Atas dasar apa kenyataan menghentam kerajaan GRS dibuat oleh mereka dengan berulang kali memainkan sentimen masalah infrastruktur asas yang tidak selesai?

“Adakah mereka yang bercakap berkenaan isu ini, sedar akan realiti sebenarnya yang mereka cuba ubah dan menunding jari dengan menyalahkan kerajaan GRS?,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kenyataan media yang dibuat oleh Ketua UMNO Sabah merangkap ADUN Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyalahkan Kerajaan GRS kerana tidak menyelesaikan masalah rakyat dan dianggap sebagai kerajaan yang masih gagal.

Dalam pada itu, Fairuz turut meminta dan menasihati Bung agar tidak mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan mengadu domba dan terus menerus menghasut rakyat dengan perkara tidak berasas seumpama itu.

“Ayuh kita sama-sama kejar pahala berbuat kebaikan dalam bulan mulia ini dan jauhkan perbuatan yang boleh mencemarkan ganjaran pahala kebaikan kita untuk bulan Ramadan yang suci ini.

“Jika benar mahu jadi hero, mahu bantu rakyat, buktikan dan ayuh bersama-sama berganding bahu, kita semua kerja untuk rakyat, bukan saling bertikam lidah dan berhujah benda-benda yang saya anggap sebagai publisiti yang tidak patut dibangkitkan seumpama ini,” ujar Fairuz lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/18/kerajaan-grs-sentiasa-cari-jalan-selesaikan-masalah-infrastruktur-fairuz/feed/ 0 70649
PRN17 Sabah: Hormati pandangan, keputusan diserah kepada pimpinan dan perundingan – Fairuz https://sabahmedia.com/2025/03/11/prn17-sabah-hormati-pandangan-keputusan-diserah-kepada-pimpinan-dan-perundingan-fairuz/ https://sabahmedia.com/2025/03/11/prn17-sabah-hormati-pandangan-keputusan-diserah-kepada-pimpinan-dan-perundingan-fairuz/#respond Tue, 11 Mar 2025 02:22:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70164
Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan bahawa pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu melalui perundingan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukan sekadar keputusan individu atau parti tertentu.

Beliau menghormati pandangan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, yang menyatakan hasrat untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk. Namun, Fairuz mengingatkan bahawa Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor, telah mengumumkan penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Arsad Bistari, akan kekal bertanding di situ.

“Setiap pemimpin parti berhak menyuarakan pendapat, tetapi keputusan muktamad tetap ditentukan oleh pimpinan gabungan. Ini bukan soal mengumumkan kerusi yang ditandingi atau disandang oleh Pakatan Harapan (PH), sebaliknya ia kerusi asal parti presiden,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa di sini, malam tadi.

Pada Ahad lalu, media melaporkan bahawa Mustapha yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tidak menolak kemungkinan bertanding semula di DUN Tempasuk pada PRN17.

Pada PRN16, Mustapha bertanding di kerusi tersebut atas tiket PKR, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Datuk Mohd Arsad Bistari. Kini, Mohd Arsad yang telah menyertai Gagasan Rakyat berhasrat untuk mempertahankan kedudukannya di kerusi tersebut.

Selain DUN Tempasuk, Fairuz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat turut menyentuh mengenai kedudukannya di DUN Pintasan, dengan menegaskan bahawa pemilihan calon juga tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

“Siapa pun yang akan bertanding di DUN Pintasan, sama ada saya atau orang lain yang dipilih oleh presiden parti, saya akan akur. Yang penting, calon mestilah berjuang untuk rakyat, bukan sekadar kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa beliau bersedia mempertahankan kerusi Pintasan jika diberikan kepercayaan oleh kepimpinan, namun menyerahkan keputusan muktamad kepada presiden parti.

“Soal persaingan, kita sudah jangka. Semua parti mahu meletakkan calon, tetapi persoalannya, adakah kita mahu menunjukkan kekuatan masing-masing atau memastikan kestabilan politik? YAB Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, jelas mahu menyatukan semua parti demi kepentingan Sabah,” tambahnya.

