filipina – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 23 Feb 2026 01:16:55 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png filipina – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pemuda Gagasan Rakyat tegas tolak tuntutan Filipina terhadap Sabah https://sabahmedia.com/2026/02/23/pemuda-gagasan-rakyat-tegas-tolak-tuntutan-filipina-terhadap-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/02/23/pemuda-gagasan-rakyat-tegas-tolak-tuntutan-filipina-terhadap-sabah/#respond Mon, 23 Feb 2026 01:16:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=92073
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memandang serius kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berhubung tuntutan semula terhadap Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim berkata, pihaknya tegas menolak sebarang tuntutan oleh Filipina yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.

Beliau berkata, Sabah merupakan sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan ini telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.

“Pendirian ini selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.

“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Azrul berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini.

Katanya, dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara.

Menurutnya lagi, Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi.

“Pemuda Gagasan Rakyat kekal komited untuk terus menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.

“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/23/pemuda-gagasan-rakyat-tegas-tolak-tuntutan-filipina-terhadap-sabah/feed/ 0 92073
Dua nelayan Filipina dipenjara lapan bulan miliki 2,050 liter petrol tanpa lesen https://sabahmedia.com/2025/11/07/dua-nelayan-filipina-dipenjara-lapan-bulan-miliki-2050-liter-petrol-tanpa-lesen/ https://sabahmedia.com/2025/11/07/dua-nelayan-filipina-dipenjara-lapan-bulan-miliki-2050-liter-petrol-tanpa-lesen/#respond Fri, 07 Nov 2025 12:52:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85211
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Dua nelayan warga Filipina dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah memiliki 2,050 liter petrol tanpa lesen sah di perairan Semporna, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Al Haber Atara, 32, dan Baid Alpah, 19, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak petrol, tanpa lesen sah di atas sebuah bot laju berwarna kelabu dan hitam yang tiada nombor pendaftaran.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 November lalu jam 3.45 pagi di kawasan Perairan Tanjung Manimpa, Semporna, dan disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap (4 November 2025) serta kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwa Raya, Samat Mapiare @ Muparia, manakala kes disiasat oleh Muhammad Fitri Ahmad Sabri dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Semporna.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan Unit Risikan Ungerin Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, yang menemui 2,050 liter minyak petrol disimpan di dalam bot berkenaan tanpa sebarang dokumen atau lesen urus niaga sah.

Mahkamah turut memerintahkan barang kawalan iaitu minyak petrol berkenaan dijual dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan.

Sementara itu, barang kes lain termasuk bot laju, enjin sangkut Yamaha 200HP, bateri Fujiya, anak kunci bot, Throttle enjin dan 35 liter minyak bercampur 2T dilucuthakkan kepada KPDN mengikut Seksyen 26(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bagi kesalahan berkenaan, individu boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara hingga lima tahun.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/07/dua-nelayan-filipina-dipenjara-lapan-bulan-miliki-2050-liter-petrol-tanpa-lesen/feed/ 0 85211
616 warga Filipina dihantar pulang dari Sabah https://sabahmedia.com/2025/10/25/616-warga-filipina-dihantar-pulang-dari-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/10/25/616-warga-filipina-dihantar-pulang-dari-sabah/#respond Sat, 25 Oct 2025 08:21:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84128
Read Time:1 Minute, 12 Second

SANDAKAN: Seramai 616 warga Filipina yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan, pada 23 Oktober lalu.

Kesemua individu tersebut telah dihantar pulang menggunakan kapal MV Antonio 1 menuju ke Pelabuhan Bandaraya Zamboanga, Filipina, dalam program pemindahan tahanan PATI.

Mereka sebelum ini ditahan di empat depot Imigresen di seluruh Sabah, iaitu di Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, dan Papar.

