KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang memfokuskan pembangunan modal insan membabitkan belia, dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, berkata antaranya ialah inisiatif yang melibatkan pembangunan pemerkasaan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).


“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi serta pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.
“Kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda di negeri ini. Atas faktor itu, dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini, kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dirangka dengan berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan.
“Selaku Ketua Kerajaan di peringkat negeri, besar harapan saya agar golongan belia dapat bersama-sama dengan Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan demi mancapai Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2021 di sini pada Sabtu.
Hajiji turut berharap cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) dapat diinstitusikan sebagai salah satu program teras pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.
“Saya amat tertarik dengan cadangan pelaksanaan IKeBS yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap pelaksanaan program rintis ini dapat dipantau dengan rapi,” katanya sambil menambah kerajaan akan membantu golongan usahawan belia dan beliawanis yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19 melalui skim bantuan dana khusus.
Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ), sebagai salah satu strategi untuk memberikan pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan diri belia di negeri ini.
“Program ini bertujuan memberi peluang kepada belia yang terpilih melalui saringan kelayakan untuk mendapat bimbingan langsung daripada menteri dan pengurusan tertinggi kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
“Melalui program ini, Felo Belia SMJ akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC selama setahun untuk mendapat pendedahan alam kerjaya termasuk berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC.
“Program ini akan bermula pada bulan Januari 2022 di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap belia merebut peluang ini untuk menimba ilmu dan juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Program Jaringan Digital Nasional (JENDELA).
“Setakat ini, sebanyak 78 menara telekomunikasi telah siap dibina dan sejumlah 510 lagi masih dalam proses pembinaan bagi meningkatkan capaian 4G di negeri ini sebanyak 90 peratus. Bagi menaiktaraf lokasi sedia ada pula, sebanyak 2,196 lokasi telah siap dinaik taraf kepada 4G daripada 3,500 lokasi yang telah dirancang.
“Bagi menaiktaraf premis kepada capaian gentian optik pula, sebanyak 103,281 premis telah siap dilaksanakan daripada 251,165 premis yang telah dirancang. Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2021 dan seterusnya pada tahun 2022,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan melaksanakan semua ini bagi memastikan rakyat khususnya golongan pelajar dan belia tidak tercicir dalam perkembangan teknologi semasa dan mendapat sepenuhnya akses kepada bahan dan sumber rujukan pendidikan.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Belia Negeri Sabah 2021, Datuk Ellron Angin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
]]>KOTA KINABALU: Meskipun dalam keadaan suhu politik negara yang semakin panas, Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP) Kota Kinabalu memilih untuk fokus meneruskan program membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Dalam program tersebut Naib Ketua Pemuda SAPP Dexter Chin bersama pasukan bergerak untuk mengedarkan bantuan bakul makanan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan.
Menurut Dexter, terdapat ramai golongan muda yang bekerja makan gaji sekitar Kota Kinabalu terkesan kerana masih ada beberapa sektor perkerjaan belum dibuka.
“Saya berharap segala kemelut politik yang berlaku ini akan cepat berlalu dan kita dapat fokus kepada pelan pemulihan negara.
“Semoga dengan sedikit bantuan ini, dapat mengurangkan beban penerima,” katanya.
Sementara itu kerajaan negeri sedang giat menjalankan program imunisasi vaksin COVID-19 untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Manakala kempen patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19 juga sedang giat dilaksanakan diseluruh negeri.
]]>11 Jun 2021
KOTA KINABALU: Penyakit berjangkit seperti Tuberkulosis (batuk kering), Kolera, penyakit berkaitan cirit-birit, malaria, Leptospirosis dan Japanese Encephalitis (JE) merupakan antara fokus kajian Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo (BMHRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, pada masa yang sama pusat di bawah fakultinya itu turut membuat penyiasatan terhadap sesuatu wabak yang sedang berlaku bagi mengenalpasti punca dan cara menanganinya.
“Mulai beroperasi pada tahun 2018, BMHRC antara lain ditubuhkan untuk membantu menangani ancaman penyakit dan cabaran kesihatan awam di negeri Sabah.
“Pusat ini menerapkan budaya penyelidikan multi-disiplin daripada aspek pemahaman dan pengembangan informasi berkenaan perawatan dan kesihatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Safree, BMHRC juga mengkaji bidang perubatan tradisional bersama Zunyi Medical University, China dengan meneroka produk semula jadi bagi rawatan penyakit berjangkit.
“Kajian ini seiring dengan kekayaan sumber alam yang kita miliki di Sabah yang dilihat berpotensi digunakan sebagai ubat untuk rawatan dan kawalan jangkitan penyakit.
“Untuk makluman, dalam tempoh terdekat pusat ini akan menaiktaraf makmal sedia ada kepada makmal biosafety tahap 2+ (Biosafety Laboratory level 2+).
“Melalui penaiktarafan ini, ia meningkatkan keupayaan penyelidikan serta meningkatkan keupayaan saintifik dan pengetahuan bagi menangani ancaman penyakit dan cabaran kesihatan awam,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah BMHRC, Prof Dr Kamrudin Ahmed berkata, misi pusat penyelidikan ini menangani masalah kesihatan tropika melalui pendekatan transdisiplin dengan kerjasama dengan badan-badan nasional dan antarabangsa.

“Sehingga kini, pusat penyelidikan ini mempunyai ahli tetap akademik, juruteknologi makmal perubatan, pembantu penyelidik serta ahli penyelidik bersekutu dari dalam dan luar negara dengan pelbagai bidang kepakaran.
“Selain Zunyi Medical University, penyelidikan yang dijalankan juga merangkumi kerjasama dengan Nagasaki University, Oita University, National University of Singapore, Tottori Nursing College, Adtec Corporation, EcoHealth Alliance.
“Turut bersama dalam menjayakan penyelidikan di BMHRC ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” jelasnya.
Kamrudin memaklumkan, sejak ditubuhkan BMHRC telah berjaya menerbitkan sebanyak 33 artikel yang berimpak tinggi, menerima geran universiti dan kebangsaan bernilai RM598,000 serta geran antarabangsa bernilai RM980,000.
“Sebagai tambahan, Pusat penyelidikan ini bersama School of Tropical Medicine and Global Health, Nagasaki University, Jepun turut menghantar 14 orang staf akademik pelajar pasca-siswazah yang terpilih dengan tajaan sepenuhnya Sakura Science Plan ke Mobility Program on Spatial Epidemiology Training toward Global Health Research pada tahun 2019.
“Program ini memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta berkenaan aplikasi sains, teknologi dan kebudayaan Jepun,” katanya.
Untuk rekod, BMHRC mempunyai 7 unit makmal yang lengkap dengan peralatan penyelidikan perubatan dan turut menawarkan peluang penempatan latihan industri.
Sebarang maklumat lanjut untuk cadangan kerjasama strategik perkhidmatan dan penyelidikan, boleh melayari https://www.ums.edu.my/fpsk/en/bmhrc-home.