Mengulas mengenai kerusi tradisi yang dianggap sebagai ‘kubu kuat’ sesebuah parti, Fairuz menyatakan bahawa landskap politik tidak statik dan sentiasa berubah mengikut kehendak rakyat.

“Ada kubu kuat yang berjaya ditumbangkan pada PRN16. Ini membuktikan rakyat bukan hanya melihat parti tetapi juga individu yang menjadi pemimpin. Dalam politik, seperti dalam sukan, ada masanya pemain lama perlu berehat dan memberi peluang kepada pemain baru,” katanya.

Selain itu, Fairuz optimis bahawa pemimpin muda yang berwibawa dan memahami keperluan rakyat akan diberikan peluang dalam PRN17.

“Kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan, tetapi, bagi saya, mungkin perlu ada ruang kepada kami sebagai pemimpin muda dan mungkin kita belum lagi sampai ke tahap yang lain.

“Seperti pemimpin yang lain, “high level”, saya meletakkan diri saya sebagai rakyat kerana saya perlu selesaikan masalah rakyat untuk dipertahankan khususnya di DUN Pintasan,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/11/prn17-sabah-hormati-pandangan-keputusan-diserah-kepada-pimpinan-dan-perundingan-fairuz/feed/ 0 70164
‘Biarlah Rahsia’ Senarai Calon Pemuda Gagasan Rakyat – Fairuz https://sabahmedia.com/2025/02/22/biarlah-rahsia-senarai-calon-pemuda-gagasan-rakyat-fairuz/ https://sabahmedia.com/2025/02/22/biarlah-rahsia-senarai-calon-pemuda-gagasan-rakyat-fairuz/#respond Sat, 22 Feb 2025 08:22:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=69171
Read Time:2 Minute, 29 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini giat merangka strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang, namun senarai calon yang akan dipertaruhkan masih menjadi tanda tanya.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, mendedahkan bahawa beberapa individu berbakat telah dikenal pasti, tetapi nama mereka tidak akan diumumkan buat masa ini bagi menjaga strategi parti.

“Kami tidak mahu sekadar menghantar calon, tetapi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berpotensi tinggi diberi peluang. Setakat ini, kami sasar beberapa calon untuk bertanding di kawasan strategik,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Jelajah Destini Sabah Maju Jaya (SMJ) di Cyberjaya College Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Fairuz (tiga kanan), Azrul (tiga kiri), Dr Awang Faisal (dua kiri) bersama kakitangan dan pelajar Cyberjaya College Kota Kinabalu bergambar kenangan semasa Program Jelajah Destini SMJ di sini hari ini. (22 Feb)

Lebih mencuri tumpuan, Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Pintasan dalam PRN ini, bersedia untuk pertempuran politik yang dijangka sengit.

“Saya kekal bertanding di Pintasan, Presiden Parti Gagasan Rakyat telah menyatakan kepercayaan kepada saya dan saya bersedia menghadapi apa sahaja cabaran,” katanya.

Ketika ditanya mengenai senarai calon lain, Fairuz mengunci mulut dan hanya memberi bayangan bahawa nama-nama itu sudah dikenal pasti.

“Nama ada, tetapi biarlah rahsia buat masa ini. Kita akan umumkan pada waktu yang tepat supaya strategi tidak bocor kepada pihak lawan,” ujarnya.

Beliau turut mengesahkan bahawa beberapa kawasan strategik telah dikenal pasti untuk calon Pemuda Gagasan Rakyat, namun butiran terperinci tidak akan didedahkan buat masa ini bagi mengelak sebarang gangguan strategi.

“Kami sudah ada perancangan, tetapi strategi harus dirahsiakan untuk memastikan kemenangan. Kami tidak mahu memberi peluang kepada pihak lawan.