Kumpulan yang diusir itu terdiri daripada 377 lelaki, 134 perempuan serta 105 kanak-kanak dan bayi , yang berusia antara satu bulan sehingga 71 tahun.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, pemindahan tersebut menambah bilangan keseluruhan tahanan asing yang telah dihantar pulang sejak awal tahun ini kepada 8,956 orang.

“Program ini membabitkan warga dari beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia, Pakistan, China, Vietnam, India dan Thailand,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua tahanan telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan yang sah sebelum diusir.

Sitti Saleha turut menggunakan peluang ini untuk menyeru semua majikan di Sabah, terutamanya dalam sektor perladangan, agar menyertai program pendaftaran digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.

“Inisiatif kerajaan negeri ini dijangka mampu mengekang isu penggunaan pelbagai dokumen dan lambakan PATI di negeri ini. Justeru, kita berharap pihak majikan dapat mengambil bahagian dalam program tersebut,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/25/616-warga-filipina-dihantar-pulang-dari-sabah/feed/ 0 84128
623 PATI warganegara Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan https://sabahmedia.com/2025/04/25/623-pati-warganegara-filipina-dihantar-pulang-melalui-pelabuhan-sandakan/ https://sabahmedia.com/2025/04/25/623-pati-warganegara-filipina-dihantar-pulang-melalui-pelabuhan-sandakan/#respond Fri, 25 Apr 2025 03:14:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72642
Read Time:1 Minute, 34 Second

SANDAKAN: Seramai 623 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina dalam satu operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, semalam (24 April).

Pemindahan ini melibatkan tahanan daripada Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan, merangkumi golongan dewasa serta kanak-kanak berusia antara 11 bulan hingga 79 tahun.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, operasi pemindahan tersebut mendapat kerjasama penuh daripada Kedutaan Republik Filipina yang membantu dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada semua PATI terbabit.

“Daripada jumlah keseluruhan yang dipindahkan, seramai 483 merupakan lelaki dewasa, 80 perempuan dewasa, 35 kanak-kanak lelaki dan 25 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setakat ini, sebanyak 3,993 orang warganegara Filipina telah dipulangkan ke negara asal melalui pintu masuk di Sabah, menjadikan keseluruhan 4,834 orang warga asing yang terlibat dalam program pemindahan tahanan setakat tahun ini.

Kesemua PATI terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk masuk tanpa dokumen yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Mereka telah menjalani hukuman penjara sebelum dipindahkan pulang setelah melengkapkan dokumen perjalanan.

Tambah Sitti Saleha, kesemua PATI ini juga akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

Jabatan Imigresen Negeri Sabah menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan imigresen. Tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen serta terhadap individu yang melanggar syarat pas atau permit.

“Jabatan juga menasihatkan para majikan dan masyarakat agar hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan berlandaskan undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/25/623-pati-warganegara-filipina-dihantar-pulang-melalui-pelabuhan-sandakan/feed/ 0 72642
670 PATI warganegara Filipina dipulangkan melalui Pelabuhan Sandakan https://sabahmedia.com/2025/04/11/670-pati-warganegara-filipina-dipulangkan-melalui-pelabuhan-sandakan/ https://sabahmedia.com/2025/04/11/670-pati-warganegara-filipina-dipulangkan-melalui-pelabuhan-sandakan/#respond Fri, 11 Apr 2025 02:40:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71756
Read Time:1 Minute, 31 Second

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) berjaya melaksanakan pemulangan seramai 670 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina pada Jumaat (11 April).

Pemindahan tersebut melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang terdiri daripada 536 lelaki dewasa, 89 perempuan dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 24 kanak-kanak perempuan berumur antara satu hingga 79 tahun.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program ini dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Kedutaan Republik Filipina yang telah mengeluarkan dokumen perjalanan untuk semua tahanan.

“Kesemua PATI ini dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah, selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

” Kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka telah menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang selepas melengkapkan semua dokumen perjalanan yang diperlukan.

Menurutnya, setakat ini seramai 3,370 warganegara Filipina telah berjaya dihantar pulang melalui pintu masuk negeri Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing yang telah dipindahkan dalam program ini seramai 4,198 orang.