“Beberapa nama telah pun diterima dan masih dalam proses tapisan untuk memastikan hanya calon terbaik dipilih sebelum mengemukakan kepada pihak kepimpinan atasan parti untuk dipertimbangkan,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Fairuz turut mengakui cabaran besar dalam menawan hati pengundi muda yang sering dilabel sebagai ‘lalang’ dalam politik.

“Pengundi muda sukar dipikat, mereka lebih memilih populariti berbanding perjuangan parti. Namun, kami akan menggunakan pendekatan lebih agresif dan menunjukkan bukti kejayaan kerajaan bagi menarik perhatian mereka,” tegasnya.

Hadir sama dalam program hari ini, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri Sabah Azrul Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya College Kota Kinabalu, Dr Awang Faisal Assyiffa.

Lebih 100 pelajar termasuk kakitangan kolej turut hadir ke program tersebut.

Program Jelajah Destini SMJ kini memasuki lokasi ke-12 dengan penganjuran di Cyberjaya College hari ini, Fairuz berkata ia diadakan bagi berkongsi maklumat mengenai hala tuju kerajaan serta pelbagai bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan kepada belia di Sabah.

“Seperti jelajah sebelum ini, sesi hari ini memberi penekanan kepada sesi soal jawab serta penerangan lanjut mengenai inisiatif kerajaan bagi membantu golongan belia di negeri ini.

“Program jelajah ini juga bertujuan memastikan belia Sabah mendapat maklumat tepat mengenai dasar kerajaan serta peluang yang tersedia untuk mereka,” jelasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/22/biarlah-rahsia-senarai-calon-pemuda-gagasan-rakyat-fairuz/feed/ 0 69171
Gesaan Ketua Pemuda Umno Sabah Tidak berasas, tiada keperluan Ketua Menteri lepaskan jawatan – Fairuz https://sabahmedia.com/2024/12/04/gesaan-ketua-pemuda-umno-sabah-tidak-berasas-tiada-keperluan-ketua-menteri-lepaskan-jawatan-fairuz/ https://sabahmedia.com/2024/12/04/gesaan-ketua-pemuda-umno-sabah-tidak-berasas-tiada-keperluan-ketua-menteri-lepaskan-jawatan-fairuz/#respond Wed, 04 Dec 2024 07:38:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=64873
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, hari ini mengeluarkan kenyataan balas terhadap gesaan Ketua Pemuda UMNO Sabah agar Ketua Menteri Sabah melepaskan jawatannya.

Beliau menegaskan bahawa gesaan tersebut tidak berasas dan tiada keperluan untuk YAB Ketua Menteri meletakkan jawatan berdasarkan fakta semasa.

Fairuz berkata bahawa jawatan Ketua Menteri hanya boleh dilepaskan melalui dua cara, iaitu melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri atau peletakan jawatan secara sukarela oleh Ketua Menteri sendiri.

Tegas beliau, video-video yang tular baru-baru ini langsung tidak menyebut Ketua Menteri menerima wang atau terlibat dengan sebarang kesalahan. Sebaliknya, paparan dalam video tersebut menunjukkan bahawa keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) dibuat untuk menghalang pengaruh kartel dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan sejak 17 November 2024, tetapi sehingga hari ini, nama Ketua Menteri tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan. Ini jelas membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam kes tersebut.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 10 November 2024 turut menegaskan bahawa tiada laporan yang dibuat kepada SPRM mengenai keterlibatan mana-mana ADUN di Sabah dengan tuduhan rasuah ini.

“SPRM, sentiasa menjalankan siasatan dengan telus dan bebas, sejajar dengan kenyataan Ketua Menteri pada 12 November, “We have nothing to hide,” tegasnya.

Datuk Fairuz turut menjelaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan mana-mana pihak mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Beliau juga mengingatkan bahawa terdapat kes seorang ADUN yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah.

Justeru, Fairuz berkata, Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan dengan adil dan telus.