Dalam pada itu, Sitti Saleha menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan pas dan dokumen imigresen.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah, termasuk individu yang melanggar syarat pas atau permit,” katanya.

Jabatan Imigresen turut menasihatkan majikan dan masyarakat supaya hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan mengikut lunas undang-undang.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI di negara ini,” tambah beliau.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/11/670-pati-warganegara-filipina-dipulangkan-melalui-pelabuhan-sandakan/feed/ 0 71756
Saranan PM kepada Sarawak bekalkan tenaga elektrik ke Filipina melalui Sabah disambut baik https://sabahmedia.com/2025/02/21/saranan-pm-kepada-sarawak-bekalkan-tenaga-elektrik-ke-filipina-melalui-sabah-disambut-baik/ https://sabahmedia.com/2025/02/21/saranan-pm-kepada-sarawak-bekalkan-tenaga-elektrik-ke-filipina-melalui-sabah-disambut-baik/#respond Fri, 21 Feb 2025 06:40:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=69131
Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Sarawak untuk membekalkan lebihan tenaga elektriknya ke Selatan Filipina melalui Sabah bermula tahun depan.

Katanya, usaha itu bukan sahaja satu peluang perniagaan untuk Sarawak Energy Berhad (SEB) dan akan memberi manfaat kepada negara jiran kita, tetapi juga merupakan langkah yang sangat positif untuk mempercepatkan penyambungan grid antara Sabah dan Sarawak.

“Kami di Sabah Electricity sudah pun siap membina grid Sabah untuk disambung ke Sarawak. Sekarang ini kami menunggu pihak Sarawak menyiapkan pembinaan grid untuk disambungkan ke grid Sabah.

“Perjanjian jual beli elektrik di antara Sabah dan Sarawak sudah pun ditandatangani sekian lama meliputi pembelian tenaga elektrik bermula dengan 30MW dan kemudian dinaikkan kepada 50MW dalam tempoh lima tahun.

“Namun demikian, kita berhasrat untuk meningkatkan lagi kapasiti ini sehingga 100MW seiring dengan keupayaan Sarawak membekalkan bekalan tenaga. Walau bagaimanapun urusan jual beli ini memerlukan penyambungan grid antara kedua wilayah terlebih dahulu,” katanya ketika mengulas kenyataan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai saranan Perdana Menteri itu baru-baru ini.

Madius menjelaskan, kerjasama yang baik antara Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan elektrik di Sabah ini. Pada masa yang sama, saya melihat pengeksportan tenaga dari Sarawak ke Filipina akan lebih berkesan sekiranya pembinaan Projek Southern Link disiapkan dengan segera.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330 kilometer bermula daripada Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau sebagai tambahan kepada talian penghantaran sedia ada.

Ini adalah langkah strategik yang akan membantu meningkatkan kestabilan bekalan elektrik Sabah, sekali gus memperkukuh jaringan tenaga di rantau ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/21/saranan-pm-kepada-sarawak-bekalkan-tenaga-elektrik-ke-filipina-melalui-sabah-disambut-baik/feed/ 0 69131
Pemerdagangan Orang: Lelaki warga Filipina dipenjara 3 tahun, denda RM7,000 https://sabahmedia.com/2024/05/28/pemerdagangan-orang-lelaki-warga-filipina-dipenjara-3-tahun-denda-rm7000/ https://sabahmedia.com/2024/05/28/pemerdagangan-orang-lelaki-warga-filipina-dipenjara-3-tahun-denda-rm7000/#respond Tue, 28 May 2024 05:24:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=55158
Read Time:1 Minute, 0 Second

KENINGAU: Seorang lelaki warga Filipina dihukum penjara tiga tahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan pemerdagangan orang untuk tujuan aktiviti mengedar dadah.

Tertuduh Eting@Najar Asdali, 57, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim di Mahkamah Sesyen, Keningau pada Isnin. (27 Mei).

Eting didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Menurut fakta pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Filipina dengan cara perdayaan untuk tujuan eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang iaitu mengedar dadah.

Kejadian berlaku tengah malam pada 20 September 2023, hingga 10 November 2023 jam lebih kurang 11.37 pagi bertempat di sebuah rumah kebun tidak bernombor di Kampung Bambangan, Jalan Lintuhun, Namadan di dalam daerah Sook.

Justeru itu, tertuduh telah dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara dari tarikh sabitan dan denda RM7,000, jika gagal bayar tambah tiga tahun penjara.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan tertuduh diwakili peguam Lydiana Laura Micheal.

Ini adalah susulan dari kes menyelamatkan mangsa ATIPSOM pada 10 November 2023 di Kampung Bambangan, Jalan Lintuhun, Namadan Dalam Daerah Kecil Sook oleh sepasukan Imigresen Keningau diketuai oleh Timbalan Penolong Penguasa Kanan Dickson @ David Bilin.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/28/pemerdagangan-orang-lelaki-warga-filipina-dipenjara-3-tahun-denda-rm7000/feed/ 0 55158
Empat wanita warga Filipina mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan https://sabahmedia.com/2024/04/30/empat-wanita-warga-filipina-mangsa-pemerdagangan-manusia-berjaya-diselamatkan/ https://sabahmedia.com/2024/04/30/empat-wanita-warga-filipina-mangsa-pemerdagangan-manusia-berjaya-diselamatkan/#respond Tue, 30 Apr 2024 02:27:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=53709
Read Time:1 Minute, 22 Second

LABUAN: Empat wanita warganegara Filipina yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan oleh pihak polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, bertindak atas maklumat pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan telah membuat serbuan di sebuah hotel di bandar Labuan pada 26 April 2024 dan berjaya menyelamatkan tiga wanita warga Filipina yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Katanya, susulan daripada penyelamatan tiga mangsa di Labuan, seorang lagi mangsa yang berjaya melarikan diri ke Penampang turut diselamatkan pada 27 April 2024 dengan bantuan pihak polis daripada Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Tindakan pihak polis melalui OP Pintas, telah berjaya menyelamatkan keseluruhan empat orang wanita warga Filipina berusia diantara 31 hingga 33 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu dipaksa bekerja sebagai pelayan di sebuah premis hiburan dalam kawasan bandar WP Labuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berikutan daripada penyelamatan semua mangsa yang terlibat, dua orang suspek wanita iaitu seorang warga tempatan berumur 36 tahun dan seorang lagi warga Filipina berumur 22 tahun telah ditangkap untuk membantu siasatan kes.

“Permohonan perintah reman telah dibuat ke atas dua suspek di Mahkamah Majistret W.P. Labuan.

“Wanita warga Filipina tersebut telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 28 April hingga 4 Mei 2024 manakala wanita warga tempatan dibenarkan selama lima hari bermula 28 April hingga 2 Mei 2024.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

“Justeru, pihak polis menasihatkan kepada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah mahupun aktiviti pemerdagangan orang kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya

]]>
https://sabahmedia.com/2024/04/30/empat-wanita-warga-filipina-mangsa-pemerdagangan-manusia-berjaya-diselamatkan/feed/ 0 53709
Sabah Tidak Iktiraf Tuntutan Waris Kesultanan Sulu, Orang Ramai Diminta Bertenang https://sabahmedia.com/2022/03/04/sabah-tidak-iktiraf-tuntutan-waris-kesultanan-sulu-orang-ramai-diminta-bertenang/ https://sabahmedia.com/2022/03/04/sabah-tidak-iktiraf-tuntutan-waris-kesultanan-sulu-orang-ramai-diminta-bertenang/#respond Fri, 04 Mar 2022 11:26:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=12708
Read Time:56 Second

KOTA KINABALU: Tuntutan dan arahan untuk membayar pampasan bernilai kira-kira RM63 bilion kepada waris Kesultanan Sulu tidak akan dan tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  ini kerana Sabah merupakan sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

“Justeru, saya menggesa kepada semua rakyat khususnya di Sabah supaya bertenang dan membiarkan pihak perundangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengendalikan perkara itu.