“Pemuda Gagasan Rakyat menolak sebarang provokasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Kami akan terus menghormati proses undang-undang dan tidak akan terlibat dalam spekulasi atau provokasi yang tidak berasas,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/04/gesaan-ketua-pemuda-umno-sabah-tidak-berasas-tiada-keperluan-ketua-menteri-lepaskan-jawatan-fairuz/feed/ 0 64873
Belanjawan Negeri Sabah 2022 Prihatin Belia – Fairuz https://sabahmedia.com/2021/12/04/belanjawan-negeri-sabah-2022-prihatin-belia-fairuz/ https://sabahmedia.com/2021/12/04/belanjawan-negeri-sabah-2022-prihatin-belia-fairuz/#respond Sat, 04 Dec 2021 05:43:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9293
Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022 bertemakan Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera yang dibentangkan oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Hajiji Noor nyata mementingkan semua aspek dan melihat belia sebagai skop pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada pemulihan Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata pencapaian kutipan hasil sebanyak RM4.912 billion atau 9.6 peratus lebih tinggi merupakan antara satu aspek yang amat membanggakan dan membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita dimaklumkan bahawa ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri Sabah dan syukur kepada Tuhan kerana urusan dan perancangan untuk mengatur Belanjawan Negeri Sabah 2022 selesai dibentangkan dengan jayanya,” kata Fairuz.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas Fairuz, keprihatinan Kerajaan GRS kepada golongan belia dapat dilihat dari segi peruntukan untuk pembangunan modal insan dan belia dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022.

“Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan untuk SEDCO yang antaranya adalah menyediakan Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUK) untuk belia lepasan ijazah dari insititusi pengajian tinggi.

“Selain itu, sebanyak RM127.06 juta pula diperuntukkan untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) serta RM23.87 juta untuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), khas bertujuan untuk perihal mengendalikan kursus berkaitan teknologi dan kemahiran yang juga mensasarkan untuk golongan belia dan beliawanis serta menaiktaraf prasarana pusat latihan sedia ada serta latihan berkonsepkan keusahawanan yang pastinya akan menggilap potensi dan bakat usahawan muda,” katanya lagi.

Tambah Fairuz lagi, belia yang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi juga bakal memperoleh manfaat khasnya dalam bidang sains dan teknologi.

“Sebanyak RM55 juta juga disediakan bagi tujuan biasiswa belia-belia yang bakal melanjutkan pengajian mereka khas dalam bidang sains dan teknologi, sekaligus menggalakkan belia untuk lebih bermotivasi, menyambung pengajian dan memenuhi permintaan pasaran pekerjaan kelak.

“Kita juga amat berterima kasih kerana Kerajaan GRS turut prihatin dan Bantuan Khas Pendidikan dengan nilai RM10 juta turut disediakan melalui Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

“Banyak yang boleh dimanfaatkan oleh belia kita terutama yang melanjutkan pengajian, termasuk Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) yang diperkenalkan khas kepada anak-anak Sabah, yang lahir bermula tahun 2022 kelak, yang mana mereka akan menerima manfaat dengan dibukakan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM100,” tambah Fairuz.

Dalam pada itu, Fairuz turut memberitahu bahawa belanjawan yang dibentangkan itu juga sangat praktik dan bersifat inklusif dari semua perkara termasuk penyediaan dana sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

“Melalui peruntukan ini, terdapat peruntukan lain untuk persatuan-persatuan belia iaitu sebanyak RM5 juta, Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta khas untuk membantu belia beliawanis menjana modal untuk memulakan perniagaan, serta peruntukan sebanyak RM52.02 juta kepada atlet untuk menyertai pertandingan dan kejohanan bertaraf dunia.

“Semua ini pastinya amat memberikan sinar baharu dan kegembiraan kepada golongan belia dan beliawanis kita di Sabah, sekaligus pembinaan modal insan kita akan semakin utuh serta maju ke depan, kelak,” ujar Fairuz lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/04/belanjawan-negeri-sabah-2022-prihatin-belia-fairuz/feed/ 0 9293