“Ia adalah satu dakwaan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak sepatutnya berlaku dan dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra dan Peguam Negara Persekutuan dalam satu kenyataan bersama telah berkata bahawa Malaysia menolak perintah mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar kira-kira RM63 bilion kepada keturunan Kesultanan Sulu.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan pada 28 Februari bahawa Malaysia melanggar 1878 perjanjian antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil dari Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah sekarang.

“Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan telah

tidak pernah mengenepikan imuniti berdaulat sebagai Negara yang berdaulat,” kata kenyataan itu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/03/04/sabah-tidak-iktiraf-tuntutan-waris-kesultanan-sulu-orang-ramai-diminta-bertenang/feed/ 0 12708
Filipina, OWWA Diminta Bantu Rakyat Mereka Yang Terjejas Akibat Kebakaran https://sabahmedia.com/2022/01/22/filipina-owwa-diminta-bantu-rakyat-mereka-yang-terjejas-akibat-kebakaran/ https://sabahmedia.com/2022/01/22/filipina-owwa-diminta-bantu-rakyat-mereka-yang-terjejas-akibat-kebakaran/#respond Sat, 22 Jan 2022 12:41:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11423
Read Time:1 Minute, 37 Second

PENAMPANG: Kerajaan Filipina atau Pentadbiran Kebajikan Pekerja Luar Negara (OWWA) diminta membantu rakyat mereka yang terjejas akibat bencana kebakaran di negeri ini.

Demikian menurut Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion, memohon agar kerajaan Filipina atau OWWA yang berpusat di negara itu boleh membantu warga mereka sendiri kerana tiada mangsa lain berasal dari negara lain atau pun Indonesia yang terlibat dalam kebakaran yang berlaku pada Rabu lalu di Kampung Mogoputi, dekat sini.

Beliau berkata, mengikut rekod Jabatan Kebajikan yang menguruskan mangsa kebakaran terdapat 154 orang dipercayai warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Mengikut rekod seramai 174 daripada 29 keluarga adalah mangsa yang ditempatkan di penempatan sementara, hanya enam mangsa adalah warga tempatan, tujuh warga Filipina pemegang penduduk tetap dan tujuh warga Filipina pemegang dokumen IMM13 manakala selebihnya iaitu seramai 154 adalah individu yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang pada Sabtu.

Dalam pada itu, Jafery turut meminta supaya pemilik rumah sewa tidak membina rumah terlalu rapat kerana keadaan itu turut mengundang bahaya jika berlaku kebakaran di mana ia akan merebak dengan cepat sekali gus memusnahkan rumah berhampiran.

“Hasil pemeriksaan, rata-rata mereka adalah penyewa membabitkan 29 pintu rumah dan tempat mereka tinggal juga padat.

“Keadaan ini sangat bahaya kepada penyewa itu sendiri dan pemberi sewa juga patut melihat semula keadaan ini supaya tidak membina rumah terlalu dekat,” tegasnya.

Tambah Jafery lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus memainkan peranan bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Kita mohon juga kepada PBT dan semua agensi kerajaan menetapkan garis panduan untuk membina rumah sewa yang melebihi satu unit ke atas perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

“Ini termasuk dari segi aspek keselamatan, penempatan lebih teratur dan rekod imigresen perlu dikemas kini,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ketua Kampung Mogoputi Rosina Joeman Ros, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mogoputi Stefania Richard dan Ketua Pemuda Bahagian Kapayan, Nelson Martin Idang.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/22/filipina-owwa-diminta-bantu-rakyat-mereka-yang-terjejas-akibat-kebakaran/feed/ 0 11423